Isnin, Mei 10, 2021

Akan datang - Cerita perjalanan iktikaf terbaru bagi penghujung Ramadhan tahun 2021

Salam tengah hari Isnin 28 Ramadhan. Satu perkongsian terbaru selepas beberapa lama asyik mengeluarkan cerita-cerita perjalanan lama. 


Merujuk pada artikel Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997 - Turun dan kembali ke Kuala Lumpur yang dipersembahkan petang Jumaat lalu jam 2.52. Pada penghujungnya ada disebut begini :-


Sekarang saya harus bersiap untuk satu perjalanan baru. Saya mahu keluar beriktikaf dari masjid ke masjid di bahagian utara negeri Selangor sehingga hari Ahad 27 Ramadhan insyaallah.


Merujuk pula pada artikel Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997 yang merupakan kompilasi bagi cerita-cerita berkenaan lalu dipersembahkan pada hari sama tetapi lebih lewat jam 7.15 petang. Pada awal artikel ada disebut begini :-


Pada ketika ini saya sedang berada di Masjid Sheikh Islam di Ulu Bernam dekat Tanjung Malim. Ia adalah masjid ke-4 disinggahi sejak meninggalkan kawasan perumahan di Sungai Buaya, Rawang. Sementara menunggu waktu berbuka puasa biar dipersembahkan artikel kompilasi ini.

Sukacita dinyatakan perjalanan tersebut telah selamat diselesaikan apabila kembali ke rumah lewat malam tadi. Namun dukacita juga disebut saya fikir dapat menambah sekurang-kurangnya satu lagi malam beriktikaf di luar sana. Tetapi harus melupakannya apabila muncul arahan baru kerajaan petang Sabtu melarang rentas daerah di semua tempat di Malaysia bermula 10 Mei iaitu hari ini Isnin. Ini menyebabkan jam-jam terakhir perjalanan semalam yang meliputi tempat-tempat antara Sabak Bernam membawa ke Kuala Selangor menjadi terkejar-kejar lalu tak cukup rehat. Kalau berehat di mana-mana takut terlajak sehingga tidak sempat masuk ke sempadan daerah Hulu Selangor sedangkan keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung penularan wabak Covid-19 sebelum itu telah pun menghadkan laluan perjalanan. 

Disebabkan beralamat rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang yang termasuk dalam sempadan Hulu Selangor saya boleh pergi ke daerah Bernam dan Kuala Selangor kerana penduduk 3 buah daerah ini sahaja di negeri Selangor yang boleh bergerak merentas antara daerah. Tetapi disebabkan larangan merentas daerah bagi 6 lagi daerah di negeri Selangor turut meliputi Gombak yang sempadan barat lautnya meliputi laluan kebiasaan saya dari Kuala Selangor kembali ke rumah iaitu laluan Ijok ke Tasik Puteri ke Rawang juga laluan Batang Berjuntai ke Batu Arang ke Tasik Puteri maka saya harus mengelak laluan-laluan berkenaan dengan masuk ke Bukit Tagar. Apapun di sini bukan tempatnya untuk memberikan butiran. Itu akan dibuat apabila sampai masa untuk berkongsi cerita-cerita berkenaan. Saya perlu menyelesaikan dahulu segala perkongsian yang perlu tentang cerita-cerita lama. Cukuplah diberitahu bahawa banyak tempat menarik dan bersejarah diliputi selain beriktikaf di masjid-masjid dan surau lalu biar diberikan senarai seperti berikut :-


1. Masjid Ulu Yam Lama (solat Asar petang Jumaat 25 Ramadhan di sini)

2. Masjid  lama Ampang Pecah (bayar zakat fitrah)

3. Masjid Kalumpang

4. Masjid Sheikh Ismail, Ulu Bernam (berbuka puasa di sini dan solat Tarawikh)

5. Masjid lama Sungai Selisek (menginap malam 26 Ramadhan)

6. Masjid Felda Gedangsa

7. Masjid Nurul Hidayah, Jalan Sungai Panjang

8. Surau al-Hidayah, Jalan Tok Khalifah

9. Surau Tok Khalifah, Jalan Tok Khalifah

10. Surau Radiah, Kampung Gandasuli (yang ni rupanya dah masuk dalam negeri Perak. Nantikan penerangan...)

11. Masjid Marzukiyah, Lubuk Pusing (solat Tarawikh di sini, menginap malam 27 Ramadhan)

12. Masjid Marzukiyah, Jalan Sepintas

13. Masjid Al-Abrar, Batu 2, Sepintas

14. Madrasah Muhammadiah, Sabak Bernam (solat Zohor di sini)

15. Masjid Kampung Baru, Sabak Bernam

16. Masjid Kampung Tebuk Mufrad

17. Masjid Parit Baru

18. Masjid Kampung Sekendi

19. Masjid lama Panchang Bedena (Cantik masjid berusia sekitar 120 tahun ini. Solat Asar di sini. Ingat hendak menginap malam 28 Ramadhan tapi apa boleh buat? Dah harus kembali ke daerah sendiri)

20. Masjid Rahmani, Kampung Permatang, Kuala Selangor (berbuka puasa di sini dan solat Maghrib)


Ingat selepas Masjid Rahmani masih larat untuk singgah ke sekurang-kurangnya 2 buah masjid lagi di Kuala Selangor. Ada singgah di Masjid Kampung Kuantan, lalu dihabiskan dahulu bubur lambuk yang diterima di Ayer Tawar, Sabak Bernam. Tapi tak masuk ke dalam masjid, setakat 'beriktikaf' di tempat letak kereta. Ingat nak solat Isyak di sini kemudian kemudian berTarawikh di Batang Berjuntai yang terletak lebih dekat dengan sempadan Hulu Selangor. Tetapi timbul rasa kepenatan amat apa lagi harus berkejar untuk masuk kembali ke sempadan daerah sendiri sebelum jam 12 malam. 

Sebelum itu ada juga terfikir mungkin boleh menginap di sebuah surau dalam daerah dekat Bukit Tagar. Saya sudah perhatikan kedudukannya sejak pagi semalam. Nampak ada pemandangan cantik kerana lalu dekat Empangan Sungai Tinggi. Cuma kedudukannya jauh dalam 11 kilometer masuk jalan ladang jauh dari jalan besar. Entah bagaimana keadaan jalan, apa lagi kalau masuk pada lewat malam dalam  keadaan sudah amat kepenatan? Lalu saya pun membuat keputusan untuk kembali terus ke rumah.

Perjalanan ini meliputi jarak hampir 400 km. Kalau campur perjalanan 'mukadimah' ke kampung isteri di Tanjung Sepat 19-21 Ramadhan jadi dalam 660 km. Di setiap masjid/surau saya sekurang-kurangnya melakukan solat Tahiyatul Masjid kemudian menghadiahkan senaksah buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah tahun 1995" (terbit Jun 2019). Cukuplah perkongsian ini ya sebagai pembangkit selera... :]


Oh. Baru teringat. Sedikit ringkasan perjalanan setakat hingga ke masjid ke-11 iaitu Masjid Marzukiyah di Lubuk Pusing serta cerita menarik tentang kawasan berkenaan boleh dilihat melalui satu video yang dibuat di Facebook secara live atau siaran langsung pagi semalam. Hampir saya tenggelam dalam selut kerana tersilap pijak tempat (dahulunya di tengah Sungai Bernam sebelum bahagian berkenaan mengering menjadi daratan). Sila klik sini untuk menontonnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan