Rabu, Mei 15, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik

Salam malam 10 Ramadhan. Adapun sejak mempersembahkan artikel Menjengok Pesta Budaya dan Masakan Warisan Minangkabau di Muzium Negara setengah bulan saya belum terasa mahu berkongsi apa-apa cerita baru walau berlaku macam-macam perkara sejak itu. Sekarang ada 3 cerita baru ingin dikongsikan. Ketiga-tiganya melibatkan majlis-majlis ilmu yang diadakan di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada sehari dua kebelakangan.


Sejak mendaftar secara rasmi sebagai pelajar pasca-siswazah di ISTAC 9 bulan lalu boleh kata saya akan ke sana sekurang-kurangnya seminggu sekali. Untuk semester pertama September 2018 hingga Januari 2019 saya ke institut tiga hari seminggu kerana harus menghadiri kelas Isnin, Selasa, Rabu. Selepas itu saya tidak perlu lagi menghadiri apa-apa kelas kerana sudah cukup syarat asas lalu boleh memberikan penumpuan penuh kepada kerja-kerja penyelidikan. Untuk pengetahuan setiap pelajar Masters harus mengambil tiga kelas wajib. Mereka boleh mengagih-agihkannya menjadi satu kelas bagi setiap semester jika mahu. Cuma lambatlah habis kelas kalau begitu...


Walaupun tidak perlu lagi ke kelas saya akan hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menghadiri majlis-majlis ilmu juga berbincang dengan penyelia tesis saya, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Tetapi kali ini saya tidak ke ISTAC selama setengah bulan disebabkan beberapa hal tertentu.


Kali terakhir ke sana adalah pada hari Ahad 28 April untuk satu majlis ilmu tertutup. Disebabkan isinya bukan untuk perkongsian umum ia cuma disebut sepintas lalu dalam artikel Menjengok Pesta Budaya dan Masakan Warisan Minangkabau di Muzium Negara.


Selepas itu ada majlis ilmu terbuka iaitu sesi ke-6 syarahan Osman tentang buku beliau "Classifications of Knowledge in Islam" pada pagi Isnin 6 Mei bersamaan 1 Ramadhan 1440 Hijriah. Tetapi saya tidak dapat hadir kerana berada di kampung untuk menyambut hari pertama bulan puasa wajib (saya sebut begitu kerana sudah menunaikan puasa sunat penuh bulan Rejab dan Sya'aban) bersama ibu bapa di Muar.


Pagi semalam 13 Mei bersamaan 8 Ramadhan saya hadir untuk syarahan ke-7 buku.


Didapati bahawa ia bermula daripada daripada perenggan terakhir pada muka surat 12. Seingat saya syarahan ke-5 berakhir pada perenggan kedua muka surat 11. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan. Maka sebelum berkongsi isi dan kupasan daripada syarahan ke-7, biar disentuh sedikit bahagian buku berkenaan yang harus membentuk isi syarahan ke-6 pada 1 Ramadhan yang tidak dapat hadiri itu.


Menurut Ibnu Khallikan, al-Farabi menghabiskan usaha mudanya di Farab sementara Ibn Abi Usaibi'ah menyatakan beliau membesar di Damascus (Damsyik). Rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan tentang Ibnu Khallikan dan Ibn Abi Usaibi'ah sebagai sumber cerita kehidupan al-Farabi. Osman lebih mempercayai cerita Ibnu Khallikan berdasarkan susunan kronologi keseluruhan kehidupan al-Farabi. Penduduk Farab kebanyakannya adalah pengikut mazhab Shafi'e. Di kota itu al-Farabi menerima pendidikan awal dan beliau harus mendapat yang terbaik berdasarkan kedudukan ayahnya (rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan).

al-Farabi yang nama sebenarnya adalah Abu Nasr dikatakan seorang yang memiliki akal tajam dan dikurniakan kebolehan untuk menguasai hampir semua bidang yang dipelajari. Apa yang dipelajari pada peringkat rendah sama ada melalui tuisyen peribadi di rumah mahupun pengajian rasmi di masjid tidak harus begitu berbeza dengan kurikulum tradisi yang diterima setiap kanak-kanak Muslim sebaya pada masa itu. Asasnya mestilah kitab al-Quran. Seperti disebut oleh tokoh ilmuwan terkenal Ibn Khaldun, mengajar al-Quran kepada kanak-kanak adalah satu simbol Islam.



Quran menjadi asas yang mana segala jenis pelajaran juga tabiat akan datang terbentuk melaluinya. Kesannya kelihatan jelas dalam keintelektuan juga kehidupan spiritual al-Farabi walaupun ada perbezaan dengan pemikir Islam yang lain. Walaupun ada pandangan intelektual dan spiritual beliau boleh dipadankan dengan sumber-sumber bukan Islam ia tetap selari dengan sudut pandang tertentu dalam ilmu wahyu Islam. Jika berlaku kritikan terhadap 'keIslaman' pemikiran beliau seperti pernah dipersoalkan oleh sejumlah tokoh termasuk al-Ghazzali itu adalah disebabkan ia dinilai daripada sudut pandang lain. Kata Osman hal ini disebut untuk menyatakan kesan kuat al-Quran terhadap al-Farabi. Walaupun beliau kemudian menjadi seorang ahli falsafah cemerlang ia tidak mengubah hakikat bagaimana kitabullah tetap menjadi pegangan.


Sekarang barulah kita boleh masuk kepada isi dan ulasan syarahan ke-7 pada pagi 8 Ramadhan. Buku menyebut selain menerima pelajaran daripada Quran, al-Farabi juga belajar ilmu nahu, sastera dan sains-sains keagamaan terutama ilmu fiqh, tafsir dan hadith juga ilmu hisab asas. Nota 22 menyebut hal ini telah ditekankan oleh ramai sarjana. Ia berdasarkan pertimbangan bahawa Ibnu Khaldun mendapati cara dan kurikulum pengajian biasa di kota-kota Islam sebelah Timur adalah bercampur. 

Untuk pengetahuan dunia Timur Islam zaman itu merujuk kepada wilayah-wilayah ke timur dari Semenanjung Arab seperti Baghdad dan Parsi. Barat merujuk kepada wilayah seperti Afrika ke barat semenanjung. Sebab itu ada negara bernama Maghribi (daripada perkataan Arab Maghrib yang bermaksud barat).  Ibnu Khaldun sendiri menetap di situ.

Tokoh pengajian ketamadunan itu menyebut kurikulum pelajaran sebegitu memberikan keutamaan terhadap Quran dan kebiasaan asas dalam kesarjanaan untuk anak-anak yang sedang membesar. Osman mengingatkan, pada zaman tersebut tiada dan belum wujud lagi konsep sekular atau keduniaan yang terpisah daripada agama seperti dilihat hari ini. Semua perkara dibuat untuk Islam dan menurut landasannya lalu ilmu falsafah pun tidak berlawanan dengan agama. 


Kedua, menurut Ibn Abi Usaibi'ah al-Farabi pernah menjadi seorang qadi yang pada zaman dahulu adalah sama seperti hakim kini . Ini menunjukkan asas latihan keintelektualan beliau zaman muda adalah dalam sains-sains keagamaan terutama fiqh (feqah). Ketiga, sejarawan kemudian merekodkan dakwaan yang katanya dibuat al-Farabi hampir penghujung kehidupan bahawa beliau mengetahui hampir semua jenis bahasa. Nota 25 menyatakan tokoh tersebut dilaporkan pernah mendakwa tahu hingga 70 jenis bahasa ketika pertama kali bertemu dengan penaung beliau, putera Saif al-Dawlah daripada keluarga Hamdanid di istananya di Aleppo, Syria. 

Kata Osman ini kedengaran mustahil. Mungkin yang dimaksudkan ini termasuk pelbagai jenis dialek atau loghat setempat.  Yang pasti al-Farabi tahu berbahasa Turki, Arab dan Parsi. Kemungkinan besar beliau juga tahu beberapa bahasa dan dialek Asia Tengah selain bahasa Syriac (Suryani) dan Greek (Yunani). Pendidikan awal beliau dalam beberapa bahasa ini mesti termasuk juga pengajian nahu dan sastera popularnya.




Kurikulum pelajaran yang disebut ini menjadi asas kepada pendidikan lanjut al-Farabi. Kita tidak tahu apakah kota asalnya Farab boleh memberikan pendidikan lanjut yang cukup tinggi. Kemungkinan besar seperti dinyatakan M. Mahdi (rujuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan) beliau berpindah ke Bukhara untuk pengajian lanjutan fiqh dan lain-lain sains keagamaan. Pada waktu itu ia adalah ibu kota, juga pusat intelektual dan keagamaan Dinasti Samanid.

Tentang keperluan untuk berpindah bagi melanjutkan pelajaran Osman berkongsi satu cerita zaman kanak-kanak. Di kampung beliau membesar di Temerloh, Pahang tahun 1940an dan 1950an cuma ada sekolah sampai darjah 5 sahaja. Beliau harus ke sekolah lain 10 kilometer lebih jauh untuk masuk darjah 6.

Ibn Khallikan menyebut Bukhara sebagai "salah satu terbaik pernah diperintah". Kota ini memang selalu disebut dalam sejarah sebagai pusat pengajian terkemuka. al-Farabi membesar di bawah pemerintahan Nasr I ibnu Ahmad (874-892 Masihi). Kenaikan Dinasti Samanid yang mendakwa berketurunan Dinasti Sassanid (memerintah Parsi dan wilayah-wilayah sekeliling 224-651 Masihi)  membawa kepada kenaikan sasteras Parsi juga kegemilangan kebudayaan Islam. Dalam wilayah pemerintahannya bahasa Parsi baru (yang mengandungi banyak perkataan Arab dan ditulis dalam huruf seperti Jawi bagi bahasa Melayu) berkembang mekar bersama sastera bahasa Arab.

Pengetahuan al-Farabi dalam bahasa Parsi baru kemungkinan besar diperolehi pada fasa kedua pengajian beliau di Bukhara. Menurut Mahdi di sini juga beliau mula belajar musik, satu bidang yang mana beliau kemudian menjadi seorang tokoh yang tidak tersanggah (undisputed). Mendengarkan ini tiba-tiba air mata saya mahu bergenang. Teringat bagaimana dahulu saya begitu suka bermain gitar sehingga boleh memainkan petikan solo gitar eletrik daripada beberapa kumpulan rock terkenal lalu boleh bermain dalam kumpulan kugiran - kalau tidak kerana menyambung pelajar ke London tahun 1991-1995 ada kemungkinan saya sudah menjadi artis rakaman seperti dilakukan sejumlah kawan dan kenalan sebaya dan sezaman. 

Saya juga boleh bermain piano bermacam lagu popular walau tidak pernah menerima pendidikan formal atau tahu membaca nota musik. Saya boleh bermain berdasarkan pendengaran telinga kerana tahu membezakan nota ataupun pitch. Saya rasa sedikit sebak kerana teringat zaman itu di mana saya begitu memberontak terhadap authority. Saya ini orang yang sejak berumur 15 tahun dah lari rumah, cabut daripada sekolah asrama penuh memanjat pagar dan sebagainya. Sifat memberontak suka melawan kerana terasa tidak puas hati dengan sistem kebiasaan manusia ini masih membara sehinggalah saya mula cool down selepas menjejak umur 30an. 

Terasa bagaimana kelihatan berbeza hidup saya dengan orang seperti Osman yang sama-sama pernah belajar matematik di London walau pada dua zaman berlainan. Kehidupan beliau lebih teratur menyambung Masters kemudian bertukar bidang sehingga ke PhD dalam dunia falsafah dan pemikiran Islam di Amerika lalu jadilah beliau seperti sekarang. Saya terasa sebak kerana apabila berusaha menjadi orang yang lebih baik dan tidak lagi memberontak terutama dengan mendekati kembali Islam ada sedikit konflik tentang musik. Selalu dikatakan alat muzik bertali adalah haram sedangkan itulah kesukaan saya dahulu. Dalam hal ini Osman menyebut pendirian Imam al-Ghazzali tentang muzik. Ia terpulang kepada individu. Kalau merasakan ia membawa kita hanyut melupakan agama maka tinggalkanlah. Tetapi kalau boleh membawa lebih dekat kepada Tuhan maka teruskanlah...

Berbalik kepada hal al-Farabi.  Setelah selesai pengajian dalam sains-sains keagamaan al-Farabi menjadi qadi. Tetapi Ibn Abi Usaibiah mendakwa beliau meninggalkan langsung perkerjaan tersebut apabila mendapat tahu ada pihak boleh memberikan pelajaran dalam bidang falsafah. Osman melihat ini sebagai bukti bahawa al-Farabi sudah memiliki minat dalam bidang terutama berkenaan logik sebelum menjadi qadi.



Cuma kemudian selepas itu (selepas menjadi qadi) baru beliau memberikan tumpuan kepada sains-sains itu. Masalahnya adalah disebabkan ketiadaan guru - seabad selepas itu baru ada orang boleh menjagar dalam bidang tersebut di Bukhara. Dikatakan cuma ada seorang guru boleh mengajar tokoh terkenal Ibnu Sina (980–1037 Masihi) ilmu hisab (arithmetic). Bila ahli matematik terkenal Abu Abdallah al-Natila datang ke kota tersebut baru Ibnu Sina berpeluang untuk menguasai Almagest, The Elements of Euclid (kedua-duanya kitab terkenal matematik daripada tamadun lama Yunani) dan ilmu logik.

Nampaknya minat al-Farabi dalam ilmu logik dan lain-lain sains falsafah termasuk metafizik mula dinyalakan semasa pengajian lanjutnya dalam bidang linguistik (kajian bahasa) dan sains-sains keagamaan. Ah. Saya dah tak larat untuk memperincikan lagi perkara. Ketika menulis ayat ini sudah jam 1.26 malam. Dipendekkan cerita beliau tidak cukup puas dengan tahap ilmu logik yang biasa dikenali dalam dunia Islam pada waktu itu seperti digunakan dalam pengajian ilmu kalam mahupun usul fiqh. Ini mendorong beliau untuk mencari guru yang boleh mengajarnya ilmu logik cara Aristotle ataupun Aristolelian logic. Rujuk syarahan-syarahan sebelum ini tentang ilmu tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan