Ahad, Februari 03, 2019

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kembali ke tanah air selepas 12 hari 11 malam di perantauan

Salam semua. Setelah beberapa lama sampailah masa untuk menamatkan cerita perjalanan saya dan keluarga di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Bersantai di Hatyai.


Pagi Isnin 3 Disember 2018 iaitu tepat dua bulan lalu. Sampailah masa untuk kami kembali ke tanah air.


Esoknya Selasa 4 Disember isteri harus masuk kerja sedangkan saya pula ada kelas di ISTAC. 


Cukuplah 12 hari 11 malam berada di perantauan. Kalau ikut rancangan asal harus lagi seminggu lagi kami berjalan. 


Tapi itu rancangan yang dibuat ketika membeli tiket penerbangan ke Siem Reap awal tahun 2018.  Fikir kami semasa itu akan membuat sekali perjalanan ke Vietnam dan Laos. Ketika itu tidak terbetik dalam fikiran pun saya akan menyambung pelajaran di ISTAC selepas pertengahan tahun.  Isteri boleh mengambil cuti lebih tetapi saya tetap harus kembali kerana tempoh masa seminggu dua selepas itu sangat penting dalam pengajian. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia



Dari hotel kami mengambil Grab ke pusat bandar raya Hatyai. Terus ke stesyen kereta api untuk perkhidmatan hingga ke Padang Besar, Malaysia. Jaraknya cuma sekitar 50 km dari Hatyai. Tetapi selepas itu ada jarak lebih 470 km lagi untuk sampai ke rumah kami di Sungai Buaya, Rawang.


Dahulu kita boleh menaiki kereta api KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) dari Hatyai hingga ke Kuala Lumpur dan kembali. Saya sempat menggunakan perkhidmatan tersebut walau tidak sampai ke KL tahun 2010. Lihat Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai... dan Projek buku keretapi : Kembali dari Hatyai daaa....


Setahu saya perkhidmatan KTMB ke Hatyai dan kembali itu sudah ada sejak tahun 1970an. Namun sejak perkhidmatan kereta api laju ETS yang mula dibuka dari KL ke Ipoh tahun 2010 dipanjangkan hingga ke Padang Besar sekitar 2-3 tahun lalu perkhidmatan kereta api lama ke Hatyai ditamatkan.


Sekarang kita boleh naik kereta api Malaysia hingga ke Padang Besar sahaja. Daripada sana ke Hatyai kena naik kereta api Thailand. Oh. Ini adalah stesyen Padang Besar di Thailand.


Adapun terdapat dua buah bandar dipanggil Padang Besar. Satu dalam Thailand, satu dalam Malaysia. Kedua-duanya ada stesyen kereta sendiri. Kereta api Thailand yang dinaiki dari Hatyai membawa hingga ke syesten kereta api Padang Besar, Malaysia di mana kami pturun untuk pemeriksaan imigresyen, Saya sudah melalui proses ini ketika kembali daripada perjalanan pertama saya ke Patani awal tahun 2017. Ketika itu saya menghadapi sedikit masalah kerana ada membawa keris dalam beg sandang. Lihat Misi jejak Aceh-Langkasuka - Sedikit masa di Hatyai sebelum kembali ke tanah air.


Dari stesyen ini perjalanan ke selatan boleh dteruskan dengan dua cara :-

1. Naik kereta api laju ETS

2. Naik kereta api komuter.


Kereta api ETS lebih laju dan cuma membuat persinggahan di stesyen-stesyen utama. Tetapi tempat duduknya terhad lalu harus ditempah lebih awal kerana menjadi rebutan. Yang mudah bagi pengembara jalanan yang bergerak tidak ikut jadual adalah menaiki kereta api komuter. Tempat duduknya tidak terhad - kalau tak cukup boleh berdiri atau duduk atas lantai.


Dengan kereta api komuter kita boleh merentasi negeri Perlis dan Kedah.


Tidak lama kemudian kelihatan Gunung Jerai dan pekan Gurun. 

Pada saya gunung ini memiliki sejarah besar yang terkait dengan kerajaan Funan. Ini kerana Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan selepas Raja Merong Mahawangsa datang dari Rum lalu mendirikan kerajaan Langkasuka di kaki Gunung Jerai baginda mendirikan kerajaan Kedah Tua. Seorang anaknya diangkat menaiki takhta apabila baginda mahu kembali ke Rum. Pesan baginda  apabila anak itu sendiri mendapat anak hendaklah yang tua disuruh  bergerak jauh ke utara untuk membuka negeri baru.

Hikayat menyebut apabila cukup umur berhijrahlah anak tersebut ke utara dengan satu angkatan lalu membuka negeri bernama Siam Lanchang. Saya percaya yang dimaksudkan itu adalah Funan dengan pusat dalam lingkungan negara Cambodia sekarang. Adapun Lanchang itu boleh merujuk kepada Lanxang, sebuah empayar lama yang wujud tahun 1354 hingga 1707 Masihi berpusat di Laos. Namun Lanxang juga adalah panggilan orang Cina bagi Sungai Mekong dan ini masih digunakan untuk bahagian hulu sungai yang terletak di dalam negara Cina. Saya percaya nama Siam Lanchang merujuk kepada Funan berdasarkan penguasaannya ke atas lembah Sungai Mekong.


Dengan kereta api komuter kita boleh bergerak jauh hingga ke Padang Rengas di negeri Perak mendekati bandar diraja Kuala Kangsar. Tetapi kena tukar dahulu kereta api di Butterworth.


Sebaliknya kami naik kereta pula masuk ke Pulau Pinang. Seorang kawan lama saya satu kolej zaman A Levels tahun 1988-1990 (boleh rujuk Proper reunion pertama PPP/ITM A Level 7 setelah hampir 30 tahun meninggalkan kolej) mengambil untuk ke rumahnya di Queensbay.


Kami pergi kerana kawan tersebut pernah mengajak datang untuk majlis perkahwinan anaknya sekitar seminggu sebelum kami berlepas ke Cambodia 22 November 2018. Kami tidak dapat pergi kerana perlu menyimpan belanja dan tenaga untuk pengembaraan Oleh itu kami memberitahu insyaallah akan bertandang dalam perjalanan kembali melalui darat.


Beliau yang merupakan seorang profesor penuh di Universiti Sains Malaysia sejak berumur 30an membawa kami berjalan-jalan di universiti dan kawasan sekitar sebelum ke rumah.  Petang jam 4 kami dihantar ke satu stesyen bas khas dekat pusat membeli belah berdekatan.


Tanpa dipinta kawan tersebut membelikan tiket-tiket untuk perkhidmatan bas VIP hingga ke KL. Kata beliau tak perlulah kami bersusah-payah hendak memikirkan bagaimana mahu kembali ke rumah sebelum isteri masuk kerja dan saya pergi ke kelas keesokan harinya.


Dengan ini naiklah kami ke dalam bas dengan hati yang lapang.


Anak-anak pula suka sebab setiap kerusi ada televisyen kecil untuk menonton filem atau bermain game


Sampai ke rumah nanti baru dapat disemak. Adapun menurut lakaran menggunakan Google Map kami empat beranak telah meredah laluan darat sejauh 2,877 km.  Kalau dicampur jarak perjalanan dalam bandar dan tempat-tempat yang tidak dimasukkan ke dalam lakaran harus 3,000 km. Kalau campur sekali penerbangan ke Siem Reap jadi lebih 4,200 km. Rujuk artikel pengenalan Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dibuat Selasa malam Rabu 4 Disember 2018. Sekian.Tammmmmaaatttt.... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan