Khamis, September 19, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Ke Meulaboh dan seterusnya mengejar jadual asal

Salam petang Khamis 19 September 2019. Adapun petang semalam saya baru selamat kembali daripada perjalanan berseorangan 4 hari 3 malam di Perak meliputi beberapa tempat dan makam bersejarah sehingga ke Kampung Temong di Kuala Kangsar. Kalau ikutkan kepenatan esok hari Jumaat baru boleh menyambung menulis di blogspot. Tetapi melihat pada tarikh hari ini begitu cantik (19/9/19) terasa wajib pula membuat pengemaskinian. Dengan ini biar disambung penceritaan daripada artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno.


Ada disebut dalam artikel tersebut bahawa beberapa artikel sokongannya iaitu dalam blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) telah ditulis di surau Kampung Temong sebelum disambung di makam Tok Temong. Di situ jugalah artikel utama yang menceritakan perjalanan hari ke-2 pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September disiapkan. Tetapi cuma untuk separuh hari sahaja memandangkan begitu banyak perkara berlaku hari itu. Tumpuan harus diberikan pada pencarian 'si mata biru' keturunan Portugis di Lamno lalu artikel ditamatkan setelah bercakap panjang lebar tentang itu.

Daripada segi jarak, Lamno terletak cuma 80 km sahaja dari Banda Aceh dan 90 km dari lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di mana pengembaraan secara rasminya dimulakan. Masih terlalu sedikit berbanding jarak yang asalnya dirancang mahu diiliputi dalam tempoh 2 hari terawal pengembaraan selama 8 hari 7 malam itu. Perjalanan pun diteruskan lebih jauh ke selatan. Ketika meninggalkan Lamno sudah dekat jam 12 tengah hari.


Jam 1.39 petang kami sampai ke Calang. Jaraknya sekitar 74 km ke selatan Lamno. Sebelum itu kami ada berhenti untuk makan tengah hari di suatu tempat juga menunaikan solat. Sambil perjalanan diteruskan kelihatan beberapa buah masjid dan bangunan menarik tapi kami tak singgah...





Ini disebabkan sasaran kami masih jauh sedangkan hari semakin lewat.





Cuma di satu tempat bernama Alue Piet14 km ke selatan Calang baru kami berhenti sejenak. 


Ini disebabkan kawan-kawan dalam kereta lagi satu mahu melawat taman bunga di tepi jalan.


Sasaran seterusnya adalah bandar Meulaboh lagi 77 km.


Dekat jam 3.30 petang baru sampai. Terus menuju ke masjid utama sana untuk beriktikaf sebentar lalu mengambil gambar.


Sebagai nota, ketika menulis ayat ini sudah jam 7 petang. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib lalu saya harus berbuka puasa sunat hari Khamis. Nampaknya tidak dapat menyiapkan artikel ini sebelum  tarikh Hijriah bertukar daripada 19 Muharram menjadi 20 Muharram.


Namun apa boleh dibuat? Kita cuma mampu merancang, Allah SWT jua menentukan. Kalau ikut rancangan asal sepatutnya hari pertama pengembaraan iaitu pada 28 September lagi kami dapat sampai ke Meulaboh selewatnya selepas Isyak lalu bermalam di masjid ini. Sebaliknya kami bermalam di Lhoong selepas cuma 70 km perjalanan dari lapangan terbang disebabkan kelewatan di luar jangkaan dan kuasa kami. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel pertama siri iaitu Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Penerbangan yang dilewatkan, keindahan Lhok Seudu dan 'panggilan' Ja Tirom.

OK. Saya harus berhenti menulis buat suatu waktu kerana harus bersedia untuk berbuka puasa kemudian bersolat Maghjrib, wirid dan baca Yassin sempena malam Jumaat. Sementara itu lihat gambar-gambar masjid yang telah disediakan dalam artikel Masjid Agung (Grand mosque of) Baitul Makmur, Meulaboh.


Jam 10.29 malam Jumaat baru muncul kelapangan untuk menyambung kembali penulisan. Merujuk lagi pada artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Penerbangan yang dilewatkan, keindahan Lhok Seudu dan 'panggilan' Ja Tirom. Harus diberitahu bahawa sebenarnya perjalanan hari pertama pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera ini boleh sahaja disambung terus hingga sampai ke Meulaboh 238 km dari Banda Aceh. Menurut Google Map jarak ini boleh diliputi dalam tempoh 4 jam 14 minit dari ibu kota Aceh itu. Kalau dari Lhok Seudu di mana kami sampai selepas masuk waktu Maghrib lalu berhenti untuk makan ia boleh dicapai dalam tempoh 3 jam 46 minit.

Kami sampai ke Lhok Seudu sebelum jam 7. Kalau bertolak jam 7.30 insyaallah boleh sampai ke Meulaboh jam 11 lebih. Kalau mahu, kawan-kawan Aceh kami yang memandu dua buah kereta masih larat untuk meneruskan perjalanan sampai ke sasaran. Masalahnya adalah kami tidak akan dapat menikmati pemandangan waktu siang sepanjang perjalanan sedangkan terdapat beberapa lokasi cantik dalam laluan berkenaan. Dan tak dapat juga mencari 'si mata Biru' di Lamno seperti telah dinukilkan dalam artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno.


Apapun persinggahan ke Meulaboh penting kerana ia adalah antara bandar paling teruk dilanda ombak ganas Tsunami 26 Disember 2004 di Aceh. Seluruh bandar ranap menjadi padang jarak tekukur, tinggal masjid yang cadangnya mahu dijadikan tempat kami pertama kali bermalam dalam pengembaraan sahaja masih berdiri kukuh.Sebetulnya gambaran serupa berlaku di banyak tempat di Aceh iaitu cuma masjid sahaja tinggal sambil kawasan sekeliling yang berdekatan laut dipukul menjadi rata. Tetapi itu adalah bagi penempatan-penempatan tertentu bagi suatu bandar, misalnya Lampuuk di barat Banda Aceh. Dalam kes Meulaboh seluruh bandar hancur kecuali masjid...

Seorang pelakon filem dan drama terkenal Malaysia bernama Wardina Safiyyah yang beribukan wanita Aceh dari Meulaboh dan berbapakan lelaki berkulit putih Australia pernah memberitahu kepada media beliau kehilangan ramai saudara mara akibat terjahan Tsunami. Hal ini yang menyebabkan saya ingin merasa bermalam di masjid utama sana sambil melihat keadaan bandarnya. Sekarang ia telah dipulihkan sehingga tidak lagi kelihatan kesan bencana. Oh, sebetulnya terdapat cadangan agar saya memberikan syarahan tentang peradaban Melayu di satu institusi pengajian tinggi di Meulaboh. Tetapi apabila tarikh pengembaraan hampir sampai ia tak jadi kerana pensyarah yang mengutarakan cadangan harus berada di tempat lain pada hari saya dijangka sudah berada di sana iaitu pada pagi Khamis 29 Ogos 2019.


Apabila tak jadi memberikan syarahan lalu tidak perlu berada di Meulaboh awal maka tak perlulah terkejar-kejar untuk ke sana pada hari sebelumnya iaitu Rabu 28 Ogos. Itu yang boleh diputuskan untuk bermalam di Lhoong lalu dari situ disambung perjalanan pada pagi Khamis. Kami bergerak meninggalkan masjid utama Meulaboh hampir jam 4. Tidak lama kemudian terlihat sebuah masjid lama bersebelahan masjid baru lalu saya pun turun untuk mengambil gambar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Gunong Kleng diikuti Masjid tuha (Old mosque of) Gunong Kleng.


Masuk waktu Maghrib kami sampai ke bandar Blangpidie 123 km ke tenggara Meulaboh.


Selepas menunaikan solat di satu masjid kami makan malam berdekatan masjid lain. Tengok-tengok terdapat makam seorang ulamak pejuang yang mati syahid ditembak Belanda ketika sedang melaungkan azan. Lihat artikel-artikel berikut :-






Perhentian seterusnya adalah sebuah sekolah pondok bernama Dayah Darussalam di Labuhan Haji, sekitar 28 km ke selatan Blangpidie.


Kami sampai selepas jam 9 malam untuk menziarahi makam seorang ulamak besar Aceh abad ke-20 bertaraf wali yang pernah menjadi ketua ulamak Aceh sehingga tahun 1960an. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Muda Waly.


Perjalanan diteruskan lagi 51 km ke selatan menuju ke Tapak Tuan. Jaraknya dari Banda Aceh adalah 434 km.


Dalam artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441 yang ditulis lebih setengah tahun lalu ada disebut bahawa Tapak Tuan adalah sasaran untuk kami bermalam pada hari pertama pengembaraan. Untuk makluman itu adalah sebelum ditukarkan penerbangan daripada jam 10 pagi ke jam 2 petang. Lihat Bersedia untuk acara ke-21 HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh 1 September 2019. Walaupun sasaran bermalam ditukar ke Meulaboh yang terletak separuh jarak perjalanan keadaan telah membawa kami untuk menginap di Lhoong yang lebih dekat.  Dengan sampainya ke Tapak Tuan jam 11 Khamis malam Jumaat kami seolah-olah dapat kembali pada perancangan asal. Cuma ia terlewat satu malam. 

Ini ada sedikit live videos daripada segmen-segmen berkenaan...


Masjid raya Meulabohsini

Sedikit cerita dari Blangpidiesini

Makam Sheikh Muda Walysini


Nota tambahan : Artikel ini mula dipaparkan jam 7.09 malam tetapi ia sebenarnya betul-betul siap jam 11.55 malam Jumaat. Perjalanan yang diceritakan pula berlaku pada hari Khamis hingga lewat malam Jumaat. Penulisan juga dimulakan hari Khamis dan selesai lewat malam Jumaat tetapi pada 3 minggu kemudian...

Pada awal artikel ini ada disebut saya telah melakukan perjalanan berseorangan 4 hari 3 malam di Perak. Selepas ini cerita perjalanan tersebut akan dipersembahkan secara berselang-seli dengan cerita pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan