Merujuk kepada artikel Program iktikaf 10 Ramadhan terakhir tahun 2018 - Daripada 21 menuju ke 23 Ramadhan dan kemudian yang dipersembahkan Khamis 7 Jun lalu. Ada disebut pada penghujung artikel tersebut bahawa petang itu juga saya akan keluar untuk iktikaf malam 23 hingga 25 Ramadhan. Ini ceritanya...
Petang Khamis 7 Jun 2018 bergeraklah saya menghala ke selatan Lembah Klang untuk sesi iktikaf seterusnya.
Selepas satu urusan di Cheras masuklah ke Hulu Langat. Ternampak papan tanda ke sebuah kolam air panas saya pi singgah mandi sat.
Sekitar jam 6.56 sampailah ke masjid pekan Batu 14.
Beriktikaflah buat suatu masa. Cuma apabila disedari dah dekat jam 9.30 malam belum dimulakan solat Tarawikh malah mahu diberikan lagi ruang 20 minit untuk seorang penceramah bercakap saya pun keluar menuju ke arah lebih pendalaman.
Sampai ke masjid pertama dapat dilihat ke kiri jalan baru saya masuk lalu ikut Tarawikh berjemaah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) al-Muttaqin, Batu 16.5 Hulu Langat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selepas Tarawikh 20 rakaat diikuti Witir 3 rakaat, saya lepak makan di pekan Batu 18. Lewat malam itu yang merupakan malam Jumaat 23 Ramadhan baru bergerak ke destinasi utama masa itu...
Ia adalah masjid paling hujung dan paling pendalaman di Hulu Langat. Gambar diambil ketika sesi Qiamulail berjemaah dimulakan jam 3.30 pagi. Di sini diadakan 2 rakaat Tahajud diikuti 2 rakaat solat Taubat, 4 rakaat solat Tasbih, 2 rakaat solat Hajat dan 3 rakaat solat Witir.
Ini adalah pemandangan sungai sebelah masjid pada pagi Jumaat 8 Jun 2018. Di sungai ini saya pernah mandi dalam keadaan badan banyak bercalar terluka selepas 19 jam sesat dalam hutan.
Kesesatan berlaku selepas memanjat Gunung Nuang, gunung tertinggi di Selangor seorang diri dalam musim hujan dari arah Janda Baik di Pahang. Saya memulakan pendakian sekitar jam 9 pagi dan sampai ke puncak sekitar 6 petang dengan niat mahu bermalam di sana walaupun tidak membawa khemah atau apa-apa alatan berkenaan. Tetapi saya tidak dapat bertahan di puncak akibat kesejukan lalu memulakan penurunan ke arah Hulu Langat. Kesesatan berlaku apabila hilang jejak denai dalam kegelapan malam yang begitu pekat. Ceritanya ada dikongsikan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti"(terbit Jun 2006). Lihat artikel lama Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan,..
Adapun saya beriktikaf malam 23 Ramadhan itu dalam keadaan bersedia untuk berseorangan sampai Subuh kerana kedudukan terpencil masjid. Tengok-tengok ada sekolah tahfiz di sebelah lalu sekitar 30 orang pelajar muncul untuk Qiamulail. Baru saya tahu tahfiz tersebut didirikan 3 tahun lalu. Keadaan sekeliling pun kelihatan lebih meriah tidak seperti saya ingat ketika kali terakhir sampai tahun 2010 (kali pertama saya sampai adalah selepas sesat di Gunung Nuang sekitar tahun 2003). Lihat Rupa baru Masjid Kuala Pangsun (New look of mosque of Kuala Pangsun).
Selepas beberapa lama di masjid baru saya bergerak untuk melihat persekitaran yang merupakan kaki Gunung Nuang. Sesungguhnya persekitaran Hulu Langat ini sampai ke Batu 18 (Pangsun terletak paling hujung di Batu 22.5 Hulu Langat) sangat cantik dan ada banyak tempat perkelahan. Selepas itu masih lagi cantik tetapi sudah bercampur aduk dengan kemodenan lalu suasana hutan, kampung dan desa sudah kekurangan. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH...
Dari Hulu Langat saya bergerak ke Putrajaya. Singgah solat Jumaat di masjid ini sekitar separuh perjalanan. Lihat Masjid baru (New mosque of) Sungai Ramal, Kajang.
Sampai ke Putrajaya pusing-pusing sat sebelum ke Masjid Putra jam 3
Di sini saya beriktikaf sehingga waktu berbuka dan solat Maghrib.
Untuk Isyak saya bergegas ke destinasi utama hari itu iaitu Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan.
Di sini pun solat Tarawikh berjemaah 20 rakaat diikuti Witir 3 rakaat.
Tengok-tengok boleh tahan ramai yang beriktikaf dan bermalam 24 Ramadhan di Masjid Besi. Qiamulalial bermula jam 4. Solat Tahajud 6 rakaat dan Taubat 2 rakaat diselang-selikan Taranum dan bait-bait indah.
Masuk waktu Dhuha keesokan harinya Sabtu 9 Jun saya beralih ke Masjid Raja Haji di Cyberjaya.
Beriktikaf di sana sampai selesai solat Zohor. Selepas itu saya ke Putrajaya lagi untuk menghadiri satu mesyuarat melibatkan wakil-wakil beberapa keluarga bangsawan Perak..
Ikut rancangan yang dinyatakan dalam artikel Program iktikaf 10 Ramadhan terakhir tahun 2018 - Daripada 21 menuju ke 23 Ramadhan dan kemudian tempat iktikaf seterusnya adalah di Masjid Jamek Muar. Ini mengambil kesempatan saya mahu balik kampung untuk membawa ibu dan ayah ke Kuala Lumpur bagi satu urusan. Tetapi ayah kemudian memberitahu saya tidak perlu kembali kerana adik saya yang menetap di Melaka bersedia untuk mengambil mereka bagi urusan di KL. Itu yang tukar rancangan menuju ke Shah Alam lalu singgah di masjid besar.
Di sini saya berbuka dan bersolat Maghrib.
Tetapi Isyak dan Tarawikh di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.
Oleh kerana dah tak perlu balik ke Muar kecuali untuk hari raya saya mengambil laluan yang semakin mendekati rumah di Sungai Buaya, Rawang. Lewat malam bergerak ke Kuang lalu singgah untuk iktikaf di masjid ini.
Menariknya ada ramai kanak-kanak berdekatan turut menginap di masjid tersebut malam 25 Ramadhan. Seperti di Masjid Besi, di sini juga Qiamulail bermula jam 4 pagi. Dibuat solat Tahajud 2 rakaat diikuti solat Taubat 2 rakaat dan Tasbih 4 rakaat. Cukuplah cerita ya. Selepas ini saya harus bersiap untuk iktikaf malam ini pula. Selepas berbuka puasa bersama anak-anak dan isteri insyaallah saya akan bertolak ke Masjid Ampang Pecah di Kuala Kubu Baru untuk bermalam dan beramal 27 Ramadhan, satu tarikh di mana saya akan masuk umur 49 tahun menurut kiraan Hijriah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan