Rabu, April 03, 2019

Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Batu nesan Aceh di Kebun Lama, pemandangan di Bukit Bendera dan laksa kegemaran di Kota Lama Kanan

Salam 27 Rejab, hari memperingati peristiwa Isra' dan Mikhraj yang berlaku kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW pada waktu malam lebih 1,400 tahun lalu. Pada hari ini masuklah kita kepada cerita hari ke-4 dan terakhir perjalanan saya bersama keluarga di utara yang berlangsung minggu lalu. Bersambung penceritaan daripada Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Makam-makam di Langgar, tarikan Gunung Keriang dan Kuala Kedah.


Tengah hari Selasa 26 Mac 2019. Kami meninggalkan hotel tempat kami menginap di tengah bandar raya Georgetown di Pulau Pinang.


Cadangnya hendak naik Bukit Bendera atau Penang Hill.


Dalam perjalanan menghala ke barat menuju ke arah bukit kami singgah dahulu ke satu kawasan yang dipanggil sebagai Kebun Lama. Kami diberitahu di tanah perkuburan sana terdapat makam-makam ahli keluarga Sayyid Hussein Aidid, seorang ahli kerabat diraja Aceh yang membuka Lebuh Aceh dan masjidnya awal abad ke-18


Tengok-tengok terdapat sejumlah makam berbatu nesan Aceh juga sebuah makam dengan batu nesan unik yang lain buatannya. Lihat artikel Makam-makam berbatu nesan Aceh di (Tombs with Aceh stones in) Kebun Lama, Pulau Pinang dan Sebuah makam terserlah di (An outstanding tomb at) Kebun Lama, Pulau Pinang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Yang pasti memang ada kaum kerabat keturunan Sayyid Hussein disemadikan di sini. Mereka boleh dikenali kerana memakai nama keluarga atau marga Al-Aidid. Untuk makluman Sayyid Hussein yang dimakamkan di Masjid Lebuh Aceh adalah keturunan seorang Sultan Aceh daripada dinasti Sayyid keturunan Arab yang datang ke Aceh penghujung abad ke-17 Masihi. Malah Sayyid Hussein sendiri pernah menjadi Sultan Aceh selama 3 hari sebelum menyerahkan takhta kepada seorang anak tahun 1815. Rujuk artikel lama Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang.


Nampaknya kawasan Kebun Lama ini ada kaitan dengan warga berketurunan Aceh. Sekitar 100 meter ke barat terdapat masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Acheh Kebun Lama.


Ketika berada di tanah perkuburan tiba-tiba timbul rasa untuk melihat rumah kelahiran seniman agung negara, allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Rasanya ramai tahu beliau berketurunan Aceh daripada sebelah bapa malah berdarah bangsawan yang memakai gelaran Teuku. Saya pun menyemak kedudukan menggunakan Google Map. Tengok-tengok rumah tersebut letak cuma 650 meter sahaja ke arah timur. Lihat artikel Rumah kelahiran P. Ramlee (House of birth of P. Ramlee) diikuti Galeri (Gallery of) P. Ramlee.


Gambar bapa P. Ramlee dalam rumah. Dinyatakan beliau berasal dari Lhokseumawe di Aceh. Ini tidak jauh daripada tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan oleh seorang moyang utama saya, Sultan Malikus Saleh. Semakan menggunakan Google Earth yang dibuat kemudian menunjukkan jarak lurus tanpa ada belok-belok dari tanah perkuburan ke rumah cuma 330 meter sahaja. Oleh itu besar kemungkinan semua ini termasuk dalam kawasan khas yang asalnya diduduki orang berketurunan Aceh.


Harus dinyatakan juga Pulau Pinang terletak hampir ke timur tepat sekitar 400 km menyeberangi Selat Melaka dari Lhokseumawe. Perjalanan diteruskan menghala ke Bukit Bendera.


Kami sampai ke kaki Bukit Bendera atau Penang Hill sekitar jam 1.52 petang.


Tetapi disebabkan harus menunggu lama untuk giliran menaiki kereta api bukit ke atas kami sampai di atas sana selepas jam 3. Lihat artikel Up Penang Hill and the superb views from up there di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Seingat saya kali terakhir jelas ada naik Bukit Bendera adalah ketika membuat perjalanan solo pertama keliling Semenanjung dengan motosikal besar hampir penghujung tahun 1997. Selepas itu rasanya ada lagi sekali tapi tak jelas bila. Yang pasti memang sudah lebih 10 tahun.


Yang pasti juga saya tidak pernah naik bersama isteri dan  anak-anak. Hmm. Mungkin pernah dengan isteri pertama dahulu yang kampung bapanya terletak di Seberang Perai iaitu bahagian tanah besar negeri Pulau Pinang. 


Apapun berjalanlah kami anak beranak melihat suasana menyenangkan bukit yang mencapai ketinggian lebih 800 meter ini. Ia adalah satu ketinggian yang melayakkannya dipanggil sebagai gunung...






Begitu santai dan nyaman suasana dengan udara sedikit dingin sehingga sampai ke satu kawasan berdekatan meriam ini saya berbaring lalu terlelap buat satu tempoh. Sambil itu anak-anak bermain di taman permainan bersebelahan.


Sekitar jam 3.45 baru tersedar lalu pergi menunaikan solat di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Bukit Bendera.


Selesai menjamakkan solat Zohor dan Asar baru saya mengajak isteri dan anak-anak berjalan-jalan lagi meneroka apa yang ada di atas bukit.


Bila dah penat berjalan kaki disambung pula dengan menaiki kereta kecil atau buggy sewa.


Sampai ke satu pelantar yang memberikan pandangan menarik ke arah Geogetown kami berhenti sebentar. Tiba-tiba datang satu buggy lain berhenti di pelantar. Tengok-tengok ia membawa seorang anak muda yang gigih mengkaji sejarah. Beliau inilah yang menunjukkan kepada saya gambar dan kedudukan tanah perkuburan di Kebun Lama melalui Facebook. Rupa-rupanya anak muda ini sedang membuat tesis Masters tentang batu nesan Aceh...


Puas berlegar-legar di atas Bukit Bendera sampai masa untuk kembali ke rumah. Tetapi sebelum itu saya ingin menunaikan satu hajat iaitu makan laksa telur sarang di satu bahagian Kuala Kangsar di Perak.


Masalahnya kedai itu tutup jam 7.30 malam sedangkan kami sampai ke kaki bukit pun dekat jam 5.40 petang.


Dari kaki Bukit Bendera ke Kuala Kangsar ada jarak 130 km yang menurut Google Map dan memakan masa 1 jam 40 minit. Sedangkan isteri mahu kami singgah dahulu di satu bahagian pulau untuk membeli jeruk Pak Ali.


Disebabkan persinggahan tersebut kami sampai ke jambatan kedua Pulau Pinang pun sudah jam 6.40 petang. Dari permulaan jambatan di belah pulau ke Kuala Kangsar ada jarak 116 km bersamaan 1 jam 20 minit perjalanan.


Sambil berkejar menyeberangi jambatan sepanjang 24 km ini, 16.9 km di atas air kami dapat melihat Pulau Aman yang pertama kali dimasuki pada hari pertama perjalanan. Lihat Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.


Ditakdirkan kami cuma dapat sampai ke kedai laksa di Kota Lama Kanan. 2.3 km ke timur bandar diraja Kuala Kangsar hampir jam 8. Walaupun kedai sebenarnya sudah tutup kami dapat menikmati laksa kegemaran kerana penjaga kedai sanggup menunggu kedatangan kami setelah diberitahu melalui telefon dalam perjalanan.


Dengan itu sempurnalah makan malam saya itu hari itu. Dalam perjalanan saya ada berbuka puasa dengan air kosong sahaja dalam kereta (sudah diberitahu perjalanan dibuat dalam keadaan saya pertama kali cuba menunaikan puasa 3 bulan berturut-turut, Rejab, Sya'aban dan Ramadhan). Selepas makan singgah pula ke masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat batu nesan dalam masjid menandakan tempat ghaibnya Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Syah ketika menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu. Cerita berkenaan ada dinukilkan dalam artikel lama Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kota Lama Kanan dan Bukit Chandan. Sekian penceritaan. Wassalam. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan