Salam semua. Artikel ini sepatutnya dibuat dan disiarkan petang semalam. Tetapi berlaku kilat tunggal kuat yang menyebabkan splitter (alat yang memisahkan signal talian telefon untuk satu masuk ke telefon, satu ke modem Internet) meletop dan modem rosak. Nasib baik tadi datang orang TM memperbaiki. Kalau tidak kemungkinan besar saya cuma akan membuat cerita selepas hari Ahad.
Adapun sudah menjadi kebiasaan saya keluar beriktikaf bermalam dari masjid ke masjid pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Biasanya ini dilakukan selama 3 hingga 5 hari secara berterusan. Tahun ini saya bercadang untuk keluar petang Jumaat sehingga pagi Isnin hadapan. Tetapi bapa saya menelefon baru ini memberitahu bahawa ibu ada temu janji di Hospital Universiti, Kuala Lumpur pada Isnin tersebut 11 Jun sedangkan mereka tiada kenderaan untuk sampai akibat kereta rosak.
Saya pun menawarkan diri untuk kembali ke kampung petang Sabtu bagi mengambil mereka di Muar. Lewat Ahad bawa mereka ke rumah saya di Rawang, Selangor, Isnin boleh pergi ke hospital. Lewat Rabu nanti baru membawa mereka kembali ke Muar sambil saya, isteri dan anak-anak juga bercuti di kampung untuk sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka jatuh pada Jumaat akan datang (bukan esok) 15 Jun.
Memikirkan juga saya harus menengokkan anak-anak - pada hari biasa saya yang menghantar dan mengambil mereka ke sekolah kerana isteri bekerja tetap di pejabat, saya bekerja sendiri dari rumah, pada hari cuti sekolah mereka bersama saya di rumah - saya pun mengubah rancangan. Untuk 10 hari terakhir Ramadhan tahun ini saya tuju terus malam-malam ganjil. Setiap petang hari genap saya keluar untuk beriktikaf kerana malamnya iaitu bermula Maghrib masuk tarikh ganjil. Esoknya balik rumah supaya boleh menguruskan anak-anak. Lusa keluar balik. Begitulah keadaannya sehingga 29 Ramadhan...
Saya mahu beriktikaf dan bermalam di masjid setiap malam ganjil lalu mengatur jadual seperti yang kelihatan. Setiap malam ganjil saya akan ke masjid berlainan - 21 di Tanjung Malim, 23 di Pangsun, Hulu Langat, 25 di Muar, 27 di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bahru, 29 insyaallah di Pagoh. Yang jauh di Muar dan Pagoh itu mengambil kira saya akan berada di Muar sekitar waktu tersebut. Yang lain tu tidak terlalu jauh dari rumah saya di Rawang lalu boleh berkejar kembali ke rumah selepas sahur untuk menguruskan anak-anak.
Isnin 4 Jun hari ini masuklah 20 Ramadhan. Malam nanti masuk 21 Ramadhan. Petang itu selepas menghantar seorang anak ke sekolah agama saya pun memulakan perjalanan ke Tanjung Malim ikut jalan lama...
Oh, nasib baik anak tiri saya yang baru habis SPM hujung tahun lepas berada di rumah. Dengan itu dia boleh menjaga anak bongsu yang berumur 6 tahun. Kalau tiada orang saya harus menghantar ke pejabat isteri di Rawang terlebih dahulu. Abangnya di sekolah agama isteri boleh ambil selepas waktu pejabat...
Singgah di Kuala Kubu Bahru untuk satu urusan.
Sampai di Kerling ziarah makam pahlawan Melayu terkenal abad ke-19 Masihi iaitu Sayid Mashahor...
Layan selfie sat. Siap buat status update berikut di Facebook :-
Keluar rumah untuk beriktikaf malam 21 Ramadhan di Tanjung Malim. Ikut jalan lama singgah di Kuala Kubu Baru untuk urusan Tabung Haji. Sampai ke Kerling singgah di makam pahlawan Melayu terkenal abad ke-19 iaitu Syed Mashahor.
Agak lama juga saya duduk di makam. Terasa begitu tenang dan nyaman...
Ke hadapan sedikit selepas meninggalkan makam terlihat papan tanda menunjukkan arah ke Kampung Air Panas. Tergerak nak lihat apa yang ada. Ternyata memang ada kolam air panas...
Menariknya kolam air panas itu terletak di tepi sungai yang cukup lebar untuk bermandi manda. Cuma saya terlupa hendak membawa pakaian mandi. Maka layan aje le mandi kolam dan sungai pakai seluar dan baju sedia ada. Lihat artikel Kerling hot water spring di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Perjalanan disambung sekitar jam 6.30 petang. Selepas singgah di Kalumpang masuk ke jejantas yang kelihatan di mana ia merentang Lebuh Raya PLUS sebelum susur keluar ke Tanjung Malim.
Saya meneruskan perjalanan melalui jalan lama untuk singgah di Masjid Sheikh Ismail sekitar 200-300 meter sebelum jambatan masuk ke bandar Tanjung Malim.
Iktikaf sebentar mengikuti tahlil kemudian berbuka diikuti solat Maghrib berjemaah.
Selepas solat singgah di Sarang Art Hub untuk bertemu pemiliknya, sutradara filem terkenal, saudara Mamat Khalid.
Masuk waktu Isyak baru bergegas ke Masjid Jamek Tanjung Malim di mana saya akan bermalam. Menariknya selepas solat sunat Tarawih 20 rakaat tidak ada witir, Rupar-rupanya nak simpan untuk sesi qiamulail jam 3 pagi.
Ini pula keadaan ketika qiamulail. Selepas solat sunat Tahajud 8 rakaat baru dibuat Witir 3 rakaat. Selepas itu tahlil kemudian kami bersahur...
Selepas Subuh baru saya meninggalkan masjid. Kalau ikut rancangan asal selepas sahur harus kembali ke rumah. Tetapi malam sebelumnya isteri sempat memberitahu bahawa anak tiri saya yang merupakan anak isteri dengan suami terdahulu tidak jadi kembali ke rumah ayahnya malam itu. Dengan itu bolehlah dia menengokkan adik-adik. Isteri boleh hantar ke sekolah kemudian van ambil balik ke rumah juga hantar ke sekolah agama. Tak perlulah saya terkejar-kejar untuk menguruskan mereka...
Dengan itu bolehlah menyelesaikan satu lagi urusan. Cuma harus tunggu Bank Rakyat dan Tabung Haji buka, kebetulan kedua-duanya terletak berdekatan satu sama lain di Tanjung Malim. Sementara menunggu itu saya berjalan-jalan ke Proton City lalu singgah di masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Mursyidin, Proton City, Tanjung Malim di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selesai urusan saya pun menuju masuk ke pusat bandar Tanjung Malim. Jalan-jalanlah sebentar di sana sebelum kembali ke rumah, sampai sekitar waktu Zohor gitu. Petang ini Khamis 7 Jun iaitu selepas menghantar anak ke sekolah agama dan anak bongsu ke pejabat isteri saya akan menuju ke Hulu Langat untuk iktikaf malam 23 Ramadhan yang kebetulan jatuh pada malam Jumaat. Memandangkan lokasinya agak jauh iaitu hampir 80 km dari rumah saya memberitahu kepada isteri eloklah anak-anak diletakkan di rumah pengasuh selepas balik sekolah. Biar van ambil dan hantar. Takut saya tak sempat menguruskan.
Terus isteri cakap kalau begitu sambung aje le terus beriktikaf. Memandangkan hari Sabtu pun saya akan keluar rumah untuk mengambil ibu bapa ke Muar sedangkan Hulu Langat terletak hampir satu jalur perjalanan ke selatan tak perlu le susah-susah berulang alik. Terus sambung iktikaf malam 24 di mana-mana menghala ke Muar.
Dengan itu dapatlah saya kembali kepada kebiasaan membuat iktikaf 3-5 hari berturut-turut pada 10 hari terakhir Ramadhan. Keluar petang ini, malam 23 di Hulu Langat, esoknya Jumaat sambung perjalanan, mungkin iktikaf di Masjid Besi, Putrajaya. Sabtu bergerak ke Muar, malam 25 boleh iktikaf di Masjid Jamek Muar. Esoknya Ahad balik ke Rawang. Kan dapat 3 malam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan