Salam. Perkongsian daripada aktiviti hujung minggu baru ini....
Dalam tempoh 2-3 minggu kebelakangan saya diberitahu tentang syarahan yang kelihatan pada poster.
Pagi semalam saya pun membawa isteri dan anak-anak ke lokasi syarahan di Sungai Penchala...
Cuma kami sampai lewat iaitu satu setengah jam selepas acara dijadualkan bermula jam 9 pagi.
Pun begitu saya rasa dapat mengikuti syarahan dengan baik.
Menariknya, pensyarah iaitu seorang ulamak terkenal dari Indonesia, Sheikh Rohimuddin Banten telah menyusun perkara dengan begitu teratur dan jelas.
Menggunakan slaid beliau memberikan ringkasan perkara demi perkara lalu memanjangkan penerangan dengan lisan.
Ketika kami sampai itu beliau sedangkan memanjangkan tentang apa itu Wali Mursyid iaitu golongan wali yang diberikan tanggungjawab menyampaikan ilmu sambil mengajar dan mengajak orang ramai mendekati Allah SWT berbanding Wali Majzub yang biasanya diangkat tanpa usaha diri sendiri oleh Allah SWT agar mendekati dan mengenaliNya tetapi tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu.
Disebut juga apa itu Fana', apa itu Baqa', dua istilah popular tentang keadaan seorang Salik iaitu mereka dalam perjalanan mendekati Allah SWT. Diterangkan bahawa Fana' itu bukan semata-mata 'menghilangkan' diri atau mengosongkan fikiran belaka. Ia sebenarnya adalah kesedaran bahawa kita tidak punya apa-apa,, kita tidak punya wujud sebenarnya kecuali ibarat bayang-bayang yang timbul akibat cahaya dipancarkan kepada sesuatu...
Diterangkan dengan baik banyak perkara yang harus ada pada seorang Wali atau mereka yang berada di dalam Wilayah Allah SWT menurut kitab-kitab para ulamak yang memahami perkara.
Disebut juga tentang pembahagian para Wali menurut fungsi-fungsi tertentu...
Maka dipanjangkan bahawa untuk seorang Wali Mursyid WAJIB memiliki empat perkara :-
1. Alim - Berilmu
2. Arif - Mengenali Allah SWT
3. Khabir - Pakar dalam mendidik kerana sendiri sudah merasai pengalaman dan perjalanan dalam mendekati Allah SWT
4. Ma'dzun - Mendapat izin untuk mengajar/mendidik/menyampaikan daripada ulamak yang bersambung wasilah keilmuannya sampai ke Rasulullah SAW.
Paling penting adalah peranan para Wali dalam membentuk keperibadian ummat. Dalam konteks ini setiap guru mursyid yang memimpin suatu tariqah/kaedah jalan menuju Allah SWT haruslah seorang Wali Mursyid.
Maka disebutlah bagaimana seorang Mursyid itu boleh mendidik anak-anak muridnya zahir dan batin...
Dikongsikan beberapa ayat Al-Quran yang menjadi dalil peranan para wali...
Akhir sekali disebut pembahagian para wali menurut tingkatan fungsi dan pangkat seperti disebut sejumlah ulamak sufi terutama Sheikh Ibnul Arabi...
Masuk sesi soal jawab ada penerangan diberikan dengan melukis contoh pada papan putih...
a
Secara rata ia adalah syarahan penuh isi dan amat bermanfaat daripada seorang sheikh yang bukan sahaja faham falsafah ilmu sufi dan kewalian tetapi harus sendiri sudah mengalami beberapa perkara berkenaan yang boleh mencarik adat apabila kita betul-betul terjun sepenuh hati ke dalam dunia Tasawuf. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan