Sabtu, Disember 05, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau

Dengar cerita PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) bagi membendung wabak virus COVID-19 dilanjutkan lagi di negeri Selangor kecuali di tiga buah daerah. Tak mengapa. Biar dikongsikan cerita segmen ketiga perjalanan 23 tahun lalu. Bersambung daripada Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas.



Gambar terakhir pada artikel terdahulu menunjukkan kemalangan lori terbalik di satu lokasi yang diperkirakan berada di sekitar Gurun, Kedah. Gambar ini menunjukkan kemalangan sama daripada sudut lain. Tertera walau kurang jelas tarikh 26 (Disember) yang jatuh pada hari Jumaat dan jam 15 :27 (lebih jelas pada gambar sebenar).




Gambar seterusnya yang masih wujud dalam simpanan menunjukkan kemalangan lori lagi tetapi di tempat lain. Tarikh dan waktunya pun lain iaitu pada 27 Disember hari Sabtu jam 13:50. Ini menunjukkan selepas melihat kemalangan lori di Gurun saya ada menginap di suatu tempat. Ingatan pula mengatakan saya pertama kali menaiki Gunung Jerai dalam pengembaraan bermotosikal solo ini pada tahun 1997. Cuma tidak ada gambar untuk membuktikan.

Ya. Zaman ini saya tidak mengambil begitu banyak gambar disebabkan had filem dan kamera, tidak seperti zaman selepas mengenali kamera digital tahun 2006 di mana kita boleh mengambil sebanyak gambar yang mungkin asalkan cukup RAM pada memory card. Apapun cuma beberapa kilometer sahaja selepas Gurun memang terdapat jalan tar naik sehingga ke puncak Gunung Jerai. Cuma seingat saya setakat sampai ke rumah peranginan atau resort bawah sedikit puncak. Ketika itu tidak tahu pun wujudnya dua lokasi terkenal gunung iaitu perigi Tok Sheikh dan padang Tok Sheikh ke hadapan lagi menuju ke puncak. Berdasarkan kedudukan dan tempoh waktu yang tertera dalam gambar-gambar besar kemungkinan saya bermalam di Alor Setar selepas turun daripada gunung. Selepas itu baru terlihat kemalangan lori yang ditunjukkan dalam gambar atas.




Gambar ini pula diambil di Pantai Chenang, Langkawi pada 28 Disember hari Ahad jam 16:18. Saya ingat ada bermalam di tepian pantai menggunakan sleeping bag. Soalnya apakah pada malam sebelumnya atau selepas itu? 

Sebetulnya masuk ke Pulau Langkawi dari arah mana pun tak ingat. Apakah dari jeti Kuala Kedah 11 km ke barat  pusat bandar Alor Setar (sekarang bandar raya) atau jeti Kuala Perlis 45 km ke utara dan barat? Fikir saya buat berapa lama adalah dari Kuala Kedah. Tetapi gambar kemalangan lori pada 27 Disember menunjukkan kemungkinan ia berlaku di utara Alor Setar. Ini kerana ada tertera nama Kedai Emas Hajah Sofiah dalam gambar. 

Carian Google menunjukkan wujud kedai atas nama ini di Kodiang, 43 km ke utara Alor Setar. Walaupun lokasinya jelas berlainan pada tahun 1997 kerana Google Map menunjukkan kedai sekarang terletak bukan lagi di tepian jalan besar kedai-kedai sebegitu selalunya tidak berpindah jauh dari tempat asal. Apapun saya ingat sampai ke Pulau Langkawi lewat petang lalu terus menyewa sebuah kereta Proton Saga lama pada kadar RM70 bagi 24 jam. Motosikal besar ditinggalkan berkunci di satu bangunan berdekatan jeti lalu saya pun mengambil feri ke Langkawi. 

Ya. Bila difikirkan kembali ada logiknya saya naik dari Kuala Perlis kerana perjalanan ferinya lebih singkat iaitu 1 jam 15 minit berbanding dari Kuala Kedah iaitu 1 jam 45 minit. Tetapi saya ada ke Kuala Kedah terlebih dahulu untuk melihat jadual dan harga. Saya ingat ada memikirkan mahu membawa motosikal naik feri - Ketika itu perkhidmatan dari Kuala Kedah sahaja yang boleh membawa kenderaan persendirian ke pulau, feri Kuala Perlis untuk penumpang sahaja. Tetapi harganya agak mahal... lebih murah menyewa kereta di Langkawi.

Kalau begitu kemalangan yang gambarnya diambil pada jam 13.50 harus berlaku di suatu lokasi antara Kuala Kedah dengan Kuala Perlis. Memang terdapat sebatang jalan lurus mendekati pantai menghubungkan dua tempat tersebut. Ya. Logik juga selepas makan tengah hari di Alor Setar saya ke Kuala Kedah kemudian baru ke Kuala Perlis. Selepas menyewa kereta di Langkawi terus membuat perjalanan pusing pulau lawan arah jam. Sampai ke Pantai Pasir Hitam (Black Sand Beach) di bahagian 'belakang' pulau (maksudnya belakang utara dari pekan Kuah di mana terdapat jeti bagi perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah) pada waktu senja sedangkan menurut Google Map jaraknya dari jeti Kuah adalah sekitar 21 km bersamaan 25 minit perjalanan. Ertinya feri sampai sekitar atau hampir jam 7. Memang logik sangat...

Saya ingat perjalanan pusing pulau lawan arah jam diteruskan dalam kegelapan malam ke arah barat. Ternampak simpang ke Teluk Datai (Datai Bay) saya pun masuk sehingga sampai ke resort mahal di penghujung jalan kalau tak salah. Seterusnya menuju ke Pantai Chenang lalu bermalam di tepian pantai. Esoknya jalan lagi. Rasanya sampai ke jeti Kuah di mana saya membuat keputusan untuk menyambung sewa kereta lagi 24 jam untuk berjalan-jalan. Yang pasti saya berada lagi di Pantai Chenang pada jam 4: 15 petang Ahad 28 Disember selepas masuk pulau lewat petang 27 Disember.



Gambar atas yang diambil di bahagian atas Telaga Tujuh pada jam 6 petang 28 Disember menunjukkan memang saya menginap di Langkawi lagi satu malam. Letaknya dari Pantai Chenang sahaja sudah 18 km ke arah utara kemudian barat. Nak balik ke jeti Kuah terdapat jarak 31 km bersamaan lebih 40 minit pemanduan tanpa berhenti mahupun gangguan. Memang tak sempat hendak mengejar feri keluar pulau. Jadi memang saya kembali ke tanah besar pada keesokan hari, Isnin 29 Disember. Maka itu biarlah artikel ini ditamatkan pada tahap keluar pulau.




Dengan itu perjalanan dari Gurun pada petang Jumaat 26 Disember membawa ke jeti Kuala Perlis petang Sabtu 27 Disember boleh dilakarkan seperti di atas. Perjalanan pusing Pulau Langkawi diikuti ulang alik Pantai Chenang ke jeti Kuah pula dilakarkan di bawah...



Jumlah jarak perjalanan bagi keseluruhan segmen dicampur dengan pusing-pusing bandar dan sebagainya yang tidak dapat dimasukkan ke dalam lakaran harus mencapai 300 km. Campur pula perjalanan feri (pergi balik ke Kuala Perlis dalam 70 km) jadilah 370 km. Dicampur jarak sejak pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur (segmen pertama 320 km dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands diikuti segmen kedua 440 km dalam Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas)  dah jadi 1,130 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan