Dalam kalangan cerdik pandai sekurang-kurangnya dalam bidang Ekonomi di Malaysia Profesor Dr.Jomo Kwame Sundaram atau Jomo K. S. adalah satu nama besar. Tanpa mengetahui gelaran Profesor dan Dr juga kedudukannya sebagai pemegang Kerusi Tun Hussein Onn di Institut Pengajian Strategi dan Antarabangsa atau ISIS di negara ini (singkatan bahasa Inggeris untuk Institute of Strategic and International Studies, bukan pengganas ISIS di Syria ya) nama Jomo itu sendiri sudah cukup berwibawa sehingga poster promosi acara tidak perlu menyebut apa-apa jawatan beliau. Apabila mendapat tahu beliau akan bercakap tentang Melaka abad ke-15 saya pun merancang untuk menghadirinya. Walaupun belum pernah mengikuti apa-apa syarahan beliau di mana-mana saya harus tahu apakah yang akan diperkatakannya tentang Melaka.
Selepas mengikuti majlis di ISTAC pagi hingga hampir jam 3 (rujuk
Menangani krisis Yaman - Majlis "Stand With Yemen" di ISTAC) saya ke lokasi di Muzium Seni Islam, Taman Tasik Perdana. Untuk ini juga satu majlis ilmu di tempat lain di Kuala Lumpur selepas itu saya dan isteri sanggup menggunakan dua buah kereta. Kami sama-sama ke ISTAC, saya satu kereta, isteri dan anak-anak satu lagi kereta. Selepas ISTAC mereka kembali ke rumah, saya ke majlis Jomo.
Ternyata ramai yang berminat sehingga hadirin melimpah ke luar auditorium.
Masuk ke dalam kelihatan auditorium memang penuh. Melihat komposisi hadirin terus terasa semacam sambil saya bergerak ke barisan hadapan lalu dapat menemui ruang duduk.
Mungkin ini kedengaran seperti perkauman tetapi saya harus merekodkan rasa dan pemerhatian. Kelihatan ramai betul orang bukan Melayu terutama berbangsa Cina datang mengikuti majlis. Orang Melayu ada tetapi kurang ketara. Bangsa-bangsa lain termasuk orang Barat pun ada. Rata-rata kelihatan seperti liberal kalau tidak pun sekadar berpenampilan moden. Yang pasti saya seorang sahaja datang memakai busana tradisional Melayu berkeris bertanjak bersampin. Persoalan yang timbul dalam benak fikiran adalah kenapa mereka terutama bangsa Cina hendak tahu sangat pasal Melaka abad ke-15?
Diakui reputasi besar Jomo sebagai seorang cendekiawan tersohor menjadi tarikan. Tetapi bagi saya kalau orang lain bercakap pun kemungkinan besar saya akan datang. Ini disebabkan tajuk majlis yang menarik juga lokasi mudah dicapai. Dah memang pun saya keluar ke KL 40 km dari rumah hari itu kerana menghadiri majlis di ISTAC. Kehadiran ke majlis seterusnya di Taman Tasik Perdana boleh dibuat sekali jalan.
Berbalik pada komposisi kehadiran majlis. Saya dapat merasakan ia ada kena-mengena dengan keadaan Malaysia 'baru' sekarang yang mana kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam kelihatan menguasai keadaan. Apapun Jomo mengaku bukan pakar sejarah. Cuma sebagai pakar ekonomi dan seorang pemikir besar kata-kata beliau harus diperhatikan. Jomo pun membuka cerita tentang satu shipwreck atau kapal tenggelam Dinasti Tang abad ke-10 Masihi. Ini merujuk kepada dinasti yang memerintah Cina tahun 618–907.
Oh. Majlis diadakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Sebetulnya begitu juga majlis di ISTAC juga majlis yang akan dihadiri selepas syarahan Jomo. Beliau menunjukkan satu peta perdagangan yang menyambungkan dunia Timur dan Barat. Jalan laut menunjukkan kenapa boleh ada kapal tenggelam Dinasti Tang abad ke-10 di perairan Asia Tenggara. Kapal itu tenggelam dekat Sumatera tengah dalam perjalanan menuju ke kerajaan Sailendra di Pulau Jawa.
Menurut Jomo kandungan kapal tersebut tidak layak untuk mengisi mana-mana muzium terhormat (not fit for any respectable museum). Namun ada syarikat Malaysia sanggup membelinya tahun 1960an (kalau tak silap dengar). Menurut undang-undang antarabangsa Indonesia memiliki separuh kapal dan muatan disebabkan lokasi penemuan. Separuh lagi boleh dijual lalu menjadi milik syarikat Malaysia. Pun begitu ada sejumlah barangan menarik di dalamnya...
Hadirin kemudian ditunjukkan beberapa peta lama.
Jomo mahu menunjukkan bagaimana masyarakat masa lalu melihat dunia...
Cuma beliau tidak memberitahu peta-peta itu daripada zaman bila.
Lalu masuklah pada ekspedisi pelayaran Cheng Ho atau Laksamana Cheng Ho yang dikenali ramai itu. Cerita tentang armada besar yang katanya terdiri daripada 300 buah kapal dan 30,000 anak kapal (Jomo tidak menyebut ini) boleh dirujuk melalui Google dan banyak penulisan. Sebut sahaja nama Cheng Ho, orang yang tahu sedikit sejarah Melaka pun harus boleh faham. Diketahui laksamana daripada Dinasti Ming (memerintah Cina 1368–1644) telah mengadakan ekspedisi jauh sehingga ke perairan Afrika dan Tanah Arab sebanyak 7 kali dan selalu singgah di Melaka abad ke-15.
Di sini saya dah mula nampak trend pemikiran Jomo apabila menyebut Melaka dibina oleh armada Cheng Ho. Saya pasti ada dengar itu sepertimana halnya orang Cina sekarang suka menyebut merekalah yang bertanggungjawab membina Malaysia, tanpa mereka negara tidak akan maju dan orang Melayu akan terus ketinggalan (konon). Tolak ke tepi hal tersebut. Jomo membangkitkan satu persoalan menarik. Diketahui Cheng Ho singgah di beberapa lokasi di Alam Melayu (perkataan saya ini). Kenapa tiada dalam rekod Cina bahawa Cheng Ho pernah singgah di Singapura sedangkan ada yang kata Singapura juga sebuah pelabuhan besar?
Kenapa singgah di Melaka dan tiada langsung di Singapura? Dalam bertanyakan soalan ini Jomo kedengaran begitu adil tentang sejarah Melayu kerana meletakkan ia jauh ke belakang berbanding 200 tahun lalu merujuk kepada kedatangan Raffles tahun 1819. Itupun Jomo mengingatkan pegawai Inggeris tersebut sekadar mahu mendirikan gudang perniagaan pada waktu itu. Ia bukan tahun atau tarikh Singapura mula menjadi pegangan Inggeris.
Penemuan arkeologi oleh pakar seperti John Miksic menunjukkan Singapura sudah ada kerajaan dan pelabuhan maju seawal abad ke-14. Boleh rujuk artikel lama
Tentang kehidupan zaman lampau di kota-kota Asia Tenggara - Batu Bersurat Singapura terkait dengan Raja Suran dan Badang? tentang cendekiawan Amerika ini. Jadi kenapa Cina tidak memilih Singapura tetapi Melaka? Jomo pun mengaitkan persoalan dengan inistiatif OBOR (One Belt One Road) yang mana negara Cina sedang berusaha membina infrastuktur di beberapa negara untuk memajukan rangkaian perdagangannya. Sekarang pun Singapura bukan pilihan Cina. Kenapa Malaysia?
Melihat perkara daripada sudut perdagangan adalah keistimewaan Jomo sebagai seorang pakar ekonomi. Skop atau rangkaian perdagangan zaman dahulu pun dibahagikan kepada 3 :-
1. Jajaran yang meliputi Tanah Arab dan sebahagian Afrika yang membawa ke pesisiran pantai Persia hingga ke barat benua Hindi (lingkungan paling kiri atau barat dalam peta).
2. Jajaran benua Hindi membawa ke Sumatera dan Semenanjung (lingkungan tengah)
3. Jajaran Asia Tenggara membawa ke Cina (lingkungan paling kanan atau timur dalam peta)
Ada pedagang yang kapalnya bergerak cuma dalam satu jajaran. Lalu barang dagangannya dibawa ke jajaran bersebelahan oleh kapal lain melalui pelabuhan yang terletak dalam jajaran bertindih. Namun semua jajaran ada kapal-kapal membawa barangan dagangan ke Melaka. Beliau pun merujuk kepada institusi dan jawatan Syahbandar sebagai pegawai yang bertanggungjawab berurusan dengan para pedagang.
Menurut Jomo seorang Syahbandar dan para pekerjanya sudah cukup besar lingkungan pengaruh untuk mengawal satu pelabuhan. Tetapi Melaka memiliki sehingga 4 orang Syahbandar untuk berurusan dengan pedagang daripada setiap satu jajaran seperti ditunjukkan dalam peta, satu lagi saya sudah lupa apakah kawasan atau lingkungan tanggungjawabnya. Beliau pun memberitahu orang bangsa apakah yang ditugaskan menjadi Syahbandar. Menurutnya tiada seorang pun berbangsa Melayu. Paling dekat adalah Syahbandar berbangsa Jawa untuk perdagangan di Asia Tenggara.
Kemudian beliau bercakap pula tentang teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara terutama ke Melaka. Menurut beliau antara kelebihan Islam yang menarik pedagang datang beramai-ramai adalah undang-undang muamalat atau urus niaga yang adil boleh diterima semua pihak. Kalau tidak kerana itu akan timbul masalah kerana pedagang daripada kawasan ini begini undang-undang urusniaganya, pedagang daripada kawasan itu begitu pula cerita...
Lalu disebutlah tentang kitab Undang-undang Melaka dan kitab Undang-undang Laut. Semasa ini saya sebagai seorang anak Melayu terasa begitu bangga sehingga mahu mengambil gambar menggunakan telefon bimbit untuk dimuatnaik terus ke Facebook (saya biasa pakai kamera digital kompak). Baru tersedar telefon tertinggal dalam kereta lalu saya keluar sebentar untuk mengambilnya. Kembali ke dalam dewan slaid ini masih terpapar lalu saya ambil gambar serupa seperti di atas dan hantar ke FB berserta teks berikut :-
Interesting. Jomo KS talking about Melaka Sultanate through economics and commerce perspective...
(Menarik Jomo KS bercakap tentang Kesultanan Melaka melalui perspektif ekonomi dan perdagangan)
Tengok-tengok slaid seterusnya bercakap atau lebih tepat, mempersoalkan tentang apa itu Melayu...
Masuk slaid selepas itu semakin jelas Jomo hendak 'mencairkan' takrif Melayu dengan membuat perbandingan dengan takrifan di Indonesia dan Filipina. Tidak ingin saya mengulas ini kerana ada ditulis panjang lebar dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" (secara rasmi terbit Mac 2018). Yang pasti rasa semacam semakin nyata lalu saya ambil satu gambar seperti di atas dengan telefon bimbit untuk dihantar ke FB. Teksnya begini :-
Alamak . Masuk Malay identity pulak. Boleh jadi sensitif ni...
Masuk pula cerita pergaduhan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Dengan menyebut dakwaan kontroversi Profesor Emeritus Ahmat Adam bahawa "Hang Tuah tak wujud" kata-kata ini diulang dalam bahasa Inggeris. Walhal saya faham Ahmat cuma mempersoalkan kebenaran Hang Tuah sebagai nama batang tubuh tokoh. Tentang pahlawan atau laksamana yang dimaksudkan dia tidak mempertikaikan kewujudan.
Kemudian ditimbulkan hal Panglima Awang yang dikenali Barat sebagai Enrique the Black. Menurut Jomo tidak ada bukti nama orang yang dimaksudkan adalah Awang.
Namun watak yang dimaksudkan memang wujud kerana ada direkodkan oleh Barat sebagai Enrique.
Memang dia telah belayar mengelilingi dunia, bukan Ferdinand Magellan yang selalu disebut sejarah tulisan Barat kerana Magellan mati dibunuh orang bernama Lapu Lapu ketika sampai di kepulauan yang bakal diberi nama Filipina...
Beralih pula kepada sejarah Alam Melayu menurut beberapa sumber...
Daripada segi ilmu banyak perkara diangkat dan dibincangkan oleh Jomo.
Namun akhir kalam kelihatan beliau cuba hendak menafikan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Caranya dengan mempersoalkan makna Melayu itu sendiri sebagai suatu ciptaan baru. Malah konsep bangsa itu sendiri dikatakannya tidak wujud secara hakiki. Pada mereka yang dapat membaca apa yang tersirat sudah jelas cara pemikiran beliau walaupun dikatakan sudah memeluk agama Islam sejak sekian lama.
Patutlah begitu ramai orang bukan Melayu terutama Cina tertarik untuk mendengar syarahan Jomo. Melihat pada tajuk seperti mahu bercakap tentang Melaka abad ke-15. Tetapi macam-macam perkara dimasukkannya. Nampaknya supaya akhir kalamnya membawa makna keMelayuan itu tidak membawa apa-apa erti lalu boleh diketepikan dalam pembangunan negara.
Perkongsian ini boleh dipanjangkan lagi dengan meneliti reaksi Jomo apabila saya bertanya di hadapan hadirin apakah yang beliau mahu beritahu sebenarnya? Selepas majlis seorang warga British menyatakan persetujuan dengan pertanyaan saya, bahawa Jomo cuba berselindung di sebalik niat tertentu tetapi tidak sanggup menyatakannya secara terang-terangan. Cendekiawan Melayu terkenal Pulau Pinang, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang hadir pada majlis juga bersetuju. Kami ada berbual panjang di ISTAC selepas satu majlis Isnin lalu (lihat
Tentang orang Terengganu dan kehidupan mereka - Bicara buku yang ke-2 di ISTAC). Dia sendiri melihat apa yang dilakukan Jomo adalah percubaan untuk menghancurkan takrif Melayu.