Isnin, April 05, 2021

Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang kuda dekat sempadan Sepanyol

Meneruskan lagi perkongsian cerita di Perancis. Kali ini selepas selesai pertandingan endurance hari Sabtu dan Ahad. Bersambung daripada artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Acara pun bermula hari Sabtu.


Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun.... telah ditunjukkan kedudukan pekan Montcuq sebagai lebih 600 km ke selatan ibu negara Perancis iaitu Paris. Sekarang biar ditunjukkan kedudukan berbanding sempadan negara Sepanyol lebih jauh ke selatan. Jarak garis lurus antara keduanya adalah sekitar 200 km. Kalau dengan jalan raya lebih 230 km.



Di sempadan terdapat banjaran pergunungan Pyrenees. Sebahagian kawasan pergunungan terletak dalam Perancis, sebahagian besar dalam Sepanyol. Di tengah-tengah itu ada sebuah negara kecil bernama Andorra. Keluasannya 467.63 km persegi adalah tak sampai 60% keluasan negeri terkecil di Malaysia iaitu Perlis.


Banjaran memanjang sehingga lebih 430km dengan puncak tertinggi mencapai ketinggian lebih 3,400 meter dari paras laut. Ia pernah menjadi penghalang semulajadi bagi tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad daripada pergi lebih jauh selepas berjaya menakluki seluruh Semenanjung Iberia (tanah besar yang mengandungi Portugis dan Sepanyol sekarang) abad ke-8 Masihi. Kalau tidak kerana itu harus lebih banyak wilayah di barat Eropah jatuh ke tangan umat Islam.


Saya sebut tentang Sepanyol dan Banjaran Pyrenees kerana teringat ada ditunjukkan ke arah itu ketika dibawa melawat ke ladang kuda keluarga Just. Sudah disebut dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Persediaan untuk pemeriksaan hari Jumaat bahawa keluarga ini memiliki ladang seluas 72 hektar dengan 75 ekor kuda dekat sempadan Sepanyol. Ketua keluarga iaitu Hose adalah sahabat baik Datuk Awang Kamaruddin, orang yang menaja kedatangan saya ke Perancis. Beliau ada memberitahu bahawa di sebalik gunung yang kelihatan dalam gambar ini adalah Sepanyol.



Hose (tengah) bersama isterinya dan Awang di ladang.  Saya tidak ingat lokasi tepat ladang atau nama tempat. Cuma berdasarkan gambar gunung yang kelihatan tinggi di belakang saya meneka ia harus berada sekitar 50 km dari ladang. Ini adalah berdasarkan biasa melihat Gunung Ledang dari tempat kelahiran saya di Muar, Gunung Nuang dari bandar raya Kuala Lumpur dan Gunung Ulu Kali (yang ada Genting Highlands dekat puncaknya) dari kawasan rumah yang diduduki sekarang iaitu di Bandar Sungai Buaya, Rawang.



Saya telah mengambil beberapa gambar kuda dan ladang berlatarbelakangkan gunung ganang. Tumpuan diberikan pada bahagian gunung yang terserlah tinggi berbanding yang lain. Peta menunjukkan banjaran terletak di bahagian paling selatan Perancis. Ladang pula terletak ke utara gunung, Montcuq lebih jauh ke utara. 

Semakan terhadap satu peta contour menunjukkan puncak tertinggi di Banjaran Pyrenees iaitu Gunung Aneto (3,404 meter dari paras laut) memang terletak ke selatan Montespan. Besar kemungkinan gunung yang kelihatan paling tinggi di tengah gambar ini memang Gunung Aneto! Peta contour turut menunjukkan cuma di sekitar situ sahaja  terdapat beberapa gunung melebihi 3,000 meter tinggi. Harus sebab itu ia kelihatan terserlah tinggi berbanding yang lain.



Ya. Rasanya sebab itu saya asyik mengambil mengambil gambar berlatarbelangkan kelompok gunung. Kerana ia memang terserlah tinggi berbanding yang lain. Terasa seolah-olah Hose ada memberitahu memang ini kawasan gunung tertinggi di banjaran. Apapun berdasarkan anggaran gunung adalah sekitar 50 km ke selatan ladang saya pun cuba mencari kedudukan dalam peta...



Menggunakan perisian Google Earth saya cuba mencari bentuk gunung yang serupa. Ia memaparkan gambar satelit mengikut contour atau tinggi rendah bentuk muka bumi. Setelah menelusuri selatan Perancis dari perairan Laut Mediterranean di timur membawa ke barat bahagian pertama dilihat hampir serupa adalah seperti di atas. Bila ditelusuri lebih jauh ke barat sehingga membawa ke perairan sebelah sana yang bersambung dengan Lautan Atlantik tidak dapat ditemui lagi kawasan serupa.



Dengan itu saya berpendapat ladang keluarga Just terletak berdekatan Montespan, 187 km ke selatan Montcuq. Dirujuk pula kedudukan berkenaan menggunakan Google Map dengan pandangan terrain mood yang menunjukkan tinggi rendah bentuk muka bumi berdasarkan rekod (bukan gambar satelit). Teringat Hose juga Awang ada memberitahu ladang terletak tidak terlalu jauh dengan negara kecil Andorra. Boleh dilihat dalam peta bahawa jaraknya harus sekitar 100 km sahaja mengikut garis lurus. Cuma jalan raya harus mengikut liku-liku turun naik kawasan pergunungan lalu jarak menjadi lebih 170 km.



Saya cuba pula menyemak menggunakan kemudahan Street View pada program Google Map iaitu dengan melihat pandangan paras mata dari satu jalan berdekatan Montespan...



Apabila 'dijelajahi' sedikit lebih jauh ke pendalaman kelihatan satu kawasan pergunungan hampir sama dengan apa yang dilihat dari ladang keluarga Just. Oleh itu tidak salah untuk meletakkannya sebagai memang berada di sekitar Montespan.



Hal ini nampaknya boleh dipadankan dengan ingatan bahawa kami juga ada pergi ke tempat-tempat bernama Carcasonne dan Narbonne. Rasanya ada pergi hingga ke Perpignan. Tetapi biar itu disimpan untuk artikel lain.





Untuk artikel ini saya sebenarnya mahu menetapkan apakah yang telah dilakukan pada hari Isnin iaitu selepas tamat pertandingan di Montcuq hari Sabtu dan Ahad (seperti diceritakan dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Acara pun bermula hari Sabtu). Gambar-gambar menunjukkan memang ada ke ladang keluarga Just. Cuma fikirnya sebelum ini ladang tidaklah begitu jauh. Jadi selepas ke ladang kami harus kembali ke rumah bungalow sewa di Montcuq.



Namun ada gambar-gambar menunjukkan keluarga Just ada bersama kami dan kawan-kawan lain makan malam beramai-ramai di rumah sewa. Mustahil ini berlaku pada hari Ahad malam Isnin kerana pertandingan berlanjutan sehingga malam. Kalau ladang terletak dekat dengan Montcuq, dalam jarak sekitar 50 km misalnya, boleh jadi kami ke ladang hari Isnin kemudian kembali ke bungalow lalu makan-makan pada malam itu. Tetapi kalau ladang terletak begitu jauh seperti di Montespan 187 km ke selatan mustahil kami akan bergerak pergi balik pada hari sama. Oleh itu besar kemungkinan kami berehat dahulu di bungalow siang Isnin.  





Ini amat logik setelah 2 hari penuh memerah tenaga dan mengambil masa untuk pertandingan Sabtu dan Ahad. Kalau begitu sesuailah makan malam beramai diadakan pada malam selepas rehat siang Isnin. Siang Selasa baru keluar ke ladang keluarga Just. Kiranya check-out terus dari bungalow, tidak ada lagi patah-patah balik ke Montcuq.

Logiklah kalau makan malam diadakan untuk meraikan Awang selepas pertandingan selain mengucapkan selamat tinggal pada pekan Montcuq. Hose dan keluarga pun harus membawa  kuda milik mereka yang digunakan Awang dalam pertandingan kembali ke ladang. Dengan jarak sebegitu jauh bukan boleh main pergi balik pergi balik begitu senang ke Montcuq.




Ini adalah satu-satunya gambar rumah keluarga Just yang saya ambil dengan kamera. Tumpuan lebih banyak diberikan pada kuda dan ladang serta gunung ganang...




Kami ada makan-makan di rumah mereka dan gambar ini menjadi bukti. Mereka anak beranak mengambil masa untuk menyediakan sendiri hidangan istimewa buat kami. Walaupun tak ingat harus kami ada bermalam di rumah ini. Logik orang berbudi bahasa, Hose sebagai kawan baik Awang yang telah bersama membantu menjayakan penyertaan dalam pertandingan di Montcuq tentu mahu kami menginap sekurangnya satu malam. Esok Rabu baru melawat beberapa lagi ladang kuda di selatan Perancis, satu perkara yang saya ingat memang berlaku tetapi sudah lupa bila dan apakah lokasi tepatnya. 



Oh. Sebagai tambahan. Saya telah menyemak kedudukan tepat puncak Gunung Aneto berbanding Montespan menggunakan Google Earth lalu mendapati memang jarak lurus antara kedua tempat adalah sekitar 50 km! Ini bermakna anggaran berdasarkan pemandangan dari ladang berpandukan pengalaman biasa melihat beberapa gunung di Malaysia adalah cukup tepat. Biar dikongsikan snapshot paparan berkenaan. Cuma tidak kelihatan nama Montespan dalam paparan kerana mungkin tidak begitu signifikan tempatnya. 



Tetapi ia boleh dilihat apabila dizoom-in ke kawasan berkenaan. Itu yang boleh ditanda dengan garis lurus kuning sehingga ke puncak gunung. Cuma gunung itu sendiri terletak beberapa kilometer ke dalam negara Sepanyol. Jadi mengatakan negara tersebut terletak di belakang gunung dari arah ladang Just adalah tidaklah tepat namun masih boleh dijadikan rujukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan