Jumaat, Februari 21, 2020

Membebaskan penceritaan Pulau Pinang daripada kerangka penjajah - British menipu apabila mewar-warkan pulau diserahkan oleh Sultan Kedah

Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat yang dipersembahkan semalam ada diberitahu bahawa pada siang itu Khamis saya ada menghadiri satu lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini ceritanya...



Majlis merupakan syarahan oleh Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican, ketua unit Tamadun Islam di ISTAC. Saya tidak tahu apakah perkataan Melayu yang sesuai untuk membawa makna "decolonizing" pada tajuk. Namun saya tahu apakah maknanya dan konteks. Oleh itu biar terjemahkan tajuk sebagai "Membebaskan Penceritaan Pulau Pinang Daripada Kerangka Penjajah".


Saya sampai beberapa minit sebelum syarahan dijadualkan bermula jam 10 pagi. Kelihatan ramai orang berumur sudah datang. Kebanyakannya kawan-kawan lama Murad dari Pulau Pinang.


Universiti DRB-HICOM yang berpusat di Pekan, Pahang adalah satu penganjur majlis. Ia dibuka dengan naib canselor universiti, Profesor Dato Dr. Omar Osman memberikan kata-kata aluan.


Satu lagi penganjur selain ISTAC itu sendiri adalah CENPRIS (Centre for Policy Research & International Studies - Pusat Kajian Polisi & Pengajian Antarabangsa) USM (Universiti Sains Malaysia). Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada CENPRIS bertindak sebagai moderator lalu memberi pengenalan subjek.


Secara mudah ia adalah tentang menggali kembali sejarah Pulau Pinang berdasarkan sumber tempatan lalu keluar daripada kerangka penceritaan penjajah yang selama ini menjadi pegangan ramai. Ahmad Murad yang merupakan anak jati Pulau Pinang pun menceritakan kenapa beliau begitu berminat tentang subjek.


Beliau melihat umum malah pengkaji termasuk para sejarawan tempatan berbangsa Melayu itu sendiri sudah lama terbuai dengan naratif atau penceritaan penjajah Barat yang berat sebelah. Kita selalu disuakan dengan cerita Francis Light dari Britain membuka Pulau Pinang tahun 1786. Seolah-olah tidak pernah ada penduduk tempatan sebelum itu. Lalu dibukalah cerita tentang penempatan-penempatan Melayu yang sudah wujud lebih awal. Didapati ada bukti bahawa Batu Uban (di bahagian tengah pantai barat pulau) sudah ada bandar dan pelabuhan pada tahun 1734.

Lebih dekat ke bandar raya Pulau Pinang (yang sering disebut sebagai Georgetown oleh mereka yang masih mengagung-agungkan nama pemberian penjajah itu) diketahui sudah wujud pemimpin masyarakat yang dikenali sebagai Dato' Keramat tahun 1710. Pada tahun itu juga terdapat 2,000 orang Melayu di Sungai Pinang. Tetapi setelah beberapa lama mereka dihalau keluar.


Apapun, sumber-sumber Barat itu sendiri mengakui Pulau Pinang adalah penting kepada Kesultanan Kedah. Ia adalah milik Sultan Kedah.


Tetapi berlawanan dengan sejarah yang sudah diterima ramai Pulau Pinang sebenarnya tidak pernah dipajak mahupun dilepaskan kepada penjajah melalui apa-apa bentuk perjanjian penulis.





Yang ada cuma usaha-usaha diplomatik dan surat menyurat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Tetapi ia sebenarnya tidak pernah dipersetujui dan perjanjian belum ditandatangani kerana belum memenuhi syarat yang diminta sultan. Yang ada cuma pengumuman bahawa Syarikat British Hindia (East Indies Company) mengambil alih pulau secara rasmi oleh Light. Ini bukan sahaja melanggar piawaian Eropah dan melanggar undang-undang antarabangsa malah merupakan penipuan terhadap Sultan Abdullah yang sedang memerintah Kedah.


Namun penipuan ini nampaknya tidak disedari mahupun diketahui ramai. Sehingga sarjana terkenal Barat, Winstedt yang tulisannya menjadi rujukan ramai pengkaji sejarah luar dan tempatan secara salah menyatakan pulau diserahkan kepada sultan melalui syarat-syarat tertentu...


Sarjana Wright dan Reid pula menyatakan lambat laun Sultan menandatangani perjanjian setelah diberi faham ia akan diserahkan untuk persetujuan akhir baginda. Kata Murad tidak ada bukti bagi itu.


Naratif atau cerita Barat bahawa Pulau Pinang telah diserahkan kepada mereka secara 'sah' terus  dipegang hingga ke hari ini sehingga kitab At-Tarikh Salasilah Kedah yang ditulis Kerani Arshad atas perintah Sultan tahun 1928 pun memakai kerangka sama. Ini menunjukkan Sultan-sultan Kedah kemudian pun tidak sedar bahawa 'penyerahan' itu adalah satu penipuan. Pun begitu pulau tetap didambakan Sultan...


Berbalik pada Francis Light. Ada buku boleh dirujuk untuk mengetahui siapakah sebenarnya beliau. Kata Murad, Light sebenarnya adalah seorang peniaga dan nakhoda, bukan pegawai British seperti dianggap ramai. Cuma beliau yang katanya telah duduk lalu bercampur gaul dengan orang Melayu lama sejak tahun 1771 sehingga biasa memakai baju Melayu, meluas percampurannya sehingga baik dengan golongan istana beberapa kerajaan pandai mencapai tujuan sehingga akhirnya menjadi orang kepercayaan British.


Ditunjukkan beberapa buku yang boleh dibaca tentang sejarah Pulau Pinang dan penempatan-penempatana awal...





Namun menurut Murad ia masih membawa kerangka penceritaan Barat.


Penceritaan sebegitu terus dipanjangkan oleh mereka yang kurang tahu juga oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak mahu orang Melayu faham hal sebenar...


Hingga artikel-artikel yang ditulis oleh mereka yang mahu memperjuangkan keberadaan orang Melayu di Pulau Pinang pun dikeluarkan di media massa dengan bentuk yang kelihatan masih mengagungkan Francis Light.





Kata Murad bermula dengan buku ini baru ditemukan kajian yang mempersoalkan naratif Barat.


Sekarang sudah terdapat beberapa usaha untuk menaikkan nama tokoh-tokoh lama Melayu Pulau Pinang seperti Datuk Janaton dengan memakaikan nama mereka pada tempat-tempat...





Ada pula buku-buku hasil tulisan Murad sendiri untuk mengangkat kembali penceritaan versi penduduk Melayu tempatan supaya kita semua keluar daripada kerangka Barat...





Usaha diteruskan dengan mendesak agar nama-nama tempat yang jelas berbau Barat ditukar kepada nama berbau tempatan.



Ditunjukkan senarai nama beberapa tempat yang sudah wujud di Pulau Pinang sebelum 1786 iaitu tahun kedatangan Light.








Nama-nama lama Pulau Pinang seperti dikenali beberapa pihak. "Pulau Pinaom" yang jelas adalah sebutan pelat ditemui dalam satu sumber Portugis. Ia menunjukkan nama Pulau Pinang sudah dikenali jauh lebih awal daripada kedatangan Light.


Malah didapati tahun 1600 lagi sudah datang tokoh besar bernama Nakhoda Ragam yang dipercayai seorang Sultan Brunei yang suka belayar membawa pancaragam.


Senarai nama tokoh-tokoh lama Melayu dengan tahun-tahun diketahui pasti mereka sudah wujud di Pulau Pinang...


Dipanjangkan cerita tentang Dato Janaton yang rupa-rupanya ada kaitan dengan Murad.





Secara rata Murad telah memberikan satu naratif segar yang menyokong keberadaan orang Melayu di Pulau Pinang. Selama ini mereka telah dianak-tirikan akibat naratif Barat meletakkan mereka seperti orang luar duduk menumpang dalam rumah setinggan








Hal inilah yang menyebabkan mereka dengan senang boleh dihalau keluar oleh pemerintah dan tanah tempat duduk dirampas. Walhal bukan sahaja ini salah. Malah penceritaan selama ini yang kita  dengar bahawa Pulau Pinang (kononnya) diserahkan oleh Sultan Kedah itu satu penipuan besar yang sepatutnya didedahkan lalu diberikan tuntutan sewajarnya menurut undang-undang sehingga boleh dikembalikan kepada kerajaan Kedah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan