Isnin, Jun 13, 2022

Bicara buku bersama Merah Silu di PBAKL2022

Salam malam 14 Zulkaedah. Tadi saya telah membuat dua buah artikel di blogspot  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) untuk menceritakan tentang dua aktiviti yang dilakukan hujung minggu lalu melibatkan kedudukan saya sebagai presiden HIKMAH. Lihat Rumah terbuka dan karnival pembangunan komuniti budaya dan warisan bersama Walid Ibrahim Al Malik diikuti Webinar pertama HIKMAH melibatkan dinar dirham berjaya!. Namun ada satu lagi aktiviti berlaku hujung minggu itu selepas dua yang diceritakan itu. Tetapi ia lebih relevan untuk dikongsikan di sini.



Lima hari lalu saya telah membuat artikel Dari ISTAC ke PBAKL 2022 lalu menunjukkan keadaan pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2022 yang bermula pada hari Jumaat 3 Jun 2022. Ada sesuatu yang istimewa tentangnya, setelah PBAKL tidak dapat diadakan pada tahun 2020 dan 2021 akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak Covid-19. Kalau sebelum itu saya merasakan tidak perlu mengambil tahu sangat tentang pesta buku kerana sedang  berehat daripada menulis buku untuk memberikan tumpuan kepada penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas menghadiri hari pertama terasa tidak dapat memisahkan diri dengannya. Saya pun mengatur agar dapat bercakap tentang buku pada pesta itu. Walaupun buku terakhir saya (setakat ini), buku ke-13 iaitu "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" terbit ketika musim raya Aidilfitri tahun 2019 iaitu hampir 3 tahun lalu ia belum berpeluang untuk dipromosikan di PBAKL disebabkan PKP.




Adalah rugi jika saya tidak berusaha langsung untuk mempromosikannya pada PBAKL 2022 ini. Alhamdulillah sahabat saya saudara Zahamri Nizar yang memiliki syarikat Taman Pustaka sudi mengatur ruang di reruainya yang dikongsikan bersama Akademi Jawi Malaysia. Saya diberikan slot jam 2.30 hingga 3.30 petang untuk bercakap tentang buku pada hari terakhir pesta Ahad 12 Jun.




Selepas selesai acara pertama pada pagi itu (lihat Webinar pertama HIKMAH melibatkan dinar dirham berjaya!) saya membawa isteri dan anak bergegas ke lokasi Pesta Buku iaitu WTCKL (World Trade Centre Kuala Lumpur), dahulunya dikenali sebagai PWTC (Putra World Trade Centre)...







Oh. Dalam perjalanan ke reruai berkenaan isteri ada membuat sedikit live video Facebook menggunakan telefon pintar saya. Lihat sini diikuti sini.




Kami sampai ke reruai sekitar jam 2. Selepas berehat di suatu tempat kami pun menyiapkan set untuk bercakap atau bicara tentang buku.



Ia diadakan dalam keadaan selamba dan santai. Secara rata saya bercerita tentang pengembaraan lama tahun 1995 yang membentuk isi buku dan apa yang membuat saya terdorong untuk menulis tentangnya setelah sekian lama.






Cuma saya menghadapi sedikit masalah seperti berikut :-


1. Microphone murah milik sendiri yang dibawa ada distortion.

2. Ia mati selepas 10-15 minit lalu saya harus bercakap secara terus kepada hadirin. Mungkin sebab sudah 3 tahun memiliknya dan sudah lama tidak digunakan.

3. Saya sebenarnya kepenatan kerana aktiviti-aktiviti hujung minggu sedangkan dua malam berturut-turut cuma dapat tidur ayam.

4. Selain itu belakang lidah tergigit beberapa hari lalu dan belum baik. Sedangkan saya harus banyak bercakap untuk acara pertama pagi Ahad kemudian untuk bicara buku

5. Line Internet tidak begitu bagus, asyik terputus-putus, lalu isteri membuat keputusan untuk keluar daripada live video lalu membuat rakaman pula, Sayangnya rakaman sekitar 30 minit itu pula terdelete entah bila.



Apapun bicara dapat diadakan dengan baik walau tidak sehebat mana. Alhamdulillah kerana ada kawan-kawan juga saudara mara menyokong...




Selesai itu kami melepak di sebuah reruai kosong berdekatan. Di sini diadakan demontrasi bagaimana saya pernah tidur di jalanan seperti diceritakan dalam buku. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,266 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan