Isnin, September 30, 2019

Membawa semangat Aceh ke Perak - Rumah tradisional dua negeri dan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan



Jam 11.12 saya masuk kembali ke dalam dewan atau bilik majlis bagi mengikuti pembentangan ilmu seterusnya.


Kelihatan Prof. Madya Dr. Mohd Sabrizaa Abd Rashid sedang berkongsi ilmu. Beliau adalah pengarah Centre for Knowledge & Understanding of Tropical Architecture & Interior (KUTAI), UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar.


Sabrizaa adalah orang yang bertanggungjawab menghubungi lalu membawa saya ke majlis ini.


Beliau bercakap tentang sejarah dan latarbelakang rumah tradisional Perak. Disebutlah bahawa dahulu rumah-rumah lama 100 tahun ke atas adalah daripada bentuk seni bina yang dikenali sebagai Rumah Kutai. Ia kemudian diganti oleh bentuk Rumah Limas.





Pembentang seterusnya adalah puan Erna Meutia daripada Universiti Syiah Kuala (UnSyiah), Banda Aceh. Menurut senarai dalam blogspot SIMPORA X beliau membuat kertas kerja bersama rakan seuniversiti, Dr Ir. Izziah.


Beliau bercakap tentang sejarah dan latar belakang rumah Aceh. Sedikit sebanyak yang dikemukakan telah saya dengar semasa melawat rumah-rumah tradisional Aceh yang telah dijadikan muzium. Rujuk artikel-artikel lama  berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-







Pembentang ke-4 (ke-3 selepas saya) Prof. Madya Dr. Norlizaiha Harun bercakap tentang usaha konservasi bangunan dan tapak warisan lama di Perak. Lupa hendak sebut tadi majlis disertai 7 atau 8 orang pensyarah dari Aceh lalu pembentangan dibuat secara bergilir-gilir antara wakil Perak dengan Aceh. Saya sebagai pembentang ucaptama sahaja yang mungkin agak lain sedikit kerana boleh dikatakan mewakili kedua-duanya. Terus terang saya ada memberitahu majlis bahawa saya berasal daripada keturunan bangsawan Perak yang memiliki darah diraja Aceh sampai kepada kerajaan lama Samudera Pasai hampir 800 tahun lalu. Terasa seperti mewakili kedua-dua Perak dan Aceh apa lagi perkongsian dibuat setelah kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September.


Norlizaiha menunjukkan penglibatan beliau dalam beberapa usaha konservasi di Semenanjung Malaysia sebelum memberikan tumpuan pada Perak.





Pembentang seterusnya, Dr. Cut Dewi membalas dengan bercakap tentang usaha konservasi di Aceh.


Beliau memulakan dengan menghuraikan panjang lebar makna heritage atau warisan menurut sarjana Barat. Pada mulanya kedengaran agak bosan begitu akademik tetapi kemudian baru saya faham keperluan menghuraikan panjang lebar. Rupa-rupanya Cut Dewi hendak memberitahu wujud beberapa takrifan dan setiap satu ada kesannya terhadap usaha konservasi. Sebagai contoh, takrifan tertentu yang agak sempit masih dipakai pihak pemerintah di Aceh. Akibatnya Masjid Raya Baiturrahman yang sangat terkenal di Banda Aceh itu rupa-rupanya tidak pernah digazetkan sebagai bangunan warisan atas alasan ia telah beberapa kali ditukar dan ditambah bentuk daripada rupa asal. Rujuk artikel lama saya Masjid Raya (Main mosque of) Baiturrahman, Aceh.


OK. Saya hilang jejak untuk pembentangan-pembentang seterusnya iaitu selepas waktu makan tengah hari dan rehat solat Zohor. Ini kerana saya masuk lambat selepas jam 3 sedangkan hadirin diminta kembali ke dalam dewan jam 2.15. Oleh itu biar dicopy paste dahulu senarai pembentang seperti ditunjukkan dalam blogspot SIMPORA X (rujuk sini). Untuk makluman ia ditulis dalam bahasa Inggeris.


Poster 6
Regeneration and Perak Heritage Tourism
Sr. Dr. Kartina Alauddin, Dr. Lilawati Ab Wahab & Dr. Rohaslinda Ramli

Poster 7
Regeneration and Aceh Heritage Tourism
Dr. Ir. Izziah, M.Sc & Zulhadi Sahputra, S.T., M.T.

Poster 8
Motives and Ornamentations of Rumah Perak
Iryani Ab Halim Choo, Ahmad Faiz Hassan Naziri & Mayamin Yuhanis

Poster 9
Motives and Ornamentations of Rumah Aceh
Zulhadi Sahputra, S.T., M.T. & Dr. Ir. Izziah, M.Sc

Poster 10
The Concept of Malay Landscape
Ar. Ahmad Zamil Zakaria, Dr. Nur Huzeima Mohd Hussain & Dr. Suriati Ahmad



Bila difikirkan kembali baru jelas bahawa perkataan Poster dalam senarai itu merujuk pada poster yang dipaparkan di ruang legar. Rujuk artikel sebelum ini, Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi. Memang poster dibuat sebagai gambaran isi pembentangan berkenaan yang akan dibuat pada majlis. Tetapi mungkin berlaku perubahan menyebabkan pembentangan sebenar tidak berlaku menurut apa yang disenaraikan.

Yang saya ingat dengan pasti kerana ada mengambil gambar-gambar adalah sempat mengikuti perkongsian daripada dua orang pembentang sahaja pada waktu petang. Yang pertama bercakap tentang menghidupkan kembali pelancongan warisan di Perak.  Kalau tak salah beliau adalah Dr. Rohaslinda Ramli dari UiTM.


Pembentang terakhir adalah Dr. Ir. Izziah dari UnSyiah. Beliau membalas apabila bercakap tentang usaha menghidupkan kembali pelancongan warisan di Aceh.


Tumpuan diberikan pada pasar Aceh yang terletak di sebelah Masjid Baiturrahman. Diceritakanlah sejarah dan latar belakang berkenaan termasuk bagaimana ia hancur akibat pukulan ombak ganas Tsunami 26 Disember 2004 yang telah meragut lebih 200,000 jiwa di Aceh. Diberikan beberapa cadangan bagaimana ia harus dinaiktaraf dan ditingkatkan penggunaan sebagai pusat segala macam dagang di Banda Aceh.


Selepas jam 4 dif-dif kehormat memberikan ucapan penutup kemudian sijil-sijil disampaikan kepada para pembentang.


Seterusnya hadirin mengambil gambar beramai-ramai.





Kemudian saya diajak naik ke pentas untuk mengambil gambar satu persatu dengan ahli jawatankuasa penganjur majlis juga para pensyarah dan pelajar...





Yang ini dah biasa dah dalam majlis-majlis.











Sebagai seorang aktivis kedaulatan Melayu yang sering berbusana tradisional penuh ke majlis-majlis saya sudah biasa menjadi perhatian. Apatah lagi bila datang sebagai pembentang utama dan diketahui pula telah menghasilkan boleh tahan banyak buku...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan