Salam petang Ahad 14 Syawal 1443 Hijriah. Bersambung penceritaan daripada artikel Beraya di kampung tahun 2022 - Sekitar kampung saya di Muar.
Pagi Sabtu 7 Mei 2020 bersamaan 6 Syawal. Saya dan ahli keluarga keluar bersarapan di medan makan bersebelahan pusat perhentian bas lama bandar Muar yang menghadap Sungai Muar.
Alhamdulillah. Pekena hidangan kegemaran iaitu nasi beringin...
Jam 10.37 bergerak meninggalkan Muar untuk beraya di rumah adik di pinggir bandar raya Melaka.
Gambar ini pula diambil jam 1.35 petang iaitu selepas meninggalkan rumah adik. Kami mahu beraya di rumah anak saudara isteri dekat Melaka Pindah.
Gambar ini diambil jam 2.57. Ketika ini kamu mahu beraya di rumah seorang lagi anak saudara isteri di Seremban.
Kami sampai ke sana selepas jam 4. Selepas itu menuju pula ke Semenyih untuk beraya di rumah seorang adik isteri.
Adapun kami sampai ke rumah adik isteri hampir jam 6. Timbul rasa penat sangat lalu saya pun berbaring untuk tidur. Fikirnya jam 6.30 bangun lalu bergerak untuk kembali ke rumah dalam 1 jam 30 perjalanan. Fikirnya sempat untuk mengikut satu majlis Webinar yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam. Tengok-tengok saya terlelap sehingga jam 7. Terkejar-kejar tu kalau hendak kembali rumah lalu ambil keputusan untuk bermalam di rumah adik ipar dan mengikuti Webinar dari sana.
Gambar ini diambil pagi Ahad 8 Mei iaitu tepat seminggu lalu. Ketika itu kami bersedia untuk meneruskan perjalanan. Disebabkan kami bergerak dari Semenyih maka diputuskan biarlah beraya di berapa tempat dalam perjalanan kembali ke rumah.
Kami keluar sekitar jam 9.50 dengan niat untuk ke rumah kawan di Putrajaya.
Tengok-tengok Google Map menunjukkan jalan melalui pekan Bangi lama. Ternampak rumah seorang bapa saudara di sana lalu kami pun singgah untuk beraya.
Kami sampai ke rumah kawan di Putrajaya selepas jam 11. Jam 12 lebih bergerak pula ke Cyberjaya untuk beraya di rumah guru dan penyelia tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Datuk Dr Othman Bakar.
Rumahnya terletak di satu kawasan eksklusif, di satu bahagian Cyberajaya menghadap Putrajaya yang tak pernah kami sampai sebelum ini. Lihat artikel First time at Cyberjaya Lakeview di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sayangnya terlupa hendak mengambil gambar bersama Profesor Othman sedangkan itulah kali pertama kami berjumpa secara berhadapan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk membendung wabak Covid-19 mula diperkuatkuasakan 18 Mac 2020 lalu beliau mula membuat segala kerja dari rumah. Selepas itu pergi ke rumah seorang ibu saudara saya di Petaling Jaya kemudian ke rumah ibu saudara lain yang suaminya pernah menjaga saya ketika kecil dahulu.
Ini gambar di rumah bapa saudara tersebut, kalau tak salah sekitar jam 4 petang. Sedar tak sedar perjalanan dari Muar kembali ke Lembah Klang untuk ke rumah sendiri di Rawang ini menyaksikan kami beraya di sembilan buah rumah. Sejak perjalanan dimulakan apabila kembali ke kampung isteri di Tanjung Sepat Jumaat malam Sabtu malah Ahad 29 April merangkap malam 29 Ramadhan (lihat Beraya di kampung tahun 2022 setelah 2 tahun raya tak dapat balik kampung) sehingga kembali ia memakan jarak keseluruhan 780 km. Cukuplah perkongsian dengan sekali lagi diucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan