Khamis, April 12, 2018

Jejak Wasilah Patani - Dugaan kembali ke Malaysia melalui Takbai

Setelah beberapa lama memulakan perkongsian sampailah masanya untuk menutup terus siri cerita tentang perjalanan  saya dan keluarga ke Patani 19-25 Mac. Masuk  hari ke-7 dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat.



Pagi Sabtu 25 Mac 2018. Kami anak beranak menikmati suasana satu bangunan yang mengandungi banyak ukiran kayu...





Memang saya dan isteri peminat ukiran kayu. Seronok kami dapat menginap di tempat sebegini.





Dapat sekali melihat orang membuat demonstrasi ukiran secara live...





Untuk pengetahuan kami telah bermalam di muzium peribadi Khun Laharn. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat.


Bersama pemilik tempat, saudara Nik Rasmin, anak jati kawasan ini. Saya telah menghadiahkan kepadanya satu set buku-buku terbaru saya...



Jam 9.30 kami meninggalkan muzium untuk meneruskan perjalanan.


Masuk sekali lagi ke bandar Narathiwat, 10 km ke timur muzium untuk melihat pemandangan waktu siang. Dapat mengulangi lawatan ke tempat-tempat yang dijejaki malam sebelumnya juga tempat-tempat baru. Lihat artikel-artikel berikut yang telah dikongsikan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-











Ini pula di satu kawasan perairan di Takbai sekitar 30 km ke tenggara bandar Narathiwat. Lihat Going around Takbai.


Kami telah berjalan-jalan pusing kawasan termasuk ke balai polis di mana dikatakan berlakunya peristiwa berdarah Takbai 24 Oktober 2004. Ia telah menyaksikan 78 orang penduduk Islam kehilangan nyawa semasa dalam tahanan tentera Thailand, pada bulan Ramadan. Hal ini kemudian mencetuskan satu siri keganasan yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa di selatan Thailand. Sila cari dan Google sendiri maklumat lanjut...





Kami ke Takbai atau nama Melayunya Tabal kerana daripada situlah kami akan masuk kembali ke Malaysia.


Sebelum masuk ke kompleks kastam dan imigresyen kami sempat melawat beberapa masjid tempatan dan melihat pemandangan sekitar. Lihat artikel-artikel berikut :-





Masjid jamek (Main mosque of) Tabal Hulu



Kali ini saya memastikan borang kastam untuk membawa kereta sendiri masuk ke dalam negara Thailand diserahkan kembali kepada kastam, ditandatangani rekod berkenaan dan saya ambil sekali gambar sebagai bukti. Tak naklah berulang peristiwa yang berlaku ketika kami masuk ke negara ini beberapa hari sebelum itu. Rujuk balik artikel Jejak Wasilah Patani - Dugaan denda 10,000 Baht yang mengubah sedikit rancangan.


Selepas kastam terus kelihatan tempat menaiki feri untuk menyeberangi Sungai Golok ke Malaysia.


Hal ini boleh membuat kita terlupa paspot belum cop lagi. Kena letak kereta, kemudian semua masuk ke dalam bangunan imigresyen bersebelahan untuk pengesahan. Kena pastikan serah lagi satu borang kebenaran bawa kereta sendiri tetapi untuk imigresyen. Kita yang kena ingat sendiri semua perkara ini. Kalau tidak boleh jadi naya nanti...





Selesai urusan imigresyen kami lihat sudah ada feri menunggu di jeti. Tetapi pemandu pula entah pergi ke mana. Berbaris le kereta menunggu. Nasib baik le ada gerai jual minuman dan makanan di tepi.


Setelah lebih sejam menunggu baru dapat bawa masuk kereta ke dalam feri...


Seronok juga kembali ke Malaysia melalui feri dengan Takbai. Tapi kata isteri cukuplah sekali ini. Dengan jadual feri tak boleh diharapkan, pemandu boleh suka-suka hati ambil waktu rehat lebih keluar makan, entah tidur lepas tu ke hapa, patutlah ramai orang keluar masuk Thailand lalu Rantau Panjang/Golok  berbanding laluan Takbai yang pintu masuknya di Malaysia adalah pekan Pengkalan Kubor. Apapun lihat artikel Crossing Golok river by ferry from Takbai. Ia adalah artikel ke 1,888 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dekat jam 3 petang baru kami secara rasminya kembali ke Malaysia.


Masih ada lebih 500 km perjalanan perlu ditempoh sebelum sampai ke rumah. Sedangkan esoknya pagi Isnin isteri harus masuk bekerja dan anak-anak bersekolah.


Disebabkan kesuntukan masa akibat lebih sejam menunggu feri (dalam satu setengah jam sebenarnya) kami tidak jadi singgah malah lalu pun tidak ke Kota Bahru seperti dirancang sebelum itu. Kami ikut jalan belakang terus ke Tanah Merah kerana isteri ada urusan dengan seorang kawan lama.


Kami juga mengambil keputusan menggunakan laluan Jeli-Gerik-Kuala Kangsar sebelum mengambil Lebuh Raya PLUS sampai ke rumah. Kami sampai ke Gunung Reng selepas Jeli pun dah dekat jam 7.30 malam.


Dipendekkan cerita dekat jam 2 pagi baru sampai rumah. Meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 1,537 km dalam perjalanan ini. Kalau campur perjalanan naik kereta kenalan pergi menziarahi beberapa lokasi sejarah di sekitar Patani (rujuk balik artikel Jejak Wasilah Patani - Bersyarah di Prince of Songkla University sebelum menjejak makam-makam bersejarah di sekitar wilayah) kami sudah mengembara sejauh 1,600 km dalam tempoh 7 hari 7 malam. Sekian. Tamat dan selesailah siri perjalanan ini.



2 ulasan:

  1. Tahniah nro Radzie .. perkongsian cerita perjalanan ke Patani nie terbaik ..

    Semoga anda lagi sihat dan masyuk dan dapat lagi kongsi di tempat lain pula

    BalasPadam