Selasa, Mei 11, 2021

Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mengira jarak ke tempat-tempat membawa ke jarak keseluruhan perjalanan

Subhanallah. Lewat malam ini saya mendapat gerak untuk menamatkan siri penceritaan tanpa perlu menunggu pagi karang. Bersambung penceritaan daripada artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Bermesra dengan Orang Asli.



Merujuk pada artikel  Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mempromosikan Perak ke mata dunia yang ditulis sebelum berbuka puasa siang Isnin 28 Ramadhan iaitu semalam. Saya dapat menemui kedudukan Pos Poi menggunakan Google Map tetapi tidak kedudukan perkampungan Orang Asli yang disinggahi seterusnya iaitu Sungai Dala. Nasib baik dapat jumpa melalui program lain iaitu Mapcarta. Biar dikongsikan paparan berkenaan. Peliknya program ini tidak dapat menunjukkan kedudukan Pos Poi seperti terdapat dalam Google Map. Namun ada ditanda banyak penempatan lain dalam hutan. Lihat paparan bawah...



Tak mengapa. Apa yang ditunjukkan oleh Mapcarta boleh digunakan untuk mengenal pasti kedudukan Sungai Dala dalam Google Map. Cuma kena usaha semak dan tanda sendiri. Biar digunakan kedudukan Sekolah Rendah Sungai Dala seperti ditunjukkan dalam Mapcarta untuk mewakili keseluruhan perkampungan Sungai Dala...



Nah. Bukan tiada dalam Google Map sebenarnya. Cuma ditanda atas nama lain iaitu Kenering. Seterusnya didapati jaraknya ke pekan (kemudian jadi bandar) Gerik adalah 34 km. Maka anggaran saya seperti dinyatakan dalam rencana tentang Orang Asli di akhbar The New Straits Times 25 tahun lalu (rujuk Kenangan 4x4 tahun 1997 - Bermesra dengan Orang Asli yang dipersembahkan jam 9.39 malam tadi) adalah tersilap. Saya telah menyebut Kampung Sungai Dala sebagai terletak sekitar 60 km dari Gerik.

Saya juga ternyata tersilap menyebut tasik dan empangan berdekatan sebagai Tasik Kendering. Yang sebenarnya adalah Tasik Kenering yang terbentuk akibat Sungai Perak diempang. Selain daripada kesilapan-kesilapan ini harus tiada masalah. Cuma terasa harus menyemak pula kedudukan Pos Poi yang ditulis dalam rencana sebagai 50 km dari bandar terdekat iaitu Sungai Siput.



Seperti ditunjukkan dalam artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mempromosikan Perak ke mata dunia Google Map tidak boleh memberikan anggaran jarak hingga ke Pos Poi disebabkan ia terletak di luar sistem jalan raya dalam rekod. Dan memang pun ia di luar jalan raya. Yang ada cuma jalan balak yang sekarang ini boleh dicapai dengan jalan biasa dari Masjid Bawong.



Google Map boleh mengesan jarak dari Sungai Siput ke Masjid Bawong iaitu hampir 26.8 km kerana ada jalan biasa menyambungkan. Kemudian campurkan anggaran jarak Masjid Bawong ke Pos Poi seperti telah dibuat dalam artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mempromosikan Perak ke mata dunia iaitu  24.5 km. Jadilah 51.3 km. Maka anggaran saya bahawa Pos Poi terletak sekitar 50 km dari Sungai Siput hampir 25 tahun lalu tidak meleset.



Bagaimana pula tentang jarak dari Pos Poi ke Sungai Dala yang ditanda dalam Google Map sebagai Kenering itu? Sesungguhnya ia pun tidak boleh dikesan kerana tiada dalam rekod jalan raya lantaran memang cuma dapat dicapai dengan jalan balak. Untuk itu saya sengaja menandakan tempat-tempat di atas. Terus dapat dilihat dengan mata kasar bahawa jarak Pos Poi ke Sungai Dala adalah lebih jauh berbanding Masjid Bawong ke Pos Poi.



Saya pun membuat anggaran dengan cara ini. Dengan meletakkan gambar pembaris untuk menyambungkan tempat-tempat. Saya tidak memerlukan skala, cukup sekadar nisbah. Jarak antara Masjid Bawong ke Pos Poi boleh diwakili dengan inci ke 14.5 pada pembaris. Pos Poi ke Kenering/Sungai Dalam pula inci ke 20. Dengan ini jarak antara Pos Poi ke Sungai Dala boleh dianggarkan sebagai 20/14.5 x 24.5 km (jarak yang sudah dianggarkan bagi Masjid Bawong ke Pos Poi). Jadilah ia 33.79 km. Bulatkan jadi 34 km. 

Sekarang biar ditangani butiran-butiran berikut seperti telah dikongsikan dalam artikel pertama siri iaitu  Kenangan 4x4 tahun 1997 - Butiran yang harus dilanjutkan cerita. Ini adalah :-


10. Pada hari ketiga (Isnin 22 September) kami mengambil jalan balak yang berliku-liku turun naik bukit lalu diadakan dua special stages di kem-kem balak dalam perjalanan ke Kampung Sungei Dala.  Di kampung itu diadakan satu pertandingan malam (night circuit test).

11. Pada hari keempat (Selasa 23 September) ada special stage petang yang menimbulkan sedikit kontroversi. Katanya ada peserta menyusahkan peserta selepasnya dengan cara sengaja menyebabkan kawasan berlumpur yang perlu dilalui semua orang menjadi semakin dalam.

12. Baki special stages diselesaikan pada hari kelima (Rabu 24 September). Sekitar waktu tengah hari kami meninggal Sungei Dala lalu menyeberang Sungai Perak dengan menaiki feri besi. 

13. Selepas itu kami ke majlis sambutan rasmi di Kuala Kangsar diikuti satu lagi majlis sambutan rasmi di Ipoh.

14. Pertandingan dan perjalanan meliputi jarak 500 km di negeri Perak termasuk 200 km off-road (dalam hutan, jalan tanah merah dan sebagai). Nampaknya ini tidak termasuk jarak perjalanan dari KL sehingga masuk ke sempadan negeri Perak dan keluar.


Di sini tidak perlu dipanjangkan lagi tentang acara. Sebaliknya saya lebih ingin tahu tentang jarak. Dalam artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mempromosikan Perak ke mata dunia telah dibuat kira-kira bahawa jarak sejak dilepaskan di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 20 September sehingga sampai ke Pos Poi lewat hari Ahad 21 Sept adalah 330 km. Sekarang boleh dicampurkan jarak Pos Poi ke Kampung Dala iaitu 34 km lalu jadi jumlah 364 km.

Butiran nombor 12 pun dirujuk. Ia menyebut dari Sungai (dahulu saya eja Sungei) Dala kami menyeberang Sungai Perak dengan menaiki feri besi. Sekarang nampaknya sudah ada jalan elok siap dengan jambatan. Jalan harus dibina di atas laluan balak kerana itulah yang mudah. Kerana sudah diteroka, sudah dibuka, sudah dipotong bukit, sudah dibuang halangan mana yang ada. 

Didapati bahawa jarak ke pekan/bandar Gerik dari tempat menyeberang jambatan cuma 14.9 km. Maka bersesuailah dengan ingatan bahawa saya dan beberapa orang yang naik satu kereta telah ke sana dahulu kerana mahu mencari tempat makan. Selepas itu baru ke Kuala Kangsar diikuti Ipoh seperti dinyatakan dalam butiran nombor 13.


Perjalanan ke Gerik itu tidaklah termasuk dalam rancangan rasmi acara. Ia cuma rancangan persendirian oleh beberapa orang, tak ingat berapa kereta ikut sama. Namun bolehlah dilakarkan laluan dari Sungai Dala dan seterusnya seperti di atas. Saya tamatkan di pejabat The New Straits Times kerana seingat saya kembali ke Lembah Klang dengan menaiki kereta pacuan empat roda milik seorang peserta berbangsa Melayu (majoriti peserta berbangsa Cina) lalu diajak menginap di rumahnya. Esoknya yang harus jatuh pada hari Khamis 25 September terus dihantar kembali ke pejabat. 

Jarak yang ditunjukkan oleh Google Map adalah 373 km. Campur jarak 364 km iaitu sejak dilepaskan dari KL 20 September sehingga sampai ke Sungai Dala jadi jumlah 737 km. Sekarang cuba lihat jika ini boleh dipadankan dengan butiran terakhir dalam senarai iaitu :-


14. Pertandingan dan perjalanan meliputi jarak 500 km di negeri Perak termasuk 200 km off-road (dalam hutan, jalan tanah merah dan sebagai). Nampaknya ini tidak termasuk jarak perjalanan dari KL sehingga masuk ke sempadan negeri Perak dan keluar.


Lakaran ini menunjukkan jarak umum Kuala Lumpur ke Tanjung Malim yang merupakan pintu masuk ke negeri Perak. Jarak pergi balik 79.7 km x 2 = 159.4 km boleh dibulatkan menjadi 159 km. Tolak ia daripada jarak keseluruhan 737 km tadi jadilah 578 km. Ini pula boleh ditolak dengan 10 km (jarak pergi balik dari simpang selepas keluar Kampung Dala mendekati Gerik) ke Gerik kerana tidak termasuk dalam rancangan perjalanan. Jadilah 568 km. Tak lari sangat dengan kenyataan bahawa pertandingan dan perjalanan meliputi jarak 500 km di negeri Perak malah memang harus lebih.

Bagaimana pula tentang kenyataan mengatakan ia termasuk 200 km off-road? Untuk ini harus dikira laluan dari Hospital Bahagia ke Kampung Tonggang kemudian ke Hulu Kinta yang dahulu tidak ada jalan tar. Seterusnya Sungai Siput ke Pos Poi membawa ke Kampung Dala sehinggalah ke simpang Gerik-Kuala Kangsar atau suatu jarak sebelum itu (kerana mungkin sudah ada jalan tar kampung, saya pun tak ingat). Tanpa menunjukkan peta saya dapati jaraknya adalah 13 km + 85 km + 29 km = 127 km. Ini adalah 63.5 % sahaja dari 200 km. Tetapi mungkin terasa jauh sebab pergerakan lebih lambat dalam hutan disertai pelbagai jenis cabaran dan rintangan.

Tentang jarak keseluruhan yang dinyatakan sebagai 737 km itu pula didapati harus lebih daripada itu. Ini kerana lakaran Google Map adalah berdasarkan keadaan jalan sekarang. Sedangkan jalan pada tahun 1997, misalnya dari Gerik ke Kuala Kangsar lebih jauh berliku dan panjang. Selain itu ada saya ada berjalan-jalan dalam setiap kawasan yang disinggahi. Dengan itu tidak salah untuk meletakkan keseluruhan perjalanan memakan jarak lebih 750 km. Cukuplah perkongsian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan