Salam awal pagi Jumaat 10 Januari, Jumaat ke-2 bagi tahun 2020. Ada sedikit perkongsian daripada satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang semalam.
Petang Khamis 2 Januari iaitu pada 8 hari lalu saya mendapat WhatsApp memberitahu tentang acara yang tertera pada poster. Ini adalah majlis pelancaran apa yang dipanggil sebagai Zhenghe Forum Secretariat. Ia merujuk kepada suatu medan perbincangan hubungan China-Malaysia atas nama Laksamana Zhenghe, kadangkala dieja Zheng He. Untuk makluman tokoh hebat ini lebih dikenali oleh para peminat dan pengkaji sejarah Melayu sebagai Laksamana Cheng Ho.
Beliau adalah pemimpin besar armada kapal kerajaan Cina zaman Dinasti Ming yang terkenal pernah membuat persinggahan beberapa kali di pelabuhan-pelabuhan kerajaan Melayu termasuk Kota Melaka abad ke-15. Atas sebab itu beliau boleh dijadikan ikon hubungan China-Malaysia. Ini boleh digunakan untuk memperbaiki hubungan China tanah besar mereka dengan orang Melayu malah rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan orang Melayu.
Tentang Zhenghe atau Cheng Ho yang dikatakan beragama Islam malah sesetengah pihak percaya berketurunan Nabi Muhammad SAW sudah banyak diperkatakan orang. Tentang majlis pula saya tak tahu apakah yang akan diperbincangkan kecuali ia adalah pelancaran bagi sekretariat berkenaan. Namun sejak minggu lepas saya telah memberikan komitmen untuk datang agar dapat bertemu dengan dua orang rakan aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu selepas majlis. Ini adalah untuk membincangkan penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC yang dirancang mahu diadakan pada hari Sabtu 22 Februari 2020. Rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) tentang apa itu HIKMAH.
Tanpa mengetahui apa-apa pun tentang atur cara kecuali ia dijadualkan bermula jam 2.30 petang Khamis semalam 9 Januari 2020 saya bergegas ke ISTAC dengan menunggang motosikal besar kesayangan selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2 petang. Cuma disebabkan jarak 40 km dari rumah diikuti harus membuat persinggahan ke Batu Caves kemudian suatu tempat di Jalan Ipoh untuk urusan berkenaan buku jam 3.23 petang baru sampai ke perkarangan ISTAC.
Bila dah masuk ke dalam baru nampak apakah yang ada pada majlis.
Baru tahu ada pembentangan ilmu daripada nama-nama yang tertera dalam poster. Sebelum itu yang diedarkan secara elektronik melalui Facebook dan WhatsApp adalah poster tanpa menyebut nama seperti dikongsikan pada awal artikel ini. Apapun ini adalah majlis ilmu pertama saya hadiri di ISTAC buat tahun 2020. Petang Jumaat lepas 3 Januari saya pertama kali datang ke ISTAC pada tahun baru untuk membincangkan tesis dan hal berkaitan bersama penyelia tesis saya, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar.
Ketika masuk ke dalam bilik pembentangan jam 3.26 kedengaran Osman sedang memberikan kata-kata. Rupa-rupanya ia adalah kata-kata penutup daripada beliau sebagai pembentang ketiga dan terakhir majlis. Selepas itu terus masuk sesi soal jawab dan perkongsian pandangan daripada para hadirin. Namun berdasarkan apa yang disebut semasa sesi rasanya saya tidaklah terlepas terlalu banyak tentang Zhenghe.
Saya berkata begini kerana sudah membaca agak banyak tentang tokoh ini. Beliau dikatakan memimpin armada 300 buah kapal dengan 30,000 anak kapal lalu pernah belayar melepasi Lautan Hindi ke Mekah (melalui Jeddah) bagi menunaikan haji. Saya juga sudah menghadiri beberapa majlis ilmu melibatkan Zhenghe. Selain tentang tokoh selalu diperkatakan tentang Islam di China sekurang-kurangnya pada tempoh waktu berkenaan. Lihat artikel-artikel berikut :-
Terus terang cakap pada ketika ini saya kurang berminat untuk tahu tentang Zhenghe dan situasi Islam di China masa lalu. Sebaliknya saya lebih mahu tahu situasi pada masa kini. Daripada segi itu cuma satusoalan yang dibangkitkan pada pusingan pertama sesi soal jawab dan perkongsian pandangan menarik perhatian iaitu mengapa kelihatan hubungan China-Malaysia adalah lebih baik berbanding hubungan China-Singapura? Pembentang pertama iaitu mantan duta Malaysia ke China, Dato' Abdul Majid Ahmad Khan menjawab dengan mengatakan ada kelebihan yang ada pada Malaysia tidak ada pada Singapura. Begitu juga sebaliknya. Namun diakui hubungan China-Malaysia lebih baik berbanding hubungan China-Singapura tanpa memperincikan sebabnya.
Masuk pusingan kedua sesi soal jawab dan perkongsian pandangan saya mengambil peluang untuk bertanya apakah sebenarnya situasi umat Islam etnik Uyghur di wilayah Xinjiang yang dulu dikenali sebagai Turkistan Timur. Betulkah mereka ditindas teruk seperti sering dilaporkan media Barat? Atau ia adalah usaha untuk memburuk-burukkan China? China mendakwa tidak ada membuat apa-apa penindasan. Yang ada cuma usaha membetulkan kepincangan tertentu menurut cara yang boleh diterima...
Dalam hal ini terpanggil saya untuk berkongsi sedikit cerita tentang satu majlis kecil makan malam bersama sejumlah kawan-kawan yang pernah duduk sebilik semasa zaman kolej 30 tahun lalu. Ia diadakan kurang 2 minggu lalu apabila seorang kawan lama yang sekarang sedang memegang jawatan duta besar Malaysia ke China bercuti ke tanah air. Dah tentulah ada antara kami bertanya tentang situasi di Xinjiang itu. Kawan tersebut cuma menjawab ia harus berada di 'tengah-tengah' (somewhere in-between) antara situasi yang dilaporkan media Barat dengan apa yang dilaporkan oleh China.
Kami tidak bertanya lebih setelah itu kerana faham kedudukan kawan itu harus menjaga kata-kata sebagai seorang diplomat utama. Apa lagi antara kami ada 2 orang bekas wartawan termasuk saya. Takut nanti ada yang terlepas cakap kepada umum sehingga boleh menyusahkan kawan. Tentang ini Abdul Majid tidak mahu berkata apa-apa. Beliau cuma menjawab hal kedua ditanyakan saya iaitu bagaimana tentang satu perselisihan yang berlaku baru-baru ini di perairan Pulau Natuna, dalam Laut Cina Selatan antara kapal peronda Indonesia dengan kapal peronda China? Ini dilaporkan berlaku kerana China 'menceroboh'. Sedangkan menurut konvesyen antarabangsa ia memang perairan Indonesia.
Kata Abdul Majid ia memang hal yang susah untuk diselesaikan kerana masing-masing pihak berpegang pada pendirian masing-masing. Memang konvesyen antarabangsa meletakkan ia dalam perairan Indonesia. Tetapi China tidak menerima konvensyen tersebut. Sebaliknya mereka memberikan alasan sejarah bahawa para nelayan China sudah lama mencari ikan di situ sejak zaman berzaman...
Sebetulnya kalau tidak ada sesiapa pun mahu menjawab tentang hal Uyghur dan Xinjiang ini tak mengapa. Saya boleh faham kerana banyak perkara perlu dijaga apa lagi pada majlis terbuka seperti ini. Ada hadirin daripada negara-negara luar termasuk diplomat dan pensyarah daripada Iran dan sebagainya selain rakyat China. Maka itu Osman yang turut mempengerusikan majlis tidak menekan bagi mendapatkan jawaban atau apa-apa kepastian. Sebaliknya pembentang kedua, Profesor Madya Dr Haiyun Ma yang merupakan seorang China Muslim tapi bertugas di Amerika sudi memberikan sedikit pencerahan. Kata beliau harus dilihat Xinjiang dalam konteks apa yang berlaku selepas kejatuhan Soviet Union (sekarang Russia) iaitu pada tahun 1990an diikuti situasi di negara-negara berdekatan seperti Afghanistan. Ada kumpulan-kumpulan ekstremis Islam muncul membuat keganasan dan di Xinjiang sendiri timbul kumpulan-kumpulan pemisah yang bermasalah. Diakui memang ada 'something going on' (sesuatu yang berlaku, kita faham-faham aje le). Tetapi ia harus dilihat dalam konteks China harus berhadapan dengan pihak-pihak yang membuat kekacauan.
Turut saya tanya dalam hal Xinjiang juga perselisihan perairan di Laut Cina Selatan adalah bagaimana caranya sekretariat boleh melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah. Jawaban diplomatik yang dibuat Osman adalah secara adilnya (to be fair) ini bukanlah tempatnya untuk melakukan itu. Cukuplah perkongsian daripada majlis ilmu pertama di ISTAC dihadiri buat tahun ini, merangkap majlis ilmu pertama 2020 dihadiri di mana-mana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan