Khamis, Februari 27, 2020

Bukti dan legasi kerajaan Langkasuka - Antara rasa dan bukti empirikal

Salam petang Khamis 3 Rejab. Ada perkongsian daripada acara di Muzium Negara semalam.


Ini adalah poster bagi acara berkenaan pagi Rabu 26 Februari 2020. Ini adalah edisi terbaru siri wacana ilmu di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) atas nama "Bicara Muzium".


Isteri sudah lama mengajak ke majlis setelah menerima undangan khas daripada pihak muzium. Sampai masanya kami pun bergegas ke lokasi tepat majlis iaitu auditorium muzium.


Kelihatan ruang legar auditorium meriah dengan aktiviti. Seperti pada kali terakhir kami bertandang ke muzium hujung tahun lepas kami diberikan ruang untuk menjual buku. Lihat Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi.








Jam 9.50 kami pun masuk ke auditorium.


Jam 10 baru muncul tetamu utama lalu majlis pun bermula.


Seperti biasa ada nyanyian Negaraku dan lagu muzium...





Tetamu utama itu adalah ketua pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim. Beliau memberikan ucapan pembukaan dengan menyatakan bahawa majlis ini adalah kesinambungan daripada pameran "Lost Kingdoms" atau "Kerajaan-kerajaan Hilang" yang sedang berlangsung di bahagian pameran sementara Muzium Negara. Cuma penumpuan kali ini diberikan terhadap kerajaan Langkasuka yang pernah wujud di bahagian utara Semenenanjung. Disebut bahawa nama Langkasuka itu ada dinyatakan dalam kitab  Hikayat Merong Mahawangsa sebagai berada di Kedah. Namun ada yang memberikan lokasi lain.


Selepas beberapa lama para panelis pun dipanggil untuk duduk di hadapan. Memperkenalkan adalah moderator Encik Nasrulamiazam bin Mohd Nasir, seorang pegawai JMN. Poster majlis menyebut para panelis seperti berikut :-


1. Encik Eddin Khoo Bu Eng, pengasas pusat budaya PUSAKA

2. Encik Mohd Zamberi bin A. Melak, penyelidik bebas

3. Profesor Madya Dr Farish Noor, Nanyang Technological University Singapura


Cuma Farish Noor sahaja tidak dapat hadir disebabkan dilarang keluar daripada negara Singapura. Ini disebabkan masalah serangan Coronavirus Covid 19 yang sedang melanda banyak negara telah menyebabkan Singapura meletakkan tahap berjaga-jaga kepada warna jingga (orange alert, bawah satu tahap sahaja daripada tahap cemas red alert).


Giliran pembentangan tidak mengikut nombor dalam poster sebaliknya moderator meminta Zamberi memulakan. Pengkaji berumur ini pun membuka dengan menceritakan bagaimana suatu masa dahulu pihak muzium menyatakan pernah mahu menerbitkan manuskrip beliau tentang kajian Langkasuka. Tetapi berlaku  beberapa hal menyebabkan ia seperti ditolak ke sana ke mari. Setelah beberapa lama baru terbit dengan tajuk "Langkasuka : Negara Melayu Pertama" (rujukan di Internet menunjukkan ia terbitan sebuah syarikat swasta tahun 2011). 


Selepas itu barulah beliau bercakap tentang bukti kewujudan Langkasuka. Disebutlah nama kerajaan seperti direkodkan dalam catatan purba Hindi dan Cina menurut pelat cara sebutan dan tulisan masing-masing. Secara rata beliau mahu mengatakan bahawa Langkasuka wujud di pantai timur Semenanjung sekitar wilayah Patani sekarang, bukan di Kedah. Ia telah wujud seawal tahun 100 lebih Masihi (beliau memberikan beberapa nombor dan saya tidak mencatit. 

Hal ini sebenarnya boleh dirujuk sendiri dalam beberapa sumber Internet. Namun kedengaran kenyataan beliau seperti keliru apabila menyebut ia sebagai bermula pada abad pertama Masihi. Menurut takrif pernomboran yang saya faham, angka 0 hingg 99 Masihi itu baru boleh disebut sebagai abad pertama. Kalau 100 hingga 199 sudah masuk abad kedua Masihi.


'Pembentangan' kedua adalah rakaman video menonjolkan buah fikiran Farish dari Singapura. Ia adalah ganti tidak dapat hadir akibat dilarang keluar dari Singapura. Beliau membuka dengan menceritakan cara pensejarahan awal Barat terhadap Alam Melayu yang menurut beliau sebenarnya tidaklah mengikut kaedah pensejarahan sepatutnya yang digunakan para akademik. Sebaliknya ia lebih bersifat politik dalam konteks pihak kolonial atau penjajah mahu merendahkan anak watan sebagai justifikasi atau alasan untuk menjajah lalu 'mendidik' mereka.


Oleh itu sejarah harus dikaji kembali menurut kaca mata anak watan. Namun saya tidak dapat mendengar Farish menyebut tentang Langkasuka langsung. Yang banyak disebut adalah bagaimana pegawai British, Stamford Raffles membentuk pandangan dalam menulis buku "The History of Java"  (sejarah Jawa) menurut cara gurunya William Marsden menulis buku "The History of Sumatra" (sejarah Sumatera) iaitu menurut kaca mara berat sebelah Barat. Lalu ini diikuti oleh para pengkaji Barat yang lain seperti Skeats dan Winstedt kemudian semua ini menjadi rujukan para pengkaji tempatan. Pada penghujung rakaman ada disebut tentang "Lost Kingdoms". Nampaknya Farish sekadar tahu wacana melibatkan kerajaan-kerajaan hilang yang pamerannya sedang berlangsung di Muzium Negara tetapi terlupa pengkhususan telah diberikan terhadap Langkasuka.


Akhir sekali adalah pembentangan oleh Eddin Khoo, anak kepada sejarawan terkenal tanah air, mendiang Profesor Emeritus Khoo Khay Kim. Beliau yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti seni tradisional Melayu seperti persembahan wayang kulit selalu berulang-alik ke Pantai Timur dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang baik.


Saya paling tertarik apabila beliau menceritakan perbualan dengan Allahyarham Nik Rashiddin, (pengukir kayu terkenal yang namanya diabadikan pada Akademi Nik Rashiddin atau ANR dekat Bachok, Kelantan). Seniman besar yang diakui sebagai mahaguru kepada ramai pengukir kayu tradisional ini selalu membuat ukiran hulu atau pemegang keris menggunakan motif Tajong yang juga disebut sebagai motif Langkasuka. Eddin pernah bertanya (saya tulis setakat ingat dalam kepala) : "Bagaimana Abe (Abang) tahu ini dari Langkasuka?". Jawab arwah : "Sebab saya dapat merasakan dari dalam tanah".


Beberapa perkara berkaitan kemudian dibincangkan dalam sesi soal jawab termasuk kenyataan dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyebut Langkasuka bermula di kaki Gunung Jerai pada suatu zaman di mana ia masih sebuah pulau bernama Pulau Serai. Zamberi menolak ini 100 peratus dengan menggunakan antara lain kenyataan dalam Hikayat Patani yang meletakkannya di Pantai Timur. Saya pula lebih tertarik untuk melihat perbandingan antara rasa dan keperluan untuk mendapatkan bukti empirikal. Ini kerana saya telah mendapat banyak petunjuk dalam pengkajian sejarah melalui mimpi.

Dalam siri syarahan "Classifications of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar yang sering saya ikuti di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya dapati ulamak-ulamak silam Islam yang hebat-hebat dalam ilmu sains pun tidak menolak mimpi, apatah lagi mereka yang bergelumang dalam dunia Sufi dan Tasawuf. Cuma yang dipersoalkan adalah apakah itu mimpi mainan tidur atau satu petunjuk yang boleh dipakai. Sebetulnya ada kaedah untuk menapis mimpi supaya dapat mengambil perkara yang benar (jika ada) lalu membezakannya dengan angan-angan atau apa-apa yang tidak boleh dipakai. Maka itu dikatakan mimpi yang benar adalah 1 daripada 40 bahagian kenabian.

Tetapi Zamberi sebagai seorang anak Melayu Islam yang sering menyebut dirinya sebagai orang kampung kelihatan seperti meremehkan mimpi apabila memulakan pembentangan dengan menyatakan dia tidak mendapat apa yang dia tahu daripada mimpi. Sebaliknya Eddin yang bukan beragama Islam, lahir dalam keluarga warga bandar yang berada lagi berpendidikan tinggi pula menyebut tentang rasa lalu meminta hadirin untuk mengambil kira perkara-perkara berkaitan sebagai satu world view (pandangan sarwa jagat) orang Melayu dalam menanggapi sejarah tempatan. Terasa seperti dalam keghairahan mahu meletakkan diri sebagai seorang ahli akademik berwibawa kita sebagai anak Melayu sanggup menolak satu sumber ilmu yang termasuk sebagai ilmu naqli semata-mata kerana ia tidak diiktiraf oleh cara pemikiran akademik Barat. Sebaliknya ada orang bukan Melayu lebih yakin diri, tidak takut diremehkan apabila bercakap soal rasa sebagai satu sumber penegasan ilmu. 

Mungkin kerana yang yakin bercakap tentang rasa itu datang daripada keluarga yang sudah diakui dan dipandang tinggi pencapaian ilmu dan akademiknya. Lalu tidak perlu merasakan takut menyatakan perkara jujur yang boleh kelihatan melanggar segala prinsip-prinsip empirikal ilmu. Teringat apa yang sering disebut guru saya Osman Bakar yang diiktiraf sebagai seorang pemikir besar Islam dunia. Beliau yang seperti saya memiliki latar belakang pengajian tinggi matematik  di London (cuma beliau sampai peringkat sarjana, saya sarjana muda sahaja) menyatakan keperluan untuk memegang kepada bukti-bukti empirikal sahaja, selain itu semua ditolak adalah pemikiran sempit ilmuwan moden. Dahulu Barat tidak begitu. Apatah lagi para ilmuwan silam Islam yang secara jelas meletakkan ilmu metafizik atau ilmu keTuhanan melebihi apa sahaja bentuk ilmu lain termasuk sains.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan