Selasa, Disember 08, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur

Salam semua. Masuk segmen keempat perjalanan lama. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau.



Cerita kali ini bermula selepas keluar dari Pulau Langkawi hari Isnin 29 Disember tapi tak ingat pada jam berapa. Yang ingat sampai sahaja kembali ke tanah besar terus menuju ke satu tempat yang boleh dilihat dalam peta sebagai sudut paling utara dan barat di Semenanjung.



Oleh kerana tidak memiliki apa-apa gambar daripada tarikh itu, mungkin sudah hilang, mungkin memang tak ambil untuk menjimatkan filem biar gambar-gambar yang diambil daripada Google Map menjadi gantinya.



Walaupun keadaan kelihatan begitu berbeza daripada apa yang saya ingat tahun 1997 cukuplah sebagai gambaran. Yang ingat dapat melihat suatu macam tembok menandakan sempadan Malaysia-Thailand sehingga ke laut (Selat Melaka) dengan tanah datar meluas, ada beberapa pohon sederhana besar terletak jarang-jarang. Saya ingat sempat tidur sebentar di atas motosikal besar.



Yang seterusnya masih dalam ingatan adalah mengambil jalan pendalaman mendekati sempadan Thailand di negeri Kedah menuju ke arah Tasik Pedu lalu sampai waktu malam. Sebelum itu harus melepasi pekan  Kangar diikuti Arau, Changlun dan Sintok. Tumpang menginap di sebelah pondok pengawal di pusat peranginan tasik. Gambar yang ada dalam simpanan menunjukkan keadaan tasik pada pagi esoknya 30 Disember (hari Selasa) jam 10:38.



Tasik Pedu daripada satu sudut lain. Boleh dilihat dalam peta bahawa ia adalah tasik terbesar di utara Semenanjung (selain Tasik Banding di dalam negeri Perak).



Saya tak pasti jika ini masih di Tasik Pedu. Tetapi melihat pada jarak masa hampir 40 minit berbanding gambar tadi besar kemungkinan ini adalah di Tasik Muda sekitar 15 km ke selatan.




Adapun Tasik Pedu terbentuk setelah hulu Sungai Pedu dibuat empangan. Peta Google Map menunjukkan airnya mengalir beberapa jauh sehingga membentuk sebahagian daripada Sungai Kedah. Tasik Muda pula terbentuk setelah hulu Sungai Muda dibuat empangan. Melihat pada masa dan kedudukan gambar atas ia harus diambil di hadapan empangan Sungai Muda...




Gambar ini kelihatannya diambil di kawasan rehat di atas pergunungan Banjaran Titiwangsa pada jalan perhubungan Timur-Barat. Yang pasti ketika ini saya sedang menuju ke Kelantan.




Yang ini jelas di Empangan Pergau. Letaknya beberapa kilometer melepasi sempadan negeri Perak masuk ke Kelantan.



Gambar seterusnya bertarikh 31 Disember hari Rabu. Tak pasti lokasi tepat tapi harus di sekitar Tumpat. Yang ingat selepas sampai ke Pergau sekitar jam 5.20 petang 30 Disember saya ke Rantau Panjang lalu bermalam di sana. Masih ingat malam itu sudah masuk bulan Ramadhan. Maka saya pun bersedia untuk berpuasa sebulan.



Lakaran perjalanan sejak kembali ke tanah besar dari Pulau Langkawi hari Isnin 29 Disember membawa ke Tumpat petang Rabu 31 Disember. Kalau dicampur pusing sana sini yang tidak dapat diperincikan dalam lakaran harus mendekati 490 km. Kalau dicampur 1,130 km sejak pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur petang Ahad 21 Disember (rujuk balik artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau) dah jadi 1,620 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan