Isnin, September 14, 2020

Pusat lama kerajaan Aceh di Kampung Pande - Selamatkan bukti penting keberadaan awal Islam di Alam Melayu

Salam petang Isnin 26 Muharram 1442 Hijriah. Sepatutnya semalam atau hari ini saya menyambung penceritaan perjalanan terbaru saya dan keluarga ke utara iaitu daripada artikel Misi menghantar anak balik kolej - Pusing sedikit Taiping dan cerita kereta tak boleh hidup sebelum meluncur ke Pulau Pinang (dipersembahkan Khamis lalu). Tetapi saya telah menerima permintaan daripada seorang sahabat baik di Aceh agar dapat membantu menangani masalah ancaman satu situs atau tapak bersejarah penting di tempat mereka. Adapun situs tersebut bukan sahaja penting bagi masyarakat Aceh yang cintakan agama, bangsa dan negara, ia juga penting buat seluruh umat Melayu dan Islam di Alam Melayu dan Asia Tenggara. Ini kerana ia pernah menjadi pusat awal kerajaan Aceh yang umum tahu adalah kerajaan utama selepas Melaka dalam membela nasib umat Islam di bumi Timur. Pada tapak itu wujud bukti-bukti kedatangan Islam sejak 800 tahun lalu malah lebih awal daripada itu.


Gambar ini diambil daripada artikel HIKMAH Aceh 2017 - Lawatan lapangan ke tinggalan Kampung Pande yang dipersembahkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) lebih 3 tahun lalu. Ia menunjukkan sejumlah batu nesan Aceh sedang diselamatkan oleh beberapa orang aktivis anak muda sana. Mereka bergerak atas nama MAPESA iaitu singkatan bagi Masyarakat Peduli Sejarah Aceh. Anak-anak muda yang ramai terdiri daripada pelajar universiti ini rajin turun padang membersihkan juga memugar makam-makam lama di serata Aceh menggunakan duit poket sendiri.


Kawasan ini juga kawasan sekitarnya asalnya adalah daratan berdekatan kuala Sungai Aceh. Tetapi ombak besar Tsunami yang menerjah ganas hampir 16 tahun lalu sehingga mengorbankan lebih 200,000 nyawa iaitu  pada tarikh 26 Disember 2004 telah mengundurkan garisan pantai sehingga memakan daratan 3 km ke dalam. Akibatnya kawasan ini dan sekitarnya digenangi air laut hingga kini. Sedangkan ia termasuk di dalam kawasan pusat lama kerajaan Aceh lalu mengandungi bukti-bukti penting keberadaan Islam di Alam Melayu/Asia Tenggara. 


Apabila surut air laut baru dapat dicari kesan-kesan tinggalan ini. Antaranya adalah batu-batu nesan  lama penuh ukiran berseni menandakan kedudukan makam orang-orang penting seperti raja, para pembesar dan ulamak-ulamak berwibawa dahulukala. Ia sudah lama berselerak masuk ke dalam lumpur dan sebagainya. Setelah beberapa tahun baru dapat ditemui lalu didirikan kembali oleh para aktivis terutama daripada MAPESA. 

Daripada batu-batu nesan ini dapat dibaca catatan-catatan terukir dalam bentuk khat menunjukkan ketinggian peradaban lama yang menjangkau pengaruhnya sehingga ke seluruh dunia Islam zaman dahulu. Dalam lawatan hampir penghujung Mac tahun 2017 itu kami diberikan penerangan tentang situs, kepentingannya dalam sejarah serta usaha-usaha bagi menyelamatkannya. Untuk pengetahuan lawatan adalah sebahagian daripada program HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) anjuran pihak saya dengan kawan-kawan aktivis di Aceh. Lihat Misi HIKMAH Aceh 2017 - Berlangsunglah acara yang memberi nama.... HIKMAH diasaskan pada 12 Oktober 2012 sebagai satu ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook. Majlis ilmu atas nama HIKMAH diadakan sebagai lanjutan daripada cadangan peminat  agar saya mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam. Lihat HIKMAH - Bagaimana ia bermula.


Secara rata kawasan ini termasuk di dalam lingkungan besar apa yang dipanggil sebagai Kampung Pande. Ini kerana dikatakan pada zaman dahulu ia menempatkan banyak orang pandai (itu yang disebut pande) atau pakar dalam pelbagai bidang seperti pertukangan besi. Ada bahagian yang masih terletak di atas daratan lalu menempatkan bukti-bukti sejarah yang lebih tersusun. Pun begitu sejak sekian lama ia seperti tidak dipedulikan malah dijadikan pula tempat pembuangan sampah sehingga berbukit bertimbun mencemarkan suasana dan pemandangan. Nasib baik ada anak-anak muda dan mereka yang peduli seperti MAPESA memperjuangkan kerana melihat pentingnya kawasan dilestarikan sebagai bukti kukuh keberadaan awal Islam di Alam Melayu.


Termasuk di dalam lingkungan besar Kampung Pande adalah apa yang sudah diiktiraf sebagai tempat bermulanya Banda Aceh, pusat Kesultanan Aceh 800 tahun lalu. Sekadar berkongsi pengalaman, saya pertama kali sampai bersama keluarga  pada tahun 2014. Lihat artikel Tapak pusat kerajaan awal Aceh (Site of the centre of Aceh early kingdom) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Dua tahun lebih awal pula kami telah menziarahi makam-makam lama di sekitar itu. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri. Tetapi apabila disemak kembali perjalanan-perjalanan lama rupa-rupanya kami sudah sampai sejak tahun 2009 lagi. Lihat artikel Dari Syiah Kuala keluar Banda Aceh... singgah di 'Anjung' juga di 'Kandang'....



Berbalik pada lawatan lapangan tahun 2017. Tidak lama kemudian muncul ancaman baru berupa projek pembinaan infrastuktur pembuangan air najis di Kampung Jawa berdekatan Kampung Pande. Malah dalam tempoh beberapa bulan selepas itu ia sampai pada peringkat sudah didirikan kepuk bangunan batu setelah tanah sekeliling dikorek dan dibongkar ke paras tertentu. Sebetulnya Kampung Jawa boleh dikira termasuk di dalam lingkungan besar kawasan Kampung Pande. Projek ini secara efektiknya menggusur sejumlah makam lama bahkan bakal mencemarkan kedudukan keseluruhan kawasan sebagai tapak bersejarah penting dalam memartabatkan keberadaan Aceh, satu keberadaan yang terkait dengan perkembangan Islam ke seluruh Alam Melayu 800 tahun lalu. 


Projek yang dipanggil IPAL (Instalasi Pengolahan Air Limbah) boleh menyebabkan seluruh kawasan tercemar dengan laluan air najis. Tentu ini tidak setimpal dengan kedudukan kawasan sebagai pusat penting peradaban Aceh yang terkait dengan kemuliaan martabat orang Melayu juga Islam secara keseluruhan. Nasib baik setelah beberapa lama dibantah projek diberhentikan buat sementara. Lihat ulasan saya yang agak panjang lebar dalam artikel Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman?. Dengan munculnya cadangan-cadangan agar projek dialihkan ke lokasi lain yang tidak mengancam tapak-tapak penting bersejarah ingatkan Kampung Pande dan persekitarannya sudah selamat daripada ancaman. Rupa-rupanya belum lagi. Dalam sebulan dua kebelakangan muncul berita bahawa IPAL akan dilanjutkan kembali di tempat sama.


Entah kenapa pihak berkuasa diberitakan masih berkeras untuk melanjutkannya. Agak pelik ini kerana Aceh penduduknya 99% Islam, hampir kesemuanya berbangsa Melayu Aceh. Lainlah kalau di Malaysia yang mana bangsa bukan Melayu dan bukan Islam lebih jumlah, lebih berkuasa dan lebih berduit untuk menentukan hala tuju walaupun jelas merugikan Melayu dan Islam. Apakah terdapat tekanan daripada pihak tertentu agar situs penting sejarah di Kampung Pande dirosakkan? 

Apakah terdapat usaha untuk membendung kebangkitan semangat jati diri sebenar Aceh? Apakah ada yang takut kalau jiwa anak-anak Aceh menjadi betul-betul merdeka setelah dapat menghayati sepenuhnya semangat lama kerajaan melalui bukti-bukti sejarah? Kelihatannya begitu. Malah sejarah keberadaan Aceh dan bagaimana ia boleh masuk menjadi sebahagian daripada negara Indonesia  bermula tahun 1946 menyokong telahan ini. 

Sebetulnya apa yang diulas dalam artikel  Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman? 3 tahun lalu sudah cukup untuk menerangkan isu. Cuma ia bukan yang terkini apa lagi menyeluruh. Untuk mengikuti dengan lebih baik perkara sila masuk ke Facebook MAPESA. Anda dapat mengikuti perkembangan sejak daripada mula berserta pelbagai usaha dan penemuan MAPESA demi memartabatkan kembali sejarah Islam Aceh yang sebenarnya melibatkan seluruh Alam Melayu. 


Sesungguhnya kawan-kawan di Aceh sangat mengharapkan agar para aktivis di Malaysia terutama saya  melakukan sesuatu untuk mempengaruhi pihak berkenaan agar memberhentikan projek IPAL di Kampung Pande.  Saya diingatkan bagaimana satu usaha melalui HIKMAH 8 tahun lalu telah berjaya menghentikan ancaman terhadap situs bersejarah lain, sekitar 40 km ke timur Kampung Pande. Di atas adalah gambar sahabat berkenaan berpakaian tradisional Aceh ketika menghadiri acara ke-2 HIKMAH di Melaka pada penghujung tahun 2012. Melalui sumbangan seorang kawan lama saya zaman kolej kami telah menaja kedatangan 2 orang wakil MAPESA untuk mengenengahkan perkara. 

Seorang lagi pula datang bersama menggunakan belanja sendiri. Lihat Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka. Ancaman berupa  pembinaan padang golf tajaan pihak luar negara dilihat bakal merosakkan keseluruhan situs bersejarah lalu menghilangkan bukti ketinggian peradaban lama Islam di situ. Malah ditakuti mereka ada motif lain - Sambil membina padang golf sambil mengorek khazanah lama termasuk emas yang dipercayai wujud dalam tanah. Disebabkan wakil MAPESA dibawa membentang kerajaan pusat Indonesia di Jakarta katanya terpaksa mengambil tahu lalu harus bertindak membatalkan projek. Ini kerana acara kami mendapat sokong kerajaan negeri Melaka. Maka isu yang dibangkitkan pun menjadi isu antarabangsa. 

Sesungguhnya situs berkenaan yang merupakan  tapak pusat kerajaan lama Lamuri sangat kena mengena dengan keberadaan kerajaan awal Aceh. Perincian tentang kawasan boleh dilihat dalam artikel  Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri iaitu setelah saya membuat lawatan lapangan tahun 2015. Sekarang Kampung Pande yang merupakan tapak awal pusat kerajaan Aceh pula sedang menerima bahana. Tentunya kerjasama serupa diharapkan daripada kami di Malaysia walau sedang tersekat pergerakan disebabkan PKP iaitu Perintah Kawalan Pergerakan demi membendung wabak virus Covid-19.


Gambar ini diambil ketika kami mengadakan satu lagi acara HIKMAH di Aceh tahun lalu. Sesungguhnya kerjasama kami para aktivis kedaulatan Melayu di Malaysia dengan para pencinta sejarah di Aceh telah menjangkau tempoh 8 tahun dengan 3 kali acara HIKMAH diadakan di sana. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014





Maka jangan hairan jika kami tidak sanggup melihat kawan-kawan di Aceh berjuang bersendirian mempertahankan situs sejarah penting di Kampung Pande tanpa kami di sini berusaha untuk melakukan sesuatu. Sesungguhnya selama ini, sepanjang sebulan dua projek IPAL timbul balik saya hanya sekadar memerhati sahaja daripada jauh kerana tidak mahu lagi campur tangan dalam hal ehwal sana. Ini disebabkan sejak beberapa lama wujud tuduhan bahawa saya berhajat pada takhta Aceh. Disebabkan ada memiliki darah keturunan diraja sana keprihatinan saya terhadap isu-isu sejarah dan kemasyarakatan Aceh telah disalahtafsirkan pihak-pihak tertentu lalu mereka berusaha untuk memburukkan saya.

Tetapi apabila sahabat baik dari Aceh menelefon meminta pertolongan semalam itu tanda kawan-kawan aktivis sana sedang menghadapi saat-saat genting. Kelihatan usaha mereka sedang menemui jalan buntu lantaran pihak berkuasa dan berwajib seperti tidak menghiraukan saranan mereka. Oleh itu sahabat ini sangat mengharapkan pertolongan saya terutama atas nama HIKMAH agar boleh membuahkan sesuatu. Dengan itu saya menyeru semua pembaca terutama para aktivis sejarah dan kedaulatan Melayu berserta rakan-rakan HIKMAH agar turut sama membantu. Sekurang-kurangnya sebarkan penulisan ini sehingga semua orang cakna isu jika tidak pun sampai kepada pihak berwajib di Malaysia yang mampu mempengaruhi keputusan pihak berwajib di Indonesia. Perlihatkan kepedulian antarabangsa agar projek IPAL di Kampung Pande dapat diberhentikan buat selama-lamanya.




Tambahan (dibuat jam 8.55 malam) : Selepas masuk waktu Isyak saya mencari lagi berita-berita berkenaan projek dan ancaman. Terjumpa video yang telah dimuatnaik ke Youtube kurang seminggu lalu ini. Semoga memudahkan pembaca/penonton untuk memahami isu lalu dapat membantu dengan tindakan sewajarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan