Majlis yang bermula jam 10 pagi itu adalah syarahan ketiga Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang bukunya "Classification of Knowledge in Islam". Syarahan pertama telah diadakan pada pagi Isnin 11 Mac, kedua pada Isnin 18 Mac. Rujuk artikel-artikel berikut tentang syarahan-syarahan tersebut :-
Syarahan ketiga sepatutnya menyusul pagi Isnin 25 Mac. Tetapi ia digantikan oleh majlis tentang ilmu kalam oleh Dr Amran Muhammad daripada ISSI (Islamic and Strategic Studies Institute - Institut Kajian Islam dan Strategi). Kelihatan pada papan makluman untuk pelajar poster tentang siri syarahan Osman berkenaan buku Classificationnya di kiri atas. Ia diwar-warkan atas tajuk umum dan besar Book Commentary Series 2019 - Siri ulasan buku untuk tahun 2019.
Pada kanan atas adalah poster 3 syarahan bersiri oleh seorang lagi tokoh dan pengajar di ISTAC iaitu Profesor Datuk' Dr Awang Sariyan. Yang pertama telah diadakan pada pagi Selasa lepas 26 Mac lalu saya tidak dapat bersama kerana masih berada di utara bersama keluarga sempena cuti sekolah. Di bawah pula adalah satu syarahan atas nama Book Commentary Series 2019 pada pagi Jumaat lalu oleh seorang lagi kakitangan berwibawa ISTAC, Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf. Pada pagi Jumaat akan datang syarahan kedua Awang dijadualkan berlangsung. Insyaallah saya akan hadir mendengar.
1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)
2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)
3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)
Untuk recap ini ditekankan tentang peranan al-Shirazi dalam konteks zaman. Beliau telah menyaksikan kejatuhan ibu kota Kekhalifahan Abbasiyah iaitu Baghdad ke tangan puak Mongol tahun 1258 Masihi. Selepas kemusnahan akibat serangan muncul era baru keilmuwan Islam yang diterajui oleh al-Shirazi dan guru beliau Nasir al-Din (Nasiruddin) al-Tusi. Kata Osman beliau hidup sezaman dengan seorang lagi tokoh terkenal Islam, pengkaji sejarah dan ketamadunan tersohor iaitu Ibnu Khaldun. Tetapi mereka tidak saling mengenali.
Untuk makluman tokoh ini terkenal dengan buku besar tentang ketamadunan bertajuk Muqaddimah. Selepas menulis perenggan tadi (pada jam 10.51 malam semalam di rumah) saya menyemak tentang Ibnu Khaldun. Maklumat daripada Google menyatakan beliau dilahirkan pada tahun 1332 di kota Tunis, Tunisia dan meninggal dunia tahun 1406 di Kaherah, Mesir. Patutlah tidak saling mengenali - Ibnu Khaldun lahir selepas al-Shirazi sudah meninggal dunia tahun 1311.
Apapun perkataan sebenar yang digunakan Osman lalu saya terjemahkan sebagai sezaman itu adalah perkataan Inggeris contemporary (ingat. Syarahan dibuat dalam bahasa tersebut). Hidup sezaman ini bukan semestinya sama tempoh masa kehidupan. Cukuplah dalam satu ruang lingkup masa yang boleh dianggap tidak begitu banyak beza keadaan lalu suasana zaman boleh dikatakan sama secara rata.
Tentang pemikiran sarjana silam Islam Osman memberitahu pada awalnya ada tiga cabang utama membentuk ilmu falsafah yang dianggap praktikal. Ini adalah :-
1. Etika (ethics, boleh disamakan dengan adab)
2. Ekonomi
3. Politik (perkataan Arab yang sesuai adalah siyasah - ilmu mengatur negara dan masyarakat)
Oh. Semakan melalui Google menunjukkan, seperti hal Ibnu Khaldun dengan al-Shirazi, Ibnu Sina juga dilahirkan beberapa tahun selepas al-Farabi meninggal dunia. Namun mereka boleh dikira hidup sezaman kerana muncul dalam suatu tempoh waktu yang mana perkembangan dunia pemikirannya adalah lebih kurang sama.
Maka disebutlah tentang tradisi pengajaran ilmu pengetahuan ketika itu. Secara rata ia mengalir dalam keluarga, misalnya ilmu perubatan yang diketahui seorang bapa diajar kepada anak dan begitulah seterusnya. Tradisi lisan sangat penting zaman itu. Lalu disebut tentang kewujudan satu kitab autobiografi (kisah perjalanan hidup yang ditulis sendiri) oleh al-Farabi tetapi sudah hilang. Osman dapat menemui secebis dua untuk membantu penulisan. Ini ada dinyatakan dalam muka surat 15 buku Classification of Knowledge in Islam.
Disebut sekali tentang ilmu logik atau mantik yang digunapakai al-Farabi iaitu ilmu logik Aristotle (Aristotelian logic). Ia menjadi pilihan ramai pemikir Islam walhal daripada zaman kehidupan al-Farabi abad ke-9 Masihi ke zaman pemikir Yunani itu ada jarak masa selama 13 abad atau 1,300 tahun! Lalu ada hadirin bertanya daripada manakah beliau mendapat ilmu tersebut. Kata Osman al-Farabi mendapat tahu ada seseorang mewarisi ilmu tersebut melalui satu sanad keilmuan yang panjang disampaikan daripada guru kepada pelajar, pelajar menjadi guru menyampaikan kepada yang lain sehingga ke Aristotle. Pada zaman al-Farabi didapati tinggal seorang sahaja yang mewarisi ilmu ini lalu beliau pun mencarinya lalu berguru.
Sekadar ingin berkongsi. Syarahan ini menyaksikan buat pertama kali setelah begitu banyak tahun saya menyalin nota tangan ketika mengikuti suatu majlis. Adapun kali terakhir saya berbuat begitu kalau tak salah ingatan adalah semasa masih bertugas selepas wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001. Selepas itu saya sering mengembara lalu tidak pernah membuat apa-apa catatan tangan. Saya telah terbiasa menulis secara terus ke dalam komputer riba. Semasa menulis itulah saya menggali ingatan tentang sesuatu yang telah berlaku.
Bermula hampir penghujung tahun 2006 saya mula membiasakan diri mengambil gambar-gambar apabila ke mana-mana. Gambar-gambar tertentu kemudian dipilih lalu diatur untuk penulisan blog. Ia membantu saya untuk mengingati suatu perkara apa lagi ada maklumat seperti tarikh dan waktu boleh dilihat dalam komputer.
Bermula tahun 2009 saya mula rajin menghadiri majlis-majlis ilmu di institusi-institusi seperti Persatuan Sejarah Malaysia, Perpustakaan Negara dan universiti-universiti. Pembentangan ilmu atau kertas kerja pada majlis-majlis ini selalu disertai paparan slaid lalu saya ambil gambar mana yang patut. Disertai maklumat yang biasa dipaparkan pada pamplet acara atau maklumat atur cara ia membantu saya untuk mengulas kembali dengan baik. Seringkali salinan kertas-kertas kerja diberikan sekali. Secara rata saya tidak perlu pun membuat apa-apa bentuk catatan. Semua ini disertai kemampuan penghayatan dan pemahaman semulajadi agak cukup untuk membantu ingatan dan penulisan. Lihat
Apabila jumlah artikel "Refleksi Sejarah" mencapai 222
Lain daripada itu saya mengambil sikap begini - kalau dapat ingat dan terkeluar dalam penulisan itulah kalam yang Allah SWT berikan dan izinkan untuk dikongsikan kepada umum buat masa itu. Kalau tidak terkeluar, sama ada akibat terlupa atau menghadapi masalah menerangkannya dengan ayat yang boleh difahami ramai (tetapi ini jarang berlaku kerana saya sedaya upaya akan cuba mencari jalan untuk memudahkan perkara) saya anggap tidak ada rezeki. Baru sehari kedua kebelakangan ini timbul rasa untuk mencatat kemudian timbul pula dorongan yang seperti disampaikan oleh Ilahi...
Maaflah saya bercerita panjang lebar tentang ini kerana itulah saya. Penulisan bukan sekadar perkongsian ilmu dan pengalaman tetapi juga perkongsian rasa secara jujur. Sudah lebih 20 tahun saya hidup dalam keadaan sentiasa mengikut gerak ilham juga gerak hati berdasarkan panduan-panduan tertentu agar tidak diselewengkan oleh bisikan syaitan, jin dan hawa nafsu sendiri. Pelbagai pengalaman hidup termasuk hal-hal boleh mengancam jiwa dan nyawa ketika pengembaraan di rantau orang telah berjaya dilepasi sebagai bukti bahawa gerak hati yang dialami bukan imaginasi budak hingusan yang belum diuji sembang lebatnya dengan cabaran sebenar di lapangan dan dunia nyata.
Lihat sahaja cerita-cerita yang banyak dipaparkan di blogspot ini. Pada yang membaca menggunakan telefon bimbit sila scroll ke bawah dan klik butang View Web Version untuk mendapatkan paparan lengkap seperti dalam komputer. Anda dapat melihat beratus mungkin beribu pautan sudah disenaraikan menurut aturan tertentu supaya mudah dirujuk kembali.
Pun begitu, sebenarnya tak perlulah semua hendak dikongsikan. Semasa menjadi wartawan dahulu pun kami sudah diajar ambil beberapa perkara penting sahaja untuk dikongsikan kepada umum. Antara sebabnya adalah orang tak larat nak baca semua pun kalau cerita itu panjang. Kita pun sendiri tak larat nak tulis sebab banyak lagi perkara nak kena buat. Dan ruang berita atau cerita dalam surat khabar adalah terhad. Bukan kita seorang sahaja wartawan menulis lalu mengisi ruang...
Bila menulis di blogspot hadnya tidak sama seperti dalam suratkhabar. Kita boleh menulis seperti mana yang kita suka. Had boleh dibuat berdasarkan kehendak kita, bukan kehendak mana-mana pihak lain yang berkepentingan. Yang utama pada saya dapat berkongsi suatu cerita sehingga terasa cukup dan puas. Tetapi tetap ada had ruang dan masa. Penat wooo menulis panjang-panjang sedangkan kita pun ada banyak perkara lain nak buat selain menulis di blogspot.
Pun begitu masuk penulisan syarahan kedua Osman seperti dikongsikan dalam
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian) saya mula merasa rugi apabila menyedari banyak perkara terlepas daripada ingatan. Ya, saya tetap percaya ia ada dalam diri sekurang-kurangnya dalam ingatan secara
sub-conscious atau bawah sedar. Apa yang terlupa itu boleh muncul kembali pada masa lain dan inilah yang biasa berlaku dalam kehidupan saya. Tetapi tetap terasa rugi kerana ada perkara tak dapat diingati ketika perlu...
Namun begitu semasa mengikut syarahan Osman tentang
Islamic Spiritual Pyschology pagi Ahad baru ini saya masih malas untuk menulis nota. Setelah masuk sekitar 10 minit lalu menyedari luas sungguh jangkauan ilmu yang dikongsikan apa lagi ada terma-terma khusus yang patut diingati saya pun membuka
laptop atau komputer riba lalu menaip nota. Ketika menulis artikel tentang syarahan ini iaitu
Kelebihan Istighfar dan saikologi spiritual sekitar tengah malam Ahad masuk Isnin saya mendapati nota-nota ini sangat sangat membantu penulisan. Tiba-tiba ternampak, lupa entah dari mana tapi di atas meja, apakah pada komputer. telefon pintar atau suatu buku ada ungkapan berbunyi lebih kurang begini :-
Kamu hadir ke majlis ilmu itu adalah ibarat menangkap haiwan liar.
Tambatlah ia dengan membuat catatan.
Saya cuba mencari kembali ungkapan tersebut dengan Google tetapi tidak berjaya menemuinya. Kalau tak salah ia disebut oleh Imam al-Ghazzali. Yang ditulis tadi adalah berdasarkan apa dapat diingati. Yang pasti ia tidak lari jauh daripada apa yang dilihat dalam bahasa Melayu dan tulisan Rumi.
Entah betul entah tidak saya lihat itu keluar di mana-mana waktu itu tetapi petunjuk-petunjuk sebegini memang amat biasa dalam kehidupan saya sejak lebih 20 tahun lalu. Sejak kecil lagi pun saya sudah mengalaminya. Kadangkala mata hati ini dapat melihat kehadiran suatu tokoh ulamak yang sudah meninggal dunia beratus tahun lalu. Kadangkala pula tiba-tiba tak pasal-pasal saya diberikan bayangan tentang sesuatu yang akan berlaku. Yang ini selalu dikongsikan dalam penulisan-penulisan pengembaraan saya apabila hal tersebut betul-betul berlaku. Itulah yang dipanggil sebagai deja vu...
Apapun ungkapan tersebut membuatkan saya buat pertama kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun membuat catatan tangan dalam suatu majlis ilmu. Ini dibantu oleh kesedaran bahawa catatan melalui laptop ternyata amat membantu dalam merakam dan mengulas syarahan Osman pagi Ahad. Hampir sahaja saya melakukannya lagi untuk syarahan pagi Isnin tetapi memilih untuk membuat catatan tangan setelah menyedari dua perkara - catatan dengan laptop ada sedikit bising dan boleh mengganggu hadirin lain disebabkan bunyi ketap ketup menaip pada papan kunci. Catatan tangan lebih mudah walau tulisan cakar ayam. Tetapi yang betul-betul membuat saya akhirnya menulis tangan adalah teringat ungkapan tersebut...
Sekarang bolehlah kita kembali kepada syarahan. Maka masuklah kpada muka surat ke-3 buku dan bahagian sub-topik kedua yang tidak sempat dipanjangkan dalam syarahan terdahulu. Oh. Kalau hendak diceritakan segala yang telah dikongsikan letih dan tak larat saya menulisnya. Nanti banyak kerja lain tergendala. Dengan itu biar diterjemahkan sahaja bahagian isi buku yang dibincangkan seterusnya perenggan demi perenggan ya.
Antara al-Farabi dan Qutb al-Din (al-Shirazi) ada jarak masa sejarah selama 4 abad. Dalam tempoh masa ini berlaku perkembangan dan kemajuan yang terserlah ketara dalam bidang sains, falsafah juga keagamaan. Sains-sains pra-Islam diIslamkan dan dimajukan lalu sains-sains baru dicipta. Adalah menjadi kajian menarik untuk menyiasat apakah perkembangan dan perubahan ini memberikan kesan atau mempengaruhi secara ketara asas fundamental dan stuktur pengklasifikasian yang dikaji, mengambil kiri ia ditulis dalam suasana falsafah dan keagamaan yang berbeza. Setakat yang saya tahu, tiada orang pernah mengemukakan persoalan tersebut sebelum ini, apa lagi menjawabnya. Kajian saya sekarang sebahagiannya adalah usaha untuk menjawab persoalan ini.
Dalam kes al-Farabi ada satu lagi sebab untuk memilih klasifikasinya. Ia adalah klasifikasi berpengaruh pertama dalam Islam, lalu disebabkan itu beliau diberikan kehormatan dengan gelaran "Guru Kedua" (al-mu'allim al thani). Klasifikasi itu menjadi model bagi semua pengarang kemudian. Atas sebab ini, kebanyakan bahagian kajian saya diperuntukkan untuk klasifikasinya.
Hmm. Kena juga ulas ini. Adapun gelaran "Guru Kedua" buat al-Farabi ini adalah penghormatan besar terhadap ketinggian pemikiran dan ilmu falsafah beliau. Ini kerana gelaran diberikan sebagai pengiktirafan daripada para ilmuwan sezamannya. Ia menunjukkan beliaulah pengganti kepada Aristotle yang sering disebut sebagai "Guru Pertama" - orang pertama diketahui mengasaskan ilmu pemikiran falsafah berserta logik atau mantik yang dianuti mereka...
3. Sifat dan Skop Kajian yang Sedang Dilakukan
Dalam sebelas bab seterusnya saya telah melakukan kajian falsafah terperinci terhadap tiga klasifasi yang telah saya pilih. Tujuan utama kajian ini adalah untuk membentuk dasar asas falsafah bagi setiap klasifikasi lalu mengaitkan dasar ini dengan prinsip-prinsip tertentu yang terkandung dalam ilmu wahyu Islam. Saya juga telah memberikan penekanan analitik kepada persoalan-persoalan berikut : (1) Perkara-perkara utama yang membezakan setiap klasifikasi, (2) Sikap setiap pemikir terhadap sains-sains falsafah dan keagamaan serta bagaimana mereka melihat perbezaan antara itu.
Penerangan bagi setiap sains yang berlainan seperti diberikan setiap pengarang dibincangkan setakat mana ia dapat membantu untuk menggambarkan tesis utama yang dipersembahkan dalam kajian ini. Tesis itu adalah pengklasifikasian dibuat berdasarkan idea-idea falsafah yang menjadi kebiasaan bagi semua aliran intelektual Islam dan pada masa sama meliputi idea-idea khas yang merupakan pandangan sarwa jagat intelektual dan keagamaan pengarangnya serta aliran yang diwakilinya.
Bagi setiap pemikir ada bab (bab satu, tujuh dan sepuluh) ditujukan kepada hidupnya, kerja-kerja dan apa yang ketara tentangnya. Penceritaan ini menyertakan ilmu pengetahuan tentang pendidikan dan latihan setiap pemikir dalam sains-sains yang berlainan, minat falsafahnya dan hasil kesarjanaan, lingkungan intelektual mereka, dan suasana intelektual dan keagamaan pada masa mereka. Ilmu pengetahuan sebegini memberikan latar belakang yang perlu untuk analisa patut tentang setiap klasifikasi yang telah dibentuk.
Sekadar memberitahu, terma "sains-sains" digunakan sebagai terjemahan bagi perkataan Inggeris sciences kerana merujuk kepada banyak jenis sains. Namun ada masanya cukup untuk menggunakan perkataan sains sahaja (tidak berbilang) untuk meliputi semua bergantung pada konteks.
Oleh kerana klasifikasi al-Farabi telah dipersembahkan sebagai klasifikasi "model" dan merupakan yang pertama mahu dianalisa dalam kajian ini, saya telah memperuntukkan lebih bab (bab dua, tiga dan empat) untuk menetapkan dan menerangkan asas falsafahnya berbanding apa yang saya telah berikan kepada dua lagi klasifikasi. Idea falsafah terpenting yang al-Farabi telah gunakan untuk klasifikasinya adalah hierarki bagi sains-sains. Bab dua, tiga dan empat menangani tiga kriteria yang disenaraikan oleh al-Farabi, yang mana dengan itu hierarki sains-sains boleh ditetapkan. Untuk menjelaskan tiga asas berlainan bagi hierarki ini, adalah perlu untuk merujuk kepada saikologi al-Farabi, logik, ontologi, dan etika, walaupun ini bermakna harus memasukkan bahan-bahan tertentu yang telah begitu dikenali oleh sarjana falsafah silam. Apa yang penting dan utama adalah dalam perbincangan ini satu usaha telah dilakukan buat pertama kalinya untuk menetapkan satu hubungan konseptual antara idea-idea dalam saikologi al-Farabi, logik, ontolog dan etika juga klasifikasinya terhadap sains-sains.
Tentang bab hierarki atau susunan keutamaan daripada yang paling penting menuju ke bawah kepada yang kurang penting Osman menyebut betapa pentingnya ia dituruti dan dijaga. Hal ini sangat disedari bukan sahaja oleh para ilmuwan Islam malah ilmuwan dan sarjana Barat dahulukala. Hierarki di sini bermaksud setiap bidang ilmu ada taraf-tarafnya, tidak bolehlah dilonggokkan sama sahaja ibarat meletakkan intan permata emas kaca pada satu rak yang sama. Paling tinggi adalah ilmu tentang keTuhanan, wujud diri dan sebagainya. Tentunya tidak boleh diletak sama rata dan sama taraf dengan ilmu mengkaji binatang katak misalnya.
Tetapi apa yang berlaku, perkembangan pemikiran dunia moden yang diterajui Barat mula meminggirkan hal-hal keTuhanan. Ini berlaku sejak abad ke-18 selari dengan kemunculan pemikiran 'moden' yang meletakkan segala suatu pada aspek-aspek fizikal yang boleh dilihat dan dicerna. Semua ilmu diletak seperti sama rata lalu rosaklah perkembangan jiwa manusia. Itulah juga yang diikuti kita malah ramai ilmuwan Islam sendiri akibat melupakan tradisi keilmuwan sejati.
Dalam bab lima dan enam saya cuba meringkaskan klasifiksi al-Farabi dan penerangannya tentang sains-sains lalu menunjukkan keketaraan kedudukan yang telah diberikannya terhadap suatu sains dalam klasifikasinya.
Kajian saya terhadap klasifikasi sains-sains al-Ghazzali termasuk satu bab (bab lapan) tentang orang yang berpengetahuan atau pencari ilmu. Beliau membahagikan orang berpengetahuan kepada empat golongan utama : ahli teologi (mutakallimun), Ta'limit atau Ismai'li, ahli falsafah (falasifah) dan orang Sufi. Bab ini cuba untuk menetapkan epistemologi al-Ghazzali dengan menganalisa kritikan-kritikannya terhadap dakwaan-dakwaan epistemologi dan metodologi empat kumpulan itu. Analisa ini menunjukkan bahawa pada al-Ghazzali masalah perhubungan antara pena'akulan dengan pengalaman yang melampaui kerasionalan juga antara agama dan falsafah telah dipertimbangkan daripada satu sudut pandang yang ternyata berbeza daripada apa yang ditemui pada al-Farabi. Bab ini menyediakan bahan yang perlu untuk memahami klasifikasi al-Ghazzali tentang sains-sains yang dianalisa dalam bab sembilan.
Perenggan ini ada memperkatakan golongan Mutakallimun (ahli ilmu Kalam) sebagai ahli teologi. Kata Osman ini adalah berdasarkan persepsi Barat walhal dalam dunia Islam golongan lain pun boleh disebut sebagai ahli teologi. Ia berbalik kepada makna teologi itu sendiri iaitu kajian keTuhanan. Semua golongan atau aliran yang disebut al-Ghazzali dalam perenggan ini mengkaji tentang Tuhan. Cuma cara mereka berlainan. Dalam hal ini golongan Mutakalimun lebih jelas caranya kerana menggunakan ilmu mantik atau logik untuk menggapai makna keTuhanan. Daripada segi sejarah dan asal usul golongan ini muncul untuk menjawab serangan ahli teologi Nasrani (Kristian) dan Yahudi terhadap kepercayaan Islam.
Dalam bab terakhir (bab sebelas) saya cuba untuk menetapkan asas falsafah klasifikasi Qutb al-Din. Walaupun idea fundamental yang mendasari klasifikasi ini sekali lagi merupakan perbezaan antara falsafah dengan sains-sains keagamaan, butiran yang ditekankan Qutb al-Din tentang perbezaan adalah tidak sama dengan apa yang dibuat oleh al-Farabi dan al-Ghazzali.
Kajian saya terhadap klasifikasi-klasifikasi sains-sains ini pada dasarnya adalah satu kajian terhadap falsafah-falsafah Islam terhadap sains. Perkataan "sains" ('ilm) digunapakai dalam kajian ini daripada segi menyeluruh suatu badan ilmu pengetahuan yang tersusun yang terdiri daripada satu displin dengan matlmat-matlmat yang jelas, ada premis-premis dasar, ada objek dan cara-cara menyiasat. Oleh itu saya merujuk kepada satu falsafah sains yang meliputi makna dan bidang kajian yang jauh lebih meluas berbanding displin moden yang memakai nama sama
Dengan ini tamatlah sub-topik 3 disyarahkan dalam bab pengenalan atau mukadimah buku Classification of Knowledge in Islam tulisan Osman. Sekadar mengingatkan, ia mengambil terus daripada tesis PhD beliau yang diselesaikan lalu dipersembahkan kepada Temple University di Amerika Syarikat tahun 1988. Masih ada lagi satu sub-topik sebelum masuk Bab Satu buku. Di sini, walaupun sudah penat dan rasa tak larat hendak menulis lagi saya terasa wajib untuk menambah beberapa perkara tanpa mengikut kronologi atau turutan masa bagaimana, kenapa dan pada waktu bila ia dinyatakan dalam syarahan. Biar dikongsikan seperti berikut :-
1. Penerangan Osman tentang sains seperti difahami sarjana dan ulamak silam Kata beliau ia melebihi apa yang difahami dan diiktiraf sebagai sains sekarang. Dahulu, kajian ilmu keTuhanan juga hal-hal seperti bahasa termasuk dalam sains. Prinsipnya begini. Sesuatu itu boleh dipanggil sebagai sains atau satu bentuk/cabang sains jika memenuhi kehendak 4 premis atau perkara asas berikut :-
i. Ada perkara yang mahu dikaji/diperkatakan (penerangan saya untuk subject matter)
ii. Ada asasnya (foundation)
iii. Ada metodologi atau kaedah teratur menanggapi suatu perkara
iv. Ada matlamat (goals)
Kalau semua ini ada secara tersusun dan baik dalam suatu bidang maka ia boleh dipanggil sebagai sains. Tetapi sekarang sains sudah dihadkan kepada apa yang dianggap logik dan rasional selain boleh diuji di mana-mana (empirical). Disebabkan itu apa yang kita fahami sebagai sains hari ini lebih merujuk kepada apa yang dikategorikan sebagai natural science, sains alam semulajadi yang mana tidak ada lagi unsur campur tangan atau aktiviti keTuhanan di dalamnya.
2. Saya ada bertanya kepada Osman bagaimana beliau membuat keputusan untuk memilih tiga tokoh ini - al-Farabi, al-Ghazzali dan al-Shirazi (Dalam tulisan Osman menyebutnya sebagai Qutb al-Din). Apakah ada membuat shortlist atau senarai pendek tokoh-tokoh yang mahu dikaji kemudian disaring sehingga tinggal 3 orang? Maka terkeluarlah penerangan yang sangat bernilai dalam perjalanan kesarjanaan saya sendiri...
Osman memberitahu sebelum memulakan PhD di Temple University (tahun 1983) beliau sudah tahu tokoh-tokoh mana patut dipilih kerana sudah didedahkan dengan ramai tokoh silam semasa peringkat Masters lagi. Ketika membuat MA (masters in arts) dalam bidang berkenaan di universiti tersebut pendedahan sudah diberikan melalui pelbagai modul pelajaran yang wajib diikuti selain membuat kajian tesis. Sebelum itu beliau pernah membuat ijazah sarjana muda sains Bsc di University of London dalam bidang matematik diikuti ijazah sarjana Msc dalam bidang dan institusi sama. Ketika itu lagi beliau sudah banyak membaca tentang tokoh-tokoh silam Islam.
Walaupun sudah memiliki Msc dari London beliau disuruh membuat satu lagi Masters ketika hendak masuk ke Temple, bukan terus boleh buat PhD. Kata Osman memang asalnya dia berniat untuk membuat terus PhD kerana sudah ada Masters. Tetapi Temple University melarang kerana berlaku pertukaran bidang yang memerlukan dia mendalami perkara terlebih dahulu pada peringkat Masters.
Hal ini mengingatkan betapa saya sendiri masuk ke ISTAC dengan niat kalau boleh hendak membuat PhD terus. Bezanya saya belum memiliki Masters kerana tidak mahu menyambung lagi pelajaran formal di menara gading selepas mendapat Bsc Mathematics daripada University College of London tahun 1995. Tetapi saya masuk ke ISTAC September 2018 sebagai seorang pelajar matang (matured student) yang sudah sedikit berumur (48 ketika itu), banyak pengalaman hidup malah sudah menulis 12 buah buku. Cadangan tesis saya adalah usaha untuk mengangkat isi dua buku terakhir saya yang terbit awal 2018 ke persada akademik. Maka perkara sudah dikaji terlebih dahulu, cuma perlu digubal balik mengikut kehendak dan format akademik.
Semasa cadangan tesis dipersembahkan kepada jawatankuasa akademik ISTAC hampir penghujung 2018 saya malah mendapat persetujuan dan galakan agar tesis itu diangkat terus daripada peringkat Masters kepada PhD. Persetujuan dan galakan diberikan setelah jawatankuasa menyedari skop kajian berserta latar belakang pengajian dan pengalaman saya. Tetapi Osman yang diminta menjadi penyelia tesis tidak bersetuju. Dia mahu saya tetap mengambil Masters lalu melakukan sedikit perubahan sambil mengecilkan skop kajian demi memenuhi kehendak peringkat Masters yang lebih rendah berbanding PhD.
Setelah seminggu dua juga berlaku pergelutan jiwa dan rasa tidak puas hati saya akhirnya akur atas asbab dia adalah penyelia tesis dan hampir sebaya bapa saya. Selain memang diakui sebagai seorang cendekiawan besar bertaraf dunia saya sebetulnya lebih akur atas dasar harus merendahkan diri kepada orang tua apa lagi yang menjadi guru kita. Insyaallah akan ada hikmahnya.
Sebetulnya banyak lagi perkara menarik terkeluar dalam syarahan ini. Tetapi seperti syarahan-syarahan sebelumnya juga banyak penulisan terdahulu cukuplah perkongsian daripada saya ya... :]