Khamis, Jun 16, 2022

Day trip misi Teluk Intan 14 Jun 2022

Salam malam Jumaat 17 Zulkaedah. Ada sedikit perkongsian melibatkan susur galur keturunan saya di Perak. 



Isnin malam Selasa 13 Jun 2022. Seorang saudara tiga pupu menelefon mengajak untuk pergi ke kampung keluarga kami di Teluk Intan. Setelah mencapai persetujuan beliau yang menetap di Bandar Tasik Puteri datang mengambil di rumah saya di Bandar Sungai Buaya pagi Selasa 14 Jun. Selepas melepak bersarapan sambil bercerita macam-macam beliau yang datang bersama isteri pun membawa saya ke arah tujuan.




Entah kenapa beliau keluar dari Lebuh Raya PLUS untuk ke Teluk Intan melalui tol Bidor. Sedangkan ada jalan lebih dekat melalui Sungkai. Apapun saya sudah lama tidak melalui laluan berkenaan...




Kami sampai ke pusat bandar Teluk Intan sekitar jam 11.18.




Saudara itu membawa untuk makan mee rojak.






Selepas itu beliau membawa ke sebuah rumah lama besar keluar sedikit dari pusat bandar.




Rumah ini pernah diduduki datuk beliau Laksamana Raja Mahkota Razali sebelum meninggal dunia tahun 1981. Laksamana yang pernah menjadi Menteri Besar Perlis, juga seorang daripada empat pengasas utama UMBC (dahulu sebuah bank besar terkenal) ini adalah sepupu kepada datuk saya.




Adapun bapa kepada saudara tersebut sendiri pernah menjadi Laksamana, dari tahun 1991 hingga 1997 kalau tak salah. Jam 12.50 bergerak kami ke bahagian lain Teluk Intan.



Singgah berziarah ke makam Sultan ke-22 Perak iaitu Sultan Abdullah Muhammad I (memerintah 1851-1857) atau Marhum Durian Sebatang.



Selain makam Sultan ada satu makam mahu diteliti untuk satu hal melibatkan keluarga besar kami...




Selepas itu pergi meneliti makam-makam di tanah perkuburan besar Durian Sebatang pula.







Selepas jam 3 baru sampai ke masjid keluarga di Batak Rabit.




Untuk pengetahuan kami dan jawatankuasa masjid sedang berusaha untuk menukar namanya menjadi Masjid Laksamana Raja Mahkota...



Ziarah juga ke makam-makam ahli keluarga di sebelah masjid. Di sini terdapat makam datuk dan moyang saya juga beberapa orang Laksamana. Saya perlu meneliti makam datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Arshad. Ini kerja penting kerana ada pihak mengaku saudara tetapi nampaknya sedang berusaha untuk menjatuhkan susur galur saya yang merupakan cabang utama keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah II). 

Melihat cara pihak berkenaan merancang sambil melaga-lagakan saudara mara kami percaya ada kemungkinan mereka sebenarnya bukan keturunan Laksamana pun. Ada kemungkinan mereka daripada keturunan lain yang nenek moyangnya kebetulan memiliki nama-nama sama seperti yang ada dalam salasilah kami. Maka tak mustahil mereka menggunakan pengetahuan tentang salasilah untuk masuk mengaku sebagai saudara mara. Setelah mendapat suatu kedudukan yang kuat kami pula cuba disisihkannya. 

Semoga laknat Allah SWT jatuh terdapat puak-puak jahat tapi manis muka ini. Tak malu bersumpah Wallahi, mengaku ikhlas bagai untuk menolong. Tetapi semakin lama semakin nampak menyimpang gerak kerjanya. Amin, amin Ya Rabbul Alamin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan