Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik yang dipersembahkan jam 1.31 pagi tadi ada disebut tentang 3 majlis ilmu yang dihadiri di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Artikel itu sendiri menceritakan tentang majlis pertama. Sekarang biarlah diceritakan tentang majlis kedua.
Majlis yang dimaksudkan sebenarnya adalah majlis iftar iaitu berbuka puasa pada petang Isnin 13 Mei. Namun ada sesi tazkirah pada jam 6 sebelum iftar. Maka itu ia adalah majlis ilmu juga.
Dan apabila berada di institusi sebegini hebat yang asbab berdirinya ia oleh pengasasnya cendekiawan besar bertaraf dunia Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas 3 dekad lalu segala-galanya adalah tentang ilmu dan kecintaan terhadap ilmu. Menghirup udara di sini pun akan terhirup sekali aura ilmu. Apatah lagi untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Disebabkan mahu turut serta saya tidak keluar langsung dari ISTAC sejak menghadiri syarahan pada waktu pagi seperti diceritakan pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik.
Saya menghabiskan masa dengan membaca al-Quran di masjid sini kemudian melelapkan mata. Selepas menunaikan solat Asar saya pun bersiap untuk majlis iftar yang dimulakan dengan tazkirah tersebut di dewan makan.
Ketika masuk ke dewan jam 6.24 tazkirah sudah bermula.
Ia disampaikan oleh Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Tajuk yang dibawa adalah “The Secrets of Fasting” - Rahsia-rahsia Berpuasa.
Secara rata beliau hendak menerangkan dan berkongsi kepada hadirin tentang manfaat spiritual berpuasa selain manfaat fizikal yang biasa kita dengar seperti boleh menyihatkan tubuh badan dan mendisiplinkan diri. Maka disebutlah tentang keadaan berpuasa bagi 3 golongan seperti dinyatakan Imam al-Ghazzali iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus (khawas) dan puasa orang khusus antara khusus (khawas wal khawas). Puasa awam itu seperti ramai ketahui kita berlapar berdahaga daripada masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib juga menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Selalu disebut juga ia dilakukan untuk mengambil teladan terhadap orang fakir miskin yang biasa berlapar dahaga kerana tidak cukup belanja. Itu adalah biasa, puasa orang awam.
Untuk puasa khusus kita juga harus menahan lidah daripada mengata perkara-perkara buruk dan tidak sepatutnya. Minda pun didisplinkan agar tidak memikirkan apa-apa perkara tidak baik termasuk berburuk sangka terhadap orang lain. Oh. Gambar ini dan gambar-gambar seterusnya diambil ketika berbuka puasa. Jangan ingat ketika tazkirah berlangsung ada orang dah mula isi perut... :]
Tazkirah sebetulnya ditamatkan sekitar jam 7.05 sedangkan Maghrib masuk sekitar 7.18. Biar diberi sedikit lagi ringkasan tazkirah sambil menunjukkan beberapa gambar...
Puasa orang awam boleh dikatakan mengosongkan perut daripada makan minum selain tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Puasa orang khusus iaitu bagi mereka yang terpilih pula ditambah dengan mengosongkan diri/fikiran dan sebagainya daripada mengatakan/memikirkan perkara-perkara buruk. Untuk puasa khusus daripada yang khusus iaitu orang yang terpilih daripada yang terpilih pula mereka mengosongkan sekali diri daripada apa sahaja selain Allah SWT. Pendek kata mereka dalam kesedaran sentiasa ada dan bersama Allah SWT sehingga wujud diri sendiri pun seperti tiada, tidak difikirkannya.
Gambar ini diambil selepas menunaikan solat berjemaah Maghrib di ISTAC. Selepas itu kami kembali ke dewan makan lagi, baru betul-betul makan malam. Sebelum itu setakat makan kurma, kuih dan minum air. Berbalik pada tazkirah...
Osman mengingatkan bagaimana pada syarahan beliau tentang Isra' dan Mikhraj' lebih sebulan lalu (rujuk artikel Mencari harmoni antara agama dan sains dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj) ada disebut bahawa solat adalah Mikhraj' spiritual bagi orang yang beriman. Beliau pun menambah ada satu syarat penting yang boleh menjadikan solat kita itu Mikhraj' dan ini terdapat pada amalan berpuasa. Dengan berpuasa itu kita akan mengecilkan malah boleh menghilangkan ego iaitu rasa berbangga diri dan nafsu rendah kita. Hal ini penting kalau mahu mencapai Mikhraj' iaitu 'naik menghadap Allah' SWT' secara spiritual dalam bersolat.
Ini adalah salah satu gambar yang dikongsikan orang dalam grup WhatsApp pelajar pasca-siswazah ISTAC. Dari kanan adalah saya diikuti Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar dan Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Paling kiri tu tak cam siapa. Salleh saya biasa jumpa di majlis-majlis ilmu terutama di Dewan Bahasa dan Pustaka di mana beliau pernah menjadi pengerusi Lembaga Pengelola. Awang pula adalah tokoh bahasa Melayu terkenal tanah air. Beliau adalah pensyarah saya untuk kelas Tamadun Melayu Islam pada semester lalu.
Sedikit lagi tentang tazkirah. Disebutlah bahawa antara rahsia dan kelebihan berpuasa adalah untuk mencapai sifat takwa. Apa itu takwa? Osman menyebut ada 3 komponen penting membentuk takwa itu :-
1. Takut kepada Allah
2. Cinta kepada Allah
3. Makrifat kepada Allah
Selepas makan malam kami menunaikan solat Isyak berjemaah diikuti solat sunat Tarawikh dan Witir. Terlupa pula untuk mengambil gambar. Sebagai ganti biar ditunjukkan gambar sebelum dapat melelapkan mata di masjid ISTAC. Ada surah mahu dihabiskan dahulu supaya tak lari bajet hendak mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk raya bulan Syawal.
Sebetulnya usaha sudah dimulakan apabila masuk bulan Rejab di mana saya mula melakukan puasa sunat dengan niat mahu meneruskan secara penuh hingga ke bulan Sya'aban diikuti bulan Ramadhan. Ia adalah kali pertama saya mencuba puasa 3 bulan terus setelah mendengar ia dilakukan oleh beberapa orang kawan. Tapi saya asyik lepa dalam membaca Quran. Masuk hari Nisfu Sya'aban iaitu pada 15 Sya'aban baru sampai ke muka surat ke-7 Surah Ali Imran. Masuk bulan Ramadhan baru berusaha untuk lebih istiqomah membaca mengikut turutan. Ketika gambar ini diambil jam 10.51 malam 9 Ramadhan saya baru menamatkan Suruh Yunus, lagi satu muka surat masuk Juz 12.
Apapun, itu adalah kali pertama saya bermalam di masjid ISTAC juga kali pertama beriktikaf di mana-mana masjid begitu awal dalam bulan Ramadhan. Saya beriktikaf di situ kerana satu, sudah lama menyimpan hajat untuk melakukannya. Untuk makluman saya telah beriktikaf di merata masjid keliling Semenanjung Malaysia ketika keluar mengembara. Sekurang-kurangnya setiap bulan Ramadhan iaitu pada 10 malam terakhir saya akan keluar bermusafir seorang diri, selalunya 3 malam berturut di 3 masjid berlainan. Di masjid ISTAC inipun saya bermalam berseorangan. Kali ini turut ada sebab lain untuk beriktikaf iaitu untuk menghadiri satu majlis ilmu pada siang Selasa. Oleh itu saya dapat menjimatkan sekali masa dan belanja, tak perlu kembali ke rumah 40 km perjalanan lewat malam selepas solat Tarawikh dan Witir kemudian paginya harus berkejar lagi 40 km ke ISTAC untuk majlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan