Rabu, April 25, 2018

Syarahan "Muslim and the West" oleh John Esposito di ISTAC

OK. Saya baru balik daripada Muar ni selepas menghantar ibu bapa kembali ke kampung petang semalam. Adapun jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari sebelum itu saya ada menghadiri satu majlis ilmu di ISTAC iaitu di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Biarlah poster bawah memberikan gambaran tentang tajuk dan pembentang.









Difahamkan Esposito dianggap ramai sebagai seorang pemikir besar peringkat antarabangsa dalam bidang sosio dan geo-politik dunia. Saya pernah mendengar namanya disebut-sebut tetapi tidak pernah mahu mengambil tahu.


Kali ini disebabkan beliau bersyarah di ISTAC, satu institusi yang mana saya bercadang untuk menyambung pelajaran nanti (jika tiada halangan), biarlah didengar apa yang hendak diperkatakan ...


Masuk ke Main Hall atau Dewan Utama ISTAC sudah ramai menunggu untuk mendengar syarahan.


Gambar ini diambil selepas saya keluar sebentar. Ketika saya mula masuk jam 11 Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap penasihat ISTAC, Prof Dato' Sri Dr Zaleha Kamaruddin sedang memberikan ucapan. Selepas itu naik Duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci memberikan pengenalan panjang lebar tentang Esposito. Beliaulah yang kelihatan bertudung putih dalam gambar...


Naik Esposito ke pentas beliau membuka dengan menceritakan pernah sampai ke Malaysia tahun 70an lalu sempat meninjau kampus awal UIAM atau UIA. Kemudian beliau bercerita bahawa pada tahun 60an dan 70an rakyat Amerika Syarikat secara rata tidak mengenal apa itu Islam. Mereka mula mengambil tahu apabila berlakunya peristiwa berkaitan seperti rampasan kuasa di Iran oleh Ayatollah Khomeini menjatuhkan Shah Iran.


Beliau seterusnya menyebut nama-nama seperti Anwar Sadat yang pernah menjadi presiden Mesir tahun 1970 hingga 1981 juga Hosni Mubarak yang memegang jawattan tersebut 1981 sehingga 2011. Saya mula merasa musykil. Tadi Duta Turki telah memperkenalkan Esposito sebagai seorang pemikir besar yang simpati kepada dunia Islam sehingga telah menulis lebih 50 buah buku tentang Islam dan dunia Barat. Tetapi saya lihat beliau seperti cenderung meremehkan banyak kerajaan Islam sebagai bermasalah akibat pemerintahan diktator.


Walaupun cuba sedaya upaya untuk berlapang dada saya lihat apa yang disampaikan beliau tidak lebih daripada Western Narrative atau naratif berat sebelah Barat yang biasa didengar daripada stesyen berita Barat seperti CNN atau akhbar sana seperti Washington Post. Beliau dengan jelas mengangkat konsep plurisma beragama sebagai asas untuk semua bangsa dapat maju hidup sama aman damai.


Masuk sesi soal jawab beberapa orang bangkit termasuk saya untuk mengemukakan soalan. Saya bertanya apakah pendapat beliau tentang kepercayaan sesetengah orang bahawa Perang Dunia Pertama dirancang untuk menjatuhkan Empayar Islam Turki Uthmaniah, Perang Dunia Kedua untuk menerbitkan negara Israel, Perang Dunia Ketiga (belum berlaku secara jelas tapi dah banyak bunga-bunga) dirancang untuk menerbitkan One World Governnment atau satu kerajaan sedunia yang berpusat di Israel? Jawaban yang diberikan beliau seperti mengelak daripada berterus terang. Beliau menjawab bahawa walaupun benar ada faktor luar boleh mempengaruhi keadaan suatu kerajaan tetapi faktor dalamanlah yang sebenarnya membawa kepada segala macam masalah dan perpecahan.


Sebetulnya saya mahu melihat jika beliau mahu mengakui akan kewujudan faktor-faktor gangguan atau provokatif seperti campur tangan asing melalui badan perisikian seperti CIA dan sebagainya dalam merosakkan kestabilan sebuah negara Islam untuk mencapai suatu hajat dan kepentingan. Tetapi jelas Esposito menolak atau mengelak daripada mengatakan apa-apa tentang itu. Seolah-olah segala masalah yang wujud dalam dunia Islam disebabkan oleh pemerintahan yang bersifat diktator semata, tidak berpegang betul-betul kepada demokrasi acuan Barat. Masalah yang melanda umat Islam pula disebabkan mereka tidak bersifat terbuka, terlalu jumud dan ekstrim dalam mengamalkan agama.

Dengan itu biar dinyatakan saya rasa sesi makan tengah hari di bahagian lain ISTAC selepas itu adalah lebih bermanfaat buat saya berbanding mendengar syarahan Esposito. Cuma sekurang-kurangnya saya dah dengar dan dapat melihat orang bagaimanakah beliau. Maka orang lain tak boleh kata saya membuat penilaian tanpa mendengar pun apakah yang disampaikan, bagaimanakah cara pemikiran Esposito sebagai satu nama besar. Mungkin beliau boleh dianggap sebagai seorang pemikir agung menurut neraca akademik Barat. Tetapi tidak bagi orang seperti saya yang suka melihat banyak perkara daripada neraca di luar kepentingan nafsu amarah manusia biasa yang senang diperkotak-katikkan bisikan syaitan sama ada tersembunyi mahupun nyata. Cukup.


4 ulasan:

  1. Assalam tuan.nama saya amir dari skudai.saya ada membaca berkaitan pusara si bongkok.saya ingin menziarahi pusara si bongkok.adakah tuan mempunyai nombor telefon jurupandu arah yang boleh membawa saya ke pusara si bongkok?

    BalasPadam
  2. Wassalam. Maaf saya takda nombor telefon. Saudara boleh pergi ke Tanjung Belungkor, cari kedai makan di jalan paling hujung bertemu sungai. Tanya orang kat sana. Insyaallah ada yang boleh memandu ke makam...

    BalasPadam
  3. Ingin bertanya tentang istac. Apakah istac hari ini sama dengan saat di bawah bimbingan Alatas?

    BalasPadam
  4. Ingin bertanya, apakah istac hari ini sama dengan istac dimasa Alatas?

    BalasPadam