Rabu, Februari 27, 2019

Menangani krisis Yaman - Majlis "Stand With Yemen" di ISTAC

Merujuk kepada artikel Tentang orang Terengganu dan kehidupan mereka - Bicara buku yang ke-2 di ISTAC yang dipersembahkan semalam. Meneruskan gerak penulisan sama dengan mempersembahkan cerita tentang majlis ilmu pertama dihadiri Sabtu lalu.


Merujuk pula kepada artikel Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Membina wawasan masa hadapan yang dipersembahkan setengah bulan lalu. Ketika berlangsung sesi forum petang itu hadirin diberitahu bahawa ISTAC akan menganjurkan satu lagi majlis ilmu. Kali ini ia melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Setelah beberapa lama keluar atur cara berserta poster atas di Facebook.


Isteri mahu ikut sama. Memandangkan majlis dijadualkan berlangsung jam 9 pagi hingga 2 petang elok dibawa sekali anak-anak.


Maka pergilah kami anak-beranak ke lokasi majlis di bangunan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dengan memakai busana tradisional Melayu.





Cuma kami sampai lambat lalu tidak mengikuti komponen awal majlis berupa ucapan-ucapan daripada VVIP terpilih.


Dan ternyata tetamu paling utama Tun Mahathir pun tidak dapat hadir kerana hal tertentu. Tempat beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.


Melihat pameran tentang krisis Yaman di ruang legar. Oh, majlis ini dipanggi "Stand with Yemen" - Berdiri bersama Yemen. Ketika ini dif-dif kehormat sudah masuk ke dewan makan. Saya pula baru hendak melihat pameran kerana sibuk berbual dengan seorang warga wanita Yaman yang sudah beberapa bulan bersama suami dan anak duduk berlindung di Malaysia.


Sesungguhnya terdapat ramai warga Yaman sedang menumpang suaka di negara kita. Rumah mereka hancur akibat perang yang bermula tahun 2015. Dikatakan krisis kemanusian yang melanda adalah lebih teruk berbanding di Syria. Tetapi cerita tentangnya seperti sengaja digelapkan oleh rangkaian berita antarabangsa.


Sekitar jam 11 hadirin kembali masuk ke dewan utama untuk sesi forum.


Empat orang panelis akan berkongsi maklumat dan pandangan  tentang perkara. Mempengerusikan sesi adalah Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa daripada Islamic Renaissance Front (IRF). Kelihatan beliau dalam gambar duduk dua dari kanan. Ahli-ahli panelis (dari kiri) adalah :-


Dr Abdul Rahman Al Maamari daripada Tangible Association for Yemeni Refugees (terjemahan saya - Persatuan Ketara untuk Pelarian Yaman)

Dr James M. Dorsey,  cendekiawan daripada Universiti Teknologo Nanyang, Singapura

Dr Chandra Muzaffar,  presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST)

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk Hal Ehwal Agama



Abdul Rahman adalah panelis pertama.


Beliau menceritakan keadaan geo-politik yang membawa kepada krisis Yaman.


Hadirin diberitahu bahawa ketika apa yang dipanggil sebagai Arab Spring (boleh Google) menimbulkan kacau-bilau dan kejatuhan kerajaaan di beberapa buah negara pimpinan bangsa Arab Yaman berjaya menanganinya dengan baik. Kekecohan yang bemula di Tunisia penghujung tahun 2010 merebak ke negara-negara seperti Libya, Mesir Syria dan Bahrain sebelum surut pertengahan 2012. Kesannya tidak begitu teruk di Yaman tetapi membawa kepada pelancaran Persidangan Dialog Nasional awal 2013.


Persidangan berjaya mencegah perang saudara daripada berlaku di Yaman. Menurut Abdul Rahman, dunia menganggap ini satu kejayaan tahun 2014.


Tidak lama kemudian muncul kumpulan militan Houthi menguasai Sana'a iaitu ibu kota Yaman.


Kekacauan pun meningkat...


Keadaan menjadi bertambah teruk apabila pasukan gabungan negara yang diketuai Arab Saudi menghantar jet-jet pejuang untuk mengebom Yaman. Alasannya Presiden Yaman yang lari ke Arab Saudi akibat ancaman puak Houthi meminta negara tersebut campur tangan.


Akibatnya rakyat teruk merana...


Inilah yang membawa kepada keadaan sekarang lalu negara-negara seperti Malaysia diminta untuk membantu meringankan beban.


Tentang krisis Yaman ini boleh juga baca penerangan ringkas yang dipaparkan di ruang legar. Klik pada gambar untuk paparan jelas.


Panelis kedua, Dorsey pula melihat krisis daripada sudut pandang yang lebih luas. Diperincikanlah keadaan geo-politik semasa yang mana puak militan Houthi yang bermazhab Syiah mendapat sokongan Iran. Presiden Yaman yang lari dan kerajaan pimpinannya yang dikatakan bermazhab Sunni pula mendapat sokongan Arab Saudi. Di sebalik itu ada kepentingan Amerika Syarikat dan sekutu sedang berlaga dengan kepentingan Rusia dan negara-negara yang menyokongnya.


Chandra pula cuba membawa perspektif orang Malaysia. Menurut beliau rakyat kita tidak diberikan pendedahan cukup mendalam tentang apakah yang sebenarnya berlaku. Bukan kes Yaman sahaja tetapi banyak kes lain peringkat dunia. Kita setakat diberitahu hal-hal luaran, bukan intipati perkara dan sebab sebenar ia berlaku.


Mujahid pula mengulangi konsep Rahmatin lil 'Alamin - Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam yang biasa dilaung-laungkannya sejak dilantik menjadi menteri apabila kerajaan Pakatan Rakyat mula memegang teraju kepimpinan negara pertengahan tahun lepas. Cakapnya memang kedengaran bagus dengan bahasa Inggeris juga bahasa Arab yang lancar. Tapi praktiknya? Diketahui ramai beliau seperti sering memenangkan kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam atas alasan mahu berlaku adil supaya jadi 'Rahmatan lil 'Alamin' (konon)...


Selesai empat panelis berkongsi maklumat dan memberikan pandangan duta Yaman ke Malaysia diminta memberikan sepatah dua kata. Sebenarnya banyak kata-kata diberikan beliau dengan penuh emosi. Cukuplah diringkaskan sebegini - beliau meminta tajuk majlis "Stand With Yemen" ditukar menjadi "Stand Against Arab Saudi".


Hal ini menyebabkan seorang hadirin dari Arab Saudi bangkit (bukan dalam gambar) membela negaranya ketika sesi soal jawab. Banyak perkara diperkatakan dalam sesi ini. Saya sendiri bangun untuk bertanya setakat manakah tangan-tangan ghaib, badan-badan perisikan seperti CIA (Amerika) dan Mossad (Israel) terlibat apa lagi serangan Arab Saudi berlaku tidak lama selepas Raja Salman menaiki takhta sedangkan anaknya Putera Mohammad bin Salman yang katanya pro-Israel dilihat lebih menguasai jentera-jentera kerajaan. Ada pula bertanyakan bagaimana untuk membantu para pelarian terutama di Malaysia agar mendapat kehidupan yang lebih selesa. Untuk itu kerajaan diminta agar merangka suatu bentuk pertolongan yang dapat bertahan lama...


Duta Iran ke Malaysia turut diminta memberikan maklum balas. Tentunya beliau membela negara sendiri pada kala ada yang melihat Iran menimbulkan krisis kerana menyokong puak Houthi.


Saya sendiri percaya Amerika dan Israel adalah dalang sebenar yang mencipta kekacauan. Ini berlaku selepas Yaman tidak berjaya dijatuhkan melalui Arab Spring. Apapun krisis semakin meneruk dan bantuan amat diperlukan. Kelihatan atas seorang wakil kumpulan sukarelawan Malaysia yang baru hari sebelumnya kembali dari Yaman menceritakan perkembangan semasa.


Selepas itu para panelis dan seorang dua dif kehormat berdiri di pentas untuk menunjukkan sokongan terhadap Yaman sesuai dengan tajuk majlis iaitu "Stand With Yemen"


Sambil itu satu set deklarasi hasil perkongsian maklumat dan pandangan dibacakan oleh Brig Jen (bersara) Dato Mohamed Arshad Raji. Beliau adalag presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, satu persatuan yang terdiri daripada pegawai-pegawai pencen askar dan polis Malaysia.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan