Salam pagi Jumaat 29 Zulhijjah 1443 Hijriah. Adapun apabila masuk waktu Maghrib karang maka masuklah juga tahun baru Islam 1444 Hijriah. Sebelum ini berlaku biar dilepaskan saki baki cerita yang boleh dikongsikan daripada beberapa hari kebelakangan. Maka itu masuklah kita pada hari ketiga perjalanan ke Perak baru ini. Bersambung daripada artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Ipoh ke Sungai Siput dan Karai.
Pada penghujung artikel sebelum ini telah disebut seorang anak saudara bernama Hisham telah mengajak untuk bermalam di rumah keluarga sebelah bapanya di Lubuk Merbau. Selepas bersoreh dengan orang tua di Enggor bergeraklah kami ke sana. Pagi Selasa 26 Julai 2022, selepas puas bermalam saya melihat ke luar rumah.
Ia dikelilingi sawah padi yang luas. Lihat artikel The paddy fields at Lubuk Merbau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Di satu bahagian belakang pula ada sebuah rumah lama tinggal yang cantik. Lihat artikel Sebuah rumah lama di Lubuk Merbau (An old house at Lubuk Merbau) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Jam 9.50 gitu saya keluar untuk menyambung perjalanan.
Pergi ke Temong melalui Kati, singgah sebentar di surau yang selalu menjadi tempat saya juga keluarga menginap apabila ke Kuala Kangsar. Asalnya memang hendak bermalam di sini. Tetapi apabila anak saudara mengajak ke Lubuk Merbau saya ikut sahaja le...
Dan tentunya juga menziarahi makam Tok Temong serta melihat sungai di bawah sebelah. Lihat Just another look at the Perak river from Temong jetty Kali terakhir singgah sebelum itu adalah dalam perjalanan kembali dari Kedah 5 bulan lalu. Lihat Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh.
Ketika itu juga kali terakhir ke masjid di Kota Lama Kanan. Maka kali ini kena datang lagi.
Ziarah ke makam Temenggong Husain di perkarangan masjid.
Kemudian ke batu tanda tempat ghaibnya Sultan Perak ke-2, Sultan Mansur Syah ketika menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu.
Selepas itu baru masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar. Bandar dan tempat-tempat sekelilingnya pun kali terakhir dijejaki dalam perjalanan kembali dari Kedah 5 bulan lalu.
Selepas itu saya cuma ada naik paling jauh ke utara setakat ke Ipoh sekali dua. Kalau ke Teluk Intan iaitu kampung asal tempat keluarga sebelah bapa ada le 4-5 kali gitu.
Berziarahlah ke makam moyang kami Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan.
Selepas itu beriktikaf sebentar di Masjid Ubudiyah kemudian masuk ke Kampung Padang Changkat di belakang Istana Iskandariah untuk menziarahi makam Daeng Selili kemudian ke rumah saudara belah keluarga Maharajalela berdekatan makam.
Keluar dari sana terlihat istana lama yang dijadikan muzium ini. Didapati bahawa ia telah dibuka sepenuhnya. Dalam lawatan terakhir penghujung tahun lalu cuma bahagian bawah sahaja telah dibuka kembali selepas lebih 10 tahun muzium ditutup kerana kerja-kerja membaik pulih bangunan. Lihat Bahagian atas Muzium Diraja (The upper section of the Royal Museum), Kuala Kangsar.
Oh. Adapun ketika menaiki Bukit Chandan sambil melihat Sungai Perak di lembah bawah timbul rasa untuk menyemak di manakah sebenarnya kedudukan kuala Sungai Sayong. Apakah boleh kelihatan dari jalan menaiki bukit atau bagaimana?
Kalau cari terus pakai Google Map tidak akan berjumpa kerana tidak ditanda. Namun semakan melalui satellite view menunjukkan ada sungai kecil di sekitar Sayong yang kualanya mengunjur keluar betul-betul ke kawasan sekitar makam Daeng Selili iaitu seberang Sungai Perak. Kelihatan juga ada jalan kasar menuju hampir ke kuala. Tetapi tidak ditunjukkan oleh Google Map sebaliknya kena cari dengan mata kasar dalam satellite view. Berdasarkan itu saya pun membawa kereta ke sana. Nasib-nasiblah kalau dapat jumpa kuala Sungai Sayong, takut sungai lain pula.
Alangkah leganya rasa apabila terlihat papan tanda ini di hujung jalan. Perlu jalan sedikit untuk mencari kuala. Lihat dahulu Sungai Perak yang terbentang luas di sebelah. Lihat Perak river from Sayong.
Ke kuala Sungai Sayong perlu berjalan kaki lagi melepasi satu kawasan yang nampaknya harus digenangi air bila pasang. Nasib baik ketika itu surut dan cukup kering. Dapatlah ke kuala lalu mencecahkan kaki. Lihat Sayong river mouth.
Teringat bagaimana dalam perjalanan pertama saya ke makam-makam lama lebih 20 tahun timbul rasa untuk mencari di manakah kuala Sungai Sayong. Atas asbab itulah saya pertama kali ke masjid Kota Lama Kanan lalu dapat melihat batu nesan tanda di dalam masjid. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 atau tuju terus pada Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.
Perjalanan diteruskan melalui jalan sama dari Sayong ke selatan, laluan yang sebenarnya menyusuri Sungai Perak dari tebing kanan (kanan jika dilihat dalam peta).
Sampai di Parit berhenti sebentar minum teh ais di tepian sungai yang ada Pulau Cempakasari di tengahnya.
Sambil berjalan terkenang bagaimana masjid-masjid seperti di Parit ini sering menjadi tempat melepaskan penat malah tempat bermalam dalam pengembaraan-pengembaraan lama di Perak.
Sambil itu juga memberikan salam kepada para almarhum Sultan-sultan Perak yang dimakamkan di beberapa lokasi di sepanjang laluan sehingga ke selatan Kampung Gajah. Nak ziarah dah tak larat selain perlu mengejar masa.
Ketika di Ipoh hari Isnin isteri ada menelefon untuk memberitahu bahawa anak kami di tahfiz di Janda Baik akan bercuti Rabu sehingga Sabtu sempena tahun baru 1444 Hijriah atau hari Ma'al Hijrah 1 Muharram yang jatuh pada hari Sabtu (esok) 30 Julai. Maka saya bercadang untuk ke Janda Baik melalui Batang Kali petang Selasa. Bermalamlah di mana-mana kemudian mengambil anak jam 7 pagi Rabu lalu baru menghala kembali ke rumah.
Itu pun tidak terus balik kerana ada satu majlis tentang institusi beraja perlu dihadiri di pusat bandar raya Kuala Lumpur pagi Rabu 27 Julai. Selepas itu mahu ke Perpustakaan Negara pula untuk menyambung satu kerja (rujuk cerita berkenaan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British). Selepas perpustakaan tutup jam 5 petang baru bawa anak kembali ke rumah.
Tengok-tengok sampai di Slim River isteri memberitahu bahawa beliau tersilap. Sebenarnya anak boleh balik Rabu minggu hadapan bukan minggu ini. Dengan itu tidaklah perlu terkejar-kejar ke Janda Baik. Lebih baik balik berehat di rumah sebelum ke majlis di Kuala Lumpur pagi Rabu.
Saya jawab kalau begitu biar berjalan-jalan dahulu, mungkin di Tanjung Malim. Apapun, memang rancangan saya, sama ada pergi ke Janda Baik atau tidak hendak mencuba satu laluan yang seingat saya belum pernah diambil sebelum ini, laluan ke Ulu Slim.
Maka masuklah jauh ke dalam kawasan pendalaman. Ketika berhenti makan sebelum sampai di Ulu Slim ada penduduk tempatan memberitahu bahawa jalan cukup elok sehingga lebih jauh lagi ke pendalaman. Malah boleh tembus masuk ke negeri Pahang dekat-dekat Raub. Tetapi kena bawa kenderaan pacuan empat roda untuk itu.
Saya pun masuk jauh ke dalam sehingga hari gelap. Sampai di satu kawasan yang diperkirakan terletak sekitar 8 km ke utara Ulu Slim baru berhenti untuk mandi sungai kemudian menjamakkan solat Maghrib dan Isyak. Kalau tidak kerana perlu berada di KL pagi Rabu tak mustahil saya akan masuk sehingga penghujung jalan tar kecil, dalam perkiraan saya sekitar 15-20 km lagi ke utara. Apapun cukuplah penerokaan buat hari itu. Lihat The road to Ulu Slim and beyond.
Kembali ke rumah meter menunjukkan kali ini saya telah berjalan hampir 630 km secara keseluruhan. Kalau jadi mengambil anak di Janda Baik harus tambah lagi 130 km. Insyaallah lain kali saya akan mengambil jalan Ulu Slim itu sehingga paling hujung dapat dicapai dengan kereta biasa. Katanya sampai ke penempatan Orang Asli yang dipanggil sebagai Pos Tenau.
Semoga d permudahkan urusan..
BalasPadamAmin... :]
BalasPadam