Selasa, Mac 29, 2022

Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'

Salam malam 26 Sya'aban. Pada ketika ini cuma tinggal 4 hari sahaja lagi sebelum umat Islam diwajibkan berpuasa bagi bulan Ramadhan. Kami sekeluarga pula telah membuat satu lagi perjalanan bermakna hujung minggu lalu. Kali ini bersama seorang kawan isteri berpangkat adik yang turut berminat dengan pencarian sejarah dan hal-hal kerohanian.




Perjalanan bermula sebelum Maghrib petang Jumaat 25 Mac 2022 apabila saya dan keluarga meninggalkan rumah untuk ke Cyberjaya lebih 70 km ke selatan bagi menghadiri satu mesyuarat tentang memperkasakan ekonomi umat Islam melalui penggunaan dinar dan dirham. Mesyuarat baru ditetapkan pada tengah hari Khamis kerana mengambil kesempatan atas seorang rakan HIKMAH (lihat Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH))  yang pakar bidang turun dari Pulau Pinang untuk satu urusan di Lembah Klang. 




Kalau tidak kerana mesyuarat di Cyberjaya tentu kami sekeluarga akan terus ke rumah adik kepada isteri di Semenyih di mana kami mahu bermalam. Disebabkan mesyuarat perjalanan kami jadi bertambah hampir 30 km. Namun kami pergi dah tetap bersama sehingga ia selesai sekitar jam 11.30 malam. Sampai ke rumah adik ipar selepas tengah malam. Esoknya pagi Sabtu selepas jam 9 bertolak pula ke Eco Majestic untuk satu lagi mesyuarat tetapi bersama pihak lain pula.




Yang ini lokasinya cuma 7 km dari rumah adik ipar. Mesyuarat bermula jam 10 pagi dan ramai yang hadir adalah golongan wanita. Kali ini melibatkan banyak isu nasional tentang Melayu dan Islam yang mahu ditangani secara perundangan. Untuk pengetahuan mesyuarat dianjurkan satu NGO wanita yang terdiri daripada ramai peguam.

Mesyuarat ini memang telah dirancang mahu dihadiri sejak isteri mendapat undangan hampir 2 minggu sebelum itu. Oleh kerana lokasinya berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan kami merancang mahu membuat perjalanan ke beberapa tempat di antara Seremban dan Kuala Pilah.




Kami mahu ke sana kerana hendak menyelesaikan beberapa lawatan yang tak sempat dibuat ketika kembali dari Muar dan Melaka 6 Mac. Lihat Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022. Hujung minggu selepas itu ke Jenjarom untuk majlis perkahwinan anak saudara isteri (tidak diceritakan di blogspot ini), hujung minggu seterusnya ke satu majlis tentang jati diri Melayu di Cyberjaya. Lihat Bertemu kawan lama dan para aktivis di Malakat Mall). Mesyuarat berlanjutan sehingga selepas jam 3.30 kerana banyak isu dibincangkan termasuk ancaman terhadap keselamatan negara berdasarkan maklumat risikan. Selepas itu baru kami bergerak.




Kawan isteri yang dianggap seperti adik merupakan salah seorang peguam muda yang paling lantang bercakap tentang isu-isu Melayu dan Islam. Beliau bertanggungjawab mengatur mesyuarat dengan seorang ahli strategi yang telah melakukan banyak kerja risikan. Adik yang datang dari arah Bangi ini meninggalkan kereta di Eco Majestic lalu naik satu kereta dengan kami. Bergeraklah bersama ke Negeri Sembilan. 




Cuma beliau mendapat gerak agar kami pergi ke Pengkalan Kempas. Sedangkan perjalanannya mencapah jauh daripada laluan awal yang dirancang iaitu menuju ke arah Kuala Pilah. Namun ketika sampai ke satu persimpangan hujan mula turun. Sedangkan tempat pertama mahu disinggahi cuma akan memberikan pemandangan terbaik ketika matahari cukup terang. Saya pun mengubah haluan ke arah Pengkalan Kempas. Lalu dahulu di tengah bandar raya Seremban...




Sebetulnya adik ini ada bersama dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Pilah pada 6 Mac. Cuma dahulu kami bergerak dengan lain-lain kereta. Lihat artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Dari majlis di Melaka ke tempat-tempat bersejarah hingga ke Negeri Sembilan. Maka beliau memang mahu bersama untuk menyelesaikan apa yang tak sempat daripada perjalanan terdahulu itu, terutama di sekitar Kuala Pilah. Tetapi entah kenapa beliau merasa kuat mendapat panggilan dari Pengkalan Kempas. Oleh kerana lokasi berkenaan terletak tidak jauh dari pekan Linggi dan beberapa tempat bersejarah kami pun singgah dahulu ke sana. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :- 








Rupa-rupanya adik tersebut tidak pernah sampai ke tempat-tempat yang disenaraikan. Dia tak tahu cerita pun walaupun berasal di Negeri Sembilan dan ibunya menetap di Port Dickson tidak berapa jauh dari situ. Yang dia tahu adalah Pengkalan Kempas, tidak jauh dari pekan Linggi kerana sudah beberapa kali pergi.




Oh. Gambar ini diambil di tepian Sungai Linggi di Pengkalan Kempas. Saya letakkan di Facebook dengan kata-kata berikut : "Haiya. Li sini la wa tulun lima latut tahun lulu la...".  Kami pergi selepas makan petang di pekan Linggi. Apapun pemandangan di sini memang menarik. Lihat artikel New visit to Pengkalan Kempas water front di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas itu baru ke tempat utama yang dicadangkan oleh adik. Di sini kami duduk mengambil 'rasa' sehingga selepas jam 8 malam. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Ahmad Majnun.




Dari Pengkalan Kempas kami bergerak ke Rembau lalu menyeberang Banjaran Titiwangsa  menuju ke Inas.  Tujuannya adalah untuk ke Kuala Pilah bagi menunaikan rancangan asal. Ternampak papan tanda ke satu makam yang seingat saya kami tak pernah singgah, pada jam 9.40 malam. Nampaknya kena dengan tema 'keemasan' bagi perjalanan. Kami pun berhenti untuk berziarah.

Kenapa disebut 'keemasan'? Kerana perjalanan sebenarnya bermula dengan mesyuarat dinar dirham di Cyberjaya yang mana dibuat keputusan penggunaan emas menurut cara-cara tertentu adalah yang terbaik bagi memperkasakan ekonomi umat Islam. Ternampak pula papan tanda dengan nama "Senduk Emas" seperti membenarkan. Kemudian berlaku lagi satu hal melibatkan emas tetapi itu adalah pada hari esoknya dekat-dekat Kuala Pilah.




Ketika menghampiri bandar Kuala Pilah terlihat pula sebuah kuil Cina tersergam begitu megah dan indah. Kami pun singgah untuk melihat hingga ke dalam. Lihat A grand Chinese temple near Kuala Pilah.




Selepas jam 10.30 sampailah ke masjid yang kelihatan. Di sinilah tempat kami berehat dan bermalam. Masjid lama berusia sekitar 113 tahun ini ada sejarah melibat hantu. Nanti dalam artikel sambungan diceritakan ya. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,244 di CATATAN SI MERAH SILU. Selamat malam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan