Rabu, Mac 30, 2022

Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Melengkapkan panggilan Ulu Muar dengan Az-Zukhruf

Salam hari Rabu malam Khamis 28 Sya'aban. Biar diselesaikan cerita daripada hujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'.



Awal pagi Ahad 27 Mac 2022. Suasana selepas solat Subuh di sebuah masjid di Kuala Pilah...




Ini pula pondok di halaman luar masjid. Siapa sangka ada orang bagi nasi dagang untuk bersarapan. Padahal lokasinya adalah di Negeri Sembilan.




Inilah masjid tempat saya dan keluarga serta kawan bermalam. Menariknya, masjid berusia 113 tahun ini ada sejarah berkenaan hantu. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ranjau Hantu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Kedudukannya pula diapit oleh Sungai Muar di belah barat, utara dan timur. Ada sesuatu yang tersurat dan tersirat tentang ini apa lagi sungai tersebut memiliki tempat yang istimewa dalam hati. Lihat artikel Muar river around the mosque of Ranjau Hantu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Sungai Muar begitu istimewa kerana saya membesar dekat kualanya yang begitu besar di Bandar Maharani, Muar pada tahun 70an dan 80an. Di sini, di daerah Kuala Pilah, dalam Negeri Sembilan terletak hulu sungai. Kawasan masjid dahulu katanya terdapat banyak hantu suka menganggu sebelum berjaya dihalau oleh orang yang tahu. Kami keluar meninggalkannya sekitar jam 11.25 untuk menuju ke bahagian lebih jauh ke hulu.




Ini pula pemandangan dari rumah seorang makcik yang dikenali di masjid. Kami singgah setelah mencari sebuah makam lama berdekatan rumah beliau. Lihat artikel Tanah perkuburan Islam (Muslim cemetery of) Kampung Parit Mainau diikuti Makam lama di (Old tomb at) Kampung Parit Mainau.



Adapun rumah itu terletak di tepian jalan dalam menuju ke bahagian paling hulu Sungai Muar.




Kami mahu pergi ke tempat paling nyata dapat dilihat sebagai hulu...




Saya sebut paling nyata kerana susah hendak mencari punca sebenar sungai.




Ini disebabkan bahagian berkenaan telah lama ditenggelami air apabila sungai diempang lalu menjadi tasik besar. Lihat Muar river dam in Kuala Pilah.





Oh. Sebelum menulis artikel ini fikir saya kali terakhir sampai adalah pada bulan Julai tahun 2009. Ketika itu isteri dekat 7  bulan mengandungkan anak pertama kami bersama (kami masing-masing sudah ada anak daripada perkahwinan terdahulu), Muhammad Al-Aminul Rasyid. Lihat artikel Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - mencari hulu Sungai Muar dan makna di sebaliknya... nombor 131 lagi! diikuti Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - Kisah Malim Deman dan keistimewaan hulu Sungai Muar...

Bila disemak betul-betul artikel-artikel lama rupa-rupanya kami ada sampai lagi pada bulan September tahun 2011. Ketika itu anak yang dahulu dalam kandungan sudah berumur hampir 2 tahun. Sebaliknya adiknya Muhammad Alauddin Johan (dalam gambar) pula sedang 4 bulan dalam kandungan. Lihat artikel Solat Jumaat di Seri Menanti dan Sungai Muar di bahagian hulu.





Sebelum sampai bersama keluarga saya pernah sampai bersendirian sekurang-kurangnya sekali, tak ingat tahun bila. Ertinya ini adalah sekurang-kurangnya kali ke-4 saya sampai ke hulu Sungai Muar ini. 
Namun buat pertama kali, seingat saya, ada menjejakkan kami ke dalam air.




Selepas itu kami lepak bermandi manda lebih sejam rasanya di bahagian sungai bawah dari empangan. Lihat artikel Taking a dip down the Muar river dam. Seingat saya ini adalah kali pertama merasa mandi di mana-mana bahagian hulu Sungai Muar!




Kami berada di persekitaran empangan dari jam 12.45 hingga hampir jam 3.30 petang. Selepas itu baru bergerak ke destinasi seterusnya iaitu bandar diraja Seri Menanti.






Di situ kami berehat sebentar di sebuah rumah tradisional dalam kawasan istana lama Seri Menanti yang telah dijadikan muzium. Lihat artikel Rumah tradisional (Traditional house of) Tukang Kahar.




Di bahagian belakang bangunan istana yang telah dijadikan kedai makan pula kami makan tengah hari lewat. Selepas itu baru masuk ke dalam istana yang sudah lebih 5 tahun, mungkin lebih 10 tahun tidak dikunjungi. Istana pun sebenarnya pernah beberapa tahun ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih. Pada tahun 2019 baru dibuka kembali. Lihat Lawatan baru ke istana Seri Menanti (New visit to Seri Menanti palace).




Dari Seri Menanti kami bergerak ke arah Seremban. Sebelum sampai ke simpang jalan Seremban-Kuala Pilah singgah dahulu di masjid lama ini.






Masuk jalan Seremban-Kuala Pilah aliran trafik kelihatan begitu perlahan. Saya pun mengambil jalan kampung yang lebih jauh tetapi tiada gangguan aliran. Dah alang-alang begitu masuk hingga ke pintu satu lagi empangan yang ada kena mengena dengan Sungai Muar tetapi rasanya terbentuk daripada satu cabang, bukan aliran utama sungai.



Kami keluar kembali ke jalan utama ke arah Seremban melalui satu bahagian yang tidak lagi sesak.



Sampai ke satu bahagian lebuh raya yang memintas dari Bukit Putus didapati meter kereta menunjukkan nombor 313.







Perjalanan diteruskan dengan masuk ke Ampangan dan bahagian utara bandar raya Seremban sebelum mengambil satu lebuh raya baru dengan pemandangan yang katanya seperti di tempat peranginan di New Zealand. Lihat A stretch of road dubbed as the New Zealand of Malaysia.




Dari situ terus ke Lenggeng lalu singgah di masjid ini. Lihat Lawatan baru ke masjid (New visit to the mosque of) Kampung Mendum.




Seterusnya kami mengambil simpang menuju ke arah Eco Majestic di mana kawan telah meninggalkan kereta sebelum bersama ke Pengkalan Kempas. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'. Dari situ baru kami berpisah lalu meneruskan perjalanan masing-masing. Oh dalam perjalanan ke Eco Majestic itu kelihatan matahari senja begitu cantik berwarna keemasan.



Kami sampai ke rumah sekitar jam 9 malam. Didapati perjalanan ini memakan jarak keseluruhan 450 km walau sekadar meliputi sebahagian negeri Selangor dan sebahagian Negeri Sembilan. Sekarang biar diulas tentang tajuk artikel. Pertama tentang tajuk kecil "Melengkapkan panggilan Ulu Muar".

Dalam artikel sebelum ini iaitu Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' ada disebut kami mahu membuat perjalanan ke beberapa tempat di antara Seremban dan Kuala Pilah kerana hendak menyelesaikan beberapa lawatan yang tak sempat dibuat ketika kembali dari Muar dan Melaka 6 Mac. Lihat Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022. Segmen perjalanan hari Ahad 27 Mac menyaksikan apa yang tertunggak telah dapat diselesaikan. Itulah sebab diberikan tajuk kecil berkenaan.

Sekarang tentang tajuk utama cerita iaitu "Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan". Dalam artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' telah disebut bagaimana perjalanan bermula dengan mesyuarat dinar dirham di Cyberjaya (Jumaat malam Sabtu 25 Mac). Di situ dibuat keputusan bahawa penggunaan emas menurut cara-cara tertentu adalah yang terbaik bagi memperkasakan ekonomi umat Islam. Lewat malam itu ternampak pula papan tanda ke makam lama dengan nama "Senduk Emas" (pada hari Sabtu malam Ahad 26 Mac). 

Sekarang biarlah diberitahu orang bernama Senduk Emas ini, seorang wanita, pernah menjadi Penghulu pertama Luak Ulu Muar. Luak ini meliputi Kuala Pilah juga Seri Menanti. Tetapi ia kemudian telah diturun taraf menjadi sebuah daerah bawahan. Anak lelaki Senduk Emas iaitu Penghulu Na'am kemudian menjadi Penghulu Ulu Muar yang seterusnya. Penghulu Na'am inilah yang kemudian berhadapan dengan Raja Melewar, anak raja Minang yang dijadikan Yamtuan Negeri Sembilan yang pertama sekitar 250 tahun lalu.

Adapun ketika bermalam di masjid seperti disebut pada awal artikel ini proses pengkhataman Al Quran saya bagi bulan Sya'aban sudah masuk awal juzuk ke-25. Ini berlaku selepas menamatkan Surah Fusilat di makam Sheikh Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas pada waktu Maghrib malam sebelumnya. Pagi itu di masjid saya pun menyambung hingga selesai surah seterusnya iaitu As-Syuara. Dengan itu surah kemudian perlu dibaca adalah Az-Zukhruf. Kebetulan ini dapat dilakukan setelah sampai ke tasik empangan di hulu Sungai Muar. Az-Zukhruf itu sendiri bermaksud emas murni. Semoga ini menandakan sesuatu yang baik buat ummah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan