Rabu, Februari 09, 2022

Dari majlis perkahwinan ke masuk tahfiz ke perbincangan tentang keadaan negara

Salam. Satu perkongsian daripada hujung minggu lalu membawa ke petang semalam.




Petang Ahad 6 Februari 2022 saya dan isteri keluar berbusana tradisional Melayu untuk ke satu majlis di Bukit Jelutong, Shah Alam.



Seorang rakan dalam dunia persilatan dan busana telah mengundang ke majlis perkahwinan anaknya. Dapatlah bertemu sejumlah kawan aktivis daripada dunia itu.








Bergambar bersama pengantin. Pakaian saya adalah kebanyakkannya daripada sentuhan peribadi isteri. Boleh rujuk blogspot beliau Bona Fida tentang hal-hal berkenaan.




Masuk sekali ibu pengantin lelaki, saudara dan beberapa orang kawan. Walaupun isteri tidak lagi menyediakan pakaian untuk pembeli kelibat kami sudah cukup dikenali  sebagai antara yang paling aktif memperjuangkan pemakaian busana tradisional Melayu di Malaysia. 




Oh. Isteri ada mengambil video melalui Facebook saya 'melalak' selepas majlis.




 Saja-saja layan kenangan zaman rock. Sila lihat video atas.





Dalam perjalanan untuk kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya timbul rasa untuk masuk ke Elmina bagi melihat jejantas pejalan kaki dalam gambar...




Cuba selfie pulak setelah mendapat sudut pandang yang dirasakan elok...





Selepas itu baru mintak orang tolong ambilkan gambar.




Ini pula di sebuah kedai makan di Chow Kit di mana isteri mahu berjumpa beberapa orang kawan aktivis Isnin malam Selasa 7 Februari. Selepas beberapa lama duduk berbual dengan dua orang kawan tiba-tiba ada orang menegur kerana tertarik dengan tanjak saya. Beliau memperkenalkan diri sebagai Dato' Zainal. Katanya pernah menjadi ahli lembaga syarikat Peremba tahun 80an sebelum kembali ke kampung lalu membuka perniagaan sendiri di Kelantan . 

Kebetulan seorang kawan yang mahu turut serta makan dan berbual (belum sampai lagi ketika itu) pernah menjadi pemegang separuh syarikat Renong Berhad. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia korporat Melayu sejak bermula pengswataan 40 tahun lalu nama syarikat-syarikat besar ini sangat dikenali dan orang pun tahu siapakah tokoh-tokoh besar di sebaliknya. Mereka harus tahu bagaimana daripada Peremba boleh muncul beberapa orang tokoh baru (baru ketika itu) yang menjadi bilionaire Melayu terawal. Apabila muncul kawan yang merupakan seorang jutawan tapi sangat merendah diri cerita pun menjadi semakin rancak.




Malam itu kami menginap di rumah peranginan kawan yang pernah memiliki separuh syarikat Renong itu iaitu di Bukit Tinggi. Jam 9 pagi Selasa 8 Februari bergerak ke Kampung Janda Baik tidak jauh dari situ.




Pergi ke Ma'ahad Annoer sebuah pusat pengajian agama tradisional tetapi dengan bangunan-bangunan moden dengan reka bentuk dan taman serta kedudukan diapit sungai berjeram yang boleh menyaingi pusat peranginan atas bukit.




Anak saya Rasyid mahu menghadiri temu duga untuk masuk sebagai pelajar tahfiz.




Alhamdulillah beliau lulus. Bulan depan sudah boleh masuk tahfiz.




Meraikan berita gembira dengan makan roti canai di kedai berdekatan...




Selepas itu bawa anak-anak mandi sungai di rumah ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal S. H. Alattas @ Pak Habib tidak jauh dari pusat tahfiz/ma'ahad.




Dari Janda Baik kami ke bandar raya Kuala Lumpur lalu membawa anak-anak berjalan ke KLCC. Selepas itu ke Wisma MPM (Majlis Perundingan Melayu) di sebelah bangunan parlimen.




Adapun MPM ini terdiri daripada ramai tokoh-tokoh Melayu yang pernah menjadi nama-nama besar dalam perkhidmatan pentadbiran awam, korporat dan universiti. Mereka agak aktif dalam mengadakan majlis dan perbincangan tentang hala tuju Melayu tetapi sudah tidak lama berbuat begitu akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung wabak virus Covid-19 yang bermula 2 tahun lalu. Sebagai seorang aktivis saya pernah ke beberapa majlis anjuran atau melibatkan MPM. Lihat artikel-artikel berikut :-









Kali ini saya pergi atas ajakan Dato' Zainal yang baru dikenali di Chow Kit. Kalau tidak tak tahu pun ada majlis...




Rupa-rupanya ada dua majlis yang saling berkait di tempat sama. Satu adalah bengkel tentang sekuriti makanan (food security) bermula jam 2. Ia tentang bagaimana hendak mengatasi masalah yang negara kita ini sebenarnya bila-bila masa sahaja boleh kekurangan bekalan makanan disebabkan terlalu bergantung pada import. Sedangkan tanah-tanah kita cukup luas, subur dan hijau untuk menampung keperluan dalaman malah kitalah yang patut mengeskport. Satu adalah minum petang orang lama iaitu tokoh-tokoh yang terlibat dengan MPM bermula jam 4. 

Kami pergi untuk minum petang. Walau asalnya tidak diundang kami tiada masalah kerana Dato' Zainal yang mengajak itu adalah seorang yang dihormati. Kemudian ada tokoh-tokoh lain yang masih cam muka saya daripada majlis-majlis lain. Isteri pula seronok apabila terjumpa Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang merupakan seorang bekas Ketua Pengarah Pelajaran negara. Ini kerana beliau pernah menjadi guru di sekolah menengah isteri iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) 30 tahun lalu.



Tokoh-tokoh kemudian masuk ke dewan untuk menyertai peserta bengkel bagi sesi penutup. Sempatlah mendengar sedikit pembentangan sebelum ucapan penutup oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM Tun Hanif Omar.



Nama Tun Hanif tidak perlu diperkenalkan. Beliau adalah bekas Ketua Polis Negara yang paling terkenal dalam sejarah negara. Selepas majlis tamat saya mengambil peluang untuk bertemu beliau. Sebetulnya kami sudah bertemu semasa minum petang tetapi saya tidak datang rapat untuk menegurnya yang duduk di satu hujung meja. Ini kerana tidak mahu orang berfikir saya mahu "bergesel bahu" dengan orang atasan lalu disebabkan itu 'menyelit' dalam majlis.

Sesungguhnya saya ke majlis-majlis sebegini bukan untuk mencari contact  ataupun kenalan. Sesungguhnya dalam kalangan saudara mara saya pun sudah ramai orang besar dan ternama. Kawan-kawan sama umur dan sekitar itu pun sudah ramai mencapai taraf sebegitu, jadi jutawan, orang besar korporat, kerajaan dan sebagainya. Saya ke majlis kerana prihatin tentang isu-isu orang Melayu. Namun tidak dapat dielakkan ada yang menganggap saya cuma hendak mencari peluang demi kepentingan duniawi kerana itulah yang ramai ingin buat. Soalnya cuma boleh dapat atau tidak je...



Apapun tak patut kalau tidak menegur langsung kerana kami sebenarnya pernah bertemu dalam beberapa majlis rasmi malah dalam majlis-majlis keluarga. Sebetulnya beliau adalah sepupu kepada seorang adik ipar ibu saya. Bapa saudara tersebut dan Tun Hanif adalah cucu kepada Ngah Jabor seorang tokoh pejuang Melayu ketika menentang British di Perak selepas Perjanjian Pangkor 1874. Ada kena mengena dengan darah Perak daripada sebelah bapa saya.

Ngah Jabor adalah sekeluarga dengan Dato' Maharajalela, tokoh yang paling menonjol dalam peristiwa  pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875. Namun Tun Hanif pernah memberitahu di rumah bapa saudara bahawa beliau semasa kecil di Teluk Intan selalu pergi ke rumah Laksamana Raja Mahkota Perak yang merupakan kerabat saya. Berdasarkan fakta beliau lahir tahun 1939 boleh jadi Laksamana yang ditemui itu adalah Razali bin Laksamana Ali Wasi, sepupu kepada datuk saya. Dalam pertemuan ini saya pun memberitahu kalau tiada arang melintang insyaallah saya akan menjadi Laksamana yang baru.



Selepas itu baru bertegur sapa dengan pengarah filem terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba yang merupakan seorang peserta bengkel. Kami sebetulnya sudah berkenalan sejak tahun 2012. Lihat Arka - Satu tribute untuk pejuang bangsa, Raja Haji Fi Sabilillah.



Isteri bergambar bersama Shuhaimi. Di tengah adalah Dato' Faridah Jabbar yang baru diberikan mandat untuk mengetuai sekretariat khas bagi MPM dalam usaha-usaha pemerkasaan ekonomi Melayu. Kalau tak salah beliau adalah Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia.




Alhamdulillah majlis juga menemukan saya dengan seorang kawan lama, saudara Romil Shamsudin yang merupakan junior saya setahun semasa zaman kolej A Levels penghujung tahun 80an. Oh. Sebelum itu ada bertemu seorang kawan satu batch tetapi lebih awal bertolak ke United Kingdom kerana mengikuti program BTU (British Top University). Kami pernah rapat di London awal tahu 90an. Tetapi selepas itu cuma bertemu sekali sahaja, itupun akibat terserempak di KL Sentral tahun 2002 kalau tak salah. Selepas itu langsung tidak pernah bertemu, cuma ada bertegur sapa sesekali sahaja di FB.




Dengan Romil pernah beberapa kali bertemu dalam majlis-majlis melibatkan agenda pemerkasaan Melayu yang mana saya mula terlibat bermula tahun 2012. Tetapi kali ini baru tergerak untuk berbual panjang lalu dapat tahu beliau adalah ahli jawatankuasa bagi institusi wakaf di bawah Majlis Agama dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ini kerana beliau tiba-tiba meminta pendapat saya tentang bagaimana untuk memperkasakan instituti wakaf di negeri kelahiran bapa saya itu. Subhanaallah. Hal ini juga bab sekuriti makanan yang dibincangkan dalam bengkel lalu mahu diangkat resolusinya kepada Perdana Menteri Malaysia nanti termasuk antara perkara-perkara yang memang ingin diperjuangkan saya kalau ditakdirkan dapat memegang gelaran keturunan. Doakan insyaallah. 

Sekadar memberitahu ini adalah artikel ke-2,220 di CATATAN SI MERAH SILU. Saya bercadang untuk mengeluarkan artikel ke-2,222 pada tarikh 22 Februari 2022 (22/2/22, juga boleh ditulis 22/02/2022) dengan sesuatu yang melibatkan nombor 2 juga 22. Tunggu. :]