Merujuk pada artikel Buku berkembar Adam Melayu dan Benua Tua mula menemui pembaca - Nostalgia perasaan yang timbul sekitar urusan berkenaan yang dipersembahkan Ahad lalu. Ada disebut bahawa sejumlah set buku yang telah dibayar oleh pembeli awal telah diposkan Sabtu itu. Turut disebut baki buku berbayar akan diposkan hari Isnin iaitu 2 hari lalu. Pada hari itu juga sejumlah pembeli yang bukunya diposkan hari Sabtu telah menerima pakej. Lalu biarlah dikongsikan kegembiraan mereka melalui artikel ini...
Ada disebut pada penghujung artikel Buku berkembar Adam Melayu dan Benua Tua mula menemui pembaca - Nostalgia perasaan yang timbul sekitar urusan berkenaan bahawa mereka yang membuat tempahan kemudian membayar sebelum tempoh cut-off atau putus/potong perkara tengah malam 8 Februari masuk 9 Februari termasuk di dalam mereka yang layak diberikan penghargaan kerana bayaran mereka itulah yang digunakan untuk menampung kos percetakan buku. Cut-off dibuat 8 masuk 9 Feb kerana pada siang itulah buku siap dicetak lalu saya boleh mengambilnya di kilang. Adapun dalam kalangan mereka ini ada yang telah membuat pembayaran seawal 5 Januari lalu. Alhamdulillah mulai Ahad 11 Februari ada yang sudah menerima buku kerana menetap di Terengganu di mana hari itu adalah hari orang bekerja dan pejabat dibuka...
Semua pembayar ini telah diletakkan dalam grup Whatsapp khas "Adam Melayu Benua Tua". Esoknya tengah hari Isnin saya mula menerima makluman dalam grup daripada mereka yang baru mendapat buku...
Dalam kalangan pembayar awal ada yang memilih untuk mengambil sendiri daripada saya kerana ada dibuat pengumuan saya akan mengadakan majlis soft launch di rumah sendiri pada masa yang dirasakan sesuai. Ilham tentang ini pun timbul esoknya pagi Selasa 13 Februari. Saya pun membuat pengumuman berikut di Facebook...
SOFT-LAUNCH BUKU NABI ADAM DAN BENUA TUA
Salam semua. Sudah dimaklumkan bahawa saya akan mengadakan majlis soft-launch buku berkembar "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu: dengan "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" pada satu tarikh yang sesuai di rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Alhamdulillah walaupun secara rasmi buku2 ini disebut dalam kulitnya sebagai terbit Mac 2018 ia sudah pun keluar dari kilang cetak Khamis 8 Februari minggu lepas dan kini berada pada tangan ramai penempah dan pembeli awal. Dengan ini saya mengumumkan soft launch mahu diadakan petang Sabtu 24 Februari iaitu pada jam 3 kira2 seminggu selepas cuti hari raya Cina. Sila berikan maklum balas, apakah dapat bersama, tarikh sesuai atau tidak, tarikh cadangan lain (jika ada) atau bagaimana,
Majlis santai sambil minum petang ini boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja. Baik anda seorang pembeli awal yang sudah mendapat buku, atau mahu mengambil ketika soft launch, atau baru berkira2 hendak membeli, atau saja2 datang tanpa niat mahu membeli semua dipersilakan memeriahkan acara. Semasa majlis ini saya terbuka untuk sebarang pertanyaan berkenaan buku2 dan isinya. Sila war2kan hebahan ini kepada orang ramai...
-------------
Sambil itu muncul lebih ramai menyatakan dalam Whatsapp telah menerima buku. Tak semua memberitahu dalam grup. Dan tak semua yang memberitahu dalam grup menunjukkan gambar buku. Ada yang sekadar menyatakan terima kasih. Namun ada pula menunjukkan gerak yang diperolehi untuk membuka secara spontan mana-mana muka surat...
Dalam pada itu pemberitahuan penerimaan buku dengan gambar terus diterima dalam grup Whatsapp...
Cuma dalam satu kes isteri saya tersilap tulis alamat. Sepatutnya rumah nombor 70, dia tulis 7. Maklumlah, bukan sedikit buku kami proses. Lebih 90 set, sebahagian dipos hari Sabtu, bakinya dipos hari Isnin.
Kesilapan cuma disedari setelah pembeli beritahu. Aelepas pos saya menghantar gambar borang butiran Poslaju yang tertera nombor jejak atau tracking code supaya boleh disemak kedudukan barangan sudah sampai mana melalui halaman sesawang Poslaju. Semua pembeli/pembayar menerima ini.
Isteri sekadar dapat menghubungi kakitangan Poslaju untuk memberitahu keadaan. Selepas itu kami cuma dapat bertawakal. Janji saya kepada pembeli jika tak sampai saya akan gantikan dengan satu set yang akan disampaikan sendiri dalam perjalanan kami kembali ke Muar untuk bercuti hari raya Cina nanti. Alhamdulillah, beliau dihubungi oleh posmen lalu mendapat buku...
Sambil itu lebih ramai memberitahu mereka telah mendapat buku...
Ada yang menunjukkan gambar buku dengan keris dan tanjak sekali.
Ada pula yang sudah mula meneliti isi buku lalu meminta jawaban dan maklum balas. Dalam kes yang kelihatan ini penerangan belum habis. Apa yang disuakan dalam muka surat berkenaan adalah maklumat daripada satu pameran yang pernah diadakan di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam. Ia diperbetulkan setelah dibuat rujuk silang lalu hal ini dinyatakan pada muka surat lain kemudian.
Buku-buku terus sampai lewat petang Selasa.
Hal ini berterusan masuk pagi Rabu tadi...
Dalam pada itu ada juga buku yang tersasar jauh. Sepatutnya ia pergi ke Pulau Pinang. Bila disemak jejak melalui tracking code tengok-tengok ia sedang berada di Kota Bahru, Kelantan. Apakah ada 'panggilan' daripada Puteri Sa'adong atau Chek Siti Wan Kembang?
Alamat yang diberikan jelas menunjukkan ia mahu dihantar ke Pulau Pinang. Jadi kenapa boleh tersasar jauh ke Pantai Timur. Fikir punya fikir baru saya perasan. Mungkin poskod Pulau Pinang 13500 kelihatan seperti 15500. Logik juga kerana 15500 itu memang di belah Kota Bahru...
Ada pula yang menerima semalam hari Selasa tetapi baru hari ini berkongsi kegembiraan mereka...
Seorang pembeli malah berkongsi gambar buku-buku saya dalam koleksinya. Oh. Sebetulnya saya lebih suka sebut pembaca... tetapi dalam konteks kegembiraan pembayar awal sudah lama menunggu buku sampai, saya terpaksa menyebut sebagai pembeli atau pembayar...
Yang pasti mereka cukup gembira menerima buku yang sudah ditandatangani oleh saya. Untuk makluman setiap buku belian awal ini saya tandatangan.
Hamba Allah yang menunjukkan koleksi tadi menunjukkan lain-lain buku tulisan saya dalam simpanannya. Ah. Lengkap ini. Nampaknya semua buku saya yang kini sudah mencapai 12 tajuk beliau sudah ada!
Alhamdulillah buku demi buku terus diterima pembeli.
Nampaknya cuti hari raya Cina akan datang ini akan menjadi masa yang sesuai untuk menelaah isi buku. Semoga semua mendapat faedah. Semoga anjakan besar pemikiran dan cara melihat masa juga sejarah peradaban manusia yang dtonjolkan dalam buku akan menarik semua golongan terutama cerdik pandai akademik dan golongan agamawan untuk duduk bersama memutuskan perkara. Semoga tidak ada lagi khilaf mahupun kekeliruan tentang bagaimana manusia moden menurut sains telah wujud 209,000 lalu sedangkan manusia pertama menurut kitab iaitu Nabi Adam AS turun ke muka bumi paling awal pun tidak sampai 10,000 tahun lalu. Cukup perkongsian saya buat masa ini... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan