Selasa, Februari 27, 2018

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Apabila kuil lama zaman Srivijaya di Chaiya didapati menghadap kiblat

Merujuk kepada artikel Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan yang dibuat 2 hari lalu. Lewat hari Sabtu malam Ahad 24 Februari iaitu selepas tetamu terakhir meninggalkan rumah baru saya betul-betul berpeluang untuk meneliti perkembangan di Internet. Merujuk pula kepada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menutup cerita di Gunung Jerai dan Kuala Kangsar yang ditulis sehari sebelum majlis. Ada disebut bahawa ia adalah penutup kepada siri cerita yang dibuat berdasarkan perjalanan saya dan keluarga ke Thailand 12-23 Disember. Tetapi nampaknya harus ditambah lagi satu artikel sebelum siri betul-betul dapat ditutup. Ini ceritanya...


Antara perkembangan terkini dilihat di Internet iaitu melalui Facebook adalah satu status update milik seorang kenalan dengan gambar di atas. Teksnya ringkas dan mudah. Bunyinya : "Binaan di Wat Long Chaiya ngadap Kiblat." Nampaknya beliau baru sampai ke tempat berkenaan lalu membuat semakan kedudukan bangunan menggunakan software penunjuk arah kiblat.


Wat atau kuil lama yang dimaksudkan telah saya singgah bersama keluarga juga 2 orang kawan yang ikut bersama ke Thailand, pada hari ke-5 perjalanan. Berdasarkan ingatan terhadap kedudukan kuil tersebut di Chaiya saya pun membuat satu garisan menyambungkan ia dengan Kaabah di Mekah menggunakan program Google Earth...











Zoom-in balik pada kedudukan kuil.


Rupa bentuk kuil malah dapat dilihat dengan jelas melalui Google Earth. Terpampang jelas juga tempat masuk ke timur sedikit. Ternyata ia memang menghadap Ka'abah. Saya pun membuat komen maklum balas berikut di FB kenalan :-


Masyaallah. Sungguh benar saudara. Saya tak tergerak nak check masa berada di sana bulan Disember. Tadi saya semak menggunakan Google Earth. Memang benar menghadap ke Ka'abah. Izinkan saya gunakan gambar yang saudara ambil itu untuk satu artikel saya akan datang ya...



Ini salah satu gambar yang diambil ketika berada di sana. Tak sangka ia menghadap kiblat. Lihat artikel Wat Lhong, Chaiya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Hal ini membuat saya tergerak untuk menyemak kedudukan satu lagi kuil lama di Chaiya. Letaknya ke selatan sedikit tidak berapa jauh dari Wat Lhong  itu.


Namanya adalah Wat Kaew. Nampaknya kedudukannya hampir menghadap kiblat. Lihat Wat Kaew, Chaiya.


Adapun semasa di Chaiya kami ada melawat dua lagi buah kuil lama. Malah kami ke dua kuil ini dahulu sebelum ke Wat Lhong kemudian Wat Kaew. Kuil pertama dilawati adalah Wat Hiang, tempat artifak lama yang dikenali sebagai Prasasti Grahi ditemui. Prasasti pada satu patung Buddha ini menjadi bukti bahawa wilayah Grahi berada di dalam pemerintahan dinasti terakhir Srivijaya abad ke-12 Masihi. Tetapi semakan kedudukan melalui Google Earth menunjukkan ia langsung tidak menghadap kiblat. Lihat artikel-artikel berikut :-









Semak pula kedudukan kuil kedua diziarahi di Chaiya. Kedudukannya bersebelahan sahaja dengan muzium utama sana. Ternyata ia juga tidak menghadap kiblat. Lihat artikel-artikel berikut :-






Hal ini mengingatkan bagaimana pada awal bulan Februari ini saya ada tergerak untuk membuat semakan kedudukan kuil-kuil lama di kota Ayutthaya di utara Bangkok, apakah ia menghadap kiblat.


Ini didorong oleh fakta bahawa pada zaman kini pun terdapat sekitar 20 buah masjid di kota lama yang pernah menjadi pusat kerajaan Ayuthia (1350-1767 Masihi) itu. Menurut cerita sesetengah pihak Ayuthia memang sebuah kerajaan Islam, bukan kerajaan Buddha lalu terdapat banyak masjid lama. Tetapi keIslamannya sengaja ditutup oleh pihak berkepentingan yang mahu mengangkat sejarah pro-Buddha.



Saya mulakan semakan dengan kuil lama yang pada saya paling menyerlah di Ayutthaya . Kelihatan pada mata ia boleh menandingi Angkot Wat di Kemboja yang jauh lebih terkenal di mata dunia. Yang pasti seni bina dan reka bentuknya terasa begitu agung dan hebat. Lihat Wat Chaiwatthanaram.


Sayangnya ia tidak menghadap kiblat. Maka susah untuk mengatakan ia sebagai satu peninggalan lama Islam.



Begitu juga halnya pada satu kuil lama lain yang amat terserlah di Ayutthaya. Lihat Wat Maha That, Ayutthaya.



Malah saya menghadapai masalah untuk mencari apa-apa bangunan yang jelas menghadap kiblat...






Nasib baik ternampak satu kawasan yang hampir semua bangunannya seperti menghadap kiblat.


Saya pun mencari apakah yang istimewa tentang kawasan tersebut. Ternampaklah  nama Chedi Sri Suriyothai. Ini merujuk kepada seorang permaisuri raja Siam Ayuthia abad ke-16.  Beliau terkenal malah ceritanya menjadi legenda kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan suaminya Raja Maha Chakkraphat dalam satu peperangan antara Burma dan Siam.


Inilah bangunan yang dipanggil sebagai Chedi Sri Suriyothai itu. Gambar diambil daripada Google kerana saya tak singgah, tak fikir pun nak singgah. Tapi kami memang ada lalu di kawasan ini dalam perjalanan ke beberapa Wat atau kuil lama dengan menaiki kenderaan Tuk Tuk. Patutlah hati macam terpanggil asyik hendak memandang ke situ. Rujuk artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri keagungan Ayutthaya, pusat kerajaan Siam lama.

Tetapi adakah ini bermakna Ayuthia adalah sebuah kerajaan Islam? Apakah ia dapat menunjukkan Ayutthaya sebagai sebuah kota Islam? Pada saya tidak. Belum ada cukup bukti dapat ditelusuri daripada apa-apa peninggalan yang masih wujud sekarang. Sebetulnya hal 'semakan keIslaman' Ayutthaya ini pernah terfikir mahu dijadikan satu artikel dalam siri "Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya" ini sebaik sahaja selesai penceritaan perjalanan. Tetapi selepas menyajikan artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menutup cerita di Gunung Jerai dan Kuala Kangsar saya jadi malas hendak menyambung lalu mengisytiharkan cerita telah ditutup. Tak sangka terasa wajib untuk menyambung kembali selepas ada kenalan mendapati Wat Lhong di Chaiya itu jelas menghadap kiblat dan ini dibenarkan oleh semakan saya sendiri.


Tentang lawatan ke Chaiya itu telah diceritakan panjang lebar dalam artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Chaiya/Cahaya/Jaya/Grahi : Tempat permulaan Empayar Srivijaya 1,400 tahun lalu?. Bila sudah didapati satu kuil lama jelas menghadap kiblat, satu lagi pula hampir menghadap kiblat maka sudah ada ruang untuk mengaitkan ia dan kawasan sekelilingnya dengan Islam. Kuil yang jelas menghadap kiblat itu iaitu Wat Lhong memang tidak memiliki apa-apa berhala di dalamnya. Kuil yang hampir menghadap kiblat itu iaitu Wat Kaew ada berhala tetapi saya rasa tidak salah untuk mengatakan begini :-


1. Ia sebenarnya dibuat untuk menghadap kiblat iaitu Ka'abah di Mekah tetapi lari sedikit kedudukan. Apa hendak dihairankan sedangkan banyak masjid dan surau di Malaysia yang dibina beberapa dekad lalu pun tenyata ada yang lari kedudukan sampai lebih 10 darjah setelah dibuat semakan  menggunakan teknologi moden?

2. Patung-patung berhala adalah penambahan kemudian terhadap bangunan yang asalnya sebuah masjid.



Menarik untuk difikirkan bahawa kedua-dua kuil tersebut dikatakan binaan kerajaan Srivijaya pada abad ke-9 hingga ke-10 Masihi. Pada zaman itu sudah wujud Kesultanan Perlak di utara Pulau Sumatera yang secara rasminya berdiri sebagai kerajaan Islam bermula tahun 840 Masihi. Malah Srivijaya sendiri dikatakan pernah menjadi kerajaan Islam sekurang-kurangnya pada zaman pemerintahan Raja Srindra Warman yang berpusat di Jambi. Baginda dikatakan memeluk Islam pada tahun 718 Masihi, setelah berutusan surat dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang berpusat di Damsyik (717 - 720). 

Saya telah menentang demam-demam dan sakit-sakit bisa lemah badan yang teruk melanda sehari dua kebelakangan demi berkongsikan hal ini. Mungkin demam dan sakit ini berlaku kerana pelbagai urusan melibatkan buku sejak 2-3 minggu lalu. Dalam kesibukan itu saya dan isteri (ya, beliau juga kena) tidak menyedari sampailah selesai majlis soft launch buku Sabtu malam Ahad lalu yang menjadi semacam finale kepada urusan berkaitan buku dalam tempoh waktu ini. Kalau tidak kerana itu harus artikel ini dapat dipersembahkan malam itu juga...

Kewujudan kuil-kuil lama di Chaiya yang menghadap kiblat harus dapat menyatakan sesuatu. Diletakkan dalam konteks bahawa ada yang percaya Chaiya pernah menjadi tempat empayar Srivijaya itu sendiri bermula ada satu rahsia besar seperti menunggu masa sahaja untuk diketahui. Fakta bahawa nama Chaiya itu berasal daripada perkataan Jaya, ada kata Cahaya seperti membenarkannya. Rasaya cukuplah perkongsian saya tentang hal ini. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan