Ahad, Februari 24, 2019

Tentang tabiat suka menulis berkongsi fikir dan rasa

Merujuk kepada artikel Apabila jumlah artikel "Refleksi Sejarah" mencapai 222 yang dipersembahkan petang Jumaat. Ada disebut saya dijadualkan untuk menghadiri 3 majlis ilmu hari Sabtu (semalam) dan 1 lagi majlis hari Isnin (esok). Ini ada satu cerita berkenaan. Sebelum itu lihat gambar-gambar dan penerangan...


Sebahagian daripada satu artikel lama saya semasa bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001...


Artikel tersimpan dalam satu folder daripada sebuah external hard drive sebelum isi hard drive disalin ke dalam komputer riba...


Yang dimuat turun dari laman on-line NST  itu cuma penulisan berbentuk rencana yang pernah disiarkan dalam akhbar. Ada banyak lagi penulisan yang tersiar tapi dalam bentuk laporan berita semasa...


I
I
I
I
I


Penulisan bawah ini asalnya mahu dipersembahkan sebagai status update di Facebook sekitar jam 1.30 pagi tadi. Masuk perenggan kedua saya mula merasakan ia akan mengalir panjang lebar. Jadi lebih elok dipersembahkan dahulu ke blogspot kemudian dipautkan ke FB...


----------------


3 MAJLIS ILMU UNTUK DIULAS DAN KUPAS DALAM MASA TERDEKAT CAMPUR 1 LAGI MAJLIS ISNIN INI - TENTANG TABIAT SUKA MENULIS DAN BERKONGSI FIKIR DAN RASA

Salam. Adapun sudah menjadi tabiat kesarjanaan saya (boleh kot guna perkataan itu) cuba menghadiri sebanyak mungkin majlis ilmu terutama melibatkan sejarah setiap kali mendapat kelapangan dan peluang kemudian mengulas dan mengupas seberapa boleh dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Tabiat ini adalah susulan daripada kecenderungan suka mengikut gerak dan meluahkan rasa melalui penceritaan di blogspot yang dibuka penghujung 2006.  Pada awalnya saya lebih suka melepaskan rasa suka duka juga fikiran yang timbul selepas selesai suatu pengembaraan selain berkongsi apa yang berlaku dan dilihat ketika mengembara. Kadangkala ini dibuat ketika pengembaraan sedang berlaku lalu saya menulis dari cyber-cafe terdekat dapat ditemui di suatu pekan atau bandar. 

Masuk tahun 2009 saya mula menghadiri majlis-majlis ilmu anjuran badan-badan seperti Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), Perpustakaan Negara dan universiti-universiti. Susulan daripada majlis saya cuba mengulas dan mengupas sebanyak mungkin dalam blogspot. Sebanyak mungkin di sini bermaksud selagi kalam dapat diluahkan dan setakat apa yang dapat diingati semasa menulis. Saya akan menulis sehingga timbul rasa puas atau cukup. Lepas suatu gerak, lepas satu tanggungjawab untuk berkongsi penceritaan.

Rasa tanggungjawab untuk berkongsi ini mungkin disebabkan pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996 hingga 2001. Sebagai wartawan memang kami diajar agar merasa bertanggungjawab untuk menyampaikan berita dan perjalanan suatu majlis. Rasa lepas gerak pula lebih merupakan suatu desakan dalaman yang wujud akibat perjalanan hidup yang memiliki unsur-unsur spiritual dan kesufian terkait dengan darah keturunan. Perkara ini sebenarnya sudah dialami sejak kecil lagi tetapi menulis untuk melepaskan suatu gerak? Itu bermula ketika berumur 36.

Gerak rasa awal untuk menulis itu sendiri bermula ketika saya pertama kali masuk ke Aceh awal tahun 2004. Ketika itu masih berlaku darurat perang akibat pertentangan puak pemisah dengan tentera kerajaan pusat Indonesia yang didatangkan dari Jakarta. Lalu saya diduga dengan beberapa halangan sehingga pernah merasa disuakan mesingan M-16 ke kepala. 

Ketika pertama kali sampai ke sempadan Aceh dari arah Medan timbul rasa harus menulis buku tentang pengalaman. Kembali daripada perjalanan saya terus memulakan penulisan. Tetapi pada Jun 2006 baru ia terbit menjadi buku pertama siri trilogi “Berpetualang ke Aceh”.  Hampir penghujung tahun saya mula menulis di blogspot sebagai usaha mempromosikan buku dan isi-isinya. 

Setelah beberapa lama blogspot menjadi tempat meluahkan rasa sambil berkongsi pengalaman mengembara juga apa-apa berkaitan kehidupan baru ditulis tentang majlis-majlis ilmu. Sambil itu muncul buku kedua siri Mei 2007 diikuti buku ketiga November 2007. Penulisan menjadi cara saya menganalisa kembali apa yang berlaku. Ia juga membantu menyerap ilmu dengan lebih baik. 

Sabtu semalam 23 Februari 2018 saya menghadiri 3 majlis ilmu. Pagi tentang masalah orang Yaman akibat perang, diadakan di tempat saya belajar pasca-siswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Petangnya seorang pakar ekonomi terkenal  bercakap tentang Melaka abad ke-15 di Islamic Arts Museum (Muzium Seni Islam),  Taman Tasik Perdana. Selepas itu saya mendengar tentang pemikiran Islam di  UTM (Universiti Teknologi Mara) hingga lewat malam. 

Tentunya seperti biasa saya harus menulis di blogspot. Menurut tabiat menulis yang sudah sebati sejak hampir 13 tahun lalu saya harus mula melepaskan gerak penulisan seeloknya sebaik sahaja sampai ke rumah. Tetapi saya sudah kepenatan. Pergi dari rumah ke Kuala Lumpur pun dah 40 km. Kemudian harus menghayati majlis di 3 lokasi berlainan sebelum sampai ke rumah dekat jam 1 pagi.

Siang Ahad hari ini pula kena memandu ke kampong isteri dalam 120 km perjalanan untuk satu majlis keluarga. Nampaknya hari ini memang tak sempat menulis tentang majlis. Pagi Isnin iaitu esok ada 1 lagi majlis ilmu. Itupun nak kena kongsi cerita nanti. Sebagai ganti rasa tanggungjawab dan gerak untuk menulis biar diisytiharkan sebagai satu status update di Facebook. 

Asalnya ia setakat untuk memberitahu akan disajikan 3 artikel tentang 3 majlis ilmu yang dihadiri hari Sabtu diikuti 1 majlis hari Isnin. Tapi begitulah gerak. Dah jadi luahan panjang lebar lalu jadilah artikel ini, artikel ke 1,755 di blogspot.

Adapun gambar penghias paling atas adalah snip (potongan) daripada satu artikel lama saya di NST yang dapat ditemui secara on-line lebih 10 tahun lalu. Kalau nak cari lagi terutama seperti yang tersiar dalam akhbar harus ke perpustakaan dalaman sana di Jalan Riong, Bangsar kemudian harus membayar untuk perkhidmatan. Nasib baik saya sempat memuat-turun hampir 30 artikel berbentuk rencana/features  dalam format HTML. Kalau tulisan atau laporan berita ada banyak lagi. Kalau tak salah ingatan ada sekitar 1,000  artikel tertera  perkataan “by Radzi Sapiee” iaitu ditulis oleh saya. 

Kalau orang lain mungkin dah lama simpan segala keratan akhbar supaya boleh ditunjukkan kepada ramai terutama untuk meminta kerja. Tapi saya bukan jenis begitu. Cuma di sini tergerak hendak menyebut tentangnya kerana memikirkan betapa sejak kebelakangan ini kecoh ramai pemimpin politik didapati bersalah memakai sijil pendidikan palsu. 

Sebetulnya memang diketahui sejak beberapa lama ramai orang memakai sijil palsu juga membuat dakwaan memiliki pelbagai pengalaman kerja, hidup bagai yang hebat-hebat tetapi sebenarnya cerita buatan yang ditokoh-tambah agar kelihatan jauh lebih hebat daripada hakikat diri yang sebenar. Dalam keadaan begini tak mustahil ada orang berfikiran sama terhadap saya. Oleh itu biarlah dinyatakan di sini ada ramai saksi yang masih mengenali hingga kini tahu tentang diri saya sejak zaman tadika (ya, masih ada kawan-kawan sesekali berhubung daripada  zaman mula perkenalan 43 tahun lalu), juga di sekolah rendah, sekolah menengah, zaman kolej, zaman universiti di London, zaman bekerja di NST dan seterusnya. 

Saya tidak perlu mencipta cerita-cerita khayalan untuk menerbitkan rasa gah atau aura hebat misteri kerana ada ramai saksi termasuk kawan-kawan lama yang kini bertaraf VVIP boleh memberikan testimoni. Sekadar maklumat tambahan artikel ini sepatutnya dipersembahkan sebelum masuk Subuh tadi. Ketika itu walaupun penat akibat sehari suntuk saya tidak dapat tidur akibat hal majlis yang bermain dalam kepala lalu dibuatlah penulisan panjang lebar ini. Sebaliknya komputer buat hal ketika hendak memuatnaik cerita. Dah lepas jam 10 pagi baru masalah dapat diatasi.  Cukuplah meluahkan rasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan