Salam hari Rabu 2 Ramadhan. Merujuk pada cara tertentu cerita-cerita dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" disusun seperti disebut dalam artikel pertama siri ini Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Sebab musabab perjalanan. Saya telah membuat keputusan bahawa perkongsian bagi siri cerita perjalanan dalam blogspot ini dibuat dengan mengambil bahagian-bahagian berkenaan sahaja daripada bab-bab bernombor dalam buku. Misalnya untuk cerita kedua ini biar diambil daripada Bab 2 buku pertama "Berpetualang ke Aceh", buku yang memiliki tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti" (Jun 2006). Biar dimaklumkan ia sebenarnya adalah bab ke-4 dalam buku. Sebelum itu ada bab-bab bertajuk "Mukadimah : Mengapa Berpetualang?" diikuti Bab 1 kemudian "KeSultanan Perlak : Bermulanya sebuah Cerita".
Permulaan Bab 2, muka surat 55 buku menyebut...
----------------
Sedang kebanyakan rakyat Malaysia mula berpesta, Rasyid pula merengkok dalam bas buruk meninggalkan suasana meriah kotaraya menuju ke tempat yang kurang happening iaitu Tanjung Malim. Kebetulan bas model lama dari Rawang ini adalah bas awam terakhir hari itu masuk ke pekan yang terkenal dengan sebuah ikon perjuangan Melayu sebelum merdeka, Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang universiti). Maka tempat pertama dituju adalah stesyen keretapi, lebih 1 kilometer berjalan kaki.
Memang tidak ada apa-apa lagi pengangkutan awam daripada Tanjung Malim ke Teluk Intan, destinasi sebenarnya malam itu. Yang ada cuma perkhidmatan keretapi malam ke utara melalui Tapah Road, perhentian terdekat ke sana. Itupun tidak tahu jam berapa keretapi sampai... Malam pula semakin lewat, lebih jam 9. Jika sampai ke Tapah Road pun tentu tidak sempat mendapatkan pengangkutan awam ke mana-mana tempat.
Apapun Rasyid tetap bertekad mencari jalan untuk sampai ke Teluk Intan malam itu juga. Mungkin boleh menumpang mana-mana kereta yang lalu-lalang? Atau lori barangan yang suka mengambil kesempatan kesunyian awal pagi, ketika jalanraya jarang digunakan...
Mungkin ada yang tertanya mengapa Rasyid tidak menaiki bas ekspress Kuala Lumpur ke Teluk Intan. Perkhidmatan terakhir 8.30 malam, bukankah itu lebih senang? Ini tidak. Naik KTM Komuter ke Rawang, kemudian bas buruk yang asyik berhenti menurunkan atau mengambil penumpang. Berhenti pula lagi di Kuala Kubu Baru dekat suku jam. Akhirnya perjalanan yang boleh dilakukan dalam masa kurang dua jam menjadi panjang, lebih empat jam. Itupun tak sampai ke Teluk Intan...
Kalau hendak tahu, itulah cara anak muda ini mengembara. Jarang berpatah balik jika sudah menuju ke satu arah. Petang tadi dia ada urusan di Kepong. Sebab itu naik Komuter menghala utara ke Rawang. Kalau hendak ambil bas ekspress, harus berpatah kembali 10 km ke pusat kota. Lagipun semua perkhidmatan awam dan jalanraya masuk ke Kuala Lumpur sedang sesak kerana sambutan perayaan Tahun Baru, Happy New Year.
Walau apapun Rasyid sudah sampai ke Perak, negeri yang menyimpan banyak rahsia susur-galur keturunan bangsawan dan kerabat diraja Aceh, Di sini dia berharap akan mendapat ‘pembukaan’ atau ilham yang dapat memberi petunjuk bermakna untuk perjalanannya ke Aceh...
————————
Bab ini seterusnya menyebut bahawa KeSultanan Perak yang merupakan satu-satunya warisan keSultanan Melaka yang masih wujud hingga ke hari ini juga mempunyai titisan darah KeSultanan Aceh. Disebutlah bagaimana titisan darah ini masuk melalui beberapa perkahwinan diraja sebelum menyatakan kaitan dengan pemilik sebuah makam purba berdekatan Teluk Intan. Diceritakan bahawa kali terakhir saya ke Perak adalah pada setengah tahun sebelum itu (pertengahan tahun 2003) lalu ada menziarahi makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1528-1549) di Teluk Bakong, Parit. Disebut bahawa baginda adalah pewaris sebenar jajahan takluk empayar Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis 1511.
Dikaitkan pula dengan signifkan makam nenda baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka) berbatu nesan Aceh. Makam ayahanda Sultan Mansur Syah juga berbatu nesan Aceh tetapi telah dirosakkan oleh Portugis. Dipanjangkan pula cerita bagaimana Sultan Alauddin itu dikatakan jujur dan berani menangani sendiri masalah di Melaka. Tetapi ini menimbulkan perasan tidak senang para pembesar. Dibuka juga beberapa hal tentang kepincangan dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melaka yang muncul kemudian lalu ini dinyatakan sebagai sebab sebenar kejatuhan Melaka.
Tidaklah ingin hal ini dipanjangkan dalam penulisan di sini kerana mahu memberikan tumpuan pada cerita perjalanan sebenar ke Aceh yang menjadi tulang belakang trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kecuali ditambah satu perkara sahaja iaitu sebab sebenar kejatuhan Melaka. Disebut dalam Bab 2 bahawa ia bukan kerana orang Melayu Melaka tidak memiliki senjata api lalu ketinggalan teknologi berbanding Portugis yang menyerang sebaliknya Melaka jatuh kerana pengkhianatan dalaman. Percaya atau tidak hal ini tidak pernah dibincangkan dalam kalangan umum sebelum ia keluar dalam buku pertama saya. Selepas itu baru ramai memanjangkan perkara.
Namun ramai pula tanpa rasa bersalah mahupun malu mengaku sebagai pencetus walaupun baru mengangkat perkara lebih 2 tahun selepas ia disebut dalam buku saya Jun 2006. Lihat sedutan berkenaan dalam artikel Sebab sebenar kejatuhan Melaka. Dipaparkan pada 13 November tahun tersebut ia adalah artikel ke-4 di blogspot ini.
Kembali pada sedutan dalam buku tentang perjalanan sebenar ke Aceh. Daripada muka surat 72-73 buku, penghujung Bab 2.
-----------
Berbalik ke cerita Tanjung Malim. Sebaik sahaja sampai ke stesyen keretapi, Rasyid terus bergegas ke kaunter untuk memeriksa jadual perjalanan. Alhamdulillah, keretapi ke utara masih ada dan akan sampai dalam masa sejam. Dapatlah bergerak lebih hampir ke Teluk Intan...
Stesyen pula dipenuhi para pelajar Universiti Perguruan Tanjung Malim (UPSI) yang sibuk hendak kembali bercuti Tahun Baru ke kampung masing-masing. Sambil menunggu, dia sempat berkenalan dengan beberapa orang pelajar lalu duduk santai bercerita sambil minum-minum kopi... Hampir-hampir sahaja Rasyid mahu bercerita lagi tentang raja-raja Melayu dan kaitannya dengan Aceh tetapi dia teringat pesanan seorang tua, kali ini elok menutup mulut langsung atau buka cerita lain. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar... Kerana pemuda itu sedang mengorak langkah ke bumi Serambi Mekah, perlu bergerak seperti tersebut dalam bahagian terakhir ayat 19 Surah Al-Kahfi yang berbunyi:
Terjemahan ringkas ke dalam bahasa Melayu: “Hendaklah berlaku lembut dan janganlah beritahu kepada seorang jua pun tentang hal mu.”
Mengikut ceritanya, ayat ini merupakan sebuah pesanan penuh makna yang ditujukan kepada seorang dari para pemuda Al-Kahfi (ahli gua) yang telah ditugaskan turun ke bandar membeli makanan. Setelah terbangun dari tidur yang sangat lama di sebuah gua di kawasan pergunungan. Mengikut satu riwayat mereka tertidur selama 309 tahun! Tetapi ketika itu, mereka menyangkakan mereka setakat tertidur beberapa jam sahaja...
Para pemuda Al-Kahfi ini pernah menjadi penasihat seorang raja zalim.. Tetapi Tuhan memberikan hidayah sehingga mereka menjadi orang-orang beriman lalu melarikan diri kerana tidak tahan lagi dengan kezaliman raja. Dalam perjalanan, mereka telah berehat di sebuah gua lalu tertidur.Apabila terbangun, para pemuda ini terasa sangat lapar dan dahaga pula...
Pesanan tersebut telah diberikan kepada pemuda yang turun ke bandar supaya kehadirannya tidak disedari, takut raja akan memburu mereka nanti. Sebaliknya bandar itu kecoh kerana dia telah menggunakan matawang yang sudah lama pupus sehingga identitinya pun dikenal-pasti! Nasib baiklah raja yang zalim sudah lama mati digantikan seorang raja yang beriman...
Kebetulan ayat ini terletak betul-betul di bahagian tengah Al-Quran sehingga huruf-hurufnya ditanda dengan warna merah. Maka ia juga dianggap mempunyai banyak makna serta khasiat yang tersirat terutama oleh pengamal ilmu persilatan peringkat tinggi dan para ahli kebatinan.
Rasyid telah diingatkan seorang tua yang penuh dengan petua supaya jangan bercerita tentang tujuan sebenarnya ke Aceh kecuali kepada orang-orang yang mampu memahami, boleh menerima keadaannya yang suka menziarahi makam-makam lama dengan matahati yang terbuka dan hati yang suci. Malah kalau boleh jangan bercerita langsung tentang raja-raja Melayu dan kaitannya dengan para wali kerana ia melibatkan banyak rahsia, sudah tentu ada pihak yang tidak senang dan akan cuba menghambat perjalanannya samada secara zahir mahupun batin nanti! Maka itu apabila ditanya dia hendak ke mana, apakah tujuan perjalanannya, pemuda itu cuma menjawab hendak ke Perak kerana sudah jemu dengan hiruk-pikuk Kuala Lumpur. “Saja tukar angin!” jawabnya ringkas...
Dipendekkan cerita, Rasyid sampai ke Tapah Road hampir jam 1 pagi. Lalu dia cuba untuk hitchike, menunggu di tepian jalan untuk menumpang kenderaan menghala ke Teluk Intan tetapi nampaknya tak ada nasib... Tidak ada motosikal, kereta ataupun lori menghala ke sana lagi. Terpaksalah tidur di serambi sebuah surau yang berkunci.
Keesokan pagi, barulah anak muda ini dapat menaiki bas ke sana. Barulah boleh melangkah ke makam seorang wali Allah yang pernah bermastautin di bumi Serambi Mekah tetapi lari untuk memulakan kehidupan baru di Perak, ketika keSultanan-keSultanan Melaka, Aceh dan Perak belum wujud dalam sejarah, sekitar 1,000 tahun yang lampau.
Di sana terungkailah satu cerita yang akan mengaitkan kesemua keSultanan tersebut dengan keSultanan-keSultanan Samudera Pasai dan Perlak. Satu kesinambungan yang akan mengaitkan jihad untuk menegakkan Syiar Islam di Nusantara dengan perjuangan kaum kerabat Rasulullah SAW di Timur Tengah. Insya’allah...
Perjalanan saya petang itu membawa ke selepas tengah malam 1 Januari 2004 boleh dilakarkan dalam peta Google Map seperti di atas. Ia meliputi jarak 178 km (boleh dibulatkan menjadi 180 km) dalam tempoh 7 jam disebabkan banyak persinggahan dan menggunakan pelbagai kenderaan awam. Ada disebut bahawa petang itu ada urusan di Kepong, sebab itu naik Komuter ke Rawang kemudian bas ke Tanjung Malim diikuti kereta api turun di Tapah Road. Sekarang biar diberitahu urusan di Kepong itu sebenarnya adalah untuk bertemu dengan bekas isteri dan anak kecil kami yang ketika itu baru berumur setahun lebih.
Selain mahu melepaskan rindu saya mahu memberi wang RM500 sebagai belanja anak. Wang itu adalah separuh daripada duit RM1,000 yang diperolehi beberapa hari sebelum itu hasil penjualan saham. Ia sebenarnya adalah akibat pelaburan RM20,000 susut nilai. Penghujung tahun 2000 saya ada melaburkan wang tersebut untuk membeli saham satu syarikat yang sedang menghadapi masalah.
Ketika itu otak saya gila-gila yakin boleh membuat untung atas masalah yang menyebabkan harga saham boleh turun naik secara drastik begitu sahaja. Tetapi berlaku perjalanan ke Perancis (lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000) yang membuat saya tidak dapat memantau dengan baik. Tahu-tahu sahaja kaunter digantung. Dekat dua tahun selepas itu diumumkan pula 40 saham digabungkan (consolidate) menjadi 1 menyebabkan nilai pelaburan RM20,000 susut nilai menjadi RM1,000!
Beberapa lama selepas itu pula baru kaunter dibuka kembali lalu saham dijual untuk mendapatkan RM1,000 itu. Daripada jumlah tersebut, separuh diserahkan kepada bekas isteri untuk belanja anak separuh lagi untuk belanja perjalanan ke Aceh. Sesungguhnya semasa menyerahkan itu saya tidak pasti akan kembali lagi ke Malaysia. Ketika itu ada rasa mahu berhijrah terus ke Aceh.
Oh. Oleh kerana cerita dalam Bab 2 dihabiskan dengan saya sampai ke Teluk Intan siang selepas bermalam di Tapah Road biar lakaran perjalanan berkenaan dibuat dalam peta. Saya tidak mahu memperincikan lawatan-lawatan yang dibuat di Teluk Intan dan sekitarnya. Cukuplah supaya nampak ada jarak 35 km perjalanan dari Tapah Road. Campur dengan jarak sebelum ini yang dibulatkan sebagai 180 km jadilah 215 km.
Teringat ketika sampai di Tg Malim di depan Pau Yik Mun. Ingatkan nak beli tapi sebab was was punya pasal tak jadi beli.
BalasPadam