Isnin, September 30, 2019

Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi

Adapun beberapa hari kebelakangan saya dilanda rasa penat yang amat sangat. Namun ada kerja perlu disiapkan, antaranya adalah menyediakan kertas kerja dan slaid untuk pembentangan bertajuk "Benua Tua Melayu" di satu program di UiTM Shah Alam pada petang Ahad 6 Oktober akan datang. Alhamdulillah kertas kerja berjaya disiapkan petang tadi sedangkan slaid boleh dikatakan sudah siap 70 peratus. Tiba-tiba muncul gerak hati mendesak bahawa cerita untuk hari seterusnya tentang perjalanan pusing Perak 15-18 September harus dipersembahkan sebelum habis bulan. Maka bersambung penceritaan daripada artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar.


Pagi Selasa 17 September 2019 iaitu hari ke-3 perjalanan pusing Perak. Setelah memakai busana tradisional Melayu lengkap bersampin, berkeris dan bertanjak saya pun bersedia untuk ke satu majlis ilmu yang menjadi asbab utama perjalanan dibuat.


Ia adalah majlis bernama SIMPORA X, singkatan untuk Simposium Nusantara yang ke-10. 


Dianjurkan oleh beberapa pihak terutama UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA) Perak fokus utamanya adalah seni bina bangunan baru dan lama juga bidang-bidang berkaitan seperti perancangan perbandaran.


Untuk edisi ke-10 ini penumpuan diberikan terhadap rumah tradisional Perak untuk dibandingkan dengan rumah tradisional Aceh. Saya telah diminta untuk bercakap tentang hubungan sejarah Aceh-Perak.


Sampai sahaja ke ruang legar saya disambut baik oleh jawatankuasa penganjuran yang terdiri daripada para pensyarah dan pelajar UiTM lalu diminta terus menyertai para VIP majlis. Menariknya semua ahli jawatankuasa laki-laki memakai baju Melayu dan tanjak hitam.


Namun sudah menjadi perangai saya suka mengambil masa untuk berlegar-legar mengambil gambar dalam keadaan santai lalu meminta ruang untuk bergerak bersendirian. Oh. Sebetulnya set busana yang kelihatan disediakan isteri untuk saya menyertai perhimpunan aktivis bertanjak di Kuala Kangsar sempena sambutan Hari Malaysia 16 September. Tapi tak jadi pakai disebabkan 'terlajak' menyelesaikan perkara-perkara lain. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar.


Untuk majlis SIMPORA X ini sebetulnya ada satu set busana putih dengan songket merah telah disediakan oleh isteri. Kelihatan adalah poster tentang pembentangan saya.


Tengok-tengok poster orang lain semua dalam bahasa Inggeris.








Kemudian baru dapat tahu itu adalah untuk keperluan akademik sahaja.





Kertas kerja dan poster je dalam bahasa Inggeris katanya. Pembentangan dalam bahasa Melayu.





Pada saya baik membentang dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris mana pun boleh kerana saya boleh bertutur lancar dalam kedua-dua bahasa. 


Cuma kalau bercakap apa-apa tentang Melayu pada saya eloklah bercakap dalam bahasa Melayu. Tapi boleh jadi timbul keperluan untuk bercakap dalam bahasa Inggeris kerana harus menyampaikan ilmu kepada orang yang tidak faham bahasa Melayu atau bukan Melayu.


Jam 9.10 majlis pun dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu UiTM. 


Oh. Majlis diadakan di sebuah hotel terkemuka di tengah bandar raya Ipoh. Saya telah bermalam di hotel dengan belanjanya juga belanja majlis ditaja oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Kelihatan dalam gambar pengarah zon tengah JWN memberikan ucapan perasmian mewakili timbalan ketua pengarah yang sepatutnya melakukannya. Sebelum itu telah berucap beberapa orang dif terhormat daripada UiTM.


Jam 9.39 saya diperkenalkan oleh seorang pensyarah UiTM, Profesor Madya Dr. Ismail bin Samsuddin. Pengenalan yang diberikan panjang lebar membuat saya terharu. Ini kerana walaupun sudah banyak kali membentang dan berkongsi ilmu dalam majlis-majlis ilmu inilah kali pertama saya dijulang seperti seorang tokoh cendekiawan dan pemikir besar.


Sebetulnya baru pagi itu iaitu sebelum masuk ke bilik majlis mendapat tahu bahawa saya adalah keynote speaker iaitu pembentang utama bagi keseluruhan majlis. Atau disebut juga sebagai pembentang ucaptama. Tak tahu pun sebelum itu. Fikir saya cuma jadi pembentang kecil-kecilan sahaja. 


Setahu saya dalam mana-mana majlis ilmu pun yang ada ramai pembentang, keynote speaker atau pembentang ucaptama adalah seorang VIP yang sudah diakui ketokohannya dalam suatu bidang. Saya tidak pernah merasakan begitu. Yang tahu ada panggilan dalaman untuk terus mengkaji dan berkongsi ilmu.


Masuk bab pembentangan. Adapun hubungan Aceh-Perak yang diketahui ramai seperti diwar-warkan dalam poster promosi SIMPORA X memulakannya pada penghujung abad ke-16 Masihi apabila seorang anak raja Perak diangkat menjadi Sultan Aceh yang dikenali sebagai Sultan Alauddin Mansur Syah (mangkat 1585). Ini berlaku selepas baginda dan keluarga ditawan ekspedisi Aceh yang dipimpin Sultan Ali Riayat Syah dari Dinasti Meukuta (Mahkota) Alam yang menyerang Perak tahun 1573. Sejarah mencatatkan serangan berlaku ketika Perak diperintah oleh Sultan keduanya, Sultan Mansur Syah (1549-1577). 

Dikatakan orang Melayu berketurunan Aceh di Perak berasal daripada anggota ekspedisi yang ditinggalkan selepas serangan itu. Saya ingin menambah bahawa hubungan Aceh-Perak bahkan diketahui telah wujud sejak dua abad lebih awal. Namun perhubungan ini berlaku atas nama kerajaan terdahulu yang kemudian menjadi sebahagian daripada kerajaan Aceh Darussalam dan begitu juga halnya di Perak


Dengan itu dilihat dahulu hubungan antara kedua kerajaan melalui kedudukan geografi berdasarkan sempadan yang wujud sekarang. Selepas itu baru diputar balik masa ke belakang untuk menunjukkan jajahan takluk yang lebih luas jangkauan dan bagaimana ia terkait antara satu sama lain.


Perhubungan Aceh-Perak bahkan disorot hampir lagi 300 tahun ke belakang melalui perhubungan antara Kesultanan Melaka dengan Kesultanan Samudera-Pasai. Untuk makluman Kesultanan  Perak bermula tahun 1528 apabila Sultan Muzaffar ibni Sultan Mahmud Syah (Melaka) bertakhta di Perak beberapa lama selepas Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Samudera-Pasai pula terserap ke dalam Aceh tahun 1524 apabila Pasai yang ditawan Portugis tahun 1521 dibebaskan oleh tentera Aceh. Sekitar tahun 1300an, seorang Sultan keturunan Samudera-Pasai pernah ke Perak sebelum ia bernama Perak lalu membuka kerajaan Beruas yang kemudian menjadi sebahagian daripada Perak.


Tamat pembentangan saya diajak makan kudapan bersama para VIP. Selepas itu melihat-lihat di ruang legar.


Saya mengambil peluang untuk meletakkan sejumlah buku tulisan sendiri sebagai jualan.


Alhamdulillah. Tak perlu menunggu lama untuk orang membeli. Dapatlah menampung sedikit belanja berjalan-jalan...


2 ulasan:

  1. awesome Prof Radzi. I like your article about Aceh and Perak

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. May you find all my writings useful and not in vain. Amin. :]

    BalasPadam