Jumaat, Mac 04, 2022

Susah payah satu perjuangan - Bahagian 2

Meneruskan proses berkenaan. Menyambung penceritaan dalam artikel Susah payah satu perjuangan - Bahagian 1 dengan suntingan bagi artikel lama Susahnya nak berjuang! Sambungan ke 2 artikel permulaan 2002.


Gambar hiasan : Daripada artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Berapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times...



Dipendekkan cerita, semakin lama didapati usaha untuk mengetengahkan peradaban tinggi melalui penulisan sukan semaking terhalang. Semakin lama semakin banyak artikel dipotong hingga tinggal tulang. Alasan yang diberikan bos adalah ruang dalam dada akhbar tidak mencukupi untuk memuatkan tulisan. Sedangkan ada penulis lain yang dibenarkan menulis berjela-jela walaupun isi tak seberapa.

Apa yang nampak terdapat usaha untuk mengurangkan pengaruh kerana tulisan saya telah mendapat tempat di hati pembaca. Ini kerana ramai juga daripada mereka terdiri daripada orang berpengaruh dalam persada politik dan perniagaan tanah air. Yang pasti memang ada yang tidak menyenangi tulisan juga keakraban saya dengan orang-orang ternama. Malah seorang wartawan lama yang dianggap kawan rapat pernah menuduh saya cuma ingin bergaul dengan orang "besar-besar" sahaja kerana kepentingan peribadi atau mencari imbuhan . 

Hati ini benar-benar terguris. Nampaknya niat untuk mengetengahkan suatu wawasan yang murni tidak bermakna langsung bagi orang seperti itu. Kalau manusia yang dianggap kawan pun boleh merasa begini apatah lagi orang yang memang dah terang-terangan nampak iri hati dan tercabar dengan cara bekerja dan tahap penulisan saya. Masyaallah. Berhari-berhari saya menangis meminta hidayah dan kekuatan daripada Allah. Baru faham bagaimana orang yang ingin memperjuangkan kebenaran boleh dituduh bermacam oleh orang yang tak faham atau buat-buat tak faham. 

Sampai satu peringkat saya terasa betul-betul patah hati dengan keadaan. Saya masih boleh tahan difitnah dan dituduh macam-macam. Tetapi apabila artikel asyik dipotong atau tidak diterima apa lagi patut dibuat kerana itulah wadah perjuangan? Walaupun begitu saya masih lagi cuba bertahan. Sampailah peristiwa September 11 di New York. Saya merasakan ia sebagai petanda besar bermulanya zaman fitnah seperti pernah dibaca dalam sesetengah kitab. 

Sebagai seorang yang mempunyai kecenderungan terhadap bidang Tasauf dan percaya pada gerak hati, saya merasakan bahawa perjuangan yang jujur buat masa ini akan lebih mendatangkan kesedihan ataupun heart break. Bayangkan setiap hari selama lima tahun sebagai wartawan asyik berfikir berat tentang cara bagaimana hendak membawa wawasan dan impian melalui penulisan sambil menghadap pelbagai halangan serta ruangan akhbar yang disempitkan. Memang penat. Tetapi disebabkan masih diperlukan untuk meliputi acara-acara tertentu dalan Sukan SEA di Kuala Lumpur 8-17 September 2001 saya ketepikan dahulu perasaan. 

Selesai sahaja Sukan SEA saya mula terasa berat untuk bekerja. Sudahlah selalu terpaksa meninggalkan rumah untuk memenuhi tuntutan pekerjaan dan wawasan yang tak kira masa, usaha tidak dipedulikan di tempat kerja sendiri. Mungkin lebih elok kalau ikut sahaja rentak orang lain, play safe, gaji tetap jalan. Dan gaji memang agak lumayan.  Tetapi saya lebih rela mati daripada bekerja semata-mata untuk cari makan. 

Sebab itu sampai satu masa saya tidak pergi kerja selama beberapa hari dan tidak mahu menjawab bila diberikan surat tunjuk sebab. Saya betul-betul terasa hilang semangat dan disia-siakan.. Kalau orang yang terlibat benar-benar jujur mahu memahami masalah mereka boleh bersemuka dan bertanyakan cerita sebenar. Malah saya telah mengemukakan alasan dalam satu surat yang diutarakan kepada beberapa pihak untuk memohon agar ditukarkan ke bahagian lain. Sebaliknya saya dipecat 24 jam atas arahan pihak yang paling atas! 

Kalau ikut aturan saya sepatutnya dikenakan tindakan disiplin terlebih dahulu sebelum tindakan lain menyusul.  Tapi mereka yang terlibat nampaknya tidak peduli langsung akan sumbangan saya selama beberapa tahun. Apapun bukan susah sangat nak cari kerja lain. Cuma terasa serik bekerja di bawah orang. 

Saya sedar  ramai mementingkan perut dan ego daripada memperjuangkan kebenaran. Dan mereka ini senang merasa tercabar bila ada yang menunjukkan kelebihan. Rasanya lebih elok bekerja secara freelance

Sebab itu tergerak nak jumpa Pak Habib. Walaupun ada menganggap beliau tidak lebih daripada penulis upahan dan orang yang menggunakan pena untuk kepentingan diri hati kecil saya berkata akan bertemu kesesuaian dengan beliau. Yalah, saya pun pernah dituduh cuba berbaik dengan orang besar untuk mencapai kesenangan walaupun beria-ia menghad pergaulan atau "keep a distance". Walhal saya tidak mahu melanggar prinsip tidak mahu terlibat dengan budaya "I scratch your back you scratch my back". 

Apa-apa pun mesti berjumpa dengan orangnya dahulu. Lihat dengan mata kepala sendiri, dengar apa yang dikatakan sebelum membuat apa- apa penilaian. Alhamdulillah, Pak Habib yang selalu sibuk dapat dihubungi hari itu juga. Anak saudaranya yang bergiat dalam dunia lakonan telah membawa beberapa kawan seangkatan menemani untuk bertemu di kediamannya di Janda Baik. 

Dia pula sanggup bergegas dari Kuala Lumpur untuk menemui kami. Di situ dapat dilihat Pak Habib ni agak simple orangnya dan sanggup menolong orang. Gerak hati saya menyatakan memang kami boleh "click". Seperti saya beliau cenderung terhadap pengajian Tasauf. Dan beliau juga tidak suka menonjolkan kepercayaan kuat pada agama melalui pakaian dan sifat luaran. 

Ah, memang kami boleh geng. Cuma disebabkan kawan-kawan yang ada ketika itu kurang cenderung dalam hal ini saya terpaksa mengekang keinginan untuk berbual mengenai ilmu Hakikat sehingga mereka balik meninggalkan kami bersendirian. Yang pasti Pak Habib bukanlah seperti digambarkan sesetengah orang. Saya bukan mengharapkan pertolongan sangat. Cuma seseorang yang boleh diajak berbual perkara-perkara yang jarang dapat dibincang dengan orang lain secara jujur. 

Beliau tidak menghadapi masalah untuk memahami tekanan yang dihadapi di New Straits Times. Malah beliau menggalakkan agar terus berpegang pada prinsip dan wawasan. Apa orang lain nak kata, katalah. Yang penting Tuhan tahu niat kita. 

Pak Habib juga memberikan semangat untuk saya menjadi penulis bebas tanpa gaji tetap. 

"Engkau kena hidup macam harimau. Jalan sana sini tak payah bawak bekal hidup makan daging jugak," katanya. "Jangan jadi lembu dalam kandang nak orang bagi makan memanjang. Last-last orang makan. Tengok macam aku dah tulis macam-macam buku boleh hidup jugak. Rezeki di tangan Allah. Jangan nak hidup makan gaji je." 

Pada Pak Habiblah diceritakan rancangan menulis sebuah buku mengenai komplot golongan Zionis untuk menakluki dunia. Walaupun perkara ini sebenarnya sudah lama diperkatakan orang seperti cerita-cerita tentang golongan Freemason yang pernah kecoh suatu masa dahulu rasanya baru sekarang menjadi begitu nyata susulan peristiwa September 11. Tetapi pada semasa itu saya tidak memberitahu Pak Habib kenapa merasa begitu terpanggil untuk menulis buku. Ini disebabkan ia ada kena mengena dengan sebuah mimpi yang dialami lebih kurang sebulan sebelum World Trade Centre di New York itu roboh. 

Tak perlulah diceritakan tentang mimpi kerana isinya sangat berat, ada kena-mengena dengan salasilah keturunan. Cukuplah kalau dikatakan ia juga ada kena mengena dengan apa yang berlaku di persada dunia kebelakangan ini menyebabkan saya tidak dapat nyenyak tidur selama beberapa bulan kerana asyik mengkaji cerita-cerita berkenaan rancangan Zionis daripada pelbagai sumber. 

Sekembali ke Kuala Lumpur  saya terus mengatur langkah untuk memulakan penulisan. Kebanyakan isi sudah dikumpulkan tetapi tiada alat untuk menulis. Saya memerlukan sebuah komputer laptop sendiri kerana komputer kegunaan terdahulu telah dipulangkan kepada syarikat. Nasib baik ada skim membeli komputer KWSP. Semasa menguruskan pembelian komputer terserempak pula dengan Pak Habib di Plaza Pekeliling. 

Dia tanya bila hendak memulakan buku. Saya jawab sebaik saja dapat laptop, dalam masa sebulan gitu.  Tetapi balik sahaja ke rumah jiwa meronta-ronta hendak memulakan penulisan. Hampir setiap malam terfikirkan isi dan gaya cerita yang ingin diketengahkan. 

Sampai satu malam tidak dapat tidur langsung kerana terlalu gelisah. Akhirnya bergegas ke rumah ibu saudara di Damansara Heights tidak jauh dari rumah sendiri di Segambut kerana hendak menggunakan komputer. Walaupun datang awal Subuh ibu saudara tak berapa kisah kerana sudah faham perangai. Saya kata dah tak tahan hendak menulis dan terus memulakan mukadimah dengan semangat berkobar-kobar. Sampai tak ingat makan dan minum....

Sedar-sedar sudah masuk waktu Asar. Saya telah menulis satu bab penuh selain mukadimah. Sayangnya bila dibaca dan diteliti kembali aturan isi dan gaya bahasa tidak seperti yang diinginkan. 

Semasa itulah sedar bukan senang hendak menulis buku. Mood mesti betul. Semangat yang berkobar-kobar dengan segala bahan yang ada sebenarnya belum mencukupi . Keluarga pula asyik bertanya bila nak cari kerja tetap kerana kurang yakin dengan keputusan untuk menjadi penulis bebas. 

Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan tumpuan. Ini menyebabkan tidak dapat menyampaikan isi dengan baik. Sebenarnya bukan saya tidak ingin bekerja langsung. Cuma perlu berfikir panjang kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Semangat untuk mewujudkan peradaban tinggi di Malaysia tetap berkobar-kobar. Tetapi saya sedar kebanyakan orang tidak dapat memahami hal. Mereka lebih mementingkan periuk nasi daripada prinsip yang benar. 

Kalau ikutkan tak susah nak dapat kerja pun. Saya ada kelulusan tinggi di samping pengalaman yang berguna. Saya juga mempunyai banyak kenalan berpangkat tinggi. Tetapi apa bezanya dengan orang yang menyalah-gunakan kedudukan atau bersifat kroni jika saya menggunakan kelebihan ini sewenang-wenangnya? Prinsip amat penting buat diri ini. 

Walau apapun saya pernah mencuba mencari peluang pekerjaan lagi di New Straits Times selepas lebih empat bulan meninggalkannya. Saya ke sana untuk mencari ruang menulis dari luar kerana masih sayangkan akhbar. Maklumlah membesar dan belajar bahasa Inggeris dengan membaca NST sejak kecil di Muar. Ada sentimental attachment. Janggal dan berat rasanya hendak menulis di tempat lain walau pernah ditawarkan untuk berbuat begitu. 

Oleh kerana ramai mengenali di NST tak susah untuk mendapatkan persetujuan bagi menulis sebagai contributor buat ruangan tertentu. Tetapi sebaik sahaja keluar kawasan pejabat saya ditahan oleh pengawal keselamatan. Katanya saya tidak boleh berada di situ. Saya telah diharamkan daripada memasuki lingkungan pagar NST atas arahan orang paling atas. 

Orang luar pun boleh masuk hingga ke ruang menunggu tetapi saya yang pernah berkhidmat selama lima tahun dan mengenali hampir seluruh pelusuk warga kerja boleh diharamkan daripada memasuki kawasan pagar. Sampai begitu sekali! Kalau begini tiada peluanglah untuk menulis di NST lagi. Kalau cuba pun tahu artikel saya takkan keluar kerana dihalang bos paling besar. Tak kiralah artikel tu bagus bagaimana sekalipun. Silap-silap diplagiatnya pula...

Saya pun bertekad untuk memberikan sepenuh penumpuan pada penulisan buku. Mungkin satu hari akan tergerak untuk menulis di akhbar lain atau majalah? Kawan-kawan dalam bidang seni pula ada bertanya jika ingin menulis skrip drama atau lirik lagu. 

Tidak lama kemudian laptop saya pun sampai Ia dikirim oleh Pos Malaysia ke rumah. Akhirnya boleh memulakan penulisan setelah lebih sebulan bermain-main dengan berbagai gaya bahasa dan jalan cerita dalam fikiran tanpa mencoret secara hitam putih. Selepas menginstall apa yang patut, saya pun membuka perisian WordPad lalu memulakan cerita...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan