Salam petang Jumaat 22 November 2019 bersamaan 25 Rabiulawal 1441 Hijriah. Malam ini sekali lagi saya akan bermalam di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi memudahkan mengikut majlis-majlis ilmu. Malam ini ada satu syarahan bersiri, esok pagi ada majlis akademik tentang keris. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita daripada majlis ilmu di ISTAC petang Rabu.
Adapun daripada hari Selasa hingga Khamis semalam saya telah melepaskan 3 cerita berturut seperti berikut :-
Sekadar memberitahu. Majlis pertama berlaku di ISTAC petang Isnin 18 November, majlis kedua berlaku di Muzium Negara pagi Selasa 19 November diikuti majlis ketiga di ISTAC pada petangnya. Selepas itu baru kembali ke rumah setelah menginap malam sebelumnya di ISTAC. Petang Rabu 20 November ke ISTAC lagi untuk satu syarahan bersiri.
Ia adalah edisi ke-7 semester ini bagi siri syarahan "Classification of Knowledge in Islam". Siri ini mengulas buku tulisan Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar dengan tajuk sama. Syarahan 2 hari lalu bermula daripada bahagian tengah muka surat 10 buku, setelah syarahan minggu sebelumnya terganggu akibat berlaku black out atau putus bekalan eletrik. Ini menyebabkan seluruh ISTAC bergelap daripada jam 6 petang hingga sehingga selepas 7.30 malam. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan.
Muka surat tersebut bercakap tentang latar belakang pendidikan dan kesarjanaan ulamak silam Al-Farabi (hidup 872-950 Masihi). Syarahan berpanjangan sehingga ke hujung perenggan kedua muka surat 12 sambil nota-nota berkenaan pada muka surat 32 dan 33 diulas sekali. Daripada segi ini ia boleh dikatakan bersamaan separuh akhir syarahan ke-5 semester lalu membawa ke syarahan ke-6. Walaupun tidak hadir pada syarahan ke-6 tersebut saya boleh menebak isinya berdasarkan bagaimana syarahan ke-7 (bagi semester lalu) bermula. Rujuk artikel-artikel berikut :-
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik
Seperti biasa muncul ulasan-ulasan baru tentang perenggan-perenggan yang sama (syarahan semester ini dimulakan kembali daripada muka surat 1 kerana muncul muka-muka baru yang tidak ada pada semester lalu). Ini boleh berlaku kerana proses soal jawab yang berbeza. Satu adalah tentang pelbagai dimensi Al-Quran atau dalam memahami isi Quran. Osman selalu menyebut bahawa kitab suci itu adalah sintesis atau penggabungan daripada semua ajaran-ajaran Tauhid terdahulu.
Oleh itu Quran memiliki dimensi ajaran Confucian (Cina), ajaran Nabi Ibrahim juga ajaran pemikir Yunani purba Pythagoras (hidup 570–495 Sebelum Masihi, dikenali kerana menerbitkan formula panjang sisi pada segi tiga tepat - Pythagoras Formula). Dipanjangkanlah bagaimana ulamak-ulamak silam Islam dahulukala tidak pernah mengkafikan para pemikir Yunani purba seperti halnya pada hari ini di mana mereka semua dituduh sebagai penyembah berhala lalu tidak patut diambil tahu. Ulamak dahulukala percaya nama-nama seperti Aristotle (384-322 SM), Plato (428/427-424/423 SM), Plato dan Socrates (470–399 SM) adalah pengamal agama Tauhid. Bahkan mereka adalah hukamah atau para ahli hikmah!
Osman pun menyebut tentang Omar Khayyam (1048-1131). Menurut beliau, ulamak silam tersebut adalah ahli matematik paling hebat dalam dunia Islam. Tetapi Barat mengenalinya sebagai ahli puisi sahaja, bukan pakar matematik. Hmm. Teringat semasa di London awal tahun 1990an saya sangat meminati buku puisi Omar bertajuk Rubaiyat kerana bahasa tinggi yang penuh makna keSufian. Kata Osman, Omar adalah pengikut Pythagoras. Pythagoras dikenali membawa ilmu matematik yang memiliki dimensi spiritual bersifat keTuhanan.
Pemikir besar Yunani ini belajar ilmu hikmah purba di Alexandria, Mesir. Ilmu itu dipercayai diwarisi daripada Nabi Sulaiman AS. Barat selalu mengatakan Yunani menerbitkan ilmu pengetahuan mereka sendiri (tanpa campur tangan pihak lain). Sekarang baru sejarawan mereka tahu Yunani belajar daripada Mesir.
Kata Osman ilmu-ilmu hikmah lama turut diperolehi daripada ajaran Nabi Idris AS yang dikenali sebagai Enoch. Dalam tradisi Islam disebut bahawa Allah SWT telah menunjukkan isi seluruh alam kepada Idris dan bagaimana ia berfungsi. Lalu Idris juga dikenali sebagai Abul Hukama, bapa kepada semua ahli hikmah atau para pendita.
Disebut bahawa satu kumpulan intelektual silam Islam dipanggil Ikhwan as-Safa juga menganggap diri mereka sebagai murid Pythagoras. Kata Osman matematik adalah bahasa khas agama. Disebut pula tentang minat Al-Farabi terhadap ajaran dan pemikiran Plato and Aristotle. Tentang ulamak tersebut mengikuti cara ajaran Aristotle yang menerbitkan sekolah pemikiran atau aliran Mashaikh dalam dunia Islam telah disebut banyak kali oleh Osman dan ini ada ditekankan dalam buku.
Walaupun Al-Ghazzali (turut dibincangkan dalam buku, hidup 1058-1111 M) mengkritik ajaran dan pemikiran Aristotle beliau percaya tokoh besar Yunani itu tetap percaya pada Tuhan yang Satu. Aristotle berguru dengan Plato, Plato dengan Socrates. Tentunya ada unsur-unsur sama dalam kepercayaan teras mereka.
Osman pun bercerita tentang kematian Socrates akibat dijatuhkan hukuman bunuh. Kata beliau setiap kali satu masyarakat itu mula menyembah berhala Tuhan akan hantar seorang Nabi untuk membetulkannya. Masyarakat Yunani zaman itu percaya kepada banyak tuhan ataupun dewa terutama 12 paling besar bawah apa yang dikenali sebagai Greek Pantheon. Dewa-dewa ini juga dikenali sebagai 12 Olympian. Kepercayaan terhadap mereka menjadi agama rasmi negara. Ketua mereka dikatakan Zeus, bapa kepada dewa-dewa.
Datang Socrates bercakap melawan sistem dan negara. Beliau yang selalu mengadakan kelas untuk orang muda dihadapkan ke mahkamah atas 2 tuduhan :-
1- Merosakkan pemikiran anak muda Athens (kota utama Yunani)
2. Menyebar Assabiah (ya, ini perkataan Yunani).
Kata Osman beliau tidak terperanjat jika perkataan Arab Assobiyah datang daripada situ kerana membawa maksud yang sama iaitu kepercayaan bersifat sekterian atau berpecah-belah. Socrates didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh.
Kata Osman, kalau bagi orang Islam ini adalah mati Syahid kerana mempertahankan Tuhan yang Satu. Socrates menyebarkan ajaran Tauhid. Hal ini sama seperti di Tanah Arab di mana Nabi Muhammad SAW membawa ajarah Tuhan yang Satu menentang bangsa Arab yang sedang menyembah 360 tuhan ataupun dewa.
Banyak lagi perkara berkenaan dipanjangkan tetapi biar ditambah beberapa ini sahaja. Apakah Socrates adalah seorang nabi (merujuk pada hakikat bahawa 124,000 orang nabi telah diutuskan bagi pelbagai umat, yang kita wajib tahu cuma 25)? Kata Osman kita tidak tahu. Yang pasti beliau memang seorang hukamah/ahli hikmah ataupun pendeta. Setiap nabi adalah hukamah. Tetapi tidak setiap hukamah adalah nabi.
Ditanya tentang kepercayaan sesetengah pihak bahawa Socrates adalah Lukmanul Hakim yang disebut dalam Al-Quran kata Osman cuba siasat dahulu ciri-cirinya. Lukmanul Hakim diketahui memliki seorang anak laki-laki yang selalu dinasihatinya. Apakah Socrates begitu ceritanya?
Penulisan yang dibuat di ISTAC ini dimulakan jam 6.20 petang. Kini sudah jam 7.50 sedangkan jam 8.15 saya mahu mengikut satu syarahan bersiri yang diadakan 2 minggu sekali. Cukuplah perkongsian ya. Selamat malam.