Khamis, Februari 15, 2018

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Merenung hal Melayu lagi sambil pusing pulau Phuket sebelum berkejar ke Krabi

Salam semua. Sebelum cuti hari raya Cina bermula esok eloklah diselesaikan cerita seterusnya dalam siri perjalanan ke Thailand 12-23 Disember. Untuk itu 11 artikel sokongan telah disediakan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Maka masuklah kepada penceritaan keseluruhan hari ke-10 perjalanan tersebut. Bersambung daripada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri penempatan Melayu dan laluan lama di Ranong, Takuapa dan Phuket.


Pagi Khamis 21 Disember 2017. Kami bersolat Subuh di sebuah masjid.


Letaknya di Kamala atau Kampung Kamala, bahagian tengah pantai barat pulau Phuket. Di sinilah kampung asal keturunan ke-7 Mahsuri iaitu Wan Aishah. Beliau pernah dibawa ke Langkawi tahun 80an oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir sebagai simbolik pemecahan sumpah Mahsuri di mana Langkawi pernah menjadi padang jarak padang tekukor selama 7 keturunan. Lihat Morning look at Kamala.


Kami telah bermalam di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Kamala, Phuket.


Semasa menuju ke situ malam sebelumnya kami menyangkakan akan masuk ke sebuah kampung Melayu tradisional penuh rumah kayu bagai. Rupa-rupanya ia kawasan rumah mewah. Terdapat banyak bungalow besar termasuk di tepi lereng bukit. Hampir ia kelihatan seperti kawasan mewah Bukit Damansara atau Damansara Heights di pinggir bandar raya Kuala Lumpur. Lihat Views from Kamala mosque minaret.



Saya mengambil masa berjalan kaki naik bukit di belakang masjid untuk meninjau keadaan sekeliling.



Di rumah paling atas, sebuah pusat peranginan persendirian saya berehat tepi kolam mandi sambil memandang ke laut. Lihat Climbing up the hill behind Kamala mosque.


Saya naik lagi terus ke atas sampai ke puncak bukit...








Kembali ke masjid anak-anak, isteri dan kawan-kawan sedang bersiap. Masuk kereta meter menunjukkan kami sudah berjalan sejauh 3,022 km sejak meninggalkan rumah.


Jam 9.25 kami bergerak meninggalkan masjid.


Mula-mula nak teruskan perjalanan ke selatan pulau. Tiba-tiba timbul rasa gelisah kerana belum pergi ke kawasan pantai Kamala. Terus berpatah balik untuk singgah.


Sesungguhnya tujuan utama kami bermalam di Kamala adalah kerana saya mahu mendapatkan rasa aura dan petunjuk tentang suatu perkara. Saya selalu merasakan nama Kamala ada kaitan dengan Laksamana Raja Kamalahayati atau Keumalahayati, pemimpin perang wanita Aceh penghujung abad ke-16 dan awal abad ke-17 yang sangat terkenal di dunia Melayu. Apakah Mahsuri seorang keturunan beliau?


 
Kalau tak salah gambar ini diambil menghadap ke Aceh di utara pulau Sumatera. Yang pasti pantai ini cantik malah ekslusif. Kewujudan rumah-rumah bungalow sekitar masjid ke darat sudah cukup untuk menunjukkan Kamala sebagai satu kawasan mewah. Dekat tepi pantai pula terdapat beberapa hotel mahal. Lihat On to Kamala beach.


Kami menikmati pemandangan pantai sambil makan sarapan pagi makanan Melayu Islam. Oh, malam sebelum sampai ke Kamala kami ada berhenti di satu tempat yang kalau tak salah ingatan dipanggil Ban Thong. Di situ kami terjumpa beberapa orang Melayu tempatan termasuk seorang yang fasih berbahasa Melayu. Dia memberitahu 50% penduduk pulau Phuket adalah orang Melayu Islam. Tetapi peratus paling tinggi adalah di Ban Thong iaitu 80%.


Kami juga ada bertanya tentang Wan Aishah, keturunan ke-7 Mahsuri ini. Mereka cukup kenal dengan nama ini. Kata mereka Wan Aishah memang berasal dari Kamala. Tetapi beliau menetap di Ban Thong selepas berkahwin orang sana. Jam 10.45 kami menyambung perjalanan ke arah selatan pulau...


Tidak lama kemudian sampailah ke Patong, bandar peranginan utama di pulau Phuket. Lihat Enter the town of Patong.


Pantainya menarik ramai pelancong Barat yang suka berjemur dan mandi laut dengan pakaian tak cukup kain. Lihat The tourists heaven that is Patong beach.


Selepas beberapa lama berehat di pantai melihat gelagat orang kami meneruskan perjalanan ke selatan lalu mula menaiki lereng bukit di tepian laut.


Sampai satu bahagian jalan utama keliling pulau mencapai paras paling tinggi...


Dari situ pemandangan boleh menjangkau mungkin suku pulau Phuket yang panjangnya dari utara ke selatan mencapai 48 km, lebarnya dari timur ke barat mencapai 20 km. Lihat Phuket from Karon view point.


Selepas itu laluan pusing pulau menghala ke arah timur kemudian menaik ke utara. Tidak lama kemudian kelihatan masjid ini lalu kami pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Nuruddeeneeyah, Phuket.


Ke utara lagi masuk kami ke bandar Phuket, pusat pentadbiran pulau Phuket. Lihat Town of Phuket.


Selepas beberapa lama jumpa kembali jalan yang digunakan untuk masuk pulau lalu lengkapkah satu pusingan. Sekitar jam 3.20 kami meninggalkan Phuket melalui jambatan yang menyambungkan pulau dengan tanah besar. Perjalanan diteruskan ke arah timur...


Kami mahu ke Krabi yang terletak ke timur hampir setentang pulau melalui jalan laut. Melalui jalan darat ada lebih 100 km  melalui satu wilayah bernama Phang Nga ke utara dan timur laut sebelum ke selatan...


Menariknya boleh ternampak banyak bukit bukau batu kapur hampir sepanjang perjalanan. Lihat Limestone hills of Phang Nga.


Kami sampai ke Krabi jam 4.40 tapi itu baru bandar pentadbiran wilayah. Hendak ke kawasan pantai masih ada lebih 16 km perjalanan.


Hampir ke pantai kami dapat melihat sebuah masjid besar lalu kami pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Aonang Al-Munawarah, Krabi.


Mendapati ada banyak kedai dan gerai makan halal kami pun layan makan. Ketika itulah dapat tahu majoriti penduduk kawasan sini iaitu satu kawasan mukim bernama Ao Nang memiliki majoriti orang Melayu Islam. Tapi seperti halnya dari Ranong ke Takuapa ke Phuket rata-rata tidak tahu lagi bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau jumpa yang boleh bertutur biasa orang Patani yang datang berniaga sini...





Lewat petang matahari dah terbenam baru kami sampai ke pantai untuk menikmati pemandangan.


Ternyata pemandangan sangat indah sehingga boleh terleka sampai ke malam. Lihat Sunset at Ao Nang beach, Krabi



Puas melepak di pantai kami berjalan-jalan melihat suasana sekitar kedai-kedai di seberang jalan. Lihat Night scene at Ao Nang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan