Sabtu, Mac 30, 2019

Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Panggilan makam Daeng Parani membawa ke Terusan Wan Mat Saman dan Alor Setar

Salam. Masuk hari ke-2 perjalanan di utara baru ini. Bersambung daripada Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.


Pagi Ahad 24 Mac 2019. Kami melihat ke luar tingkap hotel di Bukit Mertajam.


Ke utara boleh kelihatan Gunung Jerai diliputi awan kabus...


Kembali ke arah barat dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang boleh dilihat sedikit di bukit-bukitnya berbalam kelam di latar belakang. Pemandangan mahu ditujukan kepada lokasi kebakaran malam semalam. Rujuk balik bahagian akhir Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.


Zoom-in. Dapat dilihat bahagian yang terbakar menggunakan kamera digital compact saya yang memiliki 25 x zoom.


Campur dengan digital zoom ia boleh memberikan gambaran bersamaan 100 x zoom... 


Dengan itu dapatlah diteliti lokasi kebakaran dari hotel. Pemandangan terang siang hari memungkinkan lokasi tepat dikenal pasti dengan program Google Map dalam telefon pintar. Tak cukup itu selepas check out hotel jam 12 tengah hari kami ke lokasi untuk 'menyiasat'.


Baru anak-anak (dan saya sendiri sebenarnya) merasa puas lalu bersedia untuk meninggalkan Bukit Mertajam. Kami mengambil jalan belakang merangkap jalan pintas/terdekat ke Kepala Batas. Tidak lama kemudian terlihat satu kompleks bangunan kayu yang menarik. Lihat artikel Muzium BM (BM Museum), Bukit Mertajam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sampai ke Kubang Semang baru makan tengah hari. Oleh kerana berpuasa saya sekadar boleh melihat sambil layan baca buku.


Perjalanan diteruskan melalui jalan pintas yang ditunjukkan Google Map untuk ke Kepala Batas. 


Sampai satu bahagian kami dibawa masuk ke jalan sempit kampung sebelum sampai ke tujuan.


Ini pula selepas menghantar anak balik kolej di Kepala Batas.


Kami mengambil jalan kampung menuju ke Sidam Kiri, Kedah dengan sebahagian laluan menghulu Sungai Muda. Lihat artikel Muda river from Sidam Kanan pump station di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Adapun semasa pengembaraan ke utara ini dimulakan awal pagi Sabtu cadangnya paling jauh adalah kami akan ke Kepala Batas kemudian masuk ke bahagian pulau Pulau Pinang. Tetapi masuk pagi Ahad timbul rasa alang-alang dah ke Kepala Batas biar dipanjangkan perjalanan hingga ke Alor Setar. Selepas itu timbul pula rasa harus menziarahi makam Daeng Parani di Sidam Kiri. Laluan 'belakang' dari Kepala Batas membawa kami sampai ke masjid sana terlebih dahulu. Di masjid itu timbul pula rasa harus mencari makam Perdana Menteri Kedah abad ke-19 iaitu Wan Mat Saman.


Makam Daeng Parani yang merupakan moyang saya sebelah ibu sudah beberapa kali diziarahi. Tak susah hendak mencari jalan ke sana. Cuma dari arah Kepala Batas sahaja tidak biasa kerana selalunya kami datang dari arah Sungai Petani.


Sampai ke makam teringat bagaimana saya cuma mengetahui kaitan darah dengan pahlawan besar Bugis ini bermula tahun 2011. Padahal ketika makam ini mahu diisytiharkan secara rasmi sebagai makam Daeng Parani iaitu pada tahun 2007 saya menerima undangan untuk hadir sama. Tetapi saya tak pergi kerana ketika itu tidak merasakan diri ada apa-apa kaitan.


Selepas beberapa lama baru menerima alamat bahawa keluarga belah ibu memang ada kaitan darah keturunan lalu ini disahkan oleh satu cabang keluarga yang baru dikenali tahun 2011. Atas asbab mahu ke makam Daeng Parani hari itu saya juga mendapat gerak agar menziarahi makam Wan Mat Saman. Yang ini baru beberapa bulan lalu dapat tahu bagaimana kaitan. Menurut cerita satu cabang keluarga belah bapa, moyang kami Laksamana Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama Sultan Abdullah akibat dituduh terlibat membunuh residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875) telah berkahwin dengan seorang anak Wat Man Saman. Dapat datuk kepada datuk saya yang bernama Muhammad Arshad.


Semasa di masjid saya sempat membuat status update di Facebook bertanyakan lokasi makam Wan Mat Saman lalu mendapat tahu ia terletak di makam diraja Kedah di Langgar, Alor Setar. Dari makam Daeng Parani kami pun mengorak langkah ke sana. Ikut satu jalan pintas yang ditunjukkan Google Map menghilir Sungai Muda. Boleh tahan teruk le jalan. Tapi saya seronok sebab dekat dengan sungai. Lihat Muda river from Pantai Prai pump station.


Laluan pintas membawa ke jalan besar menuju ke Sungai Petani lalu dapatlah singgah ke makam lama ini.

Tentang ceritanya malas hendak dipanjangkan di sini. Ia telah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel lama saya...


Masuk ke Sungai Petani hujan mula menitis.


Adapun sebelum memulakan perjalanan kami diberitahu bahagian utara Semenanjung sudah beberapa lama kemarau. Tetapi masuk petang Sabtu, kami mengalami hujan di Bukit Mertajam. Petang Ahad pula di Sungai Petani.


Hujan terus berlaku sambil kami bergerak ke Gurun di kaki timur Gunung Jerai.


Sampai ke kaki gunung belah utara menghampiri Guar Chempedak kami berhenti sebentar. Hujan pun sudah reda...


Di situ kami mendapat tahu di manakah lokasi Terusan Wan Mat Saman yang sangat terkenal dalam sejarah. Rupa-rupanya apa yang dilihat sebagai parit di sebelah kiri jalan besar menuju utara ke Alor Setar itulah terusan yang dibina beliau. Penghujung selatannya terletak dekat kaki Gunung Jerai. Lihat Hujung selatan (Southern end of) Terusan Wan Mat Saman.


Selepas menemani keluarga makan petang kemudian berlaku hujan lebat perjalanan disambung ke Alor Setar. Oh, sebelum sampai kami singgah di sebuah masjid dengan seni bina menarik. Lihat Masjid (Mosque of Al-A'la), Kampung Benua Batu 6, Alor Setar.







Sampai sahaja ke pusat bandar raya terus menuju ke menara telekomunikasi lalu naik untuk menikmati pemandangan. Punyalah nak kejar pemandangan sebelum gelap sehingga berbuka puasa pun setakat beberapa teguk air kemudian melepak lama di atas. Lihat Night views from Alor Setar's telecommunications tower.


Turun bawah selepas jam 8 baru betul-betul makan di warung berdekatan kemudian ke Masjid Zahir untuk menjamakkan solat.


Ketika itu sedang ada majlis apa entah sehingga jalan utama hadapan masjid ditutup kecuali untuk pejalan kaki.


Saya mengambil peluang beriktikaf sebentar di masjid. Setelah beberapa lama baru terasa 'cukup syarat'...


Jumaat, Mac 29, 2019

Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam

Salam malam Jumaat 22 Rejab. Merujuk kepada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation yang  mengumpulkan cerita-cerita pengembaraan saya bersama keluarga di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Adapun sejak itu kami tidak ada membuat perjalanan jauh kecuali untuk kembali ke kampung ibu saya di Muar 240 km dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Baru hujung minggu lalu kami ada membuat perjalanan yang layak dikategorikan sebagai jauh. Pada saya perjalanan melepasi 300 km sudah boleh dikategorikan jauh apa lagi dengan memandu kereta sendiri. Perjalanan kali ini didapati meliputi jarak keseluruhan 993 km iaitu sampai ke Alor Setar, Kedah lalu meliputi beberapa lokasi lain dalam perjalanan pergi dan kembali. Sekarang biar dimulakan cerita.


Perjalanan kali ini dimulakan pada jam 5.30 pagi Sabtu 23 Mac 2019. Asbab asalnya adalah untuk melawat seorang anak kepada isteri yang sedang mengaji kolej di Kepala Batas, Pulau Pinang.


Tetapi hendak dijadikan cerita anak tersebut sudah seminggu lebih awal kembali bercuti di rumah bapanya di Rawang. Ini disebabkan dia mengikuti rombongan kolej bertandang ke tempat-tempat di Kuala Lumpur sebelum menuju ke Kelantan. Namun di KL dia menghadapi masalah kesihatan lalu diberikan pelepasan untuk kembali ke rumah. Dengan itu perjalanan Sabtu lalu bertukar asbab  untuk menghantarnya kembali masuk kolej sebelum jam 6 petang Ahad.


Seperti biasa kami anak beranak kalau berjalan bukan setakat dari rumah ke suatu tempat. Harus singgah di beberapa tempat baru terasa puas berbaloi masa dan duit minyak.


Kebetulan ketika itu sudah bermula cuti sekolah. Saya dan isteri pun membawa anak-anak berjalan ke Zoo Taiping. Lihat artikel Visit to Taiping Zoo di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami ke kaki Bukit Larut dengan niat hendak mendapatkan kenderaan pacuna empat roda naik ke atas. Tengok-tengok kami sudah terlepas satu kenderaan sedangkan nak dapatkan yang seterusnya kena tunggu lebih sejam.


Pada kami ini membuang masa kerana ada tempat-tempat lain mahu dituju. Kami pun bergerak ke destinasi seterusnya iaitu jeti ke Pulau Aman di Pulau Pinang...


Alhamdulillah, sampai sahaja dah boleh dapat bot ke pulau.


Di sini bermula satu dugaan besar buat saya dalam perjalanan. Adapun buat pertama kali dalam hidup saya telah memulakan satu sesi puasa sunat berterusan dengan niat mahu dipanjangkan seluruh bulan Rejab dan Sya'aban membawa ke Ramadhan. Daripada segi penat, lapar dan dahaga alhamdulillah dapat bertahan kerana sudah membiasakan diri berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis selain 3 hari tengah bulan Islam (puasa putih 13, 14, 15 haribulan). Yang terasa susah sikit nak tahan adalah apabila kelihatan kedai-kedai dengan makanan istimewa setempat. Memang terasa dugaaan melihat anak-anak isteri makan. Sedangkan selepas itu kami akan bergerak ke tempat lain lalu saya tidak berpeluang untuk menikmati makanan di tempat yang dilihat...


Terus saya beritahu isteri. Lain kali kalau hendak berjalan begini kena tunggu masa lain. Kalau boleh saya nak mula istiqamah berpuasa sunat Rejab dan Sya'aban setiap tahun membawa ke puasa wajib bulan Ramadhan. Oh, lupa pula nak mengambil gambar ketika mereka makan. Memang hidangan istimewa berdasarkan udang dan makanan laut segar. Sedikit suasana Pulau Aman ada ditunjukkan dalam artikel On to Pulau Aman.


Antara tarikan di pulau ini adalah telaga yang digali tahun 1789 akibat penemuan mata air tepi pantai disertai tempayan emas. Masjid sini pula dikatakan didirikan tahun 1817. Maka itu ia sudah diduduki paling lewat 200 tahun lalu. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-




Tanah perkuburan Islam (Muslim burial ground), Pulau Aman



Puas berjalan di Pulau Aman kami terus bergegas ke Bukit Mertajam.


Sebenarnya saya belum puas tetapi anak-anak dah tak sabar nak masuk ke hotel. Dalam perjalanan itu singgah  melihat batu bersurat Cerok Tok Kun yang terletak dalam kawasan sebuah gereja besar di kaki bukit. Letaknya dalam perjalanan ke hotel yang kami tempah di Bukit Mertajam. 


Tentang batu yang dpahat tulisan purba lebih 1,500 tahun dahulu ini ada diceritakan dalam lawatan pertama saya dan keluarga tahun 2014. Sila rujuk artikel Misi HIKMAH Pulau Pinang - Batu bersurat Cerok Tok Kun dan panggilan Kuala Kangsar. Cerita berkenaan pula ada dipanjangkan dalam artikel Batu-batu bersurat di Kedah - Petunjuk satu hubungan purba? Sesungguhnya ada sesuatu tentang Bukit Mertajam dan bukit tinggi berdekatan yang menyebabkan wujud batu bersurat berkenaan.


Anak-anak tak sabar ke hotel kerana hendak mandi kolam renang. Kami mengambil bilik di sebuah hotel utama di Bukit Mertajam pun untuk menggembirakan anak-anak.



Beginilah pemandangan dari bilik kami di hotel. Lihat Bukit Mertajam from Summit Hotel.


Nak dijadikan cerita ketika sedang bersantai anak beranak pada waktu malam tiba-tiba kedengaran bunyi letupan lalu dapat dilihat kebakaran.


Zoom-in kamera. Nampaknya ada deretan rumah kedai terbakar.


'Drama' ini berlangsung buat suatu waktu. Ada masa api kelihatan semakin marak kemudian surut kemudian marak balik sambil kedengaran bunyi kenderaan bomba datang. Anak-anak kecil pula merasa teruja ingin menyiasat. Saya kata tak apalah. Tunggu nanti siang.