Salam semua. Pada pembukaan artikel Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Pesanan ilmu jiwa Al-Ghazali kepada dunia kontemporari ada disebut begini :-
Adapun pada ketika ini saya masih lagi dalam satu permusafiran yang berlaku atas asbab mahu menghadiri sesi perbicaraan terbaru di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh melibatkan hal keluarga keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak), pada pagi Isnin lalu 19 September. Disebabkan mahu menghadiri sekali majlis pertunangan adik sepupu di Batak Rabit, Teluk Intan pada tengah hari Sabtu 17 September maka permusafiran dimulakan pada hari tersebut. Sedangkan pada malam itu juga mahu mengikuti satu majlis ilmu melibatkan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Abu Bakar. Alhamdulillah ia dapat diikuti secara atas talian di pekan Beruas.
Pada ketika ini permusafiran yang membawa sehingga ke Lenggong, Sumpitan, Ijok, Taiping, Pantai Remis dan Lumut itu sudah masuk tempoh masa 6 hari 5 malam lalu sudah meliputi jarak pemanduan lebih 820 km. Saya dijangka perlu meliputi lagi lebih 110 km sebelum boleh sampai ke rumah insyaallah selewatnya selepas Isyak malam ini. Itupun entah tempat apa nanti menarik perhatian lalu tergerak untuk singgah. Sebelum sampai ke rumah, sementara ada talian Internet elok di tempat saya sedang berada sekarang iaitu di sebuah masjid lama berusia hampir 120 tahun di Sungai Besar, Selangor, sementara ada kelapangan biar dilepaskan cerita tentang majlis ilmu. Supaya apabila sampai ke rumah sekurang-kurangnya tidak ada lagi rasa 'terhutang' untuk berkongsi tentangnya.
Perjalanan ini selesai apabila sampai ke rumah pada malam itu iaitu hari Khamis malam Jumaat 22 September. Setelah mendapat sedikit rehat sampai masanya untuk memulakan perkongsian cerita tentang perjalanan. Kiranya menyambung penceritaan berkenaan daripada artikel Misi keluarga Laksamana part IV.
Perjalanan bermula pagi Sabtu 17 September 2022 apabila mula menggerakkan kereta untuk meninggalkan rumah jam 11.07 pagi.
Seperti biasa apabila hendak ke Perak saya akan mengambil dahulu Lebuh Raya Utara Selatan.
Cuma kali ini sampai ke tol Sungkai baru keluar lebuh raya. Dalam perjalanan-perjalanan sebelum ini saya keluar lebih awal di tol Bukit Tagar. Sebelum itu dan selalunya di tol Tanjung Malim. Selepas itu mengambil jalan biasa.
Saya mahu cepat sampai ke Batak Rabit kerana seperti disebut tadi mahu menghadiri sekali majlis pertunangan adik sepupu. Tetapi harus masuk ke bandar Teluk Intan untuk mengeluarkan duit dari bank kerana kekurangan tunai, juga mahu mengisi minyak kereta.
Sampai di Batak Rabit harus meletakkan kereta di bahagian seberang jalan dari rumah saudara kerana kesesakan lalu lintas yang jelas kelihatan dalam gambar.
Bagus le juga. Sebab letaknya di sebelah tapak kota lama Batak Rabit milik kaum kerabat saya daripada keluarga Laksamana. Dalam kawasan kota ini pernah bersemayam Sultan ke-26 Perak Sultan Abdullah II (bertakhta 1874-1877). Ada le sebabnya kenapa baginda bersemayam bersama kaum kerabat terdekat saya.
Dahulu rata-rata tanah di sekeliling sini adalah milik keluarga. Sekarang tinggal beberapa bahagian sahaja termasuk tempat rumah keluarga adik sepupu bertunang ini. Lain rumah jadi milik orang luar. Rupa-rupanya saya tersilap membaca maklumat. Majlis pertunangan bermula jam 11 pagi. Ingatkan 1 petang. Tak mengapalah. Janji sampai.
Dari rumah saudara berjalan kaki 200 meter ke masjid warisan yang berdiri di atas tanah wakaf keluarga.
Ziarah makam kaum kerabat di sebelah masjid kemudian menjamakkan solat Zohor dan Asar lalu beriktikaf sebentar.
Jam 3.45 baru menyambung kembali perjalanan dengan bergerak lebih jauh ke hilir Sungai Perak.
Seberang sungai menghala ke Lumut untuk mengambil jalan ke Changkat Lada.
Selepas Changkat Lada terus lagi utara ke Lambor Kiri membawa ke Bota Kiri di mana saya singgah di tempat-tempat berikut :-
Jam 5.40 layan "Bakso Mercun" di kedai makan sebelah simpang jalan ke Gelang Pepuyu dari jalan utama Ipoh ke Lumut.
Sekitar jam 6.50 baru sampai ke Gelang Pepuyu lalu mengambil satu jalan kampung yang belum pernah dilalui sebelum ini, cuma pernah dilihat dalam peta Google Map. Itupun ragu-ragu apakah benar-benar wujud elok. Kerana Google Map ni adakalanya jalan tanah merah kebun yang tidak sesuai untu kereta biasa pun ditunjukkan seperti jalan tar elok.
Alhamdulillah ternyata ia ditar sepanjang jalan sehingga membawa keluar ke Kampung Kota Beruas. Cuma jalan agak sempit sahaja.Sedikit susah kalau berselisih dengan lain kereta melawan arah.
Sampai ke Kampung Kota duduk di bawah papan tanda yang kelihatan untuk mengaji beberapa muka surat Al Quran yang perlu dikejar demi menuhi sasaran bagi mengkhatamkan bulan Safar.
Selepas itu baru ke masjid Kampung Kota...
Alhamdulillah. Masih sempat untuk bersama berjemaah Maghrib. Wuduk memang sedia ada kerana sudah membiasakan diri sentiasa dalam keadaan berwuduk.
Selepas jam 8, selepas mandi dan bertukar pakaian, bergerak pula ke pekan Beruas 3 km ke utara masjid lalu mengambil satu meja di sebuah warung makan.
Saya duduk di situ kerana talian Internet cukup bagus untuk menghidupkan hotspot pada telefon pintar lalu kamputer riba boleh menumpang talian. Dengan itu dapatlah diikuti majlis ilmu seperti diceritakan dalam artikel Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Pesanan ilmu jiwa Al-Ghazali kepada dunia kontemporari.