Salam. Masuk hari ke-2 perjalanan di utara baru ini. Bersambung daripada Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.
Pagi Ahad 24 Mac 2019. Kami melihat ke luar tingkap hotel di Bukit Mertajam.
Ke utara boleh kelihatan Gunung Jerai diliputi awan kabus...
Kembali ke arah barat dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang boleh dilihat sedikit di bukit-bukitnya berbalam kelam di latar belakang. Pemandangan mahu ditujukan kepada lokasi kebakaran malam semalam. Rujuk balik bahagian akhir Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.
Zoom-in. Dapat dilihat bahagian yang terbakar menggunakan kamera digital compact saya yang memiliki 25 x zoom.
Campur dengan digital zoom ia boleh memberikan gambaran bersamaan 100 x zoom...
Dengan itu dapatlah diteliti lokasi kebakaran dari hotel. Pemandangan terang siang hari memungkinkan lokasi tepat dikenal pasti dengan program Google Map dalam telefon pintar. Tak cukup itu selepas check out hotel jam 12 tengah hari kami ke lokasi untuk 'menyiasat'.
Baru anak-anak (dan saya sendiri sebenarnya) merasa puas lalu bersedia untuk meninggalkan Bukit Mertajam. Kami mengambil jalan belakang merangkap jalan pintas/terdekat ke Kepala Batas. Tidak lama kemudian terlihat satu kompleks bangunan kayu yang menarik. Lihat artikel Muzium BM (BM Museum), Bukit Mertajam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Sampai ke Kubang Semang baru makan tengah hari. Oleh kerana berpuasa saya sekadar boleh melihat sambil layan baca buku.
Perjalanan diteruskan melalui jalan pintas yang ditunjukkan Google Map untuk ke Kepala Batas.
Sampai satu bahagian kami dibawa masuk ke jalan sempit kampung sebelum sampai ke tujuan.
Ini pula selepas menghantar anak balik kolej di Kepala Batas.
Kami mengambil jalan kampung menuju ke Sidam Kiri, Kedah dengan sebahagian laluan menghulu Sungai Muda. Lihat artikel Muda river from Sidam Kanan pump station di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Adapun semasa pengembaraan ke utara ini dimulakan awal pagi Sabtu cadangnya paling jauh adalah kami akan ke Kepala Batas kemudian masuk ke bahagian pulau Pulau Pinang. Tetapi masuk pagi Ahad timbul rasa alang-alang dah ke Kepala Batas biar dipanjangkan perjalanan hingga ke Alor Setar. Selepas itu timbul pula rasa harus menziarahi makam Daeng Parani di Sidam Kiri. Laluan 'belakang' dari Kepala Batas membawa kami sampai ke masjid sana terlebih dahulu. Di masjid itu timbul pula rasa harus mencari makam Perdana Menteri Kedah abad ke-19 iaitu Wan Mat Saman.
Makam Daeng Parani yang merupakan moyang saya sebelah ibu sudah beberapa kali diziarahi. Tak susah hendak mencari jalan ke sana. Cuma dari arah Kepala Batas sahaja tidak biasa kerana selalunya kami datang dari arah Sungai Petani.
Sampai ke makam teringat bagaimana saya cuma mengetahui kaitan darah dengan pahlawan besar Bugis ini bermula tahun 2011. Padahal ketika makam ini mahu diisytiharkan secara rasmi sebagai makam Daeng Parani iaitu pada tahun 2007 saya menerima undangan untuk hadir sama. Tetapi saya tak pergi kerana ketika itu tidak merasakan diri ada apa-apa kaitan.
Selepas beberapa lama baru menerima alamat bahawa keluarga belah ibu memang ada kaitan darah keturunan lalu ini disahkan oleh satu cabang keluarga yang baru dikenali tahun 2011. Atas asbab mahu ke makam Daeng Parani hari itu saya juga mendapat gerak agar menziarahi makam Wan Mat Saman. Yang ini baru beberapa bulan lalu dapat tahu bagaimana kaitan. Menurut cerita satu cabang keluarga belah bapa, moyang kami Laksamana Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama Sultan Abdullah akibat dituduh terlibat membunuh residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875) telah berkahwin dengan seorang anak Wat Man Saman. Dapat datuk kepada datuk saya yang bernama Muhammad Arshad.
Semasa di masjid saya sempat membuat status update di Facebook bertanyakan lokasi makam Wan Mat Saman lalu mendapat tahu ia terletak di makam diraja Kedah di Langgar, Alor Setar. Dari makam Daeng Parani kami pun mengorak langkah ke sana. Ikut satu jalan pintas yang ditunjukkan Google Map menghilir Sungai Muda. Boleh tahan teruk le jalan. Tapi saya seronok sebab dekat dengan sungai. Lihat Muda river from Pantai Prai pump station.
Laluan pintas membawa ke jalan besar menuju ke Sungai Petani lalu dapatlah singgah ke makam lama ini.
Tentang ceritanya malas hendak dipanjangkan di sini. Ia telah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel lama saya...
Masuk ke Sungai Petani hujan mula menitis.
Adapun sebelum memulakan perjalanan kami diberitahu bahagian utara Semenanjung sudah beberapa lama kemarau. Tetapi masuk petang Sabtu, kami mengalami hujan di Bukit Mertajam. Petang Ahad pula di Sungai Petani.
Hujan terus berlaku sambil kami bergerak ke Gurun di kaki timur Gunung Jerai.
Sampai ke kaki gunung belah utara menghampiri Guar Chempedak kami berhenti sebentar. Hujan pun sudah reda...
Di situ kami mendapat tahu di manakah lokasi Terusan Wan Mat Saman yang sangat terkenal dalam sejarah. Rupa-rupanya apa yang dilihat sebagai parit di sebelah kiri jalan besar menuju utara ke Alor Setar itulah terusan yang dibina beliau. Penghujung selatannya terletak dekat kaki Gunung Jerai. Lihat Hujung selatan (Southern end of) Terusan Wan Mat Saman.
Selepas menemani keluarga makan petang kemudian berlaku hujan lebat perjalanan disambung ke Alor Setar. Oh, sebelum sampai kami singgah di sebuah masjid dengan seni bina menarik. Lihat Masjid (Mosque of Al-A'la), Kampung Benua Batu 6, Alor Setar.
Sampai sahaja ke pusat bandar raya terus menuju ke menara telekomunikasi lalu naik untuk menikmati pemandangan. Punyalah nak kejar pemandangan sebelum gelap sehingga berbuka puasa pun setakat beberapa teguk air kemudian melepak lama di atas. Lihat Night views from Alor Setar's telecommunications tower.
Turun bawah selepas jam 8 baru betul-betul makan di warung berdekatan kemudian ke Masjid Zahir untuk menjamakkan solat.
Ketika itu sedang ada majlis apa entah sehingga jalan utama hadapan masjid ditutup kecuali untuk pejalan kaki.
Saya mengambil peluang beriktikaf sebentar di masjid. Setelah beberapa lama baru terasa 'cukup syarat'...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan