Rabu, April 11, 2018

Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat

Salam semua. Saya mahu mempercepatkan proses pengeluaran/perkongsian cerita-cerita perjalanan saya dan keluarga ke Patani 19-25 Mac supaya sistem saya 'clear' untuk acara tertentu hujung minggu ini. Maka terus kita kepada hari ke-6 perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak Wasilah Patani - Wilayah Jambu, Tanjung Budi dan tanah besar yang menghadapnya.


Pagi Sabtu 24 Mac 2018 kami sekeluarga keluar hotel untuk mencari sarapan.



Sabtu sebelumnya saya ajak keluar berjalan kaki cari sarapan mereka komplen penat. Kali ini biarlah relaks, lebih santai...


Kembali ke hotel saya melayan anak-anak mandi kolam renang sambil saya sendiri mula membaca buku yang kelihatan. Buku atau lebih tepat salinan buku sudah lama dimiliki dan pernah dibaca sampai habis sekali. Saya bawa dalam perjalanan ke Patani sebagai rujukan dan untuk mengulangkaji. Dah berapa hari kat sini baru betul-betul nak belek.


Sudah 5 malam 4 hari kami berada di Patani. Campur hari perjalanan dimulakan Isnin 19 Mac di mana kami bermalam di sebuah masjid atau surau lama di Langgar, Kedah sudah masuk 6 hari kami keluar mengembara. Rujuk balik artikel-artikel berikut :-





Isnin nanti isteri kena masuk bekerja dan anak-anak sekolah. Untuk kembali saya perlu memandu lebih 600 km. Eloklah mula mengorak langkah.Masuk jam 12 tengah hari kami check-out lalu meninggalkan hotel.


Tetapi kami harus berada di Patani lagi buat sejam dua.



Kami mahu menghadiri satu majlis budaya yang dipanggil Kerissana 2018 di sebuah hotel terkemuka di pinggir barat bandar Patani.


Ramai kawan-kawan aktivis busana dan persilatan kami dari Malaysia turut serta dalam acara anjuran orang Melayu tempatan ini.


Dah kebetulan kami berada di Patani dan tidak pernah pergi pun ke edisi-edisi acara sebelum ini, eloklah singgah sebentar. Kalau tidak kerana itu harus kami sudah mengorak langkah kembali ke Malaysia petang Jumaat lagi. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-






Isteri dan anak-anak bergambar bersama beberapa orang model yang menggayakan beberapa cara atau style busana tradisional Melayu. Ramai juga yang cun-cun. Boleh bulau biji mata wooo...


Memang sepanjang berada di Patani saya terlihat ramai wanita dan anak gadis cantik. Yang muka biasa-biasa pun kelihatan molek disebabkan kulit halus putih mulus. Kata isteri sebab makan beras  pulut agaknya. Nasib baik le saya dah banyak berubah. Kalau tidak boleh 'melilau' saya ke sana ke mari disebabkan godaan nafsu. Apapun, jam 3 kami mula meninggalkan Patani. Kami masuk kawasan bandar dahulu untuk melihatnya puas-puas sebelum keluar. Lihat artikel  Last look at Patani town from end to end di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Sasaran seterus kami sebelum kembali ke Malaysia adalah ziarah ke makam seorang ulamak besar Patani bernama Wan Hussein Senawi. Untuk itu kami singgah dahulu ke pekan Bachok (dalam peta rasmi sebut Ba Cho ikut sebutan lidah Thai) 70 km ke tenggara Patani untuk berjumpa dengan kenalan kami Nik Rakib. Beliau adalah pensyarah yang membawa saya untuk bersyarah di universitinya pagi Rabu. Rujuk Jejak Wasilah Patani - Bersyarah di Prince of Songkla University sebelum menjejak makam-makam bersejarah di sekitar wilayah.. Kebetulan Nik Rakib sedang berehat di kampungnya di Bachok lalu kami berjumpa dengan beliau di sana. Beliau pun mengajak kami meninjau satu kawasan pendalaman. Lihat Looking at the resort at Pa Cho waterfall.


Selepas itu baru kami ikut jalan pendalaman pergi ke makam. Untuk makluman Nik Rakib adalah salah seorang anak cucu Wan Hussein. Lihat artikel Makam (Tomb of) Wan Hussein Senawi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Makam itu rupa-rupanya agak dekat dengan masjid lama yang diasaskan oleh ulamak tersebut. Dahulu, dalam perjalanan jauh Thailand penghujung tahun lepas kami singgah masjid tetapi tidak ke makam kerana tidak tahu kedudukan. Rujuk artikel berkenaan Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani.


Isteri bergambar di pintu masjid sebelum masuk ke dalam...


Sementara itu anak-anak kami bermain air bersama anak Nik Rakib di sungai (ke tali air?) bersebelahan...


Dalam perjalanan pertama saya ke Patani lebih setahun lalu saya ada singgah di satu muzium persendirian. Saya tak pasti kedudukannya, cuma tahu ia terletak kira-kira setengah perjalanan dari Sungai Golok ke Patani. Ketika itu saya sampai waktu malam bersama satu rombongan tanpa membawa keluarga. Isteri saya tertarik untuk singgah apabila mendengar cerita. Rujuk artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka : Air terjun Gunung Stong dan faktor 313 sebelum masuk ke selatan Thailand.


Saya pun bertanya kepada Nik Rakib tentang muzium tersebut. Beliau terus tahu lalu menyatakan ia terletak dalam perjalanan ke Narathiwat, pada laluan seterusnya yang mahu kami gunakan untuk kembali ke Malaysia. Nik Rakib malah menghubungi terus pemilik muzium. Kebetulan pemilik dalam perjalanan kembali dari majlis Kerissana di Patani dan baru hendak sampai ke pekan Bachok. Kami pun bertemu di pekan. Terus dibawa ke muzium yang terletak 10 km ke barat bandar Narathiwat. Lihat Muzium Khun Laharn pada siang hari (Khun Laharn museum during daytime), Kampung Gadeng, Narathiwat.


Tidak jauh dari muzium kelihatan masjid ini lalu saya pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Gadeng, Narathiwat.


Lewat petang baru kami menuju ke bandar Narathiwat lalu sampai waktu senja. Lihat First look at the town of Narathiwat.
.


Semasa di muzium pemiliknya ada memberitahu bahawa di bandar Narathiwat ada satu tinggalan sejarah iaitu istana  Raja Legeh. Ini merujuk kepada raja negeri Legeh yang pernah mengandungi wilayah Narathiwat sekarang dan sebahagian daripada Kelantan. Lihat Istana (Palace of) Raja Legeh, Narathiwat. Sempat pula melihat masjid utama bandar pada waktu malamnya. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Narathiwat. Untuk pengetahuan pekan Bachok 70 km ke tenggara Patani sampai ke sempadan Malaysia di Kelantan termasuk di dalam wilayah Narathiwat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan