Salam malam Jumaat. Sudah 3 hari kita masuk tahun baru 2019. Rasanya tak salah baru kini hendak mengucapkan selamat tahun baru. Biar dipersembahkan artikel pertama untuk tahun baru...
Merujuk pada artikel Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu dan Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah hampir sebulan lalu. Adapun pada majlis yang diceritakan dalam artikel iaitu Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam di UiTM 5 Disember 2018 saya telah membeli senaskah buku atau kitab bertajuk At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Adapun kitab ini asalnya ditulis tangan oleh Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad. Beliau adalah setiausaha sulit kepada Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan ke-26 Kedah (memerintah 1882-1943).
Buku ditulis atas titah istana untuk menjadi panduan tentang sejarah Kesultanan Kedah sejak zaman bahari hingga ke zaman penulis awal abad ke-20. Naskah asal atau manuskrip tulisan Jawi dibuat setelah menerima titah istana tahun 1927. Ia kemudian dicetak dan diterbitkan dalam jumlah yang banyak oleh Jelutung Press di Pulau Pinang tahun 1928. Setelah beberapa lama naskah asal diserahkan oleh waris penulis untuk simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1968 DBP menerbitkan transliterasi tulisan rumi. Lalu pihak Jelutung Press menyusul dengan membuat ulang cetak naskah jawi, dimasukkan beberapa fakta baru berserta halaman tambahan sesuai dengan zaman.
Empat versi kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini - manuskrip asal jawi, buku bercetak jawi, buku transliterasi rumi dan ulang cetak jawi dengan tambahan - telah digunakan untuk menerbitkan versi baru tahun 2018. Itulah yang kelihatan dalam gambar paling atas. Penyelenggaranya merangkap penyunting yang membuat tranliterasi baru sambil membandingkan semua naskah awal lalu membuat saringan juga nota-nota kaki berkenaan memakai nama Dr Ibrahim Bakar Langkawi. Penerbitnya adalah Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).
Kombinasi tenaga kerja dan intelektual antara penyelenggara dengan penerbit menghasilkan versi baru yang pada saya amat menarik dan banyak maklumat serta nilai tambah. Jangkauan kekuasaan Kedah dikatakan pernah memanjang jauh ke utara sehingga masuk ke sempadan Burma/Myanmar sekarang. Negeri-negeri/wilayah/jajahan berkenaan yang kini banyak termasuk di dalam sempadan moden negara Thailand ditunjukkan dalam peta.
Hasil penemuan-penemuan terbaru yang dibuat persatuan juga penyelenggara dimasukkan sekali ke dalam buku. Lokasi kota-kota atau tapak pusat pemerintahan kerajaan Kedah dicari selagi boleh dapat lalu ditunjukkan. Adapun kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini sudah lama saya dengar ceritanya kerana dikatakan di dalamnya terhimpun sejarah panjang Kedah yang paling menepati kehendak akademik, tidak seperti satu lagi rujukan popular ramai iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mengandungi begitu banyak unsur mitos, lagenda dan dongeng yang tidak masuk akal.
Jika hikayat membuka dengan kisah burung gergasi garuda mengisytiharkan kepada Nabi Sulaiman AS mahu menghalang anak raja Rom daripada berkahwin dengan puteri maharaja Cina tanpa menyatakan apa-apa tarikh sepanjang hikayat itu, kitab At-Tarikh lebih memiliki nilai sejarah atau historicity apabila setiap peristiwa penting diberikan tarikh Hijriah. Permulaan asal mula Kedah sebagai wilayah bernama Kalaha meliputi muara empat sungai besar daripada persekitaran Sungai Petani/Seberang Prai sekarang membawa ke Setul dalam selatan Thailand diberikan tarikh 390 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu pada abad ke-2 Masihi.
Namun Kedah baru menerima seorang raja atau maharaja beberapa waktu selepas baginda Rasullah SAW lahir pada tahun bersamaan 571 Masihi, sebelum itu ia cuma ada pembesar sahaja. Diceritakan asal usul raja dari Iran dan bagaimana pemerintahan baginda membawa kepada anak cucunya. Masuk keturunan dan raja ke-9 baru memeluk Islam iaitu pada tahun yang bersamaan 1136 lalu jadilah ia negeri bernama Kedah Darul Aman.
Kembali kepada hal pembacaan At-Tarikh. Walaupun sudah lama mendengar tentang kitab saya tidak pernah menemui apalagi membaca apa-apa naskah. Yang ada cuma sedutan-sedutan terpilih dalam penulisan-penulisan lain. Maka itu memang terasa senang hati apabila dapat menemui lalu membeli versi baru tahun 2018 itu. Namun selepas hampir sebulan memilikinya baru pagi semalam jam 10 tergerak untuk mula membaca. Itulah yang membuat saya mengambil gambar yang kelihatan. Dalam artikel ini ia telah diletakkan paling atas.
Sebetulnya gambar ini mengiringi satu status update saya di Facebook. Bunyinya begini :-
DAH BIASA MULTITASKING...
Salam. Di celah proses suntingan akhir buku tentang pengembaraan solo hitchhike pusing Eropah tahun 1995 dan beberapa hal lain termasuk persediaan untuk tesis pasca-siswazah timbul gerak untuk mula menelaah buku ini pulak...
Status ditulis sebegitu rupa kerana sememangnya saya sedang kesibukan mengendalikan beberapa perkara termasuk projek buku baru. Namun bila sudah dimulakan membaca saya berusaha untuk menghadam sebanyak mungkin isi dalam masa sesuntuk mungkin. Selepas Maghrib malam semalam masuklah ke muka surat 137 (buku ada 360 muka surat kesemuanya) . Saya begitu tertarik dengan apa yang tertera pada muka surat tersebut lalu mengambil gambar untuk dikongsikan di FB. Begini teksnya :-
RAJA-RAJA DILARANG BERNIAGA
Hmm. Menarik nasihat Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani (ayahanda kepada Sheikh Abdussomad al-Falimbani) kepada anak muridnya, Sultan Muhammad Jiwa yang memerintah Kedah tahun 1710-1778. Sesungguhnya raja-raja dan kaum kerabat yang dekat dengan takhta malah para pembesar utama itu tidak patut dan dilarang berniaga. Mereka sudah ada sumber pendapatan yang cukup lumayan menurut struktur tradisional pemerintahan dan istana. Kalau masuk berniaga juga akan tunggang terbaliklah pendapatan kerajaan kerana mengganggu peluang perniagaan rakyat lainnya. Beginilah pegangan saya sejak dahulu lagi.
Maklum balas memberangsangkan menyebabkan saya menyatakan akan berkongsi 13 lagi nasihat untuk raja dan para pembesar/menteri. Saya merasakan ia sangat relevan untuk menangani keadaan sosio-politik Malaysia kini yang kelihatan begitu mengancam kepentingan-kepentingan Melayu dan Islam. Seorang pembaca menzahirkan kerisauan takut status saya itu digunakan oleh golongan anti-monarki atau republikan untuk menjatuhkan raja-raja. Saya jawab bahawa saya amat menyayangi institusi beraja kerana melihat ia sebagai jambatan untuk menerbitkan sistem khilafah berdasarkan manhaj kenabian akhir zaman. Namun yang dirisaukan adalah individu-individu terutama dalam istana yang membawa rosak kepada nama raja-raja itu sendiri. Ini harus ditangani kalau betul-betul mahu Melayu dan Islam cemerlang.
Untuk menyatakan keprihatinan tersebut saya pun menambah perenggan berikut pada status :-
Nota tambahan : Harus ditegaskan ini semua adalah nasihat buat raja, bukan mahu menentang apa lagi menjatuhkan atau menghapuskan raja-raja Kalau tidak mahu dengar harus ada proses untuk memakzulkan seorang raja lalu digantikan dengan kerabat yang lebih afdhal lagi alim dan bertanggungjawab demi kemaslahatan ummah.
Harapan saya agar perkara ini diambil serius. Kalau tidak ditakuti institusi beraja akan jatuh dan negara semakin tonggang langgang.
Adapun saya memberitahu akan berkongsikan 13 perkara nasihat yang dibuat oleh Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani terhadap Sultan Muhammad Jiwa. Lihatlah pada tiga gambar atas. Buka pada saiz asal. Diceritakan kenapa boleh timbul nasihat akibat sultan bercadang untuk berniaga. Lalu Sheikh Abdul Jalil memberikan sebab musabab kenapa ia tidak patut dilakukan oleh raja-raja juga para pembesar/menteri. Ditambahlah 13 perkara yang pada saya memang harus diaplikasikan terhadap Malaysia kini...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan