Isnin, Mac 01, 2021

Syariah dan usaha menerbitkan masyarakat mampan

Salam semua. Merujuk pada hal berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan hari Jumaat diikuti Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan hari Ahad. Sampai masanya untuk bercerita tentang majlis ilmu yang ada disebut berlangsung pada hari Rabu minggu lalu. 



Tajuk majlis yang dijalankan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Syariah dan Usaha Menerbitkan Masyarakat Mampan". Walaupun perkataan bahasa Inggeris "sustainable" juga boleh diterjemahkan sebagai lestari iaitu kekal, tidak berubah saya fikir mampan lebih tepat kerana membawa makna mengekal suatu prestasi atau tahap yang bagus. Dianjurkan oleh ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam) ia melibatkan beberapa orang cendekiawan ternama termasuk dari luar negara.



Majlis berlangsung melalui perisian Zoom bagi menghubungkan mereka yang terlibat. Orang ramai boleh mengikuti melalui Youtube Live. Kelihatan Imam Masjid Zabedah ISTAC, Ustaz Ramadhan Subky (ditanda dengan kotak kuning)  sedangkan membacakan doa selamat.



Seterusnya dekan ISTAC, Profesor Dr Thameem Ushama memperkenalkan majlis. Diberitahulah bahawa ia adalah yang kedua dalam siri Webinar ISTAC yang bertemakan "sustainable" atau mampan. Majlis pertama berlangsung lebih sebulan lalu. Tajuknya adalah "Islamic Thought and Sustainable Development" (Pemikiran Islam dan Pembangunan Mampan).  



Saya tidak mengikuti majlis terdahulu kerana ada hal lain. Namun anda boleh mengikutinya melalui rakaman di sini. Menurut Thameem topik kali ini meliputi jangkauan yang luas, sama seperti halnya topik bulan lepas. Ini supaya semua pembicara atau panelis mendapat banyak ruang untuk berbicara juga kebebasan menyatakan perkara. 

Kata beliau lagi sudah banyak diperkatakan tentang pembangunan mampan serta isu berkaitan seperti masyarakat mampan tetapi dalam ruang tertutup (tidak sampai kepada umum). Dan ia tidak dikaitkan dengan Syariah. Sementara itu banyak telah dibincangkan tentang Syariah tetapi tidak dikaitkan dengan isu kemampanan (yang melibatkan realiti dunia sekarang). Maka menjadi kerja para panelis untuk memberikan pencerahan tentang perkara.



Panelis pertama Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan dengan menyatakan bagaimana ramai orang sudah tersilap konsep tentang Syariah. Ini kerana ia sering dikaitkan dengan hukuman keras apabila membuat kesalahan lalu orang tak nampak bagaimana Islam boleh menyumbang pada hal-hal seperti isu kemampanan. Terjadinya wabak Covid-19 harus memberikan ruang untuk Islam mengenengahkan peranan. Inilah masanya untuk menunjukkan ia amat relevan dengan perkembangan zaman. 

Menurut beliau pembangunan mampan (sustainable development) adalah salah satu isu teras yang mahu ditangani oleh UIAM. Tahun lepas ia telah menerima pengiktirafan sebagai pusat serantau bagi kepakaran dalam pendidikan pembangunan mampan. Untuk pengetahuan ISTAC adalah satu institusi pasca-siswazah berotonomi di bawah UIAM. Apa-apa isu yang diperjuangkan oleh UIAM harus turut diangkat oleh ISTAC. Cuma istimewanya ISTAC dianggap ramai sebagai institusi tersendiri yang lebih tinggi nilai keintelektualan lalu diharap sebagai pemangkin dan penyuluh bagi usaha-usaha UIAM.



Menggunakan slaid untuk menyokong pembentangan Dzulkifli seterusnya membuat takrifan apakah makna masyarakat mampan (sustainable society). Namun ada takrifan yang bersifat sekular ada yang mengambil kira agama. Pada pandangan beliau harus ada tiga perkara :-

1) Balanced (Seimbang)

2) Orderly (Teratur)

3) Peaceful (Aman)

Diberilah contoh Amerika Syarikat sebagai negara yang katanya telah memakai hasil (resources) lima buah planet. Eropah pula hidup dengan hasil tiga buah planet. Sedangkan hakikatnya kita cuma ada satu planet (bumi). Ini bermakna negara-negara lain, negara-negara membangun juga negara-negara Islam pula kekurangan hasil (deprived disebabkan kerakusan Amerika dan Eropah). 

Dalam keadaan dan realiti begini yang sangat tidak seimbang itu tentunya Amerika memberikan makna kemampanan yang lain sesuai dengan keperluan mereka (yang rakus itu). Tentunya Islam ada sukatan sendiri tentang apakah yang seimbang, teratur dan aman. Pada Dzulkifli apabila bercakap tentang kemampanan ia harus menjangkau lebih daripada planet untuk meliputi sejagat alam (universal). Di sini konsep Rahmatan Lil Alamin (memakmurkan seluruh alam) dalam Islam harus digunapakai. Ia harus equitable (adil, tanpa pilih kasih), harmonious (berharmoni) dan prosperous (memakmurkan). Tidak ada jurang antara yang kaya dengan yang miskin, yang memiliki dengan yang tidak memiliki (the haves and the have nots) dan sebagainya. Kepentingan semua pihak harus diambil kira.

Diberi contoh pula tentang apa yang berlaku apabila Covid-19 menyebabkan pergerakan ramai menjadi terhad (akibat Perintah Kawalan Pergerakan). Hasilnya sungai dan udara menjadi bersih, binatang-binatang yang sebelum ini tidak kelihatan keluar ke sana sini (akibat tiada gangguan manusia). Selama ini manusia mendominasi persekitaran (sehingga hilang keseimbangan). Apabila berlaku Covid-19  binatang dapat keluar semula untuk kembali mengambil bahagian (reclaim).

Pada Dzulkifli intipati perkara adalah tentang berkongsi (it is about sharing). Apa yang kita boleh kongsikan bersama, apakah boleh dipelajari bersama. Segalanya harus bersifat inklusif (melibatkan kepentingan semua pihak). Barulah wujud masyarakat mampan yang juga meliputi kepentingan makhluk-makhluk lain. Ini harus sesuai dengan apa yang diajar oleh Syariah Islam.



Panelis kedua Profesor Dr Jasser Auda disebut dalam poster sebagai presiden Maqasid Institute, Al-Shatib Chair of Maqasid Studies, International Peace College di Africa Selatan. Namun pengenalan dalam majlis nampaknya cuma membariskan kedudukan beliau sebagai cendekiawan Islam terhormat di Kanada. Seperti Dzulkifli beliau menyentuh tentang kesilapfahaman terhadap makna dan fungsi Syariah. Seringkali ia dihadkan pada hal-hal ritual, kekeluargaan dan sedikit bab jenayah. Sedangkan ini cuma sebahagian kecil sahaja daripada bab Syariah. Maka itu harus dilihat takrif sebenar berdasarkan apa yang disebut di dalam Al Quran.

Beliau memberitahu, menurut Al Quran Syariah adalah berkenaan Ad-Deen iaitu cara kehidupan (way of life, bukan sekadar faith atau kepercayaan). Perkataan Syariah itu sendiri sebenarnya membawa maksud cara kehidupan. Ia melibatkan segalanya malah asas segala perkara. Syariah terkait dengan asas ekonomi, asas perubatan, asas politik, asas segala macam perkara. Maka tujuan Syariah (objectives, Maqasid) harus memberikan takrifan pada tujuan kemampanan (objectives of sustainability), bukan sebaliknya. 



Jangan terikut segala macam permintaan misalnya atas nama hak asasi manusia untuk memberi makna pada kemampanan. Sesungguhnya Islam memiliki takrifan tersendiri tentang hak juga kemampanan kerana tujuan tertingginya adalah beribadat kepada Allah SWT. Dengan itu kita akan berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara tidak baik seperti sifat tamak, rakus, mementingkan diri sendiri, ganas (yang dihalalkan malah sebenarnya dijulang tinggi dalam takrif kemampanan Barat apabila melibatkan  pihak-pihak tertentu). Tidak seperti halnya hari ini yang mana ramai bercakap tentang kemampanan tetapi sebenarnya menjaga kepentingan pihak tertentu, misalnya menggunakan industri kesihatan bagi memajukan industri farmaseutikal (yang mencipta segala macam ubatan lalu memegang hakcipta).

Dalam Islam kesihatan adalah hak (rights bagi semua orang), bukannya perniagaan. Perubatan untuk kesihatan sepatutnya adalah suatu bentuk kebajikan bagi merawat orang yang jatuh sakit, bukan untuk membuat duit. Begitu juga halnya pendidikan. Perkara ini telah dirosakkan oleh penjajah (merujuk pada kolonialisma) terhadap tamadun Islam yang mana segala macam keperluan asas asalnya adalah sumbangan daripada orang ramai dan kerajaan. Hasilnya wujudlah pandangan yang sangat berbeza tentang makna kemampanan berbanding apa yang sepatutnya dalam Islam lalu ini mesti diperbetulkan.



Panelis ketiga Profesor Dr Mohammad Hashim Kamali, ketua pegawai eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies di Kuala Lumpur memanjangkan lagi konsep Syariah sebagai cara hidup untuk dikaitkan dengan kemampanan. Disebutlah tentang lima nilai tambah pada Maqasid Syariah iaitu tujuan bersyariah seperti berikut :-

1) Melindungi agama (protection of religion)

2) Melindungi nyawa (protection of lives)

3) Melindungi kewarasan (protection of rationality)

4) Melindungi keluarga  (protection of family and property)

5) Melindungi  harta benda (protection of property)

Ini semua terkait dengan usaha untuk menjadikan suatu masyarakat itu mampan. Keadilan harus dijalankan kerana dalam Islam ia penting untuk mendapatkan kemampanan. Prinsip-prinsip halal dan haram, kemaslahatan dan sebagainya harus dijaga. Kemudaratan harus dielakkan dan kalau berlaku pada kita (disebabkan tindakan suatu pihak) janganlah dibalas juga dengan kemudaratan.



Panelis keempat Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah, pengarah Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya memilih untuk mengangkat isu-isu kewanitaan. Hal poligami dan kuasa talak (oleh orang laki-laki, satu perkara yang tidak digemari puak-puak feminis dan anti-Islam) disebut tetapi dinyatakan dalam konteks Islam mengangkat kedudukan wanita terutama apabila dibandingkan keadaan mereka pada zaman jahiliah malah pada abad-abad menghampiri zaman sekarang.



Panelis kelima dan terakhir, guru saya di ISTAC iaitu Profesor Datuk Dr Osman Bakar, pemegang kursi Al-Ghazali Epistemology and Civilisational Studies pula mengupas perkara dengan cara membangkitkan tiga isu atau persoalan :-

1) Apakah kaitan antara Syariah dengan masyarakat mampan?

2) Apakah yang kita tahu dan fikir tentang perbicaraan semasa berkenaan masyarakat mampan?

3) Bagaimana kita boleh meningkatkan pemahaman konsep tentang masyarakat mampan?

Rasanya cukuplah ulasan daripada saya ya. Untuk penerangan dan pemahaman lanjut sila ikut sendiri majlis melalui rakaman di sini.


2 ulasan:

  1. Hakikatnya orang kita dah makin meminggirkan tasawwuf... Termasuklah yang berkata ini... padahal kalaulah mereka tahu kerana tasawwuf lah kita menjadi bangsa yang kuat dan hebat serta dimuliakan oleh Allah SWT...

    BalasPadam
  2. Jangan kata begitu saudara. Saya kenal secara peribadi salah seorang yang bercakap ini sebagai seorang sheikh Tariqat Shadziliyah. Cuma beliau tidak selalu memperkatakan hal keterlibatan dengan Tasawuf kecuali dalam kalangan rapat yang kecil dan tertutup. Beliau sebenarnya berjuang dalam dunia keilmuan berdasarkan Tawasuf tetapi membawa imej orang biasa akademik.

    BalasPadam