Isnin, Mac 07, 2022

Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002

Salam semua. Adapun 7 artikel terakhir dipersembahkan di blogspot ini, dalam tempoh 3 hari kebelakangan, merupakan suntingan daripada 7 artikel berkenaan yang disiarkan lebih 15 tahun. Sudah diberitahu bahawa artikel-artikel lama itu mengandungi isi tulisan daripada satu projek buku yang dimulakan awal tahun 2002. Di sini biar dikumpulkan pautan bagi kesemua 7 artikel baru. Biar juga diluahkan sedikit hal berkenaan.


Beginilah rupa komputer riba pertama saya, komputer yang digunakan untuk projek buku Melayu pertama. Sekarang ia telah dianggap vintage, satu barangan lama klasik...


Merujuk pada hal artikel lama yang disunting untuk siaran baru. Mula sekali disunting adalah bab mukadimah yang dipecah 3 untuk siaran di blogspot. Ia dibuat atas tajuk "Susah payah satu perjuangan". Ini diikuti bab seterusnya, juga dipecah 3. Atas nama "Agenda Yahudi dan media". 

Penulisan selepas itu, untuk bab baru, dimulakan dengan tajuk "Queens dan sumbang mahram". Tetapi suntingannya diberi tajuk  baru "Tentang mencari kebenaran dan sumbang mahram". Bab ini sebenarnya tak siap. Nasib baik apa yang dikongsikan sudah cukup untuk membentuk suatu penceritaan bermakna.

Sebetulnya saya sudah lupa akan projek buku lama itu, projek buku pertama dalam bahasa Melayu. Ketika menulis artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki Jumaat lalu baru teringat. Ini kerana terjumpa artikel-artikel lama ketika  hendak menyemak kembali bilakah membeli dan memiliki komputer riba pertama sendiri. Penulisan lama 20 tahun lalu dapat mengesahkan bahawa komputer mula dimiliki pada awal 2002 kerana ada disebut dalam cerita. 

Memang ia dibeli kerana hendak menulis buku. Dalam penulisan lama ada disebut apa yang berlaku pada hari-hari terakhir saya di akhbar The New Straits Times sebelum dipaksa meninggalkannya selepas 5 lalu menjadi wartawan di situ. Selepas komputer riba milik syarikat dipulangkan saya membuat tempahan bagi komputer riba sendiri melalui skim KWSP.  Tetapi harus menunggu sekitar sebulan gitu sebelum dapat komputer sedangkan hati meronta-ronta untuk menulis buku. 

Oh. Saya mahu menulis tentang bagaimana Yahudi Zionis dan Illuminati memanipulasi banyak pihak dalam pelbagai bidang untuk menguasai dunia. Hal ini melibatkan konsep Dajjal dan Imam Mahdi. Itu sendiri bukanlah perkara baru untuk ditulis kerana ramai juga pihak sedar dan tahu akannya. Tetapi saya menulis daripada sudut segar (ketika itu) kerana peristiwa September 11 tahun 2001 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre di New York runtuh selepas dilanggar kapal terbang baru sahaja berlaku. Ramai masih teraba-raba untuk menterjemahkan apakah sebenarnya terjadi.

Ia merupakan projek buku pertama saya dalam bahasa Melayu kerana sebelum ini iaitu pada tahun 1996 saya pernah memulakan satu projek buku dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia jadi terhenti selepas beberapa bulan disebabkan semua yang ditulis tiba-tiba hilang begitu sahaja dalam sistem komputer syarikat. Projek buku Melayu awal tahun 2002 juga menghadapi cabaran sebelum ia juga terhenti. Apabila tersedar hal ini ketika menyunting terbit pertanyaan kenapa boleh terhenti begitu sahaja? Dengan ayat yang tak lengkap pula itu. 

Kemudian baru teringat pada tahun itulah boleh dikatakan saya menghadapi cabaran jiwa yang paling teruk seumur hidup. Dalam keadaan teraba-raba sedang mencari makna kehidupan juga menjejaki salasilah keluarga saya kehilangan 3 orang tersayang hampir berturut-turut dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Ini ada disebut dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit Jun 2006 hingga November 2007, buku-buku terawal saya, dalam bahasa Melayu yang betul-betul menjadi. Ringkasan cabaran yang dimaksudkan ada dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor" iaitu daripada buku pertama siri dengan tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti".  Lihat sedutan berkenaan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek.

Bila melihat kembali hal penulisan buku tahun 2002 dengan cabaran yang berlaku tahun itu timbul rasa seperti ada kaitan dengan nombor 22 seperti dinyatakan dalam Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 yang disiarkan 13 hari lalu. Rasanya cukuplah luahan berkenaan projek buku lama yang terkandas itu. Berikut adalah penulisan yang telah disunting untuk tatapan semua.


1. Susah payah satu perjuangan - Bahagian 1

2. Susah payah satu perjuangan - Bahagian 2

3. Susah payah satu perjuangan - Bahagian 3

4. Agenda Yahudi dan media - Bahagian 1

5. Agenda Yahudi dan media - Bahagian 2 

6. Agenda Yahudi dan media - Bahagian 3

7. Tentang mencari kebenaran dan sumbang mahram



Tiada ulasan:

Catat Ulasan