Khamis, April 15, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Pulau Pinang sebagai 'jambatan' ke Aceh

Salam hari Khamis 3 Sya'aban. Dalam artikel sebelum ini iaitu Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Meninggalkan Kuala Lumpur malam tahun baru sudah diberitahu bahawa perkongsian di blogspot akan mengambil bahagian-bahagian berkenaan daripada bab-bab bernombor dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Sebagai contoh, artikel tersebut telah menggunakan isi daripada Bab 2 sedangkan ia sebenarnya adalah bab ke-4 dalam buku. Artikel ini pula menggunakan isi Bab 3 sedangkan ia sebenarnya adalah bab ke-7 buku. Sebelum itu ada bab-bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor" diikuti "Interlud : Warkah untuk Nenek". Sekarang bolehlah disambung cerita daripada permulaan Bab 3 ,daripada muka surat 111 buku.


Lakara mudah laluan yang digunakan dari Teluk Intan untuk ke Pulau Pinang. Campur ada pusing ke sana sini di Teluk Intan, Lumut dan Taiping jarak harus menjadi sekitar 260 km...


Selesai sahaja urusan di Teluk Intan, Rasyid pun mengatur langkah untuk ke Pulau Pinang. Di sana terdapat perkhidmatan feri menyeberangi Selat Melaka ke  Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan dalam  rangka perjalanannya untuk memasuki wilayah Aceh Darussalam.

Satu masa dahulu perkhidmatan feri terus ke Aceh juga turut ditawarkan sama di pulau itu. Tidak perlu ke Medan, lebih 2 jam perjalanan  darat ke sempadan  bumi Serambi  Mekah. Malangnya darurat yang diisytiharkan pemerintah Republik Indonesia akibat konflik berterusan dengan puak pemisah GAM telah menyebabkan perkhidmatan ini ditamatkan. Apapun, pada pemuda itu, jika tidak boleh terus ke sana, maka singgahlah dahulu di Medan. Lihatlah apa yang menarik kemudian lawatilah destinasi lain sepanjang perjalanan. Insya’allah, adalah hikmahnya nanti... 

Anak kelahiran Muar, Johor ini memang suka singgah seberapa banyak tempat yang boleh. Alangkan hendak ke Pulau Pinang pun dia tidak mengambil kenderaan terus sebaliknya singgah di Lumut. Kemudian baru menaiki bot menyeberangi Sungai Dinding ke Damar Laut lalu mendapatkan bas buruk ke Pantai Remis. Berehat sebentar di Taiping sebelum pergi ke Butterworth untuk menaiki  feri ke Pulau Pinang.

Salah satu sebab Rasyid mengambil jalan ini adalah kerana setiap  tempat yang diziarahi mempunyai kaitan tersendiri dengan cerita-cerita lama yang dicari. Menurut seorang tua di Perak, wilayah Lumut ke Taiping pernah termasuk di dalam kerajaan Melayu lama Beruas yang diasaskan Sultan Malikul Mansur kira-kira 700 tahun lalu. Malah katanya, kerajaan  lama itu pernah meliputi wilayah yang agak luas dengan sempadan utaranya ke Kedah, timur ke Terengganu dan selatan ke Muar, Johor! 


Bab ini menyambung dengan cerita kerajaan lama Beruas dan kaitannya dengan kerajaan Samudera-Pasai di Aceh. Selepas itu disebut pula kaitan Pulau Pinang juga Kedah (dahulu Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah) dengan Aceh.  Turut dinyatakan tentang satu tempat penting di pulau itu dibuka oleh seorang kerabat diraja Aceh. Cerita dalam buku seterusnya menyebut...

-----------------


Dari terminal feri Georgetown, Rasyid berjalan kaki masuk ke Lebuh Chulia, jalan yang selalu diikutinya setiap kali sampai ke Pulau Pinang melalui feri. Walaupun dia tidak tahu di manakah letaknya Lebuh Aceh, pemuda ini sudah meneliti peta pulau itu ketika berada di Kuala Lumpur.  Seingatnya tidaklah jauh sangat daripada bangunan Komtar yang boleh dilihat dari semua arah.  Singgah sebentar di sebuah restoran mamak, makan nasi kandar lauk ayam ‘negro’ kegemarannya kemudian baru menghala ke Jalan Kapitan Keling di mana terdapat salah sebuah masjid paling cantik di utara Semenanjung iaitu Masjid Kapitan Keling. 

Pemuda itu berehat sebentar di kawasan masjid sambil memikirkan hala-tuju seterusnya. Setelah pasti kedudukan, barulah dia membelok ke Lebuh Carnavon. Kalau ikut peta dahulu, Lebuh Aceh  sudah dekat sangat, tidak sampai  500 meter pun dari masjid tadi.  Tetapi jalan punya jalan tak juga jumpa-jumpa. Sedar-sedar sudah sampai ke Komtar. Nampak gayanya sudah terlajak. Bila sudah terkial-kial, barulah hendak bertanya orang...

Rupa-rupanya dari Jalan Kapitan Keling tadi boleh pergi terus ke situ. Tidak payah membelok ke mana-mana malah boleh kelihatan menara Masjid Lebuh Aceh dengan terang. Itulah, awal tadi tidak mahu bertanya. Pandai sangat, nak  cari sendiri. Apapun ada hikmahnya pemuda ini terlajak... Biasalah... Ada saja alasan budak ni tak nak mengalah...


Gambar isteri dan anak di hadapan Masjid Lebuh Aceh tahun 2011. Anak kecil ini yang sekarang sudah menjejak usia 12 tahun adalah pemilik nama Muhammad Al-Aminul Rasyid, nama yang digunakan untuk mewakili diri sebenar saya dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (2006-2007)...


Sebagai mahu menunjukkan ada hikmahnya boleh terlajak berjalan kaki di Pulau Pinang buku pun menyorot kembali (flasback) cerita pernah tersesat 19 jam setelah mendaki Gunung Nuang di sempadan Selangor-Pahang seorang diri dari arah Janda Baik. Butirannya ada dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan... tahun 2007 lalu tidak perlu dipanjangkan di sini. Hal tersebut dikaitkan dengan hikmah terlajak berjalan di pulau sehingga harus mengambil jalan jauh untuk masuk ke Lebuh Aceh lalu dapat melihat suatu keadaan. Cerita berkenaan ada dikongsikan dalam artikel Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang tahun 2011. Gambar atas diambil daripada artikel tersebut.

Selepas itu dikongsikan cerita bagaimana ada berkenalan dengan seorang warga tempatan di perkarangan Masjid Lebuh Aceh lalu diberitahu masjid dan lebuh dibina oleh seorang kerabat diraja Aceh bernama Tuanku Syed Aidid. Buku pun mula menelusuri sejarah beliau yang sebenarnya sempat menjadi Sultan Aceh. Dibuka pula cerita bagaimana nenek moyang beliau yang bergelar Sayyid dan Sharif, keturunan Nabi Muhammad SAW dapat menjadi Sultan-sultan Aceh sebelum naik satu keluarga lain yang dikatakan berketurunan Bugis. Disebut bagaimana saya pertama kali menziarahi makam Tuanku Syed Aidid di hadapan masjid. 

Masuk pula cerita seniman besar negara, Allahyarham P. Ramlee yang berasal dari Pulau Pinang sedangkan bapanya datang dari Aceh, ada darah bangsawan sana. Tetapi untuk perkongsian di sini biar melompat terus ke apa yang terjadi selepas menginap tiga malam di masjid. Pergi ke muka surat 139 buku.

----------


Oh... Rasyid ada menelefon Pak Syed untuk memberitahu dia berada di Pulau Pinang dan akan menuju ke Aceh. Ketika itu sudah lima hari pemuda ini menghilang tanpa berita, masih berkecil hati kerana diherdik orang tua itu ketika di Kuala Lumpur. Pak Syed tidak hairan. Dia tahu anak muda yang pernah menolong mengarang beberapa buah bukunya sejak kebelakangan ini memang “kaki lesap”, suka buat magic. Hilang tanpa perkhabaran,  tiba-tiba boleh muncul di mana-mana. Dia selalu beritahu orang, Rasyid ini ibarat biskut Chipsmore, sekejap ada sekejap tak ada...

Tetapi hamba Allah yang telah lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia penulisan ini terperanjat  juga apabila pemuda itu memberitahu dia akan bergerak ke Aceh pagi itu, kerana menyangkakan anak angkatnya itu akan menunggu sehingga dia menghulurkan sedikit duit belanja. Pak Syed cuba memujuknya balik dahulu ke Kuala Lumpur. Katanya, dia hendak menanam saham sempena perjalanannya ke Aceh... Orang tua itu tidak tahu Rasyid sanggup menjual semua baki pelaburannya dalam Bursa Saham yang dahulunya bernilai lebih RM20,000 tetapi disebabkan masalah syarikat - kaunter digantung, dekat dua tahun lepas itu consolidate 40 saham menjadi 1 - telah susut nilai menjadi RM1,000 sahaja. Itupun separuh telah diserahkan kepada bekas isteri untuk perbelanjaan anak. Bakinyalah yang dibuat belanja perjalanan dan makan minum ke Aceh...

Anak muda itu memberitahu dia tidak boleh berpatah balik, mesti berjalan terus. Lagipun dia pantang membuat u-turn apabila sudah melangkah. Pak Syed kata tak apalah. Dia doakan semuanya selamat... 

Rasyid juga sempat menelefon ibu dan ayah. Sebelum itu dia tidak pernah bercerita kepada mereka tentang niatnya hendak ke Aceh. Seperti biasa, mereka tidak terperanjat. Sudah cukup masak dengan perangai anak sulung  yang selalu pergi berkelana tanpa dirancang ini.  Apa yang ayah dan ibu  tahu, sejauh mana pun dia pergi, bagaimana sekali pun keadaan yang ditempuhi, Insya’allah  pemuda itu tetap akan pulang dengan selamat.


Lakaran peta ini menunjukkan laluan saya dari jeti Pulau Pinang lalu terlajak berjalan kaki hingga ke Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak, bangunan tertinggi di utara Semenanjung) ketika hendak mencari Lebuh Aceh. Sepanjang menginap tiga malam di Masjid Lebuh Aceh tiap-tiap hari saya berjalan kaki ke sana ke mari lalu meliputi jarak tidak kurang 10 km. Campur jarak 260 km dari Teluk Intan  jadi 270 km. Campur jarak dari Kuala Lumpur seperti disebut dalam artikel Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Meninggalkan Kuala Lumpur malam tahun baru iaitu 215 km jadilah jumlah 485 km. Sekarang melompat kita dekat dua muka surat untuk cerita seterusnya...

---------


Pagi 5 Januari 2004, lima hari selepas meninggalkan Kuala Lumpur dan segala hiruk-pikuknya, Rasyid melangkah ke jeti untuk menaiki feri  ke Medan. Berbekalkan wang sebanyak 666,000 Rupiah (RM300 ditukar dengan kadar RM1 = 2,220 Rupiah) dan sedikit simpanan Ringgit, dia bertekad untuk memulakan kehidupan baru di  Aceh Darussalam. Seperti ketika meninggalkan Kuala Lumpur malam Tahun Baru, sekali lagi pemuda itu melangkah melawan arus dan lumrah kebiasaan. 

Di kala ramai ingin meninggalkan Indonesia untuk mencari rezeki di Malaysia yang lebih aman, makmur dan damai,  di kala rakyat Aceh sendiri sibuk mencari jalan melarikan diri dari tanah air yang kelam-kabut penuh rintangan, Rasyid pula beriya-iya mahu menyeberang ke arah yang berlawanan, ada hati hendak menetap  di sana... Di kala semua hendak mencari kehidupan yang lebih selamat, dia pula mahu memasuki zon darurat yang dihiasi muncung senapang. Mungkin maut yang sebenarnya pemuda ini cita-citakan? Mungkin di situ terletaknya erti kebahagian sejati?


2 ulasan:

  1. Wah hebat sungguh susunan ayat ayat yang digunakan oleh Rasyid ni...(boleh tahan).. Dah boleh pasang impian untuk menjadi pengarang novel bertemakan sejarah...hehehe

    Ps: Saya dulu pernah makan kat satu restoran nasi kandar yang agak kecil berhadapan dengan Komtar...menu istimewa kat situ adalah ayam kicap.. hmmm.. kadang tengah duduk seorang diri teringat kenangan lama..

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. Memang dah jadi pengarang novel bertemakan sejarah. Dimasukkan dalam artikel ini sedutan2 daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.

    BalasPadam