Khamis, Februari 28, 2019

Bila Jomo bercakap tentang Melaka abad ke-15 - Kenapa ramai bukan Melayu nak ambil tahu?

Meneruskan lagi gerak penulisan sama dengan berkongsi cerita tentang majlis ilmu kedua hari Sabtu lalu. Bersambung daripada Menangani krisis Yaman - Majlis "Stand With Yemen" di ISTAC.


Dalam kalangan cerdik pandai sekurang-kurangnya dalam bidang Ekonomi di Malaysia Profesor Dr.Jomo Kwame Sundaram atau Jomo K. S. adalah satu nama besar. Tanpa mengetahui gelaran Profesor dan Dr juga kedudukannya sebagai pemegang Kerusi Tun Hussein Onn di Institut Pengajian Strategi dan Antarabangsa atau ISIS di negara ini (singkatan bahasa Inggeris untuk  Institute of Strategic and International Studies, bukan pengganas ISIS di Syria ya)  nama Jomo itu sendiri sudah cukup berwibawa sehingga poster promosi acara tidak perlu menyebut apa-apa jawatan beliau.  Apabila mendapat tahu beliau akan bercakap tentang Melaka abad ke-15 saya pun merancang untuk menghadirinya. Walaupun belum pernah mengikuti apa-apa syarahan beliau di mana-mana saya harus tahu apakah yang akan diperkatakannya tentang Melaka.


Selepas mengikuti majlis di ISTAC pagi hingga hampir jam 3 (rujuk Menangani krisis Yaman - Majlis "Stand With Yemen" di ISTAC) saya ke lokasi di Muzium Seni Islam, Taman Tasik Perdana. Untuk ini juga satu majlis ilmu di tempat lain di Kuala Lumpur selepas itu saya dan isteri sanggup menggunakan dua buah kereta. Kami sama-sama ke ISTAC, saya satu kereta, isteri dan anak-anak satu lagi kereta. Selepas ISTAC mereka kembali ke rumah, saya ke majlis Jomo.


Ternyata ramai yang berminat sehingga hadirin melimpah ke luar auditorium.


Masuk ke dalam kelihatan auditorium memang penuh.  Melihat komposisi hadirin terus terasa semacam sambil saya bergerak ke barisan hadapan lalu dapat menemui ruang duduk.


Mungkin ini kedengaran seperti perkauman tetapi saya harus merekodkan rasa dan pemerhatian. Kelihatan ramai betul orang bukan Melayu terutama berbangsa Cina datang mengikuti majlis. Orang Melayu ada tetapi kurang ketara. Bangsa-bangsa lain termasuk orang Barat pun ada. Rata-rata kelihatan seperti liberal kalau tidak pun sekadar berpenampilan moden. Yang pasti saya seorang sahaja datang memakai busana tradisional Melayu berkeris bertanjak bersampin. Persoalan yang timbul dalam benak fikiran adalah kenapa mereka terutama bangsa Cina hendak tahu sangat pasal Melaka abad ke-15?

Diakui reputasi besar Jomo sebagai seorang cendekiawan tersohor menjadi tarikan. Tetapi bagi saya kalau orang lain bercakap pun kemungkinan besar saya akan datang. Ini disebabkan tajuk majlis yang menarik juga lokasi mudah dicapai. Dah memang pun saya keluar ke KL 40 km dari rumah hari itu kerana menghadiri majlis di ISTAC. Kehadiran ke majlis seterusnya di Taman Tasik Perdana boleh dibuat sekali jalan.


Berbalik pada komposisi kehadiran majlis. Saya dapat merasakan ia ada kena-mengena dengan keadaan Malaysia 'baru' sekarang yang mana kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam kelihatan menguasai keadaan. Apapun Jomo mengaku bukan pakar sejarah. Cuma sebagai pakar ekonomi dan seorang pemikir besar kata-kata beliau harus diperhatikan. Jomo pun membuka cerita tentang satu shipwreck atau kapal tenggelam Dinasti Tang abad ke-10 Masihi. Ini merujuk kepada dinasti yang memerintah Cina tahun 618–907.

Oh. Majlis diadakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Sebetulnya begitu juga majlis di ISTAC juga majlis yang akan dihadiri selepas syarahan Jomo. Beliau menunjukkan satu peta perdagangan yang menyambungkan dunia Timur dan Barat. Jalan laut menunjukkan kenapa boleh ada kapal tenggelam Dinasti Tang abad ke-10 di perairan Asia Tenggara. Kapal itu tenggelam dekat Sumatera tengah dalam perjalanan menuju ke kerajaan Sailendra di Pulau Jawa.


Menurut Jomo kandungan kapal tersebut tidak layak untuk mengisi mana-mana muzium terhormat (not fit for any respectable museum). Namun ada syarikat Malaysia sanggup membelinya tahun 1960an (kalau tak silap dengar). Menurut undang-undang antarabangsa Indonesia memiliki separuh kapal dan muatan disebabkan lokasi penemuan. Separuh lagi boleh dijual lalu menjadi milik syarikat Malaysia. Pun begitu ada sejumlah barangan menarik di dalamnya...


Hadirin kemudian ditunjukkan beberapa peta lama.


Jomo mahu menunjukkan bagaimana masyarakat masa lalu melihat dunia...


Cuma beliau tidak memberitahu peta-peta itu daripada zaman bila.


Lalu masuklah pada ekspedisi pelayaran Cheng Ho atau Laksamana Cheng Ho yang dikenali ramai itu. Cerita tentang armada besar yang katanya terdiri daripada 300 buah kapal dan 30,000 anak kapal (Jomo tidak menyebut ini) boleh dirujuk melalui Google dan banyak penulisan. Sebut sahaja nama Cheng Ho, orang yang tahu sedikit sejarah Melaka pun harus boleh faham. Diketahui laksamana daripada Dinasti Ming (memerintah Cina 1368–1644) telah mengadakan ekspedisi jauh sehingga ke perairan Afrika dan Tanah Arab sebanyak 7 kali dan selalu singgah di Melaka abad ke-15.

Di sini saya dah mula nampak trend pemikiran Jomo apabila menyebut Melaka dibina oleh armada Cheng Ho. Saya pasti ada dengar itu sepertimana halnya orang Cina sekarang suka menyebut merekalah yang bertanggungjawab membina Malaysia, tanpa  mereka negara tidak akan maju dan orang Melayu akan terus ketinggalan (konon). Tolak ke tepi hal tersebut. Jomo membangkitkan satu persoalan menarik. Diketahui Cheng Ho singgah di beberapa lokasi di Alam Melayu (perkataan saya ini). Kenapa tiada dalam rekod Cina bahawa Cheng Ho pernah singgah di Singapura sedangkan ada yang kata Singapura juga sebuah pelabuhan besar?

Kenapa singgah di Melaka dan tiada langsung di Singapura? Dalam bertanyakan soalan ini Jomo kedengaran begitu adil tentang sejarah Melayu kerana meletakkan ia jauh ke belakang berbanding 200 tahun lalu merujuk kepada kedatangan Raffles tahun 1819. Itupun Jomo mengingatkan pegawai Inggeris tersebut sekadar mahu mendirikan gudang perniagaan pada waktu itu. Ia bukan tahun atau tarikh Singapura mula menjadi pegangan Inggeris. 

Penemuan arkeologi oleh pakar seperti John Miksic menunjukkan Singapura sudah ada kerajaan dan pelabuhan maju seawal abad ke-14. Boleh rujuk artikel lama Tentang kehidupan zaman lampau di kota-kota Asia Tenggara - Batu Bersurat Singapura terkait dengan Raja Suran dan Badang? tentang cendekiawan Amerika ini. Jadi kenapa Cina tidak memilih Singapura tetapi Melaka? Jomo pun mengaitkan persoalan dengan inistiatif OBOR (One Belt One Road) yang mana negara Cina sedang berusaha membina infrastuktur di beberapa negara untuk memajukan rangkaian perdagangannya. Sekarang pun Singapura bukan pilihan Cina. Kenapa Malaysia?


Melihat perkara daripada sudut perdagangan adalah keistimewaan Jomo sebagai seorang pakar ekonomi. Skop atau rangkaian perdagangan zaman dahulu pun dibahagikan kepada 3 :-


1. Jajaran yang meliputi Tanah Arab dan sebahagian Afrika yang membawa ke pesisiran pantai Persia hingga ke barat benua Hindi (lingkungan paling kiri atau barat dalam peta).

2. Jajaran benua Hindi membawa ke Sumatera dan Semenanjung (lingkungan tengah)

3. Jajaran Asia Tenggara membawa ke Cina (lingkungan paling kanan atau timur dalam peta)


Ada pedagang yang kapalnya bergerak cuma dalam satu jajaran. Lalu barang dagangannya dibawa ke jajaran bersebelahan oleh kapal lain melalui pelabuhan yang terletak dalam jajaran bertindih. Namun semua jajaran ada kapal-kapal membawa barangan dagangan ke Melaka. Beliau pun merujuk kepada institusi dan jawatan Syahbandar sebagai pegawai yang bertanggungjawab berurusan dengan para pedagang.

Menurut Jomo seorang Syahbandar dan para pekerjanya sudah cukup besar lingkungan pengaruh untuk mengawal satu pelabuhan. Tetapi Melaka memiliki sehingga 4 orang Syahbandar untuk berurusan dengan pedagang daripada setiap satu jajaran seperti ditunjukkan dalam peta, satu lagi saya sudah lupa apakah kawasan atau lingkungan tanggungjawabnya. Beliau pun memberitahu orang bangsa apakah yang ditugaskan menjadi Syahbandar.  Menurutnya tiada seorang pun berbangsa Melayu. Paling dekat adalah Syahbandar berbangsa Jawa untuk perdagangan di Asia Tenggara.


Kemudian beliau bercakap pula tentang teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara terutama ke Melaka. Menurut beliau antara kelebihan Islam yang menarik pedagang datang beramai-ramai adalah undang-undang muamalat atau urus niaga yang adil boleh diterima semua pihak. Kalau tidak kerana itu akan timbul masalah kerana pedagang daripada kawasan ini begini undang-undang urusniaganya, pedagang daripada kawasan itu begitu pula cerita...


Lalu disebutlah tentang kitab Undang-undang Melaka dan kitab Undang-undang Laut. Semasa ini saya sebagai seorang anak Melayu terasa begitu bangga sehingga mahu mengambil gambar menggunakan telefon bimbit untuk dimuatnaik terus ke Facebook (saya biasa pakai kamera digital kompak). Baru tersedar telefon tertinggal dalam kereta lalu saya keluar sebentar untuk mengambilnya. Kembali ke dalam dewan slaid ini masih terpapar lalu saya ambil gambar serupa seperti di atas dan hantar ke FB berserta teks berikut :-


Interesting. Jomo KS talking about Melaka Sultanate through economics and commerce perspective...


(Menarik Jomo KS bercakap tentang Kesultanan Melaka melalui perspektif ekonomi dan perdagangan)


Tengok-tengok slaid seterusnya bercakap atau lebih tepat, mempersoalkan tentang apa itu Melayu...


Masuk slaid selepas itu semakin jelas Jomo hendak 'mencairkan' takrif Melayu dengan membuat perbandingan dengan takrifan di Indonesia dan Filipina. Tidak ingin saya mengulas ini kerana ada ditulis panjang lebar dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" (secara rasmi terbit Mac 2018). Yang pasti rasa semacam semakin nyata lalu saya ambil satu gambar seperti di atas dengan telefon bimbit untuk dihantar ke FB. Teksnya begini :-


Alamak . Masuk Malay identity pulak. Boleh jadi sensitif ni...



Masuk pula cerita pergaduhan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Dengan menyebut dakwaan kontroversi Profesor Emeritus Ahmat Adam bahawa "Hang Tuah tak wujud" kata-kata ini diulang dalam bahasa Inggeris. Walhal saya faham Ahmat cuma mempersoalkan kebenaran Hang Tuah sebagai nama batang tubuh tokoh. Tentang pahlawan atau laksamana yang dimaksudkan dia tidak mempertikaikan kewujudan.


Kemudian ditimbulkan hal Panglima Awang yang dikenali Barat sebagai Enrique the Black. Menurut Jomo tidak ada bukti nama orang yang dimaksudkan adalah Awang.



Namun watak yang dimaksudkan memang wujud kerana ada direkodkan oleh Barat sebagai Enrique.


Memang dia telah belayar mengelilingi dunia, bukan Ferdinand Magellan yang selalu disebut sejarah tulisan Barat kerana Magellan mati dibunuh orang bernama Lapu Lapu ketika sampai di kepulauan yang bakal diberi nama Filipina...








Beralih pula kepada sejarah Alam Melayu menurut beberapa sumber...


Daripada segi ilmu banyak perkara diangkat dan dibincangkan oleh Jomo.


Namun akhir kalam kelihatan beliau cuba hendak menafikan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Caranya dengan mempersoalkan makna Melayu itu sendiri sebagai suatu ciptaan baru. Malah konsep bangsa itu sendiri dikatakannya tidak wujud secara hakiki. Pada mereka yang dapat membaca apa yang tersirat sudah jelas cara pemikiran beliau walaupun dikatakan sudah memeluk agama Islam sejak sekian lama.

Patutlah begitu ramai orang bukan Melayu terutama Cina tertarik untuk mendengar syarahan Jomo. Melihat pada tajuk seperti mahu bercakap tentang Melaka abad ke-15. Tetapi macam-macam perkara dimasukkannya. Nampaknya supaya akhir kalamnya membawa makna keMelayuan itu tidak membawa apa-apa erti lalu boleh diketepikan dalam pembangunan negara.

Perkongsian ini boleh dipanjangkan lagi dengan meneliti reaksi Jomo apabila saya bertanya di hadapan hadirin apakah yang beliau mahu beritahu sebenarnya? Selepas majlis seorang warga British menyatakan persetujuan dengan pertanyaan saya, bahawa Jomo cuba berselindung di sebalik niat tertentu tetapi tidak sanggup menyatakannya secara terang-terangan. Cendekiawan Melayu terkenal Pulau Pinang, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang hadir pada majlis juga bersetuju. Kami ada berbual panjang di ISTAC selepas satu majlis Isnin lalu (lihat Tentang orang Terengganu dan kehidupan mereka - Bicara buku yang ke-2 di ISTAC). Dia sendiri melihat apa yang dilakukan Jomo adalah percubaan untuk menghancurkan takrif Melayu.



14 ulasan:

  1. apa pun percubaannya, dgn izin Allah SWT,takkan melayu hilang di dunia, amin.

    BalasPadam
  2. Tak akan Melayu hilang di dunia, selagi Islam menjadi pegangan hidupnya.....

    BalasPadam
  3. Terima Kasih Tuan kerana MenJaga KeDaulatan Melayu di Celahan Kuasa yang Halus..yang Tidak TerLihat dan Tidak TerCapai oleh Rakyat Biasa..ini Lebih berBahaya Dan berKesan daripada PengHinaan secara terbuka

    BalasPadam
  4. Insyaallah kita sama-sama berusaha untuk mengekang tipu daya musuh. Mereka main akal kita main akal juga. Kalau mahu main parang terbang bagai memang ada pihak mengapi-apikan supaya memberikan alasan untuk kuasa-kuasa luar masuk campur secara ketenteraan. Kena faham permainan apakah yang sedang berlaku sekarang...

    BalasPadam
  5. Bila takrif melayu di cairkan di Tanah Melayu maka byk faedah yg depa dapat. Usaha pertama bodohkan orang melayu dengan mengatakan buat apa tau byk pasal bangsa sendiri bukan Allah tanya pun. Pastu bila ramai jahil boleh sikit2 twist fakta. Pastu manusia melayu redha. Last2 jadi melayu singapura. Melayu asal takda tamadun Sakai dok atas pokok bermula Dari kerajaan melaka. Semua melayu ni suka melanun. Sedangkan melayu dah wujud beribu tahun. Melayo kolon di PETA piri ries peradaban yang bermain dengan besi dan emas ketika bangsa lain masih dengan tembikar. Kerajaan tertua kat dunia yg diwarisi turun temurun pun melayu punya. Bangang betoi

    BalasPadam
  6. Halus mainan mereka..melayu liberal jadi benteng mereka

    BalasPadam
  7. Salasilah keturunan hang tuah berkahwin dgn keturunan raja perba jelai mmg ada dan pernah saya lihat dlm simpanan waris raja perba jelai pemerintah asal pahang...

    BalasPadam
  8. maaf tapi penulis ni ada salah faham sikit. saya sendiri pergi dengar ceramah tu. penulis persoal kenapa Jomo bercakap pula pasal definisi Melayu, pastu seolah-olah menyoal kewujudan Panglima Awang, dan pastu menimbulkan persepsi tujuan ceramah dia seolah-olah nak persoal keabsahan ketuanan melayu. jujur cakap saya langsung tak anggap ceramah dia pasal tu.

    Pandangan saya sebaliknya. Dia beri penghormatan kepada legasi Melaka. Dia sebut banyak perkara pasal Melaka, pasal pentadbiran, budaya, agama, perdagangan. Dia tunjuk pengaruh Melaka tu besar sampai hari ni kita rasa. Nilah kesatuan tema ceramah dia. Pasal pengaruh Melakalah ada identiti melayu. Dia memang sebut pasal definisi2 berbeza tapi dia bukan pertikai pun siapa patut dikira melayu mengikut definisi kerajaan.

    Dia tunjuk pasal Melakalah komponen identiti melayu tu tersebar pastu identiti ni main peranan berbeza-beza dalam perjuangan nasionalisme kat Malaysia ngan Indonesia. Dia tunjukkan betapa pentingnya bahasa melayu dalam nasionalisme indonesia. Kalau bukan pasal 2% orang melayu yang duduk kat pulau Jawa pastu sebarkan bahasa tu mungkin tak ada nasionalisme indonesia tapi mungkin jadi nasionalisme Jawa sebab ada gerakan pan-Jawa jugak.

    bila dia cakap pasal definisi Melayu tu dia nak tunjukkan sejarah pemahaman definisi tu. identiti memang satu konstrak sosial tapi tak bermakna benda tu tak penting dan orang tak perlu hormat. Konstrak sosial ni maknanya macam persetujuan antara beberapa orang sesama sendiri tentang pemahaman berkenaan sesuatu supaya manusia boleh kategorikan benda dalam realiti sosial. Prof Jomo hanya tunjuk pemahaman definisi Melayu tu dari sudut pandang kaum kolonial yang berubah, pandangan pribumi sendiri tentang identiti mereka, dan pembentukan identiti Melayu tu di zaman moden. Tinjauan sejarah yang menunjukkan pemahaman berbeza tidak bermakna kita patut menolak definisi identiti Melayu yang telah dimaktubkan dalam perlembangan. Inilah konstrak sosial yang diterima sekarang dan ia sesuai untuk mendepani realiti sosial kini. Tapi walaupun sekiranya ia dianggap sebagai konstrak sosial baru, ia berasaskan persamaan antara identiti sebelumnya yang dipegang oleh penduduk2 pribumi di tanah ni untuk turun-temurun seperti beragama Islam dan bercakap bahasa Melayu walaupun mungkin loghat berbeza-beza. Bahkan Jomo sendiri menunjukkan kepentingan Abdul Hadi Haji Hasan yang menulis Sejarah Alam Melayu dalam membantu usaha ini.

    BalasPadam
  9. Saudara ada hak untuk memegang pendapat saudara, saya juga ada hak untuk berpegang pada pemerhatian saya. Saya bercakap bukan sekadar melihat pada satu syarahan tetapi pengalaman hidup 49 tahun, beberapa tahun di London, beberapa tahun menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia, beberapa tahun menjadi liberal sebelum mencari makna keMelayuan. Kemudian beberapa tahun pula mengikuti wacana-wacana tentang takrif dan makna Melayu di bermacam-macam tempat.

    Sambil itu saya mengikut perkembangan zaman termasuk tuntutan bukan Melayu agar hak-hak keistimewaan Melayu dihapuskan. Tidak. Saya tidak salah menilai mahupun salah faham. Antara kata-kata akhir Jomo semasa sesi soal jawab adalah bangsa itu cuma takrifan ciptaan manusia. Kita kena tahu membaca perkara yang tersirat selain yang tersurat.

    BalasPadam
  10. saya tak mempertikai memang ada tuntutan bukan Melayu agar hak2 keistimewaan Melayu dihapuskan.

    yang saya mempertikai ialah dakwaan tuan bahawa hadirin2 bukan Melayu menghadiri ceramah itu kerana mahu mendengar Jomo menyatakan pendapat tentang soal Melayu. Ini tak logik kalau tuan pertimbangkan pemerhatian tuan sendiri.

    Seperti yang tuan perhatikan, tajuk ceramah itu pasal Melaka bukan pasal Melayu. Tuan sendiri tak sangka akan ada perbincangan pasal definisi Melayu. Kemungkinan besar hadirin pun tak tahu yang Jomo akan cakap pasal definisi Melayu. Perkara2 ni selalunya bukan di bawah topik perbincangan seorang ahli ekonomi, dan kebanyakan orang mengenali Jomo sebagai ahli ekonomi. Malah tulisan2nya sebelum ini pun tak pernah persoal menyentuh definisi Melayu pun. Jadi kalau tuan sendiri tak tahu Jomo akan membincang perkara itu kerana tajuk tak menunjukkan ia akan menghala ke arah tu, macam mana orang lain pun akan tahu yang Jomo akan membincang pasal definisi Melayu? Jadi tak mungkinlah orang bukan Melayu nak datang pasal nak dengar definisi Melayu dipertikaikan sebab dorang seperti tuan pun tak tahu itu akan jadi topik perbincangan.

    Apa yang dinyatakannya pasal konsep "race" tu memang ciptaan manusia atau pun konstrak sosial seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Tapi ini tak bermakna ia tak penting atau pun tak benar. Contoh lain konstrak sosial ialah konsep kewarganegaraan. Ini ciptaan manusia tapi sangat penting kerana ia membezakan hak seseorang yang memilikinya dan yang tidak. Apapun konstrak sosial identiti Melayu tu lagi muluk, kerana bukannya sepenuhnya didirikan di atas elemen2 ciptaan manusia kerana agama Islam ialah sebahagian daripada identiti tu.

    Saya tak ada masalah kalau tuan nak mempertahankan hak istimewa orang Melayu. Saya juga sokong kebanyakannya (yang saya tak sokong ialah harga diskaun pribumi kepada rumah2 mahal yang hanya mampu dibeli oleh jutawan-jutawan Melayu. Ini tak perlu sebab kalau dah jutawan tu dah tak perlukan bantuan nak beli rumah)

    BalasPadam
  11. Org melayu dah lama teriniaya,olih penjajah dan olih pengkhianatan melayu, cina dan lain.betul jomo pakar ekonomi dunia, ekonomi dan sejarah ada kaitan, disitulah ada pusing.

    BalasPadam
  12. Dalam diam bangsa-bangsa bukan melayu sedang pergunakan kelemahan dan kebaikan melayu demi kelangsungan dan kesenangan mereka. Umpama menarik rambut dalam tepung. Sejarah tidak pernah berbohong, melayu pernah tertipu berkali-kali dengan permainan manis bukan melayu. Melayu liberal adalah duri dalam daging. Selamanya begitulah. Semoga kita dibukakan hati , sebelum terlambat.

    BalasPadam
  13. Tkasih Saudara Radzi ..

    BalasPadam
  14. Azfar..Shukran krana memberi pandangan yg INTELLECTUAL!
    Twitter @johorlama

    BalasPadam