Rabu, November 20, 2019

Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi umum

Menyambung gerak penulisan berkenaan daripada artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China yang dipersembahkan dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas jam 6 petang semalam. Artikel baru ini dimulakan jam 4.30 petang di bahagian lain ISTAC sementara menunggu satu syarahan bermula jam 5.


Dalam Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China ada disebut bahawa pada malam sebelumnya Selasa malam Rabu saya telah menginap di masjid untuk memudahkan mengikuti dua majlis ilmu pada siang Rabu semalam. Artikel mula ditulis di masjid selepas menunaikan solat Subuh. Di celah-celah itu saya menyemak laluan untuk ke tempat majlis pertama iaitu Muzium Negara. Harapan saya dapat menyiapkan artikel sebelum bertolak ke sana.


Harapan itu ternyata meleset. Pada jam 7.47 ia baru sepertiga ditulis sedangkan saya sudah terasa penat lalu perlu melelapkan mata. Bangun jam 8.30  baru bersiap, mandi dan sebagainya lalu mengorak langkah ke muzium 5 km perjalanan. Jarak itu tidaklah jauh sangat tetapi perlu meredah kesesakan orang masuk kerja.


Jam 9.25 sampai ke muzium lalu pergi auditorium melalui jalan belakang bagi kakitangan dan urusan khas.


Saya dapat menggunakan laluan kerana isteri telah memberitahu pihak muzium bahawa saya akan menjual buku lalu diberikan meja...


Inilah poster majlis. Dinyatakan bahawa ia dijadualkan bermula jam 9. 


Tengok-tengok ketika selesai mengangkat buku dari kereta lalu diatur ke atas meja jam 9.33 majlis masih belum bermula. Alhamdulillah ada masa untuk bersarapan pagi di cafeteria muzium. Apabila kembali ke auditorium jam 9.53 majlis baru sahaja beberapa minit bermula.


Kelihatan ketua pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim sedang memberikan ucapan pembukaan. Satu perkara menarik disebut adalah bagaimana tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" atau bahasa Inggerisnya "The Lost Kingdoms" tidak disenangi pihak luar. Ini kerana pihak tersebut (atau pihak-pihak... saya tahu sekurang-kurangnya 3 buah negara di Asia Tenggara yang terpalit dalam hal ini) merupakan pihak yang sebenarnya berasal daripada luar, bukan penduduk asal tetapi membina sejarah baru menurut mereka atas tamadun sebelumnya. Pihak ini lebih sukakan tajuk "The Ancient Kingdoms" (Kerajaan-kerajaan Silam) kerana "The Lost Kingdoms" membayangkan usaha menggali kembali sejarah yang sudah ditutup.


Jam 10.12 para panelis mengambil tempat. Mereka ialah (daripada kiri) :-


1. Dr Nasha bin Rodziadi Khaw daripada Universiti Sains Malaysia

2. Pak Budi Istiawan daripada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia

3. Dr Yunus bin Sauman daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris


Kelihatan paling kanan adalah Encik Nasrulamiazam bin Mohd Nasir, pengarah Muzium Adat. Untuk pengetahuan ia adalah salah satu daripada lebih 20 muzium di bawah JMM.


Selepas semua ahli panel diperkenalkan panelis pertama iaitu Dr Nasha naik ke podium jam 10.15. Beliau membawa tajuk "Kedah Tua Berdasarkan Prasasti Kepingan Leiden Besar : Satu Tinjauan Semula"


Diberikan latar belakang Kedah Tua berdasarkan catatan-catatan luar diikuti penemuan-penemuan arkeologi di Sungai Batu. Rasanya ramai sudah tahu bagaimana telah ditemui tapak peleburan besi dengan segala macam tinggalan alatan dan bahan berkenaan didapati telah wujud sejak zaman Sebelum Masihi. Ini adalah berdasarkan pentarikhan makmal menurut kaedah tertentu. Beberapa pentarikhan telah dilakukan membawa kepada sejarah Kedah Tua diputar semakin lama semakin jauh ke belakang. Terbaru didapati ia sudah wujud selewatnya pada abad ke-8 Sebelum Masihi.


Masalahnya tidak ditemui catatan begitu lama dan seterusnya yang jelas tentang Kedah Tua. Menurut Nasha paling sahih adalah prasasti (tulisan pada batu atau objek keras seperti besi) oleh kerajaan Chola di selatan India.


Disebutlah tentang kepentingan India (atau benua Hindi) terhadap Kedah Tua. Kedatangan pedagang-pedagang India ke pelabuhan Kedah seperti tercatat dalam beberapa teks menunjukkan ini.


Menurut Nasha, rekod India telah menyebut nama Kedah walau dengan sebutan lain (Kadaram dan sebagainya) sejak apa yang dipanggil sebagai Zaman Sanggam. Ini merujuk pada tempoh masa Sebelum Masihi hingga 2 Masihi di India.


Pun begitu beliau melihat rekod jelas cuma ada pada zaman kemuncak kerajaan Chola abad ke-11 Masihi.



Salah satunya ada pada apa yang dipanggil sebagai Prasasti Kepingan Leiden Besar.


Disebutlah latar belakang Prasasti yang katanya ditulis atau dikeluarkan pada tahun 1006 Masihi.


Ia melibatkan kerajaan Melayu Srivijaya yang sedang menguasai hampir seluruh Alam Melayu ketika itu.


Prasasti in ditulis sebahagiannya dalam bahasa Sanskrit, sebahagian lagi dalam bahasa Tamil. Nampaknya yang berbahasa Sanskrit itu untuk bacaan golongan pentadbir, orang atasan dan sebagainya. Yang bahasa Tamil untuk rakyat biasa.


Prasasti itu merupakan tulisan pada kepingan-kepingan logam yang dikepilkan bersama. Lebih kurang beginilah tulisan dialih ke dalam komputer.


Beberapa tingkat proses perlu dilakukan supaya dapat dibaca umum...





Yang menarik perhatian adalah bagaimana ia menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya dan hubungan dengan Kedah Tua. Untuk pengetahuan Kedah adalah satu daripada 3 pusat pentadbiran dan pelabuhan terpenting di Srivijaya. Ini menunjukkan kepentingannya pada masa itu. Ia juga menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya sebagai setaraf dengan Maharaja Chola, bukan bawahannya. Dikatakan Chola adalah kerajaan paling berkuasa di India ketika itu. Jajahan takluknya sampai ke pantai Barat Afrika dan beberapa bahagian Lautan Hindi.


Jam 11 sampai giliran panelis kedua, Pak Budi untuk berkongsi ilmu. Beliau memilih untuk bercakap terus daripada tempat duduk membawa tajuk "Dari Dharmmasraya ke Surawasa".






Ia merujuk kepada kerajaan Dharmmasraya yang pernah wujud dan berpusat di wilayah Sumatera Barat.








Dua orang puteri kerajaan Dharmmasraya pernah dibawa ke Pulau Jawa lalu dikahwinkan dengan bangsawan kerajaan Majapahit. Seorang melahirkan anak dikenali sebagai Adiyatvarman. Orang ini dikenali sebagai pendiri kerajaan bernama Melayu atau Melayupura. Pak Budi mahu mengatakan pusatnya adalah di suatu tempat bernama Surawasa. Alhamdulillah saya pernah sampai. Lihat artikel Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Sekitar Pagaruyung lagi sebelum ke Pariangan dan lain tempat yang ditulis hampir 3 tahun lalu.


Jam 11.22 sampai giliran Dr Yunus untuk bercakap. Beliau juga memilih untuk membentang dari tempat duduk... 


Tajuk yang dibawa iaitu "Politi di Borneo yang Dilupakan" ada kelainan kerana merujuk pada satu wilayah yang jarang disentuh.


Selepas memberikan definisi politi sebagai satu entiti politik yang disokong sejumlah manusia (ia boleh jadi suatu negeri, boleh jadi negara, boleh jadi suatu wilayah kecil asal ada suatu struktur pemerintahan atau pentadbiran yang tersusun) disebutlah beberapa politi yang pernah wujud di Borneo.


Pengkhusuan diberikan terhadap "Tuaran" satu wilayah yang masih wujud kini sebagai daerah tidak jauh dari Kota Kinabalu. Diceritakan Tuaran pernah memiliki kedudukan penting sebagai satu wilayah dalam kerajaan Brunei (nama pulau Borneo berasal daripada nama Brunei kerana dahulu pernah menjadi kerajaan paling besar dan penting di pulau besar itu). Malah menurut Yunus dipercayai kerajaan Brunei pernah berpusat di Tuaran buat suatu tempoh waktu.


Ditunjukkan bahawa Tuaran ada disebut oleh oleh beberapa penulis Arab lama dahulu...








Cukuplah berkongsi setakat ini. Saya sedang kepenatan selepas mengikuti syarahan petang tadi hingga jam 7.10. Sebelum syarahan bermula sedikit lewat jam 5.20 saya cuma sempat menulis sedikit sahaja. Selepas menunaikan solat Maghrib penulisan disambung kembali hingga siap dalam keadaan lapar belum makan malam. Isteri pula berpesan jangan makan di luar. Nasi dan lauk masih banyak di rumah. Selamat malam dan wassalam. :]


----------------------


Nota tambahan : Bahagian berikut ditambah pada petang Khamis 21 November. Asalnya ia mahu disertakan semalam tetapi dah tak larat dah sebab malam semakin lewat dan saya sudah kelaparan. Artikel perlu dipersembahkan di ISTAC setelah mencapai tahap yang cukup memuaskan. Selesai itu baru rasa boleh balik ke rumah lalu makan (sampai rumah pun dekat jam 10 malam) walaupun artikel sebenarnya kurang lengkap. Berikut adalah pelengkapnya...


Artikel yang dipersembahkan malam semalam sudah cukup siap daripada segi perkongsian ilmu. Tetapi tidak daripada segi hal 'sisi' yang sebenarnya sangat penting dalam penceritaan. Hal sisi ini adalah tentang munculnya ramai rakan-rakan aktivis dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu ke majlis. Kelihatan dalam gambar saya duduk berbusana lengkap di hadapan.


Boleh kelihatan terserlah orang lain pun ada berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, berkeris dan bertanjak. Kalau setakat saya sahaja tu biasalah. Ini kalau tak salah ada lebih 30 orang laki-laki dan perempuan berpakaian begitu.


Ia berlaku atas inisiatif isteri saya mewar-warkan kepada rakan-rakan aktivis setelah kami menerima undangan terus daripada pihak muzium. Ingatkan cuma 5 orang sahaja akan memberikan nama untuk datang. Sampai tarikh majlis tengok-tengok ada 30 nama mendaftar. Ada pula menyatakan mahu datang secara walk-in...


Kedatangan kami amat dialu-alukan oleh pihak muzium. Bermula dengan acara ke-18 HIKMAH yang dianjurkan oleh pihak saya 3 tahun sudah ada hubungan antara aktivisi silat dan busana dengan muzium. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cuma jarang mereka mahu mengikut wacana ilmu seperti halnya pada majlis ini apa lagi pada pagi Selasa, hari orang bekerja. 


Biasanya yang ramai-ramai ini cuma suka hadir pada majlis-majlis yang ada pertunjukan silat. Sedikit sahaja yang sanggup duduk lama dalam dewan untuk mengikuti majlis ilmu yang bersifat akademik dan pemikiran. Kali ini begitu ramai muncul turut serta tanpa perlu dipujuk. Yang perlu cuma ditunjukkan poster acara dan bagaimana kedatangan kami dialu-alukan oleh pihak muzium.


Sebetulnya saya ada dimaklumkan oleh seorang pemegang tinggi jawatan satu persatuan gabungan silat bahawa memang mereka sedang berusaha untuk menggalakkan ahli pergi ke majlis-majlis ilmu sebegini. Takkan hendak bersilat memanjang aje kerjanya? Hadirlah pula ke acara-acara yang menambahkan ilmu pengetahuan dan boleh mencambahkan pemikiran. Kebetulan tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" boleh menyuburkan imaginasi semua. Saya diberitahu itulah antara sebab ramai aktivis silat dan busana muncul kali ini. Kredit kepada tuan Zainuddin Ahmad atau Pak Lang untuk gambar-gambar. Beliau yang sudah berumur lebih 60 tahun cukup rajin hadir ke majlis-majlis yang ada kawan-kawan persilatan dan busana lalu mengambil gambar.



2 ulasan:

  1. Catatan yg baik dan teliti seiring dgn perbincangan ketika program. Tahniah Tuan Merah Silu.
    -Raffedi Alif Ba Ta-

    BalasPadam
  2. Terima kasih saudara. Semoga bermanfaat.

    BalasPadam