Jumaat, Januari 15, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan

 OK. Ingat lagi tak daripada hujung bulan November sehingga hampir pertengahan Disember tahun lalu saya ada mempersembahkan 5 buah artikel dalam satu siri yang dipanggil  "Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung"? Adapun apa yang telah dipersembahkan itu tak sampai pun separuh daripada perjalanan lama yang berlaku penghujung tahun 1997 hingga awal 1998 itu. Sekarang sempena PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasakan kembali lalu semua tidak boleh berjalan jauh biarlah disambung kembali penceritaan. Maka  bersambung kita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu.


Artikel lalu menunjukkan saya sampai ke Kuala Terengganu pada tengah hari Jumaat 2 Januari 1998. Ketika itu sudah 13 hari mengembara sejak meninggalkan Kuala Lumpur pada petang Ahad 21 Disember 1997. Jarak pengembaraan pula sudah menghampiri 1,880 km. Ini termasuk hampir 300 km pusing Pulau Langkawi dengan memandu kereta sewa dan 70 km pergi balik naik feri (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau). Yang lain semuanya dengan menunggang motosikal besar kesayangan yang ketika itu baru beberapa bulan dibeli.

Cuma untuk selepas tarikh tersebut saya tidak memiliki apa-apa lagi gambar perjalanan. Entah ke mana hilangnya jadi tiada lagi dapat dikongsi lalu tiada juga tarikh dan masa tepat boleh dirujuk. Dengan ini harus meneka-neka berdasarkan sedikit yang masih wujud dalam ingatan. Misalnya saya rasa selepas bermalam di Kuala Terengganu ada menginap di rumah saudara di Kemaman. Tetapi tak pasti. Takut terkeliru dengan perjalanan lain selepas itu.

Oleh kerana tiada lagi gambar perjalanan boleh dikongsikan biarlah artikel ini dan seterusnya dihias dengan mana-mana gambar berkenaan daripada perjalanan lain saya. Tak pun gunakan gambar yang boleh ditemui di Internet. Misalnya di atas adalah gambar di Rantau Abang, daripada satu perjalanan tahun 2012. Lihat artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh. Saya letak ini kerana pasti ada singgah di situ selepas meninggalkan Kuala Terengganu. Dan ini harus berlaku pada hari Sabtu 3 Januari.



Ini adalah gambar kampus Universiti Kolej TATI di Kemaman Terengganu, diambil daripada laman sesawang universiti (lihat sini). Saya kongsikan kerana pasti ada singgah di kampus. Ketika itu ia masih sebuah institut pengajian tinggi tetapi bukan bertaraf universiti. 

Di dalam kampus itulah terletak rumah saudara yang mana saya tak pasti apakah ada bermalam di Kemaman itu. Ketika itu seorang bapa saudara yang merupakan profesor bidang kejuruteraan di UTM (Universiti Teknologi Malaysia), Skudai, Johor telah dipinjamkan untuk menjadi pengarah pertama institut bernama TATI. Beliau adalah suami kepada adik ibu saya.

TATI adalah singkatan bagi Terengganu Advanced Technical Institute (Institut Lanjutan Teknikal Terengganu). Ditubuhkan pada tahun 1993, setahu saya ia adalah institut pengajian paling tinggi wujud di negeri tersebut pada waktu itu malah di seluruh Pantai Timur kalau tak salah. Persinggahan seterusnya adalah di Kuantan, Pahang. Di situ saya pasti ada menginap di rumah ibu saudara tidak jauh dari Pantai Teluk Cempedak. Cuma tak pasti berapa hari.


Gambar daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Santai di sekitar Kuantan (tahun 2011) ini menunjukkan Bukit Pelindung dari rumah ibu saudara di Kuantan. Pantai Teluk Chempedak terletak kira-kira 3 km ke selatan bukit. Kalau ada bermalam di Kemaman ini bermakna saya sampai di Kuantan pada hari Ahad 4 Januari. Kalau tidak maka ia pada 3 Januari. Di Kuantan pula memang pasti bermalam tapi tak ingat berapa hari. Ada kemungkinan 3 malam. Maka di sini ada ralat seperti berikut :-


1) Kalau tidak bermalam di Kemaman kemudian menginap satu malam sahaja di Kuantan. Maka perjalanan seterusnya harus bermula pada hari Ahad 4 Januari.

2) Kalau bermalam di Kemaman kemudian menginap 3 malam di Kuantan. Maka perjalanan seterusnya harus berlaku pada hari Rabu 7 Januari.


Nah. Ada ralat perbezaan sehingga 3 hari antara perkara 1 dengan perkara 2. Buat masa ini anggaplah perkara 2 adalah lebih benar. Sesungguhnya akan muncul ralat-ralat lain yang serupa nanti.  Oleh itu biar semua kemungkinan diambil kira sebelum dipilih satu untuk meneruskan penceritaan. Biar semuanya dinilai kembali apabila cerita siri perjalanan ini hampir selesai.

Sebetulnya apabila difikirkan kembali ada kemungkinan juga telah menginap di Kuala Terengganu lebih daripada satu malam. Kalau begitu saya telah bertolak keluar pada 4 Januari. Buat masa ini biar dianggap saya telah meninggalkan KT pada 4 Januari. Yang pasti pada fasa ini saya telah mengambil jalan tepian pantai lalu singgah di Rantau Abang. Sampai ke Kemaman singgah di rumah saudara di kampus TATI. Kemudian ke rumah seorang lagi saudara, adik ibu juga di Kuantan.



Apapun jangkauan perjalanan boleh dilakarkan seperti di atas. Dimasukkan sekali lokasi rumah saudara di Kuantan iaitu di Alor Akar diikuti Teluk Chempedak kemudian Kompleks Teruntum di tengah bandar sebelum kembali ke Alor Akar kerana memang ada membuat perjalanan sebegitu. Tetapi ini masih lakaran ringkas sedangkan saya suka pusing merata. Oleh itu walaupun Google Map meletakkan jarak keseluruhan perjalanan sebagai 224 km besar kemungkinan saya telah berjalan lebih 230 km. Kalau dicampur jumlah perjalanan sebelum itu iaitu hampir 1,880 km harus dah jadi sekitar 2,110 km. 

Oh. Lupa hendak beritahu. Pada 31 Disember 1997 orang Islam di Malaysia telah bermula puasa bulan Ramadhan.  Maka ketika sampai ke Kuantan sudah hampir seminggu juga saya berpuasa. Cukuplah cerita buat masa ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan