Salam malam 9 Rabiulawal. Sedar tak sedar sudah dekat 2 minggu blogspot ini tidak dikemaskinikan. Sedangkan sebelum itu hampir setiap hari ada sahaja cerita baru dikongsikan dalam tempoh sebulan. Sekarang biar dikongsikan sesuatu daripada hujung minggu lalu. Dipersembahkan artikel pertama bagi bulan Rabiulawal, bulan sambutan Maulidur Rasul.
Ini adalah poster bagi satu majlis baru yang diberi nama "Seloka 1000 Keris". Majlis yang dianjurkan oleh satu persatuan baru bernama Pertubuhan Keris Semenanjung dengan kerjasama beberapa pihak terutama Jabatan Muzium Negara (JMN) ini menonjolkan beberapa aktiviti seperti tertera dalam poster. Paling utama adalah melibatkan keris...
Acara dilangsungkan pagi hingga petang Sabtu dan Ahad lalu 2-3 November 2019. Saya dan keluarga sampai ke lokasi majlis iaitu Muzium Diraja, Kuala Lumpur pada jam 2.45 petang Ahad lalu masuk melalui pintu belakang.
Kami ikut pintu belakang kerana mendapat tahu ruang tempat letak kereta hadapan sudah penuh. Malah begitulah keadaannya sehingga ke persekitaran Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy yang terletak di belakang halaman muzium. Nasib baik ada pejabat Telekom di mana kami boleh menumpang kereta kerana isteri adalah kakitangan.
Kami sampai lewat kerana balik kampung di Muar untuk bertemu ibu bapa. Kali terakhir bertandang adalah semasa cuti Hari Raya Haji 3 bulan lalu. Kami sampai kampung jam 4 awal pagi Sabtu. Ahad jam 10 dah bergerak meninggalkan mereka untuk ke majlis. Muncul pula hal-hal lain dalam perjalanan sejauh 180 km yang separuh daripadanya dibuat melalui jalan lama.
Untuk pengetahuan Muzium Diraja adalah istana Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebelum dibuka istana baru di Jalan Duta beberapa tahun lalu. Sejak itu ia dijadikan muzium dibawa selenggaraan JMN.
Kami melihat dahulu pameran kekal yang berada di bangunan utama muzium @ istana lama. Ruang yang kelihatan ini pernah menjadi balairong seri bagi majlis-majlis diraja.
Keluar ke halaman hadapan istana lama...
Kemudian baru ke lokasi majlis di satu bahagian sisi.
Kalau tidak kerana beberapa orang utama pihak penganjur adalah kawan-kawan belum tentu lagi kami sampai. Seharusnya kami menghabiskan lebih banyak masa bersama orang tua di Muar. Namun sebetulnya kami memilih untuk kembali ke Muar hujung minggu lalu itu pun adalah sebahagian daripada perancangan mahu ke majlis "Seloka 1000 Keris" ini. Kalau tidak mungkin kena tunggu kelapangan lain baru balik kampung.
Saya menghabiskan sedikit masa melihat persembahan silat di satu khemah khas. Isteri dan anak-anak bergerak ke bahagian lain...
Terdapat ahli persilatan dan guru-guru dari wilayah Patani di selatan Thailand, juga tempat-tempat seperti Padang di Pulau Sumatera dan Jakarta di Pulau Jawa, Indonesia memeriahkan majlis.
Tentunya ada wakil-wakil daripada perguruan-perguruan di Malaysia.
Ini memang perkara biasa di majlis-majlis persilatan yang kami hadiri.
Seperti biasa saya dan isteri dapat berjumpa ramai kawan.
Jam 3.46 saya bergerak ke khemah pameran dan jualan.
Jauh sedikit di halaman hadapan kelihatan padang utama istana digunakan untuk aktiviti memanah...
Jam 4.12 saya bergerak ke bahagian utama majlis. Ia adalah bahagian yang dikhaskan untuk keris.
Sambil berjalan-jalan itu fikiran saya mengimbau kembali bagaimana kawan-kawan aktivis dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu mula terlibat dengan JMN melalui acara yang dianjurkan oleh pihak saya sendiri 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Saya tahu siapa kepala utama yang menjayakan majlis "Seloka 1000 Keris". Saya tahu beliau mula kenal dengan pegawai-pegawai utama JMN terutama ketua pengarah apabila bersama saya menjayakan acara ke-16 HIKMAH di Muzium Negara.
Oleh itu saya sangat gembira dapat datang untuk menunjukkan sokongan. Saya tahu beliau memang orang yang gigih dan boleh dipercayai untuk menjayakan suatu acara apabila telah menyatakan komitmen.
Masuk ke dewan badminton istana di mana lebih 1,000 keris daripada 10 negeri dipamerkan pertandingan keris baru sahaja selesai.
Tak mengapa. Pameran masih berjalan dan ramai kawan-kawan lama ada dalam dewan.
Bukan tidak pernah saya hadir dalam majlis-majlis perkerisan di Malaysia tetapi tidak ada yang sebesar ini sebelumnya.
Dengan adanya majlis "Seloka 1000 Keris" negara kita sudah ada suatu majlis yang dapat menandingi majlis Kerissana di Patani, Selatan Thailand yang boleh tahan hebat lagi gilang gemilang. Rujuk artikel Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat.
Kita sudah ada satu majlis perkerisan bertaraf antarabangsa yang layak dijadikan acara tahunan negara. Tahniah kepada semua yang terlibat. Anda tahu siapa diri anda semua... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan